Monday, May 16, 2011

~ membudayakan penyelidikan ~


SUDAHKAH universiti dalam dunia Islam membudayakan penyelidikan? Secara objektifnya, soalan ini sukar dijawab kerana tidak ada sandaran fakta yang tepat untuk mengatakan ya atau tidak. Yang pasti, tiada universiti dalam dunia Islam disenaraikan 100 universiti terbaik dunia.
Dalam konteks ini, penyelidikan dan output penyelidikan dikira sebagai kriteria penyenaraian. Malah, universiti terbaik di dunia Arab mengikut Senarai Ranking Universiti Terkemuka dalam Dunia Arab, iaitu Universiti King Saud, hanya mendapat tempat ke-164 di peringkat dunia.

Secara perbandingan, senarai yang dikeluarkan ‘Times Higher Education’ pula sering dipertikaikan banyak pihak kerana hanya universiti di United Kingdom dan Amerika saja yang mendapat tempat teratas.

Tetapi, pada masa sama kita harus jujur. Jika persoalan utama adalah mengenai penyelidikan yang khusus memberi penekanan kepada aplikasi Islam dalam kehidupan alaf ini, jawapannya sangat jelas iaitu universiti di dunia Islam masih belum lagi membudayakan penyelidikan.


Jurang yang luas antara pengetahuan dan pembangunan aplikasi serta kemajuan syariat yang berlaku di negara Islam mendorong supaya penyelidikan disemarakkan. Malah, keadaan semasa mendesak universiti dan institusi penyelidikan menyambung rantaian ilmu sedia ada dan membina kapasiti diperlukan bagi memenuhi maksud itu.


Lima rukun penting boleh dijadikan landasan untuk menyemarakkan budaya penyelidikan di universiti dunia Islam iaitu menjalankan penyelidikan diterajui permintaan. Kajian berasaskan permintaan merujuk kegiatan penyelidikan yang membolehkan penjanaan ilmu untuk mewujudkan pembangunan.

Dalam era liberalisasi ilmu, sepatutnya universiti dan institusi penyelidikan dunia Islam melangkaui bidang pengajaran dan pembelajaran. Penyelidikan diterajui permintaan membolehkan penyelidik mencapai tahap intelektual untuk memberi sumbangan secara langsung kepada masyarakat.

Rukun kedua menyentuh aspek pembinaan keupayaan dan kemampuan penyelidik. Bagi universiti dan institusi penyelidikan, proses membudayakan penyelidikan memerlukan ilmuwan yang kompeten dan persekitaran menyokong.


Walaupun sudah wujud kemajuan dalam penyelidikan dua dekad terakhir ini, keupayaan penyelidikan di universiti dunia Islam tetap menjadi cabaran besar terutama bagi negara Islam yang miskin.


Pendekatan untuk membangun kapasiti penyelidikan terbaik dilihat dan difahami dalam rangka pembangunan kapasiti yang lebih luas. Peningkatan kapasiti penyelidikan boleh dilihat sebagai proses memperkasakan individu, institusi, organisasi dan negara.


Rukun ketiga menekankan pewujudan persekitaran yang positif dan menyokong. Antara sebab kenapa pembudayaan penyelidikan jarang berlaku di universiti dunia Islam adalah aliran mobiliti penyelidik produktif dari negara Islam berhijrah ke negara barat atau negara Islam yang kaya kerana peluang penyelidikan lebih baik.


Ini termasuklah penyediaan geran penyelidikan yang besar selain daripada faktor gaji. Kesannya, jurang ilmu pengetahuan antara negara Islam yang miskin dan kaya menjadi lebih meluas dan semakin sukar melainkan usaha bersepadu dilakukan.


Rukun keempat adalah kepentingan tanggungjawab sosial. Pendekatan alternatif kepada penjanaan ilmu pengetahuan ini menekankan tanggungjawab sosial adalah lebih utama daripada tanggungjawab akademik.


Penyelidikan yang mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran dari pelbagai disiplin ilmu serta sumber lain perlu diberi penekanan. Antara faktor penting adalah ilmuwan Islam bekerjasama dan berinteraksi dengan semangat ukhuwah yang jitu.


Salah satu ciri mendasari penyelidikan adalah agenda dan keutamaan. Penyertaan pihak berkepentingan akan mencerminkan keperluan masyarakat untuk penjanaan ilmu. Walau bagaimanapun, perkara ini belum tentu akan menjamin berlakunya penyelidikan sistematik.


Rukun kelima adalah pembiayaan penyelidikan melalui geran program ijazah kedoktoran, pasca kedoktoran atau program ‘mentoring’ adalah pendekatan berkesan yang sudah lama ditawarkan di kebanyakan universiti terkemuka di dunia Barat.


Di dunia Barat, pendekatan umum untuk peningkatan kapasiti menubuh kumpulan penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dilakukan dengan rancak sekali. Namun, negara Islam melalui universiti mereka masih belum mengembangkan rangkaian akademik yang baik dan berkesan.


Salah satu alasan diberikan, ia memerlukan dana antarabangsa yang besar terutama untuk jangka masa panjang.


Walau bagaimanapun, dengan era teknologi maklumat, seperti strategi ‘e-learning’ yang boleh digunakan untuk berkongsi pengetahuan, mekanisma ini boleh diterokai dengan lebih serius lagi.


Apa pun, memang wujud jurang pengetahuan yang besar terutama kekurangan prasarana yang canggih untuk menyokong penyelidikan di universiti negara Islam berbanding di Barat. Oleh itu, sokongan kuat dari universiti Islam terkemuka diperlukan untuk membina kapasiti itu.

No comments:

Post a Comment