KESEDERHANAAN atau wasatiyah adalah salah satu daripada ciri khusus dan keistimewaan agama Islam. Ia merujuk kepada satu keadaan yang tidak lebih dan tidak kurang, keadaan biasa dan sedang.
Justeru, yang dimaksudkan sederhana dalam tindak tanduk ialah apabila kita melakukan sesuatu dengan tidak melampaui batas dan tidak meninggalkannya terus. Islam menekankan persoalan kesederhanaan kerana ia satu bukti atau tanda kekuatan dan kecemerlangan umat Islam.
Umat Islam yang sederhana dalam tindak tanduk dan perbuatan serta gaya hidup bukan bermaksud hanya cukup dengan apa yang ada, tetapi jika diukur dari aspek kejayaan, mereka yang sederhana ialah golongan yang cemerlang.
Kesederhanaan mampu menarik minat manusia kepada agama, sekali gus menjadikan Islam satu-satunya agama yang mengatur disiplin umatnya dengan hukum dan peraturan, tetapi tidak menghalang setiap individu menjalani kehidupan.
Umat Islam yang positif kepada kesederhanaan juga adalah umat yang cintakan keamanan. Dengan erti kata lain, umat yang sederhana ialah umat bencikan kekacauan dan kerosakan. Melalui kesederhanaan juga, fitrah manusia dapat dipenuhi dan dibentuk dengan baik.
Ini berdasarkan teladan sahabat Rasulullah SAW yang berjumpa isteri Baginda bertanyakan amalannya. Salah seorang daripada mereka memberitahu, beliau asyik berpuasa dan tidak berbuka. Seorang lagi menyatakan beliau asyik mengerjakan solat sunat pada waktu malam tanpa tidur.
Bagaimanapun, apabila sampai cerita mereka itu kepada Rasulullah SAW, Baginda menegaskan bahawa Bagindalah orang yang paling bertakwa dalam kalangan mereka namun Baginda berkahwin dan mengerjakan solat sunat waktu malam.
Baginda tetap merehatkan badan dengan tidur, berpuasa pada waktu siang tetapi berbuka apabila sampai waktunya. Tegas Baginda Rasulullah SAW, kesederhanaan penting bagi mengimbangi tuntutan fardu ain dan fardu kifayah demi kebaikan di dunia dan akhirat.
Sebagai suami pula, seorang Muslim yang soleh bijak menggunakan akalnya dalam menunaikan kewajipan kepada ibu dan isterinya. Kesederhanaan dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada keduanya boleh mengimbangi komitmen dan toleransi, supaya tidak derhaka kepada ibu dan isteri tidak dizalimi.
Dalam pembayaran nafkah contohnya, walaupun tidak dituntut isteri, suami tetap wajib memberinya kerana itu adalah tanggungjawab suami. Sehingga jika suami tidak berkemampuan, tanggungjawab itu harus dilunas oleh bapa atau datuk suami.
Pada masa sama, tanggungjawab kepada ibu bapa tidak boleh diabaikan. Nafkah asas menjadi wajib jika ibu bapa tidak berkemampuan, tetapi jika sebaliknya, perhatian dan penjagaan menjadi kewajipan yang tidak boleh dikompromi.
Jelas sekali Islam menuntut umatnya bersederhana dalam pelbagai aspek.
Umpamanya dari sudut ibadah, kesederhanaan itu terserlah apabila umat Islam mengerjakan ibadah tetapi tidak lupa tanggungjawab kepada masyarakat.
Justeru, bolehlah dikatakan kesederhanaan Islam dalam urusan ibadah terletak antara amalan penganut yang hanya mementingkan kerohanian semata-mata dan penganut yang menolak aspek kerohanian secara total.
Dalam aspek kesihatan dan keterampilan pula, Islam menggalakkan umatnya bersederhana dari segi pemakanan, cara berpakaian, corak perbelanjaan dan sebagainya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid. Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.” (Surah al-‘Araf, ayat 31)
Dalam urusan dakwah, umat Islam dikehendaki bersederhana. Ini bukan bermakna pendakwah menggadaikan prinsip Islam tetapi merujuk kepada pendekatan serta cara pendakwah mendekati golongan sasaran supaya mereka faham dan mengikuti ajaran Islam.
Pendekatan itu terangkum dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara hikmah, membawa pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka menggunakan pendekatan yang baik. Orang yang sederhana ialah orang berada antara dua pihak, iaitu pihak yang melampau dengan pihak mempermudah-mudahkan sesuatu urusan.” (Surah an-Nahl, ayat 125)
Itulah uniknya amalan bersederhana yang dibawa Baginda, ia boleh menyatukan semua bangsa, malah menjadikan individu Muslim cemerlang di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment