Menolak kesesatan yang terdapat dalam ajaran syiah tidak ada kena mengena dengan mencintai ahli keluarga Rasulullah SAW. Ahli keluarga baginda SAW adalah mereka yang ada pertalian darah dengan Rasulullah SAW serta isteri-isteri baginda yang suci.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai 'Ahlul Bait' dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji). (al-Ahzab: 33)
Ayat ini juga dijadikan hujah oleh para ulama untuk menjawab kepada golongan yang berpendapat isteri-isteri baginda Rasulullah SAW tidak termasuk di dalam ahli keluarga nabi SAW.
Ayat ini terang-terang turun dalam gugusan ayat-ayat yang menyentuh hal ehwal isteri-isteri Rasulullah SAW. Maka dengan ayat ini terbuktilah bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW adalah termasuk dalam ahli keluarga baginda biarpun mereka bukan dari darah daging baginda SAW.
Melalui ayat di atas juga Allah SWT memberitahu bahawa ahli keluarga Rasulullah SAW adalah tidak sama dengan ahli keluarga orang lain. Ini kerana keluarga Rasulullah SAW adalah cermin kepada masyarakat.
Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan hal ini. Antaranya hadis yang disampaikan oleh Thabaraniy dari Abu Said Al-Khudry r.a bahawa Abu Said mengatakan: ayat ini turun terkait Nabi SAW, Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain, semoga Allah meredai mereka semua. Dalam hadis sahih dinyatakan bahwa Nabi SAW memberikan suatu pakaian kepada mereka dan berdoa, "Ya Allah, mereka adalah keluargaku dan orang-orang khusus bagiku, hilangkanlah dosa dari mereka dan bersihkanlah mereka sebersih-bersihnya".
Dalam riwayat lain dinyatakan bahawasanya Nabi SAW mengenakan pakaian pada mereka dan meletakkan tangan beliau pada mereka serta berdoa: "Ya Allah, sesungguhnya mereka adalah keluarga Muhammad, maka jadikanlah selawat dan keberkahan-Mu kepada keluarga Muhammad, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji Maha Perkasa". (Ibn Jarir al-Tabariy, Tafsir al-Tabariy, jld:22, hlm:5)
Di antara ayat-ayat yang menunjukkan keutamaan mereka adalah firman Allah SWT:
Siapa yang membantahmu dalam hal ini setelah engkau memperoleh ilmu, katakanlah (Muhammad), "Marilah kita panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isterimu, kami sendiri dan kamu juga, kemudian marilah kita bermubahalah agar laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta. (ali-'Imran: 61)
Para ahli tafsir mengatakan: ketika ayat ini turun, Rasulullah SAW memanggil Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain r.a. Lalu beliau memangku Husain dan memegang tangan Hasan, sementara Fatimah berjalan di belakang beliau dan Ali di belakang keduanya, lalu beliau berdoa: "Ya Allah, mereka itu adalah keluargaku". (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:6, hlm: 434)
Dalam ayat ini terdapat dalil yang jelas bahawa anak-anak Fatimah r.ha dan keturunan mereka disebut anak-anak beliau SAW, dan nasab mereka dinisbahkan kepada beliau dengan penisbahan yang sahih dan berguna di dunia dan akhirat.
Menjadi kebiasaan orang arab dan yang demikian adalah makruf di kalangan mereka mengelar cucu dengan gelaran anak. Ada beberapa kali dalam baginda menyebut mereka berdua iaitu Hasan dan Husain sebagai anak.
Baginda sangat sayang kepada mereka berdua, cinta baginda terserlah setiap kali baginda bertemu dengan mereka berdua. Mencintai insan yang dicintai dan dikasihi oleh baginda adalah sangat dituntut.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)". (asy-Syura: 23)
Suatu yang menarik di dalam tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir adalah mengenai ayat ini terutamanya mengenai perkataan "kasih mesra pertalian kerabat" adalah mengasihi ahli keluarga Rasulullah SAW, bermuamalah baik dengan penuh kasih dan cinta.
Perkataan al-Qurba bermaksud kerabat, perkataan kerabat hanya digunakan untuk ahli keluarga sahaja tidak selain itu.
No comments:
Post a Comment