Thursday, May 26, 2011

~ tragedi berdarah di medan Uhud ~


DALAM KALANGAN kita sudah tentu pernah mendengar bahawa Rasulullah mengalami luka yang agak parah ketika Perang Uhud. Walaupun dikelilingi pahlawan Islam namun dalam satu kejadian baginda parah apabila seketul batu yang agak besar melayang tepat mengenai baginda.

Batu itu dikatakan dibaling oleh pihak musuh iaitu Utbah bin Abu Waqqas (dalam setengah riwayat yang lain, baginda sebenarnya dipanah tepat mengenai topeng muka besi yang dipakai).

Batu tersebut tepat mengenai muka baginda menyebabkan luka yang teruk walaupun baginda memakai topeng besi ketika itu.

Bayangkan kuat dan besarnya batu yang dibaling sehingga topeng daripada besi itu pecah. Akibatnya serpihan batu yang pecah itu menusuk menembusi pipi Rasulullah dan sebatang gigi baginda turut patah.

Baginda juga dikatakan diserang oleh seorang tentera berkuda dari pihak musuh, iaitu Abdullah bin Qamiah.

Abdullah melibas pedangnya pada bahu baginda, namun tidak berhasil untuk mengoyak baju besi apatah lagi mencederakan baginda.

Namun akibat tetakan itu dikatakan baginda rasa sakit pada bahu itu lebih sebulan lamanya.

Akibat tidak puas hati baginda tidak berjaya dibunuh, Abdullah lagi sekali cuba menetak baginda dengan kuat sehingga perisai kepala dan muka daripada rajutan rantai besi terpecah dua dan menambahkan lagi kecederaan muka yang dialami oleh baginda.

Abdullah ketika itu berkata: "Rasakanlah kau wahai Muhammad, akulah anaknya Qamiah (Qamiah yang bermakna orang yang hina)!"

Sambil membersihkan darah di wajahnya, baginda Rasulullah pun menjawab: "Semoga Allah SWT menghina kamu!"

Ketika itu datanglah para sahabat yang lain membantu baginda. Namun dalam keadaan luka dan kesakitan itu, baginda terjatuh dalam sebuah lubang.

Lubang itu dikatakan digali oleh seorang musuh, iaitu Abu Amir Ar Rahib. Abu Amir sengaja berbuat demikian bagi memerangkap dan mencederakan tentera Muslim terutama baginda sendiri.

Lubang tersebut agak dalam yang menyebabkan baginda tidak mampu keluar. Datang seorang sahabat, iaitu Talhah bin Ubaidullah melompat masuk ke dalam lubang itu.

Lalu dia membongkokkan badannya bagi membolehkan Rasulullah memanjat dan memijak bahunya dan mengangkat nabi ke atas. Ali bin Abi Talib pula menyambut tangan nabi daripada atas lubang itu.

Kemudian Abu Ubaidah bin Jarrah membantu nabi dengan membukakan topeng muka besi pada baginda itu. Setelah dibuka didapati ada serpihan besi topeng itu yang mencucuk pipi baginda lalu Abu Ubaidah menggigit serpihan itu dan dicabutnya. Lalu baginda dibawa berlindung di penjuru Bukit Uhud untuk dirawat.

Pihak musuh berusaha pelbagai cara bagi menembusi benteng para sahabat yang mengelilingi dan melindungi baginda.

Namun, semua usaha itu gagal kerana kukuhnya 'benteng manusia' para sahabat. :)

No comments:

Post a Comment