Thursday, May 26, 2011

~ Imam Muda siri 2 ~




SUNGGUHPUN kecil di peta dunia dalam aspek kedudukan geografi dan namanya pula tidak seharum negara-negara lain di persada antarabangsa dalam pembangunan produk televisyen namun Malaysia berjaya mengenengahkan satu program tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Malah, ia juga menambat dan mencuri perhatian masyarakat antarabangsa untuk turut berkongsi dan menghayati program bersifat hiburan keislaman bersadurkan nilai-nilai keilmuan semasa itu.

Sesungguhnya, Imam Muda (IM) adalah sebuah program yang bersifat satu perjalanan dalam siri pencarian ini telah berjaya memikat hati semua peringkat umur masyarakat.

Ia tidak hanya diikuti oleh masyarakat awam malahan berjaya menambat hati para pembesar negara seperti menteri-menteri kabinet sehinggalah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Memang benar jika dikatakan bahawa kebanyakan stesen televisyen di Malaysia banyak menerbitkan program-program berunsurkan keislaman.

Sehinggakan sesetengah stesen itu berjaya mengekalkan sesebuah program tersebut selama beberapa musim disebabkan sambutan hebat dan maklum balas positif para penonton.

Barangkali ramai yang silap jika beranggapan ukuran kejayaan dan kehebatan sesebuah program itu dengan format serta jenamanya mesti dibawa dari luar negara.

IM telah sekali gus membuktikan bahawa negara kita Malaysia bukan sahaja pelopor kepada gerakan kebangkitan Islam alaf baru termasuk menjadi hab dalam segala aspek.

Kejayaan IM bukan sahaja diraikan oleh pihak Astro dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai agensi yang berkerjasama malah ia turut dibanggakan oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

Sesungguhnya, peranan JAWI dalam penerbitan IM amat penting kerana jabatan itu bukan sahaja sebagai agensi wali kepada urusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan tetapi sebagai perunding kepada kandungan-kandungan berkaitan dengan hal ehwal Islam yang dimuatkan di dalam program berkenaan.

Kerjasama mantap telah menjadi paksi tegap dan jambatan kukuh antara sektor kerajaan dan swasta - Astro Oasis dan JAWI dalam mencapai tujuan yang satu iaitu keredaan Allah SWT.

Selain mengambil kira faktor penerimaan penonton dari sudut kelainan penampilan program, IM juga mengambil perhatian serius terhadap isi kandungan yang diajarkan kepada para IM sekali gus menjadi perencah kepada keunggulan program berkenaan.

Kehadiran program IM di persada industri penyiaran tanah air bukan sahaja menjadi pencetus fenomena dan paradigma baru dalam dunia hiburan Islam tetapi ia berjaya meninggalkan kesan kepada masyarakat keseluruhannya.

Ini kerana di setiap negeri telah pun ada program yang sama mengambil jenama IM sebagai langkah dan usaha pihak-pihak yang mempunyai kesedaran agama untuk mewujudkan generasi pelapis melahirkan para daie muda bagi memartabatkan lagi syiar Islam di Malaysia khasnya dan di peringkat antarabangsa amnya.

Kesimpulannya, IM secara tidak langsung berjaya mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat bahawa tugas dan tanggungjawab para imam bukan sahaja mengetuai solat berjemaah, membaca talkin dan tahlil semata-mata.

Justeru tidak juga mereka hanya dilibatkan dalam program-program bertemakan keagamaan sahaja. Malah, ia mencakupi segenap aspek kehidupan masyarakat. :)

No comments:

Post a Comment