Friday, May 20, 2011

~ sepakat mendaulat umat ~


ISLAM menyeru manusia pemimpin dan pendukung komuniti supaya mengambil kira kepentingan dan kemaslahatan masyarakat apabila mengambil sebarang tindakan berkaitan permasalahan yang timbul dalam masyarakat.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu Muhammad) engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kamu. Oleh itu, maafkan mereka (terhadap kesalahan mereka terhadap kamu) dan pohonlah keampunan bagi mereka. Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau berazam (sesudah bermesyuarat untuk melakukan sesuatu) maka bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat mengasihi orang yang bertawakal pada-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Allah memberi petunjuk kepada seluruh hamba-Nya supaya menggunakan kewarasan akal dan mengambil kira kepentingan orang ramai apabila mengambil apa juga tindakan. Salah satu caranya ialah melalui musyawarah.

Syura adalah kaedah terbaik yang disarankan al-Quran untuk mengekalkan keharmonian tanpa mengira status. Sesi mesyuarat yang diadakan memberi peluang pihak berkaitan menyuarakan serta mendengar pandangan.

Sidang mesyuarat juga menjadi landasan untuk bertukar pandangan kerana pastinya dalam membicarakan permasalahan terutama yang menyentuh kepentingan sesetengah pihak, akan berlaku perselisihan.

Oleh itu, apabila diadakan perbincangan setiap cadangan, bantahan serta pandangan akan diambil kira sebelum satu keputusan dicapai. Kesan baiknya ialah, keputusan syura biasanya diambil daripada suara majoriti.
Tanpa mesyuarat, sudah tentu akan timbul rasa curiga, tidak puas hati yang ada kalanya menyebabkan berlaku pergaduhan yang bakal merosakkan hubungan baik yang sedia terjalin.

Surah al-Syura menjelaskan lagi kepentingan syura yang menekankan pentingnya persefahaman dan permuafakatan kerana tanpa perpaduan masyarakat tidak dapat bersatu dan akibatnya berlaku kucar- kacir.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan juga (lebih baik) bagi orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna, dan urusan mereka dijalankan secara mesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang kami berikan kepadanya.” (Surah al-Syura, ayat 38)

Biarpun ayat itu ditujukan khusus kepada umat Islam Makkah pada zaman Rasulullah SAW supaya mereka sentiasa berhati-hati mengambil tindakan dalam pentadbiran kerajaan, ia bertepatan dengan mukjizat al-Quran dan bermakna masih relevan hingga hari ini.

Justeru, seluruh umat Islam di dunia perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada kepentingan syura kerana kebaikan dan hikmah di sebalik perintah melakukannya adalah meliputi kepentingan hidup manusia sejagat.

Syura juga dapat meleraikan kekusutan yang mungkin timbul daripada percanggahan fahaman dan pendapat dalam kalangan masyarakat.

Beberapa contoh syura Rasulullah SAW dengan sahabat, Baginda bermesyuarat ketika merancang strategi untuk keluar menemui musuh di Badar iaitu Abu Sufian dan rombongannya yang sedang dalam perjalanan pulang dari Syam.

Begitu juga mesyuarat antara Baginda dengan sahabatnya selepas menerima berita pertembungan orang Islam Makkah dengan Abu Sufian hingga tercetusnya peperangan.

Jelas dalam banyak keadaan, Rasulullah SAW sentiasa mendahulukan konsep bermusyawarah bagi mendapatkan pandangan sahabat, cuba mencari kata putus dan memilih tindakan terakhir yang dipersetujui semua.

Oleh itu, tepat dan wajar jika kita sentiasa mengamalkan sunnah Rasulullah dalam menyelesaikan apa juga kemelut, percanggahan atau persoalan yang timbul supaya tindakan diambil bertepatan dengan asas yang diputuskan dalam mesyuarat.

Sesuai dengan keadaan di Malaysia yang mutakhir ini sering dihadapkan pelbagai konflik dan salah faham, semua pihak terutama pemimpin di segenap lapisan dan pelbagai fahaman agama perlu meletakkan rundingan dan mesyuarat sebagai paksi mencari kesepakatan.

Dengan cara itu, semangat toleransi dapat dipelihara, hubungan baik sentiasa terjamin dan keputusan menang-menang memudahkan semua pihak menerima keputusan dengan hati terbuka.

Sikap suka mengambil keputusan tanpa berbincang atau saling berprasangka tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, malah jika tidak dibendung boleh menjurus kepada perbalahan berpanjangan yang hanya merugikan dan meletihkan .

No comments:

Post a Comment