KITA sedang diuji dengan cabaran dan dugaan menangani kerenah pelbagai fahaman untuk memahami agama Islam yang syumul. Realitinya, kita sudah berada di kemuncak perselisihan di mana terdapat bermacam golongan dan fahaman dalam dunia Islam.
Ini jelas sekali dengan saranan Allah melalui wahyu-Nya yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah-belah.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)
Sahabat Nabi SAW bernama Ibnu Masu’d berpendapat perkataan ‘tali Allah’ ialah majoriti kaum Muslimin.
Daripada Ibnu Umar, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Majoriti umat Islam tidak akan bersepakat untuk menjadi sesat buat selama-lamanya, maka hendaklah kamu bersama mereka kerana pertolongan Allah akan sentiasa bersama mereka yang berada bersama kumpulan Islam.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Tabrani)
Baginda Nabi SAW menegaskan dalam hadis lain yang bermaksud: “Sesiapa yang mati ketika meninggalkan ketaatan kepada pimpinan serta berpecah dari kumpulan majoriti umat Islam atau terbunuh disebabkan perpecahan itu, maka matinya adalah mati jahiliah dan mereka bukan daripada golonganku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)
Imam Besar Masjidil Haram, Syeikh Abd Rahman As-Sudais dalam khutbahnya berkata, kita sering melihat pertembungan beberapa fahaman yang membawa kecelaruan kepada masyarakat awam sehingga menimbulkan kebencian dan permusuhan antara satu sama lain.
Katanya, kesan buruk itu akhirnya mempengaruhi kestabilan dan keamanan negara serta umat Islam sendiri kerana sifat manusia cenderung untuk mengetahui sesuatu pendapat itu dengan dua kemungkinan sama ada betul atau salah.
“Imam Syafie ketika berada di makam Baginda SAW pernah menyebut, sesungguhnya pendapat seseorang berkemungkinan diterima atau ditolak kecuali pendapat orang yang berada di makam ini (SAW),” katanya.
Sementara itu, Imam Tahawi berkata: “Aku melihat bahawa perbezaan pendapat dalam jemaah adalah satu kebaikan dan perpecahan mereka adalah satu musibah.”
Syeikh Abd Rahman berkata, setiap kumpulan mempunyai matlamat dan visi masing-masing iaitu membawa perubahan positif demi kemaslahatan masyarakat umum selain mempunyai pemimpin yang mereka percayai dan berfikiran positif melayani pendapat berlainan.
Katanya, mereka yang mampu meraih kejayaan ialah orang yang mendapat petunjuk daripada Baginda SAW tanpa perasaan takbur dan sombong serta sentiasa peka kepada sebarang unsur dicetuskan musuh bertujuan memecah belahkan kesatuan umat Islam.
“Akhirnya kita akan mendapat faedah hasil daripada wujudnya kesatuan umat seperti mendapat perhatian dari Allah kerana berada dalam jemaah, mendapat keselesaan dan ketenangan ketika menunaikan ibadat serta meneruskan bantuan kepada mereka dalam kesusahan,” katanya.
Katanya, kumpulan yang mendapat petunjuk akan meraih keredaan Allah serta rahmat dan penghormatan yang tinggi masyarakat selain dapat mengekalkan kekuatan hasil kesatuan hati yang wujud dalam jemaah,” katanya.
Beliau berkata, kesatuan umat bukan saja dipandang dari jumlah ahlinya tetapi merangkumi kesatuan aqidah, manhaj, pemikiran, pengurusan tugas, tatasusila, akhlak, tanggungjawab, amanah, kasih sayang dan ikatan persaudaraan.
Katanya, terkadang slogan penyatuan akan mengejutkan mereka yang sedang lena dibuai mimpi indah namun, ia perlu direalisasikan bagi mengimbangi kehendak al-Quran dan sunnah Rasul SAW.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang berpecah-belah setelah datang keterangan yang jelas dari Allah. Ketahuilah bahawa mereka terancam dengan azab yang berat.” (Surah Ali-Imran, ayat 105)
Sabda Nabi SAW bermaksud yang bermaksud: “Tiga perkara yang akan memberi kebaikan kepada seseorang Muslim iaitu ikhlas beramal kerana Allah, memberi teguran yang baik kepada pemimpin, memberi komitmen tinggi kepada majoriti umat Islam.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Hakim)
Syaikhul Islam Ibnu Taymiyyah berpendapat berpegang dengan golongan jemaah umat Islam adalah salah satu dari asas agama. Imam Al A’llamah Ibnul Qayyim berkata: “Berpegang dengan kumpulan umat Islam akan membersihkan jiwa dari sebarang unsur penipuan dan penyakit berkaitan hati kerana mereka saling mengasihi dan hormat menghormati antara satu sama lain.”
No comments:
Post a Comment