Tuesday, May 31, 2011

~ rukhsah dalam Islam ~


DI sana terdapat beberapa sebab untuk membolehkan seseorang itu mendapat rukhsah (keringanan).

* Sebab yang pertama ialah musafir. Rukhsah yang diberikan kepada orang yang musafir ialah seperti solat jamak dan qasar.

* Sebab kedua ialah sakit. Sebagai contoh, orang yang sakit diharuskan untuk bertayammum apabila badannya tidak boleh terkena air.

* Sebab ketiga ialah paksaan sama ada terpaksa atau dipaksa. Sesiapa yang berada dalam keadaan terpaksa seperti terlalu lapar kerana tidak berjaya mendapatkan makanan walaupun telah berusaha, diharuskan untuk memakan makanan yang haram. Begitu juga orang yang dipaksa mengucapkan kalimah kufur dalam keadaan terancam nyawanya, boleh berbuat demikian, tetapi hatinya masih lagi beriman kepada Allah SWT.

* Sebab keempat pula ialah lupa. Sebagai contoh, seseorang yang makan kerana terlupa dia berpuasa, tidak membatalkan puasanya. Ini berdasarkan Hadis Nabi SAW: Apabila salah seorang kamu lupa bahawa dia berpuasa, lalu dia makan dan minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya kerana sesungguhnya dia telah diberi makan dan minum oleh Allah SWT. (riwayat Al-Bukhari & Muslim)

* Sebab kelima ialah kejahilan. Sesiapa yang benar-benar jahil atau tidak mengetahui bahawa sesuatu perbuatan itu haram. Lalu dia melakukannya dalam keadaan jahil. Maka, dia akan terlepas daripada mendapat dosa.

Ia dapat dilihat melalui firman Allah SWT tentang mereka yang terlibat dengan riba tanpa mengetahui tentangnya. Firman Allah SWT: Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah… (al-Baqarah: 275)

Ini menunjukkan bahawa Allah SWT memberikan kelonggaran kepada orang yang terlibat dengan riba untuk memanfaatkan keuntungan melalui penglibatannya itu sebelum dia menyedari tentang keharamannya.

* Sebab keenam ialah situasi yang tidak dapat dielakkan seperti umum balwa. Sebagai contoh, orang yang terkena lumpur dalam perjalanan adalah dimaafkan. Ini adalah kerana kesukaran untuk mengelak situasi berkenaan.

* Sebab ketujuh ialah kekurangan. Sebagai contoh, kanak-kanak tidak diwajibkan dengan apa-apa taklifan. Golongan wanita pula tidak diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat atas dasar mempunyai kekurangan sifat-sifat tertentu. Sabda Nabi SAW: "Diangkat pena itu (tidak dikira bersalah) kerana tiga perkara: Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa, orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia kembali normal." (riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Demikianlah beberapa contoh rukhsah yang diberikan dalam Islam apabila berhadapan dengan kesusahan. Namun, perlu kita sedari bahawa rukhsah ini tidak berkekalan. Ia hanya boleh digunakan apabila berhadapan dengan kesusahan sahaja. Apabila kesusahan tersebut telah hilang, maka kita perlu kembali semula kepada hukum asal. :)

No comments:

Post a Comment