Thursday, December 29, 2011

~ kerana iman bukan warisan ~




MENJADI mukmin pasti melalui pelbagai ujian daripada Allah SWT bagi menguji adakah dirinya mukmin sebenar atau munafik. Allah tegas menggolongkan kaum munafik yang suka berdusta orang tidak beriman walaupun mengakui dirinya beriman.

Firman Allah bermaksud: “Di antara manusia ada mengatakan, kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 8).

Kita menyedari iman tidak boleh diwarisi daripada orang tua atau nenek moyang. Iman dan Islam bukan secara automatik diwariskan daripada orang tua kepada keturunannya. Mengakui orang beriman harus melalui ujian dan perjuangan dalam memelihara iman dan tauhid serta kesungguhan doa kepada Allah agar menunjukkan kita hidayah dan keselamatan dunia dan akhirat.
Segeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah seperti malam gelap gelita. Pada pagi seorang lelaki masih mukmin, lalu menjadi kafir pada petang hari. Pada petang hari seorang lelaki masih mukmin, lalu menjadi kafir pada pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan barang kenikmatan dunia. - Hadis riwayat Muslim Ustaz yang salih tidak serta merta mempunyai keturunan yang juga alim. Jangankan ustaz, bahkan nabi pun tidak selalu anaknya menjadi orang beriman.

Hal ini berlaku dalam kisah Nabi Allah Nuh AS. Firman Allah bermaksud: “Dan Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku, termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itu benar. Dan Engkau adalah hakim seadil-adilnya.” Allah berfirman bermaksud: “Wahai Nuh, sesungguhnya dia bukan termasuk keluargamu (yang dijanjikan selamat), sesungguhnya perbuatannya tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikatnya). Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu agar kamu jangan termasuk orang yang tidak berpengetahuan.” (Surah Hud, ayat 45-46).

Allah menegur Nabi Nuh agar jangan menganggap anaknya yang condong memilih kafir daripada iman sebagai keluarganya. Bahkan Allah melarang Nabi Nuh mengajukan doa mencerminkan seolah-olah dirinya sebagai nabi tidak berpengetahuan dalam persoalan akidah sebagai pengikut setia antara umat manusia, bahkan antara anak dan ayah.

Demikian pula dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda dengan tegas memperingatkan kepada keturunannya agar jangan menganggap garis keturunan sebagai automatik mendatangkan keistimewaan dibandingkan dengan orang lain. Tidak semestinya seseorang yang menjadi sebahagian daripada ahlil bait Rasulullah menjadi yakin dan pasti dirinya akan masuk syurga dan memperoleh syafaat Nabi Muhammad SAW.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Ahlil baitku berpandangan mereka adalah orang paling berhak mendapat syafaatku, pada hal tidaklah demikian. Sesungguhnya para waliku di antara kamu sekalian ialah yang bertakwa, siapapun kamu dan di manapun adanya.” (Diriwayatkan Ibnu Abi Ashim, dalam As-Sunnah)

Umat Islam harus faham zaman ini adalah era penuh fitnah di mana ancaman utama ialah munculnya gejala ‘murtad tanpa sedar’ sehingga Nabi SAW menggambarkan seperti malam yang gelap gelita.

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Segeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah seperti malam gelap gelita. Pada pagi seorang lelaki masih mukmin, lalu menjadi kafir pada petang hari. Pada petang hari seorang lelaki masih mukmin, lalu menjadi kafir pada pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan barang kenikmatan dunia.” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menggambarkan dengan tepat keadaan dunia sekarang. Fitnah sudah merebak sama ada ideologi, politik, sosial, ekonomi, budaya, hukum, pendidikan dan sebagainya.

Jelas dan tegas Nabi Muhammad SAW mengatakan yang bermaksud: “Pagi beriman, petangnya kafir.”

Semoga kita ditunjukkan Allah jalan lurus (siratal mustaqim), iaitu jalan orang yang diberikan nikmat, bukan jalan orang dimurkai, dan bukan jalan orang yang sesat.

Saturday, December 24, 2011

~ kembara mahasiswa ~




Tarbiyah ruhiyah berjalan seimbang ,
Motivasi diri pembakar semangat ,
Minda mahasiswa terus berkembang ,
Teruskan berusaha memerah keringat .

Indahnya hidup berpaksi Tuhan ,
Agenda barat penuh muslihat ,
Umat Islam dibelenggu kelemahan ,
Perkukuh kembali iman nan terpahat .

Sistem pendidikan telah tercemar ,
Bangsa yang lesu kian bercelaru .
Golongan muda semakin meliar ,
Bangkitlah jundi teras peneraju .

Wanita solehah menjadi idaman ,
Qudwah hasanah segenap umat ,
Sungguhpun hidup penuh ancaman ,
Budaya santun terus tersemat .

Ilmu dikuasai sehabis daya ,
Dalam menghapus rona kejahilan ,
Tambahkan nilai ke arah berswadaya ,
Eratkan perpaduan sifarkan perpecahan .

Tuesday, December 20, 2011

~ miracle of Quran ~




AL-QURAN diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui wahyu dalam bentuk hafalan. Rasulullah tidak tahu membaca dan menulis untuk membuat catatan bagi setiap wahyu yang diterima.

Ada hikmahnya kenapa baginda dizahirkan ke dunia oleh Allah sebagai seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Antaranya tentulah supaya umat yang diseru kepada Islam dan agar beriman kepada kalamullah tidak akan menganggap al-Quran hasil karangan baginda.

Ayat-ayat al-Quran itu sendiri terlalu indah dan tidak mampu diatasi oleh susunan bahasa hasil karya para sasterawan sejak dulu hingga kiamat.

Bukan sahaja setiap ayat tetapi juga setiap huruf ada kekuatan dan manfaatnya kepada manusia yang beriman dan bertakwa.

Sebenarnya, bukan tidak ada catatan ayat-ayat al-Quran dibuat tetapi ia sangat terhad dan catatannya pula dibuat pada belulang, kayu, batu, pelepah tamar dan sebagainya oleh para penulis wahyu, pada umumnya untuk simpanan peribadi.

Rata-rata pemilikan ayat-ayat al-Quran pada waktu itu adalah dalam bentuk hafalan. Kebetulan ayat-ayat al-Quran pula diwahyukan kepada baginda secara berperingkat-peringkat dan pendek. Secara tidak langsung ia mudah diingat.

Cara yang betul dan tepat bacaan al-Quran pula dirujuk kepada baginda oleh para penulis wahyu serta para sahabat ketika baginda belum wafat manakala baginda pula bertadarus dengan Jibril bagi membetulkan bacaan.

Semasa hayat baginda, soal ketepatan bacaan al-Quran tidak menjadi masalah. Tetapi bila baginda wafat, diikuti pula dengan kematian sahabat-sahabat besar dan penulis wahyu, mahu tidak mahu akan timbul masalah kerana bahasa Arab sendiri ada pelbagai loghatnya.

Disebabkan bimbang generasi di luar era hayat para sahabat akan terpisah daripada al-Quran, maka para sahabat telah mencadangkan supaya ayat-ayat al-Quran dibukukan. Ia dilaksanakan pada era Uthman Affan sebagai khalifah. Uthman adalah antara penulis wahyu.

Bagaimanapun ayat-ayat al-Quran yang ditulis oleh para penulis wahyu tanpa titik dan tanpa baris. Kepada bangsa Arab tentulah ia tidak menjadi masalah kerana al-Quran ditulis dalam bahasa mereka walaupun loghatnya berbeza.

Namun, ia mendatangkan masalah kepada umat Islam yang bukan berbangsa Arab. Islam diturunkan kepada semua manusia, tidak hanya terhad kepada bangsa Arab sahaja.

Dalam pada itu, timbul perbezaan lahjah dan menimbulkan pelbagai qiraat di kalangan bangsa Arab sendiri berdasarkan loghat masing-masing. Pada tahun 200 Hijrah muncul ahli qiraat yang tidak terhingga banyaknya. Antaranya qiraat Ibnu Mas'ud.

Sebagaimana yang telah dicatatkan di atas, al-Quran pada mulanya ditulis tanpa titik dan baris. Pun begitu ia tidak mempengaruhi bacaan kerana para sahabat dan tabi'en adalah orang yang fasih dalam bahasa Arab.

Sebab itu mereka dapat membaca dengan baik dan tepat. Tetapi setelah agama Islam tersebar luas dan dianuti oleh kalangan yang bukan berbangsa Arab, sulit bagi mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab untuk membaca dengan baik dan tepat.

Jika keadaan itu kekal, tentu ia menimbulkan kesalahan bacaan 'ain di kalangan mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab. Justeru Abul Aswad mengambil inisiatif memberi tanda-tanda dalam al-Quran dengan tinta yang berlainan warnanya dengan tulisan al-Quran.

Tanda-tanda itu adalah titik di atas bagi fathah, titik di bawah untuk kasrah, titik di sebelah kiri untuk dhammah dan dua titik untuk tanwin. Usaha murni itu dilakukan pada era kekhalifahan Muawiyah.

Pada era khalifah Abdul Malik bin Marwan (685-705 Masehi), Nasyir bin Asyim dan Yahya bin Ya'mar menambahkan lagi tanda-tanda untuk huruf-huruf yang bertitik dengan tinta yang sama dengan tulisan al-Quran.

Ia untuk membezakan antara maksud dari titik Abul Aswad Ad-Duali dengan titik yang baru. Titik Abul Aswad adalah untuk tanda baca dan titik Nasyir bin Asyim adalah titik huruf.

Cara penulisan jenis ini tetap berlaku pada era pemerintahan Bani Umaiyyah dan pada permulaan era pemerintahan Bani Abbasiyah. Malah telah dipakai pula di Sepanyol sampai pertengahan abad ke-4 Hijrah.

Kemudian ternyata bahawa cara pemberian tanda seperti itu menimbulkan kesulitan kepada para pembaca al-Quran kerana terlalu banyak titik yang mana titik-titik itu lama kelamaan hampir menjadi serupa warnanya.

Maka Al-Khalil mengambil inisiatif membuat tanda-tanda yang baru iaitu huruf wau kecil dibuat untuk tanda dhammah, huruf alif kecil untuk tanda fathah, huruf ya kecil untuk tanda kasrah, kepala huruf sin untuk tanda syaddah, kepala huruf ho untuk sukun dan kepala huruf 'ain untuk hamzah.

Berteraskan itulah maka tanda-tanda bacaan al-Quran dipermudah, dipotong dan ditambah sehingga menjadi bentuk seperti sekarang dan dapat dibaca dengan baik dan tepat oleh setiap umat Islam yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab.