Friday, May 20, 2011

~ kembara umrah ~


IBADAH umrah yang menghimpun pelbagai rahsia dan hikmat adalah ibadah yang dituntut ke atas umat Islam. Seperti ibadah haji, umrah melatih umat Islam bersatu dalam meningkatkan syiar Islam dan berganding bahu menegakkan agama Allah biarpun dibatasi perbezaan bangsa, bahasa, adat resam dan kebudayaan.

Umrah bermaksud ziarah atau menuju ke tempat yang makmur, pada bila-bila masa. Pengertian umrah mengikut syarak ialah mengunjungi Kaabah untuk melakukan ibadah iaitu tawaf dan sai’e menurut syarat wajibnya.
Sesetengah ulama berpendapat ibadah umrah adalah sunat, namun ulama Mazhab Syafi’e dan Hanbali menyatakan ia wajib berdasarkan dalil al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 196)

Bersandarkan ayat itu, hukum melaksanakan umrah adalah wajib sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan kerana ibadah haji dan umrah wajib disempurnakan bersama.

Menyedari kepentingan tuntutan menunaikan umrah dan kesedaran umat Islam terhadap ibadah ini yang semakin meningkat, pelbagai pakej umrah ditawarkan agensi pengelola umrah. Bukan itu saja, kecenderungan terhadap perniagaan pengendalian umrah juga semakin meningkat lantaran potensinya menghasilkan pulangan lumayan.


Apatah lagi pakej umrah amat mudah dijual dengan pelbagai medium pengiklanan kepada golongan sasaran dan harga mampu beli yang ditawarkan. Perkembangan terhadap industri pengelolaan umrah juga didorong oleh peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat Islam negara ini.


Berdasarkan statistik dikeluarkan Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia, jumlah jemaah umrah negara ini sentiasa meningkat dengan purata peningkatan sebanyak 10,000 orang jemaah setahun sejak 2006 hingga 2010.

Senario peningkatan itu dari satu sudut dilihat sebagai perkembangan positif terhadap industri pengelolaan umrah di negara ini. Bagaimanapun, peningkatan itu telah mewujudkan masalah lain pula iaitu meningkatnya kes penyelewengan oleh agensi pengelola yang tidak bertanggungjawab.

Lebih menyedihkan, jika diteliti satu persatu kes diadukan, ada mangsa penyelewengan terdiri daripada golongan warga emas di kawasan luar bandar. Mungkin ada antara mereka belum pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci, namun hasrat berbuat demikian terhalang disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu.


Kajian Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) terhadap kes penyelewengan pengelolaan umrah yang dilaporkan mendapati banyak berlaku ketidakpuasan hati jemaah umrah seperti kegagalan syarikat pengelola mengurus perjalanan umrah jemaah.


Kegagalan menyediakan kemudahan seperti dijanjikan, perubahan jadual perjalanan pada saat akhir, masalah pengurusan pengangkutan jemaah, jarak hotel dengan Masjidil Haram tidak seperti diiklankan dan perkhidmatan mutawwif yang tidak cekap di Tanah Suci.


Selain itu, kes penyelewengan lazimnya dilakukan syarikat yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan peraturan Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji Arab Saudi.


Punca berlakunya penyelewengan oleh syarikat pengelola umrah antaranya jemaah tidak prihatin terhadap peraturan semasa kerajaan khususnya masyarakat luar bandar. Natijahnya, mereka mudah terpengaruh dengan tawaran harga pakej umrah murah yang ada kalanya memang tidak munasabah berbanding harga kebanyakan syarikat lain.


Bagaimanapun, adalah tidak adil jika aspek itu dijadikan asas terhadap permasalahan ini semata-mata kerana jelas berlaku juga perkhidmatan yang disediakan di Tanah Suci tidak seperti dijanjikan sehingga mengabaikan kebajikan jemaah.


Langkah bagi menyampaikan maklumat mengenai peraturan dalam pengelolaan aktiviti umrah kepada bakal jemaah umrah hendaklah dipergiatkan bagi mengelakkan jemaah umrah terus menjadi mangsa penyelewengan syarikat atau individu tidak bertanggungjawab.


Ia juga penting bagi meningkatkan kualiti penyampaian dan tadbir urus perkhidmatan umrah demi kebaikan masyarakat Islam keseluruhannya.


Justeru, penurunan kuasa penguatkuasaan urusan umrah kepada JAWHAR oleh Menteri Pelancongan Malaysia pada 2010 adalah salah satu inisiatif kerajaan membendung gejala penyelewengan umrah di negara ini.


Penurunan kuasa mengikut Seksyen 40, Akta Industri Pelancongan 1992 memperuntukkan pegawai JAWHAR yang dilantik sebagai pegawai diberi kuasa boleh menyiasat dan memeriksa saksi berdasarkan peruntukan Seksyen 41 dan Seksyen 42, Akta Industri Pelancongan 1992.


Melalui penurunan kuasa sebegini, langkah kerajaan membasmi penyelewengan pengurusan hal ehwal umrah akan diperhebatkan lagi bagi mencapai objektif itu.

No comments:

Post a Comment