IBU bapa adalah insan paling mulia dalam kehidupan kerana itulah agama Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada mereka. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar dan tinggi nilainya.
Mereka yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.
Sehubungan itu, sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka jangan engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan jangan engkau menengking mereka, tetapi katakan kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkan dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakan: Wahai Tuhanku! Kasihani mereka berdua seperti mana mereka sudah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Israk, ayat 23-24)
Tidak dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya, tidak dapat dinilai emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak walau sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan dan melelapkan mata kerana teringatkan anak dan ada ketika air mata berlinangan merindui anak.
Bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka? Cukupkah sekadar mengirim duit sebagai pengganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat rindu kepulangan si anak? Ambil kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.
Oleh itu, wajarlah Allah memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan kepada Aku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)
Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung itu. Ada anak yang sanggup membuang dan menyisih ibu bapanya.
Mereka ini sanggup meninggalkan ibu bapa di rumah kebajikan atas alasan tidak sanggup melayan kerenah ibu bapa yang semakin tua. Berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga kini seramai 1,857 ibu bapa ditempatkan di rumah Seri Kenangan tanpa kasih-sayang anak. Mereka ini merintih keseorangan mengharap anak sentiasa mendampingi mereka.
Islam menganjurkan setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan itu tidak melanggar syariat Islam. Jika anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar.
Imam Bukhari meriwayatkan, Abdullah bin Amru bin al-‘As bertanya Rasulullah SAW mengenai dosa besar. Sabda Baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya! Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”
Umat Islam sekalian, menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup tetapi berpanjangan hingga di alam arwah. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah.
Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran adakah mereka benar-benar menyayangi ibu bapa. Apalah gunanya anak mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka jika amal perbuatan kamu itu baik, mereka gembira mengetahuinya, dan jika sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata: “Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah petunjuk, seperti mana Engkau sudah memberi hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman).” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)
Jika ibu bapa tidak reda sikap keji anak, ini mengundang kemurkaan Allah. Selama mana kita tidak diredai ibu bapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah.
No comments:
Post a Comment