Terlalu banyak hikmah dalam kembara ini Jika segalanya dilihat dengan mata hati Jiwa akan kukuh disepuh iman Akal akan bersih disuluh iktibar Fizikal akan kuat menempuh kesusahan..
Sunday, April 3, 2011
~ hasad dengki merugikan diri ~
FITNAH dan khabar angin sering digunakan untuk menyebarkan maklumat tidak benar. Ada segelintirnya menggunakan kemudahan canggih untuk melaga-lagakan sesama manusia sehingga sahabat menjadi musuh, suami isteri bercerai gara-gara e-mel, SMS, surat layang, internet, dan rakaman video.
Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah azab yang amat pedih.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah an-Nur, ayat 19).
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu bersaudara. (Riwayat Bukhari & Muslim).
Rasulullah mengingatkan kita agar sentiasa menjauhi diri daripada perbuatan keji yang dinyatakan dalam hadis itu. Sesungguhnya impak perbuatan keji itulah membawa kepada berlakunya budaya penyebaran surat layang dan fitnah dalam masyarakat.
Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki atas sebab tertentu. Perbuatan sebegini melambangkan betapa rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak rasional akal yang dianugerahkan Allah kerana dikuasai nafsu marah dan dengki.
Kalau pun sesuatu tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang mengambil kesempatan berbuat demikian perlu mempunyai bukti kukuh dan munasabah bagi membuktikan kebenaran, bukannya mencantumkan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut untuk dijadikan modal menyebarkan tuduhan palsu kepada seseorang.
Islam juga melarang umatnya daripada suka mengorek rahsia orang lain. Peribahasa Melayu ada menyebut, jangan menjaga tepi kain orang. Tetapi dalam beberapa hal yang membabitkan berlakunya kebatilan dan perkara sumbang dalam masyarakat yang mengundang kemudaratan kepada ajaran agama, maka dibolehkan berbuat demikian dengan tujuan menegahnya agar tidak terus menular dalam hidup bermasyarakat.
Telinga adalah antara pancaindera anugerah Allah yang tiada bandingannya, justeru orang Islam hendaklah menjaga telinga mereka daripada mendengar khabar angin yang belum tentu kebenarannya, tetapi jika terpaksa mendengarnya atas faktor keadaan, maka dituntut agar tidak menyebarkan kepada apa yang didengar kepada orang lain. Ini bagi mengelakkan kita turut sama terbabit sebagai penabur fitnah yang bakal memporak-perandakan kehidupan bermasyarakat.
Satu sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia yang suka menyebarkan khabar angin dan fitnah ini ialah sifat hasad dengki dan iri hati. Hasad dengki dalam definisi yang lengkap membawa maksud mencari jalan atau ikhtiar untuk menghilangkan nikmat yang ada pada orang lain. Impaknya amat besar, bukan saja kepada orang yang didengki tetapi juga akan terpalit kepada seluruh anggota masyarakat umum.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berhati-hatilah kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam.” (Riwayat Muslim). Satu insiden yang akan timbul pada peringkat awal penyebaran khabar angin dan fitnah ialah perang dingin antara kedua-dua pihak yang terbabit, kemudian apabila telah parah maka akan lahir pula sikap benci membenci, tuduh menuduh, caci mencaci dan akhirnya akhirnya perbalahan besar yang ada kalanya boleh mencetuskan pembunuhan.
Sekiranya tidak ada individu yang sanggup menjadi perantara untuk melerai permusuhan yang lahir daripada sifat suka berburuk sangka, penyebaran khabar angin dan fitnah serta hasad dengki, maka sudah tentu membawa kepada berlakunya lebih besar insiden yang boleh meruntuhkan maruah dan peradaban manusia khususnya umat Islam.
Dalam hal ini kesabaran asas utama diperlukan bagi mengelakkan hal yang lebih besar melanda manusia. Kesimpulannya, untuk mengelakkan diri daripada terbabit dan tergelincir ke arah perlakuan keji seperti suka menabur fitnah, bersifat hasad dan mudah terpengaruh dengan khabar angin maka eloklah kita beramal dengan beberapa ciri sifat mahmudah seperti disarankan Imam al-Ghazali iaitu:
# Al-qanaah (cukup dengan apa yang diberikan)
# Al-zuhd (tidak mementingkan duniawi)
# Kitmanus-sir (merahsiakan rahsia)
# Al-hilm (lambat marah )
# As-syajaah (berani )
# Al-iffah (pemaaf)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment