Tuesday, May 31, 2011

~ bersatu keranaNya ~


ISLAM adalah agama persaudaraan yang menggesa setiap Muslim mengambil berat terhadap sesama Muslim. Ia bertujuan supaya mereka tidak bersendirian dalam menghadapi kehidupan di dunia ini tidak kira sama ada pada waktu susah mahupun senang.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
Begitu juga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu dapati orang mukmin itu dalam berkasih sayang, tolong menolong dan silaturahim, bandingannya seperti satu tubuh, apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain akan juga berjaga malam dan demam.”
Seterusnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya (seagama) seperti dia mengasihi dirinya.”

Ayat dan hadis ini jelas menggambarkan keunggulan masyarakat Islam iaitu mereka semuanya bersaudara (seagama), saling berkasih sayang, membantu, bersilaturahim dan bekerjasama antara satu sama lain.


Rasulullah SAW apabila berhijrah ke Madinah antara perkara awal yang dilakukannya ialah membina masjid sebagai pusat aktiviti umat Islam dan mempersaudarakan antara Muhajirin (penduduk Makkah yang berhijrah ke Madinah) dan Ansar (penduduk Islam pribumi Madinah).


Langkah yang diambil Rasulullah SAW ini dapat menyatupadukan penduduk Islam di Madinah. Mereka merasai sebagai umat Islam dan tiada lagi assabiyah iaitu semangat kekabilahan atau kesukuan di kalangan mereka.

Oleh itu, persaudaraan Islam bererti ikatan persaudaraan dibina atas asas akidah yang sama. Sebagai umat Islam kita berpegang kepada satu akidah tanpa mengira bangsa, fahaman politik, keanggotaan dalam organisasi, mazhab dan aliran pemikiran.

Akidah umat Islam adalah jelas, pasti dan tanpa keraguan terhadap sifat kesempurnaan bagi Allah SWT seperti dalam surah al-Ikhlas, ayat 1 hingga 4 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk (untuk memohon sebarang hajat). Dia tidak beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang setanding dengan-Nya.”


Perpaduan bererti penyatuan tenaga, idea dan cita-cita dalam satu ikatan yang bersepadu. Islam amat menggalakkan umatnya supaya bersatu padu dan melarang pada perpecahan.


Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 103 yang bermaksud: “Berpeganglah kamu dengan tali (agama) Allah dan jangan kamu berpecah belah.”

Dalam falsafah bangsa kita sendiri, sudah lama tertanam semangat perpaduan. Kita mewarisi daripada generasi terdahulu pepatah seperti ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.’

Oleh itu, dapat kita fahami bahawa masyarakat atau negara yang anggotanya bersatu padu akan menjadi kuat dan dihormati kawan serta lawan.

Sebaliknya, masyarakat yang anggotanya berpecah-belah, bersengketa dan hidup berpuak membawa ke arah kemusnahan dan kehancuran.

Oleh itu, dapat ditegaskan dengan perpaduan, ‘gunung yang tinggi dapat diroboh dan lautan yang dalam dapat ditimbus.’ Kerja berat menjadi ringan dan yang sukar menjadi senang. Dengan lain perkataan ‘perpaduan adalah kunci segala kejayaan.’


Apabila kita melihat perkembangan mutakhir ini, persaudaraan dan perpaduan umat Islam di Malaysia menjadi polemik yang berterusan. Namun, kita tidak ingin menutup rapat pintu perbincangan.


Apa salahnya kita berbincang dan berpolemik dengan baik kerana agenda persaudaraan dan perpaduan sangat penting dalam Islam.


Malaysia terkenal sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan demokrasi dan memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk menjalankan pelbagai aktiviti serta membenarkan mereka menubuhkan organisasi sama ada dalam bidang politik, sosial, ekonomi, dakwah dan kebajikan.


Setiap pertubuhan berusaha untuk mendapat pengaruh di kalangan masyarakat walaupun dengan menggunakan cara tidak sihat seperti melemparkan fitnah, tuduhan, tohmahan atau kata-kata kesat. Ini semua gejala berbahaya yang boleh membawa perpecahan dan permusuhan dalam masyarakat sekiranya ia tidak dibendung dengan segera.


Walaupun persaudaraan dan perpaduan masyarakat Islam tidak dapat diwujudkan sepenuhnya kini disebabkan beberapa halangan yang tidak dapat dielak, kita amat menggalakkan sifat keterbukaan dan toleransi (as-samahah) diamalkan oleh semua umat Islam. Islam melarang kita membenci sesama kita.


Umat Islam sepatutnya sentiasa berlapang dada dan mengelak daripada menyebarkan benih perpecahan dalam masyarakat. Kita sepatutnya berusaha sedaya upaya dalam mencari titik persamaan dan mengelakkan diri daripada menumpukan titik perbezaan dan perselisihan.


Perbezaan pendapat jangan hingga bertukar menjadi perbezaan isi hati dan melemahkan persaudaraan Islam. Umat Islam sepatutnya insaf dan mengambil iktibar daripada perbalahan dan permusuhan yang berlaku antara kumpulan Islam di negara tertentu, hingga menyebabkan persengketaan berpanjangan dan peperangan berlanjutan yang akibatnya membawa kepada pertumpahan darah sesama Islam.


Kita tidak mahu melihat musibah dan malapetaka itu berlaku di negara ini. Ia harus dijaga dan dikawal sebaiknya kerana kita bimbang melihat benih permusuhan mula ditanam di negara kita kerana perbezaan fahaman politik sesama Islam.


Dalam masyarakat majmuk, persaudaraan perlu dilaksanakan. Apa yang dimaksudkan dengan persaudaraan di sini ialah perpaduan dan keharmonian yang merentasi batas sempadan agama.


Dalam negara seperti Malaysia penduduknya menganut pelbagai agama dan mengamalkan pelbagai budaya. Semuanya ini tidak boleh dijadikan alasan untuk berbalah dan bermusuhan . :)


No comments:

Post a Comment