Saturday, May 21, 2011

~ mukjizat bukti kerasulan ~


Mukjizat adalah sesuatu yang luar biasa yang diberikan kepada Nabi atau Rasul. Adapun faedah dan kepentingan mukjizat dianugerahkan untuk menguatkan pendakwaan atau sebagai bukti mereka sebagai Nabi dan Rasul kepada umat mereka, terutama kepada mereka yang enggan beriman dan bagi orang yang beriman akan bertambah keyakinan mereka.

Sebagai contoh, suatu ketika, kalangan Musyrikin Makkah mencabar Rasulullah SAW supaya membuktikan kenabiannya dengan menunjukkan beberapa tanda. Lalu Rasulullah SAW menunjukkan jarinya ke bulan, dengan serta-merta bulan terbelah dua.

Peristiwa ini jelas disebut dalam al-Quran ayat 1 dan 2 surah al-Qamar yang bermaksud: “Sudah dekat (datangnya) saat itu (Hari Kiamat) dan sudah terbelah bulan. Jika mereka (golongan Musyrikin) menyaksikan suatu tanda (mukjizat), mereka berpaling dan berkata: “(Ini adalah) sihir yang dahsyat”.


Walaupun sudah ditunjuk bukti kepada golongan Musyrikin, mereka tetap menolak dan mengatakannya sihir.

Ada banyak lagi hadis yang menceritakan mengenai mukjizat Nabi Muhammad SAW antaranya sebuah hadis diriwayatkan oleh Muslim iaitu suatu ketika Rasulullah keluar untuk menunaikan hajat. Baginda ditemani oleh Jabir RA yang membawa satu bekas berisi air. Di suatu tanah lapang, Rasulullah SAW mencari pokok-pokok yang dapat memagarinya, tetapi tidak kelihatan sebatang pokok pun di situ. Nun di sebelah tanah lapang itu ada dua batang pokok kayu, lalu Baginda pergi ke satu pokok sambil berkata: “Dengan perintah Allah, taatilah aku.” Pokok itu turut pergi bersamanya.

Baginda melakukan perkara yang sama kepada pokok yang satu lagi yang juga datang bersamanya menghampiri pokok yang pertama tadi. Kemudian Baginda memerintahkan kedua-dua pokok itu memagarinya. Sesudah itu Baginda menyelesaikan menunaikan hajatnya di belakang pokok-pokok itu. Selepas itu Baginda menyuruh pokok-pokok itu kembali semua ke tempat asal, lalu kedua-duanya pun kembali.


Suatu ketika Baginda tidak mempunyai sesuatu apa pun untuk dimakan. Badan Baginda bertambah lemah. Abu Talhah RA kembali ke rumahnya dan menghantar beberapa keping roti yang ada di dalam rumahnya kepada Rasulullah SAW. Pada ketika itu Baginda bersama-sama sahabatnya duduk di dalam masjid. Bersama-sama kepingan roti itu dan sahabat, Baginda pun pergi ke rumah Talhah RA, lalu memecah-mecahkan kepingan roti itu. Baginda meminta sedikit minyak sapi untuk dituangkan ke atasnya. Kemudian Rasulullah SAW membahagi-bahagikannya kepada sahabat-sahabatnya. Semua mereka dapat roti dan makan dengan kenyangnya.


Ketika Perang Khandak yang mana parit sedang digali, makanan pun tiada. Rasulullah SAW bersama-sama sahabatnya menggali parit itu siang dan malam tanpa makanan. Jabir RA mempunyai seekor kambing. Beliau menyembelihnya dan menyuruh isterinya memasak daging dan membakar roti daripada tepung barli. Kemudian beliau menjemput Rasulullah SAW untuk jamuan. Walaupun beliau menjemput Rasulullah SAW seorang, Baginda sudah memanggil semua sahabatnya (yang berjumlah kira-kira 3,000 orang) ke tempat jamuan. Apabila Rasulullah SAW sampai ke rumahnya bersama sahabatnya tadi menjadikan Jabir RA berasa malu. Bagaimanapun, Rasulullah SAW menyuruh membawakan makanan itu. Baginda membacakan sesuatu dan mencampurkan air liur Baginda yang mulia pada makanan itu dan makanan itu terbukti mencukupi untuk semua.


Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada al Bara’ bin ‘Azib r.a bahawa: “Pada Hari Hudaibiyah kami bersama-sama Rasulullah SAW. Bilangan kami iaitu seramai 1,400 orang. Ada sebuah perigi yang kami keringkan (gunakan) tanpa meninggalkan sedikit air pun. Apabila Rasulullah SAW mendengar hal berkenaan, lalu Baginda pergi ke perigi itu dan duduk di tepinya. Baginda meminta satu bekas berisi air dan mengambil wuduk dan berkumur, lalu berdoa. Kemudian Baginda menuangkan air ke dalam perigi dan meminta kalangan sahabat membiarkannya beberapa ketika. Selepas itu mereka mengambil air daripada perigi itu untuk keperluan diri mereka dan binatang ternakan mereka sehinggalah mereka meninggalkannya.


Sebenarnya, banyak lagi mukjizat yang dikurniakan Allah SWT kepada Baginda SAW selaku penghulu Nabi. Seluruh manusia tidak akan mampu menghasilkannya atau menandinginya, apatah lagi menolak atau menentangnya. Mukjizat itu adalah bukti kebenaran kerasulan Baginda SAW. Demikianlah, wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment