Monday, May 23, 2011

~ al-Jami'ah al-Duwal al-'Arabiyyah ~


NAMA penuhnya adalah Liga Negara-Negara Arab (al-Jami'ah al-Duwal al-'Arabiyyah), namun organisasi ini lebih dikenali dengan sebutan singkat Liga Arab (al-Jami'ah al-'Arabiyyah).

Inilah organisasi pemerintahan antarabangsa di peringkat serantau yang dianggotai oleh 21 negara Arab di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

Pembetukannya didasari oleh hasrat para pemimpin Arab untuk membebaskan dunia Arab daripada penguasaan asing. Hingga pertengahan abad ke-20, negara Arab umumnya masih berada di bawah kekuasaan asing, terutama Kerajaan Uthmaniyah, British dan Perancis.

Antara pemimpin Arab yang giat memperjuangkan matlamat ini ialah pemerintah Hijaz (kini Arab Saudi), Syarif Husain bin Ali serta dua orang puteranya, Amir Faisal I dari Iraq dan Amir Abdullah dari Jordan.

Liga Arab merupakan badan perundingan yang dipengaruhi oleh ideologi nasionalisme Arab. Pada masa lalu, Liga Arab menolak pembentukan negara Israel. Namun sejak 1989, sikap ini mula berubah.

Perubahan ini antara lain adalah disebabkan oleh penerimaan semula Mesir ke dalam Liga Arab setelah menyatakan hasratnya untuk berdamai dengan Israel.

Dalam bidang politik, Liga Arab sering tidak mampu mengatasi masalah perpecahan di kalangan anggotanya. Pada 1979, misalnya, Mesir sebagai salah sebuah negara pengasas disingkirkan daripada Liga Arab, kerana mengadakan perjanjian damai dengan Israel.

Bagaimanapun, pada Mei 1989, Mesir diterima kembali dan pejabat Liga Arab turut dipindahkan semula ke Kaherah. Selepas Persidangan Peringkat Tinggi Liga Arab di Amman (Jordan) pada November 1987, negara anggota liga diberi kebebasan untuk memulihkan semula hubungan dengan Mesir.

Enam badan utama

*Dewan Liga, badan tertinggi, dianggotai oleh wakil anggota dan 'satu negara satu suara'.

*Suruhanjaya Tetap, merangkumi suruhanjaya politik, budaya, ekonomi, komunikasi, sosial, undang-undang, penerangan, kesihatan, pentadbiran dan kewangan; dan anggota Negara pengeluar minyak.

*Setiausaha Agung, terdiri daripada Setiausaha Agung, Timbalan dan jawatan lain.

*Dewan Pertahanan Bersama.

*Dewan Sosial dan Ekonomi.

*Organisasi Khusus, yang meliputi urusan satelit hingga dana pengembangan sosial ekonomi.

Gagasan pembentukan Liga Arab muncul pada awal 1940-an, ketika Faizal II (Amir Iraq) mengusulkan pembentukan liga yang terdiri daripada Syria, Lubnan, Palestin, Jordan dan Iraq.

Bagaimanapun, idea ini ditolak oleh Mesir, Arab Saudi dan Syria. Pada 1943-1944, Raja Farouk dari Mesir bertemu dengan perwakilan Iraq, Jordan, Arab Saudi, Syria, Lubnan, Yaman, dan Palestin.

Mereka membahaskan beberapa usul untuk membentuk suatu ikatan. Pembentukan Liga Arab diumumkan secara rasmi dalam pertemuan Menteri Luar Negara-Negara Arab di Iskandariah, Mesir pada September 1944.

Perjanjian Liga Negara-Negara Arab disepakati pada 22 Mac 1945 di antara Mesir, Iraq, Jordan, Lubnan, Arab Saudi, Syria, dan Yaman (Utara).

Negara Anggota Liga Arab

*Mesir (1945)

*Iraq (1945)

*Jordan (1945)

*Lubnan (1945)

*Arab Saudi (1945)

*Syria (1945)

*Yaman (1945)

*Libya (1953)

*Sudan (1956)

*Tunisia (1958)

*Maghribi (1958)

*Kuwait (1961)

*Algeria (1962)

*Bahrain (1971)

*Qatar (1971)

*Oman (1971)

*Emiriah Arab Bersatu (1971)

*Mauritania (1973)

*Somalia (1974)

*Palestin (1976)

*Djibouti (1977)

Dalam bidang bukan politik, Liga Arab cukup berjaya kerana berupaya melaksanakan program pertukaran sarjana dan pemeliharaan naskhah Arab kuno; mengadakan persidangan jurutera, doktor, ahli arkeologi dan ilmuwan sosial Arab; mendirikan pejabat berita Arab; menyediakan konsep persetujuan penerbangan; dan mencapai kerjasama ekonomi. :)

No comments:

Post a Comment