KAEDAH Fiqh yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW.
Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda 'bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."
Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Niat menjadi asas utama penerimaan sesuatu amalan itu sama ada diterima atau ditolak oleh Allah. Sekiranya sesuatu amalan itu dilakukan secara betul dari segi kaifiat namun salah dari segi niatnya, maka ia tidak diterima oleh Allah.
Sekiranya sesuatu amalan itu betul dari segi niatnya, tetapi salah dari segi kaifiatnya, ia juga menjadi sia-sia di sisi Allah.
Justeru, kita perlu memastikan amalan yang kita lakukan menjadi amalan yang terbaik dan diterima oleh Allah (ahsanu 'amala) dengan cara menjaga dua aspek iaitu memastikan niat ikhlas kerana Allah (akhlasuhu) dan memastikan amalan yang dilakukan benar mengikut Nabi (aswabuhu).
Ibnu Taimiyyah berkata: "Sesungguhnya niat dan keyakinan sentiasa diperhitungkan dalam setiap perbuatan dan tradisi. Sebagaimana kedua-duanya sentiasa diperhitungkan dalam setiap amal ibadah.
"Niatlah yang menjadikan suatu perkara halal atau haram, sah atau rosak/ batal, atau sah dari satu sisi dan batal dari sisi lain. Sebagaimana niat dalam amalan ibadah menjadikannya wajib, atau sunah atau haram atau sah atau rosak/batal." (rujuk Al-Fatawa Al-Kubra 6/54)
Niat juga membezakan antara halal dan haram serta dosa dan pahala.
Seseorang yang mengambil harta yang dijumpai (luqatah) mendapat dosa sekiranya dia mempunyai niat untuk memilikinya. Sebaliknya, jika dia mengambil barang tersebut dengan niat untuk mencari dan menyerahkan kembali kepada pemiliknya, maka dia mendapat pahala. Niat juga akan menentukan jenis-jenis amalan yang dilakukan dan hukum yang tertakluk padanya.
Sebagai contoh, perbezaan utama antara solat Dhuha dan solat Subuh ialah niat kerana kedua-duanya dilihat sama dari sudut bilangan rakaatnya dan segala rukun fi'li dan qauli yang lain.
Bahkan, sesiapa yang mempunyai niat untuk melakukan kebaikan dan kebajikan tetapi gagal melakukannya kerana terdapat kesulitan (masyaqqah), dia akan tetap diberikan pahala oleh Allah.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abu Zar al-Ghifari: "Sesiapa yang masuk tidur sedangkan dia berniat untuk bangun solat sunat pada tengah malam, namun disebabkan terlalu mengantuk atau tidak terjaga, dan dia terjaga apabila sudah masuk waktu subuh, maka dia akan mendapat pahala dan ditulis apa yang diniatkan itu." (riwayat al-Nasaie)
No comments:
Post a Comment