Tuesday, May 31, 2011

~ Ibnu Nafis ~


IBNU Nafis atau nama sebenarnya Alauddin Abu Al-Ala Ali bin Abi Al-Hazam Al-Qurasyi Al-Syafie Al-Misri telah dilahirkan di Damsyik, Syria pada tahun 607 H / 1210 M.

Beliau dibesarkan di Damsyik dan telah mempelajari ilmu kedoktoran daripada Al-Dahkwar dan Imran Al-Israili.

Apabila usianya meningkat belia, beliau telah berhijrah ke Kaherah pada zaman Raja Al-Ayubi Al-Kamil dan mula bekerja di situ sehingga dilantik menjadi ketua di Hospital Al-Mansuri. Beliau lebih dikenali dengan nama Ibnu Nafis.

Kehidupan Ibnu Nafis 'istimewa' kerana sepenuh waktunya beliau lebih mempelajari ilmu kedoktoran sehingga beliau tidak berkahwin.

Sebagaimana ulama-ulama yang lain, beliau tidak sahaja mempelajari bidang kedoktoran, bahkan mengkaji ilmu di dalam bidang mantik, falsafah, bahasa, ilmu bayan, hadis, dan usul fiqh.

Beliau juga merupakan tokoh yang begitu kognitif kerana keaslian dan kebebasan pemikirannya, serta kajiannya yang bersandarkan kepada pemerhatian, penelitian dan membuat uji kaji.

Di antara contoh eksperimennya adalah dengan menganalisis perjalanan darah di dalam tubuh badan.

Kajiannya begitu terperinci apabila beliau telah menemui peredaran darah ke paru-paru yang merupakan asas penemuan Harvey di dalam peredaran darah yang lain, iaitu tiga kurun selepas kematiannya.

Dalam bidang kedoktoran pula, beliau amat mementingkan sudut penganalisisan anggota luar dan faktor-faktor yang memberi akibat pada tubuh badan (asbab) berbanding mementingkan sudut rawatan.

Ini menjadikan beliau merupakan orang pertama yang menghasilkan karya dalam bidang usul ilmu kedoktoran.

Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang sangat tawaduk di dalam berilmu, malah selalu mengadakan perhimpunan bersama ulama-ulama dan ahli-ahli atau pakar kedoktoran di rumahnya.

Ibnu Nafis juga telah menghuraikan buku Tasrihu al Qanun karya Ibnu Sina yang mana di dalamnya terkandung penemuan beliau terhadap proses peredaran darah ke paru-paru. Beliau meneruskan usahanya menghuraikan karya ulama-ulama yang lain sehingga huraian tersebut disusun menjadi beberapa buku.

Kecintaan beliau terhadap ilmu juga telah membuatkannya mentafsir buku Al-Adawiyah karya Hippocrate dan buku karya Galinous. Beliau kemudiannya menyusun buku Syarah Mufradatu al Qanun, Tafsiru al-lal wa Asbabu al Amrad, Syarhu al Hidayah fi al Tib dan Al Syamil fi al Tib yang menyentuh tentang keseluruhan penyakit mata.

Ibnu Nafis mengakhiri penulisannya dalam bidang kedoktoran dengan menulis ensiklopedia Al Syamil fi al Tib. Beliau juga telah bercadang untuk membukukan karya tersebut di dalam 300 jilid, tetapi hanya sempat menyiapkan sebanyak 80 jilid sahaja kerana meninggal dunia.

Antara karya beliau yang lain ialah dalam bidang falsafah buku Fadil bi Natiq.

Di dalam laras agama pula, beliau menghasilkan buku Al Risalatu al Kamil fi al Sirah Al Nabawiyyah dan Mukhtasar Ilmi al Hadis. Di dalam bidang bahasa, beliau menghasilkan buku Toriqu al Fasaha dan bidang perundangan pula, beliau menghasilkan buku Syarah Kitabu al Tanbih ila Furui al Syafi'iyyah.

Ibnu Nafis meninggal dunia di Kaherah, Mesir pada 687 H / 1288 M.

No comments:

Post a Comment