Thursday, June 30, 2011

~ membina jiwa rabbani ~



ISLAM adalah satu sistem kehidupan yang lengkap dan teratur. Syariat Islam adalah daripada Allah SWT. Ia umpama sebuah jalan yang melorongkan sesiapa sahaja yang melaluinya ke jalan kebahagiaan yang sejati dan sebenar-benarnya.

Dengan kata lain, jalan kebahagiaan itu sudah terbentang lurus di hadapan, namun persoalan kenapa kita masih memilih jalan kesengsaraan yang bersimpang siur!

Firman Allah:

Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti).
(al-Maidah: 48)

Demikian juga dengan sistem ekonomi Islam. Ia lahir melalui wahyu Allah iaitu al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Kaya dengan segala kekuasaan, maka sebarang sistem yang datang daripada-Nya juga adalah yang terbaik.

Inilah keyakinan yang perlu ada dalam diri setiap umat Islam. Mempertikaikan sistem Islam bermakna kita meragui sistem yang datang daripada Allah.

Antara prinsip-prinsip ekonomi Islam ialah rabbaniah. Ia bermaksud bahawa ekonomi Islam berkait rapat dengan ketuhanan atau ilahiah bukan hanya berlandaskan kepentingan material.

Sengaja di ketengahkan perkara ini kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga kita terlupa untuk menjaga dan memelihara prinsip-prinsip ekonomi Islam yang bersifat tetap dan tidak berubah walaupun berubahnya zaman, lokasi dan manusia.

Dalam menggerakkan ekonomi Islam, individu-individu yang terlibat mesti mengambil kira batasan-batasan Syariah yang telah ditetapkan oleh Allah. Ini kerana, sebagaimana sembahyang dan puasa, sistem ekonomi Islam juga ada kaitannya dengan dosa pahala, syurga dan neraka. Islam mempunyai cara, pemahaman dan nilai-nilai ekonomi yang berbeza dengan ekonomi ciptaan manusia.

Rabbaniah boleh diperbincangkan dalam dua konteks kefahaman.

Kefahaman yang pertama tentang prinsip rabbaniah dalam sistem ekonomi Islam adalah keyakinan bahawa sistem ekonomi Islam dalam segi dasarnya adalah unggul dan terbaik kerana ia datang daripada Allah dan Nabi Muhammad.

Justeru, mereka yang terlibat dalam menggerakkan ekonomi ini tidak akan merasa sangsi dengan keberkesanan dan kebaikan sistem ekonomi ini. Keyakinan ini sangat penting terutama apabila kita gagal mencari hikmah dari pensyariatan sesuatu hukum.

Sebagai contoh, tidak semua umat Islam faham apakah hikmah di sebalik pengharaman riba. Lebih-lebih lagi pada zaman yang begitu mencabar ini.

Riba seolah-olah menjadi kebiasaan dan rata-rata menganggapnya tidak mengapa bak kata peribahasa Melayu alah bisa tegal biasa

Namun, bagi orang yang beriman kepada Allah SWT apabila al-Quran dan hadis dengan jelas mengharamkan riba, mereka tidak akan berlengah-lengah meninggalkan riba dan saki-bakinya tanpa sebarang keberatan. Inilah bukti iman kita kepada Yang Maha Esa.

Firman Allah yang bermaksud:

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad). Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya (an-Nisa': 65).

Kefahaman rabbaniah yang kedua pula adalah segala aktiviti yang dijalankan untuk menggerakkan ekonomi bertujuan mendapatkan keredaan Allah. Mereka yang memahami konsep ini akan memastikan segala pengurusan dan aktiviti ekonomi yang dijalankan tidak mengandungi sebarang perkara yang haram kerana ia pasti dimurkai oleh Allah.

Orang yang memahami tujuan mereka menuju Allah akan menganggap bahawa kegiatan ekonomi yang dijalankan semuanya adalah manifestasi kehambaan kepada Allah.

Kefahaman ini boleh diterapkan dalam diri jika kita memahami bahawa setiap harta yang diperolehi sebenarnya adalah pinjaman daripada Allah. Maka sebagai peminjam kita perlu mematuhi segala terma dan syarat yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman.

Sebab itulah, Allah akan mempersoalkan perolehan harta serta penggunaannya. Setiap nilaian harta akan diperincikan oleh Allah sebagai perhitungan di akhirat kelak.

Abu Barzah r.a, meriwayatkan bahawa Nabi bersabda:

"Tidak berganjak kedua kaki seseorang hamba (di hadapan Allah) pada hari kiamat, sehingga terlebih dahulu akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya." (riwayat al-Tarmizi)

~ lestarikan generasi harapan ~



WASATIYYAH bermakna tidak melampau atau ekstrem. Ia merupakan jalan pertengahan atau sederhana. Ia selari dengan ungkapan al-Quran tentang gambaran umat Islam iaituummatan wasatan.

Wasatan atau wasatiyyah memilih jalan sederhana dalam menyatakan sesuatu, mengambil sikap sesuatu, dan melakukan tindakan terhadap sesuatu.

Ia tidak ekstrem kiri yang membawa sikap radikal atau ekstrem kanan yang membawa sikap jumud. Wasatiyyah tegak dengan prinsip tetapi prinsip itu diolah secara bijaksana supaya ia mampu mengimbangi keadaan.

Sangat penting untuk remaja memiliki sifat wasatiyyah supaya dengan memiliki jiwa sederhana ia mampu melihat dunia dan kehidupan dalam keadaan terbuka. Terbuka tidak bermakna ia hilang pedoman dan sumber ikutan.

Terbuka bermakna wujud kecenderungan untuk berkongsi di mana yang perlu untuk berbeza dan dimana yang ada dan mencari titik persamaan jika ia tidak mendatangkan mudarat.

Wasatiyyah amat sesuai dalam realiti masyarakat dan budaya yang berbilang. Realiti Malaysia adalah realiti masyarakat dan budaya berbilang.

Menjadikan Islam sebagai asas bernegara memerlukan pendekatan wasatiyyah kerana memang sifat agama Islam itu selamat dan sejahtera. Remaja Islam patut menjadikan Islam sebagai agama damai sekali gus mendukung kesejahteraan.

Nilai-nilai universal atau alamiah yang dibawa oleh Rasulullah SAW memberi rahmat kepada sekelian alam. Ia bermaksud nilai-nilai yang Islami apabila diamalkan dalam kehidupan tidak sahaja memberi faedah kepada remaja Islam tetapi juga memberi faedah kepada orang lain.

Umpamanya bersikap amanah jujur, adil, ikhlas dan bertimbang rasa menjadikan remaja Islam mempunyai jati diri yang tinggi dan boleh berperanan di mana-mana saja.

Sifat-sifat itu adalah sesuatu yang fitrah dan boleh diterima oleh sesiapa sahaja walaupun di kalangan remaja bukan Islam. Sifat-sifat itu adalah jalan pertengahan yang selari dengan keperluan manusiawi.

Oleh itu, ciri-ciri kesejagatan Islam membolehkan interaksi dan persefahaman berlaku secara meluas. Sekiranya di kalangan remaja yang tidak memiliki sifat amanah, jujur, adil, ikhlas dan bijaksana akan lahir gelagat-gelagat yang sebaliknya dan menyebabkan para remaja mengambil sikap yang ekstrem.

Justeru, bagi mewujudkan rasa ukhuwah atau persaudaraan yang tinggi di kalangan remaja Islam, jalan wasatiyyah merupakan jalan yang terbaik untuk membawa kedamaian dan kesejahteraan.

Keterbukaan dalam Islam

Islam sebagai agama rahmah alamiah menjadikan umatnya memiliki sikap atau watak yang berimbang. Berimbang bermaksud seluruh pertimbangan, pro dan kontra diambil kira. Negatif dan positif diberi perhatian supaya jalan berfikir yang diambil selalu bersifat wasatiyyah.

Dengan demikian para remaja terbuka untuk mempelajari yang baik daripada orang lain dan menolak yang buruk walaupun daripada diri kita sendiri. Banyak nilai bersama yang bersifat interaktif boleh diambil dari tamadun dan budaya lain.

Nilai-nilai interaktif ini penting dijadikan pedoman supaya warga remaja terdidik dengan sikap menghargai sesuatu yang baik dari orang lain dan bersikap menyumbang terhadap kebaikan daripada diri kita sendiri.

Adapun nilai paling utama (akidah), para remaja boleh berbeza dengan mengambil pertimbangan mengenai etika perbezaan.

Al-Quran memberi pedoman lakum dinukum waliyadin (bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami) bermakna ada batas sempadan antara keduanya.

Dalam realiti Malaysia, jalur wasatiyyah ini sangat penting dianut dan diikuti. Ia kerana sari pati amalan yang baik boleh terdapat pada orang lain. Dalam masa yang sama Islam menawarkan pekerti yang baik di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Di sini perlunya pendidikan dalam negara Malaysia berlandaskan etika dan nilai-nilai murni yang tinggi. Apabila etika dan nilai-nilai murni menjadi latar dalam negara kita, jenis manusia atau modal insan yang dilahirkan sudah tentu menjadikan nilai nilai keinsanan sebagai sesuatu yang amat penting di samping meneroka teknologi tinggi sebagai alat.

Para remaja yang ingin terlibat dalam membina kecenderungan kearah teknologi tinggi harus memahami bahawa teknologi selamanya alat, bukan matlamat. Ia harus seimbang dengan nilai keinsanan supaya sentuhan keinsanan melahirkan manusia yang manusiawi dan bukan haiwani.

Kecenderungan seperti ini amat penting bagi remaja yang cenderung kepada faham benda dan faham nafsu nafsi. Sekiranya faham benda berkembang dan faham nafsu nafsu bermaharajalela, jalur wasatiyyah tidak akan ada dan akhirnya para remaja lebih cenderung mengambil sikap melampau.

Sikap melampau pada remaja bakal menghasilkan konflik. Konflik yang berlaku di kalangan remaja boleh menghasilkan jurang. Jurang interaktif di kalangan remaja boleh menghasilkan pola-pola sosial yang tidak sihat. Ia tidak mampu membina rasa persefahaman yang tinggi di kalangan generasi muda dan akhirnya pola-pola sosial yang negatif bakal mengambil tempat.

Justeru amat penting para remaja Islam menjadikan sikap wasatiyyah atau sederhana sebagai jalan terbaik mendukung kemajuan dan perubahan.

Negara yang sifat generasi mudanya majmuk memerlukan daya persefahaman yang tinggi. Daya persefahaman yang tinggi hanya akan lahir sekiranya rasa percaya di kalangan remaja terbina dengan baik.

Sekiranya syak wasangka terbina atas asas agama dan bangsa, ia tidak akan membantu membina negara Malaysia yang bersatu dan sejahtera.

Jalur wasatiyyah sepatutnya memberi titik keseimbangan kepada warga Malaysia dalam menghadapi faktor globalisasi dan dalam mendepani kemajuan, perubahan dan pembangunan.

Landasan ini memberikan pedoman, toleransi yang tinggi dan dalam masa yang sama prinsip-prinsip yang fundamental atau asasi dalam bina negara tetap tidak diketepikan.

Kegawatan para remaja dalam pola-pola sosial yang negatif seperti merempit, terlibat dalam gejala sosial yang tidak menyihatkan umpamanya adalah gambaran ekstrem yang bakal merosakkan binaan generasi masa depan.

Oleh itu, para remaja harus bersedia mempelajari kekuatan dan keunggulan dalam agama Islam itu sendiri dan pada masa yang sama bersedia berkongsi pola-pola sejagat yang memberi manfaat.

~ berpada dalam berbelanja ~



Duit Mesir ( 100 EGP = RM 50.84)


Duit US Dollar (100 USD = RM 302)


Duit Jordan (1 Dinar = RM 4.20)

Duit Syria (1000 Syria Pounds = RM70)

ALLAH menyuruh kita cermat dan berhati-hati dalam urusan duniawi, berpesan supaya memanfaatkan sekadar perlu dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah Al-Furqan, ayat 67)
Jika diberi rezeki melebihi keperluan dan tanggungan, sedangkan pada masa sama ada orang lain terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan kita menyorok tangan, membutakan mata serta tidak mengambil endah tanggungjawab sesama manusia.

Ada kala kita hanyalah perantara yang dilantik Allah untuk membantu sesama makhluk kerana sifat amanah yang ada, bukan berhabisan untuk kepuasan sendiri. Tetapi tentu kita rasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya.

Contohnya, tiada wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan pada usia tua, waktu kecemasan, bersedekah, mengembangkan syiar agama kerana terlalu bermewah menyebabkan wang habis sekelip mata. Sebaliknya tidak malu meminta wang dengan orang lain atas nama hutang untuk menanggung kehidupan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu jika dibentangkan dunia untuk kamu seperti pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu seperti dulu sudah membinasakan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW sendiri tidak terlalu khuatir jika umat Baginda akan menjadi fakir, tetapi takut jika kita tertipu dengan dunia dihiasi isi yang sementara, hanya penyebab untuk kita ke neraka, dan itulah juga penyebab kita ke syurga, jika bijak membuat pilihan.

Cermat dalam urusan dunia adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim supaya mereka menyedari moral yang sekecil itu boleh memberi untung besar kepada agama.

Tetapi hari ini ramai suami mengabaikan tanggungjawab kepada isteri kerana tipu daya dunia terutama wanita cantik, arak, judi, hiburan melalaikan, kehidupan sosial yang tiada siapa peduli, memungkinkan mereka memilih jalan tidak halal.

Bahkan ada yang kehilangan nikmat Allah kurniakan kepada mereka di dunia iaitu seorang wanita sebagai isteri dan cahaya mata yang tidak Allah kurniakan kepada semua melainkan mereka yang terpilih kerana tertipu dengan kesesatan dunia.

Begitu juga wanita yang bijak, apa juga peranan mereka mainkan di dunia, mereka perlu bertanggungjawab terhadap amanah.

Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya kerana mereka diberikan petunjuk oleh Allah supaya menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia.

Mereka tidak berjimat jika punya wang, tidak rasa beruntung jika ada masa, tidak berhati-hati apabila berbicara, lalu mereka bazirkan semuanya tanpa rasa bersalah, akhirnya mereka muflis di dunia mahupun akhirat.

Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As-Siddiq ketika beliau sakit dan menghadapi kematian lalu berkata: “Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah. Abu Bakar menjawab: Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali seorang antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja.”

Rasulullah dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat supaya menjadi ikutan hingga ke akhir zaman.

Sifat boros dalam urusan duniawi patut dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan. Alangkah indah jika umat Islam hidup dengan penuh sederhana, harmoni sesama kita dan saling memahami serta membantu dalam urusan dunia.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya.” (Surah Al-Israa’, ayat 27)

Wednesday, June 29, 2011

~ Israk Mikraj ~



ISRAK MIKRAJ adalah peristiwa spiritual yang dialami Nabi Muhammad SAW. Ia difahamkan sebagai perjalanan malam Nabi dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan terus menerus menembusi dinginnya langit menuju sebuah puncak yang disebut Sidratul Muntaha.

Diriwayatkan, ketika Rasulullah sedang tidur malam bersama para sahabatnya di Masjidil Haram, tiba-tiba Jibril datang membangunkan dan membawanya untuk Israk Mikraj. Dalam konteks ini Thabathaba'i (Tafsir al-Mizan), menyebut bahawa di antara sahabat yang sedang bersama Nabi SAW saat itu adalah Hamzah Ibnu Abdul Muttalib, Jaafar Ibnu Abi Talib, dan Ali Ibnu Abi Talib.

Namun suatu riwayat seperti dipetik Fakh al-Din al-Razi dalam Mafatih al-Ghaib, menyatakan bahawa Israk Mikraj tidak dimulai dari dalam Masjidil Haram, melainkan dari rumah Ummu Hani binti Abi Talib. Yang lain lagi menyatakan, bahawa mulai Israk Mikraj itu adalah dari sebuah ruangan dalam rumah Abu Talib r.a.

Beberapa kenyataan Islam menyebutkan bahawa Israk Mikraj itu ditempuh hanya dalam satu malam. Perjalanan yang panjang ini dimulai setelah selesai waktu Isyak dan diakhiri pada waktu fajar menyingsing.

Demikian jauhnya jarak perjalanan ini, maka Aisyah dan Muawiyah berpendapat bahawa Israk Mikraj merupakan perjalanan rohani dan bukan perjalanan fizik jasmani.

Menurut Aisyah, roh Nabi Muhammad bergerak membelah semesta alam untuk berjumpa dengan Allah, sementara jasadnya bersemayam di bumi.

Pendapat itu ditolak oleh jumhur ulama yang mengatakan Israk Mikraj melibatkan jasmani rohani Nabi Muhammad secara sekali gus.

Bagaimana mungkin benda seperti jasad manusia boleh berjalan lebih cepat daripada gerakan cahaya.

Menurut teori Einstein, jika ada benda berjalan secepat cahaya, maka benda itu akan terurai dan hancur lebur. Kemudian jumhur ulama berkata, bahawa Israk Mikraj adalah untuk dipercayai dan diyakinkan, bukan untuk diperdebatkan.

Bilakah terjadi peristiwa Israk Mikraj itu? Beberapa riwayat menjelaskan pendapat yang berbeza. Ulama yang berpendapat bahawa peristiwa Israk Mikraj itu terjadi pada hari Jumaat, 27 Rejab. Inilah pandangan paling popular di kalangan umat Islam.

Namun sebahagian lain berpendapat peristiwa Israk Mikraj itu terjadi di awal dan bukan di akhir bulan Rejab.

Menurut pendapat al-Harbi, seperti dipetik oleh al-Qurtubi dalam Al-Jami'il lil Ahkam al-Qurtubi, Israk Mikraj terjadi pada 27 Rabiul Awal. Sama juga pendapat seperti yang dikatakan oleh az-Zuhri dan Urwah.

Ibnu Abbas berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal.

Sebabnya pada hari, tarikh dan bulan itulah Rasulullah dilahirkan, diangkat menjadi Nabi, di Israk Mikrajkan, berhijrah ke Madinah dan meninggal dunia.

As-Suddi pula berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada bulan Zulkaedah (Ibnu Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah).

Bukan hanya bulan yang diperselisihkan, melainkan juga tahun peristiwa itu. Ada ulama berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi satu tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Sebahagian lain berkata bahawa Israk Mikraj diperkirakan terjadi 18 bulan sebelum peristiwa hijrah.

Sementara yang lain lagi berkesimpulan bahawa Israk Mikraj terjadi ketika Khadijah masih hidup.

Menurut Yunus Ibnu Bukair, pasca Israk Mikraj, Khadijah masih sempat melaksanakan solat. Ini kerana Israk Mikraj terjadi pada tahun kelima dari kenabian, beberapa bulan sebelum Khadijah meninggal dunia. Bahkan seperti dikutip oleh Thabathaba'i, Ibnu Abbas berkata bahawa Israk Mikraj terjadi pada tahun kedua dari kenabian.

Intisarinya bermacam pendapat, yang berkata tahun ketiga kenabian, 10 tahun tiga bulan dari kenabian, 12 tahun dari kenabian, satu tahun lima bulan sebelum hijrah, satu tahun tiga bulan sebelum hijrah, dan enam bulan sebelum berhijrah.

Mengapa berlaku perselisihan? Sebabnya, ketika peristiwa Israk Mikraj berlaku tidak ada orang yang mencatat dan merekodkannya secara betul. Rasulullah pun dikisahkan tidak boleh membaca dan menulis.

Mengenai hari, tarikh, bulan, dan tahun peristiwa Israk Mikraj di atas sepenuhnya didasarkan pada ingatan para sahabat, dan bukan pada data rakaman tertulis.

Tuesday, June 28, 2011

~ kehidupan selepas kematian ~



MARI kita menjuruskan ingatan dan kesedaran untuk menghayati Allah Maha Besar dan Maha Pemurah. Dibentangkan-Nya alam ini untuk kita, dicurahkan rahmat-Nya siang dan malam, sejak dilahirkan hingga ke hari kematian kita.
Bahkan rahmat Allah yang lebih besar dan banyak adalah sesudah kita mati, jika kita termasuk di kalangan orang beriman, bertakwa serta banyak mengerjakan amal soleh selama hidup di dunia ini.
Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus apabila keluarnya nyawa dari tubuh. Orang yang beriman hendaklah meyakini ada kehidupan abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia yang menjadi fokus utama orang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah adalah perkara paling asas dalam Islam. Islam diibarat sebagai bangunan, manakala akidah pula asas atau tapak kepada binaan itu. Jika rosak akidah seseorang maka rosak semua amalan dibina diatasnya.
Atas dasar ini Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran, namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait perkara ghaib yang tidak mampu dicapai akal manusia yang sangat terbatas.
Istilah ‘kubur’ hanya kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?
Sudah pasti tidak kerana ada yang tidak diketahui kuburnya seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.

Namun, menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam antara alam dunia dengan akhirat.

Firman Allah yang bermaksud:
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka berkatalah ia: Wahai Tuhanku kembalikan daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal soleh dalam perkara yang sudah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat?


Sesungguhnya perkataannya itu hanya kata-kata yang ia saja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Surah al-Mukminun, ayat 99 -100)

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hingga dibangkitkan. Ia juga bermakna dinding penghadang antara dua benda sejak waktu kematian hingga dibangkitkan. Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi tetap meyakini kewujudannya. Contohnya, beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada bermimpi indah dan ketika bangun, jasadnya merasai nikmat dirasakan rohnya ketika bermimpi.

Demikian sebaliknya, orang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan saja rohnya tersiksa tetapi badannya juga rasa tersiksa. Sedangkan mereka tidur berhampiran tetapi tidak mengetahui apa dirasakan rakannya.

Jika perkara seperti ini diakui hakikat kewujudannya maka demikian juga alam barzakh yang lebih hebat dari itu.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur sesuatu yang wajib kita imani serta yakini kewujudannya walaupun tidak dapat dibuktikan secara nyata dan termasuk dalam perkara ‘sam’iyyat’ kerana Rasulullah SAW memerintahkan kita berdoa berlindung daripada azab kubur.

Kita wajib berlindung daripada azab kubur kerana alam kubur adalah persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itu tanda kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itu petanda orang itu akan mendapat kesulitan di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya kubur itu, singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sebenarnya dalam al-Quran ada kira-kira 300 ayat menyatakan kematian dan keadaan kehidupan selepas mati seperti alam barzakh dan akhirat. Nas al-Quran dan hadis Rasulullah SAW menerangkan roh itu kekal, ada roh mendapat nikmat dan ada roh terseksa.

Apabila kita mengingati kewujudan azab ditanggung selepas mati oleh orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut azab Allah dan akan mendekatkan diri kepada-Nya.

Sunday, June 26, 2011

~ mengemis kasih ~



Album : Secerah Pewarna
Munsyid : The Zikr
http://liriknasyid.com


Tuhan dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku di lorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi parah

Semalam sudah sampai ke penghujungnya
Kisah seribu duka ku harap sudah berlalu
Tak ingin lagi kuulangi kembali
Gerak dosa yang menghiris hati

Tuhan dosaku menggunung tinggi
Tapi rahmat-Mu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi

Tuhan walau taubat sering kumungkir
Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat pada-Mu
Seribu langkah Kau rapat padaKu

~ pelihara bicara ~



Lisan adalah alat komunikasi sesama manusia bagi mengetahui tujuan dan kehendak dalam kehendak seharian. Kemampuan seseorang dalam bertutur merupakan nikmat Allah SWT yang tidak terhingga.

Sebab itu iktibar perlu diambil apabila melihat seseorang itu tidak dikurniakan kemampuan untuk bertutur. Saya sendiri kadang-kadang rasa sangat simpati dengan insan-insan istimewa ini.

Namun itu adalah takdir Allah SWT yang mencipta makhluk dengan kehendaknya. Walaupun demikian, daripada kebisuan seseorang bukanlah penghalang untuk beroleh kejayaan dunia, lebih-lebih lagi akhirat.

Daripada satu sudut, orang bisu beruntung kerana kurang berbicara dan selalunya orang bisu ini pekak, dua pancaindera yang tidak berfungsi memungkinkan insan bertuah ini tidak mendengar umpatan orang dan tidak mengerti mengumpat orang dengan lisannya.

Secara tidak langsung walaupun orang melihat insan-insan istimewa ini ada kekurangan pada fizikalnya tetapi beruntung daripada sudut yang lain.

Lain pula keadaan orang yang diberi kemampuan bercakap. Kadang-kadang banyak bercakap perkara yang tidak perlu. Malahan kata-kata mereka juga boleh membawa kepada kerosakan dalam masyarakat.

Saya yakin ramai di antara kita gagal mengawal lisannya yang tidak bertulang. Hal ini termasuk dalam perbuatan tercela yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

Baginda bersabda yang bermaksud:

“Jauhilah perbuatan keji. Kerana sesungguhnya Allah tidak suka sesuatu yang keji dan perbuatan keji.”

Dalam riwayat lain:

“Syurga itu haram bagi setiap orang yang keji”. (riwayat Ibnu Hibban)

Sabda baginda lagi yang bermaksud:

“Orang mukmin bukanlah orang yang suka menghujah, mengutuk, berkata keji dan buruk (riwayat al-Tirmidzi).”

Ada seorang lelaki Badwi datang bertemu dengan Rasulullah SAW meminta wasiat yang bermaksud:

“Bertakwalah kepada Allah, jika ada orang yang mencela kekuranganmu, maka jangan kau balas dengan mencela kekurangannya. Maka dosanya ada padanya dan pahalanya ada padamu. Dan janganlah kamu mencaci maki siapapun. Kata A’rabiy tadi: “Sejak itu saya tidak pernah lagi mencaci maki orang”. (riwayat Ahmad)

Maksud sabda baginda lagi:

“Termasuk dalam dosa besar adalah mencaci maki orang tua sendiri.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana seseorang mencaci maki orang tua sendiri?” Jawab Nabi: “Dia mencaci maki orang tua orang lain, lalu orang itu berbalik mencaci maki orang tuanya (riwayat Ahmad).”

Perkataan yang kotor jelas daripada hati yang kotor. Rasulullah SAW bersabda:

“Di antara ciri kesempurnaan Islam seseorang adalah ketika ia mampu meninggalkan sesuatu yang tidak ia perlukan (riwayat al-Tirmidzi).”

Penyakit ini disebabkan keinginan kuat untuk mengetahui segala sesuatu. Atau basa-basi untuk menunjukkan perhatian dan kecintaan, atau sekadar mengisi waktu dengan cerita-cerita yang tidak berguna. Perbuatan ini termasuk dalam perbuatan tercela.

Terapinya adalah dengan menyedarkan bahawa waktu adalah modal yang paling berharga. Jika tidak dipergunakan secara efektif maka akan merugikan diri sendiri.

Selanjutnya menyedari bahawa setiap kata yang keluar dari mulut akan dipertanggungjawabkan. Ucapan yang keluar boleh menjadi laluan ke syurga atau jaring ke neraka. Sepatutnya, kita cuba melatih diri sentiasa diam dari hal-hal yang tidak diperlukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Qaf: 16-18)

Daripada Abdullah dia telah memanjat bukit Safa lalu memegang lidahnya lantas berkata: “Wahai lidah katalah yang baik nescaya engkau beruntung dan hendaklah engkau dia supaya selamat sebelum engkau menyesal. Kemudian berkata lagi, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“kebanyakan kesalahan anak Adam adalah pada lisannya…”(al-Thabariniy, Ibn Abi al-Dunya, al-Baihaqi, al-Iraqiy selepas analisis hadis ini berkata: Hadis ini darjatnya hasan).

Daripada al-Hasan al-Basri berkata: “Mereka mengatakan bahawa ungkapan lisan seorang mukmin adalah dari hatinya. Apabila si mukmin ingin mengatakan sesuatu maka ditapis dulu dalam hatinya kemudian barulah diungkap pada lisannya, manakala si munafik pula lisannya mendahului hatinya, apabila ingin menyatakan sesuatu terus diungkapkannya tanpa ditapis melalui hatinya. (al-Kharaithy di dalam Makarim al-Akhlaq)

Daripada Thauban berkata: “Apabila turun ayat 34 dari surah al-Taubah yang bermaksud:

Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Berkata al-Tahuban: “Ketika mana kami bersama Rasulullah SAW dalam beberapa perjalanan baginda, maka berkata sebahagian daripada kami kepada sebahagian yang lain: sesungguhnya ayat ini turun dalam membicarakan mengenai emas dan perak, kalau kita tahu mana harta yang lebih baik supaya boleh kita menyimpannya. Lantas baginda bersabda:

sebaik-baik harta ialah lisan yang sentiasa mengingati Allah dan hati yang sentiasa syukur dan isteri yang beriman yang membantu memperkasa imannya (riwayat al-Tirmidzi, hadis hasan).”

Imam al-Nawawiy dalam kitab al-Azkar berkata: “Ketahuilah bagi setiap orang mukallaf hendaklah memelihara lisannya dari segala bicara melainkan perbicaraan yang ada maslahah (kemaslahatan) padanya.”

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Qaf: 18)

Tanda bersyukur pada nikmat lisan adalah menggunakannya pada jalan yang diredai Allah SWT. Jangan sama sekali kufurinya dengan menggunakannya pada jalan yang salah.

~ tips menyambut bayi ~



Allah SWT berfirman dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50:
“Bagi Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.”
Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana dikurniakan anak. Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar dinilai sebagai suatu ibadat. Sebagai contoh, adab menyambut kelahiran, antaranya;
  • Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya yang baru menerima cahaya mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anak dengan ucapan tahniah. Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitab beliau, Tuhfatul Maudud bi ahkamil Maulud, iaitu: “Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha rushdahu waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan hendaklah engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).”
  • Apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
    “Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.”
    Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.
  • Hendaklah ditahnikkan bayi itu. Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma pada jari telunjuk lalu dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi. Seterusnya manisan itu akan masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan supaya memudahkan bayi ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi adalah orang yang salih supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa RA:
    “Saya dikurniakan seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan kurma.” (Imam al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat dan dipulangkan bayi itu kepadaku).
  • Mencukur rambut bayi. Ibnu Ishaq menyebutkan sebuah hadis riwayat al-Baihaqi daripada Abi Rafi’ Maula Rasulullah SAW bahawa ketika Hasan bin Ali lahir, ibunya Fatimah ingin mengakikahkannya dengan dua ekor kambing. Lalu Rasululullah SAW bersabda:
    “Jangan kamu mengakikahkannya tetapi cukurlah rambutnya kemudian sedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya di jalan Allah atau berikan kepada orang musafir.”
    Kemudian (tahun berikutnya) apabila lahirnya Husain selepas itu, Fatimah melakukan seperti itu juga. Imam al-Baihaqi berkata: “Jika hadis ini sahih, agaknya Rasulullah SAW mahu mengakikah sendiri cucu Baginda seperti yang kami riwayatkan.”
  • Melakukan akikah iaitu anak lelaki dua ekor kambing dan anak perempuan seekor kambing seperti disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Aisyah RHA, beliau berkata:
    “Rasulullah menyuruh kami supaya mengakikahkan anak perempuan dengan seekor kambing dan anak lelaki, dua ekor kambing.”
    Demikianlah, wallahua’lam.
  • Saturday, June 25, 2011

    ~ sabar bukti keimanan ~





































    ALHAMDULILLAH, setiap hari kita menempuh kehidupan dengan pelbagai keadaan. Ada ketikanya kita mampu serta berjaya melaluinya dengan tenang dan mudah. Namun, ada ketikanya kita berhadapan kesulitan, cabaran dan rintangan. Jika diberi dua pilihan, sama ada ingin melalui kehidupan mudah atau melaluinya dengan payah, tentu kita memilih yang mudah.

    Islam amat menggalakkan umatnya menggunakan cara mudah seperti amalan Nabi SAW. Namun, perlu disedari kesulitan dalam kehidupan sebenarnya sunnatullah bertujuan menguji hamba-Nya. Dalam setiap ujian yang berlaku sama ada kesenangan atau kepayahan, pasti ada hikmah atau pengajaran kepada manusia sekiranya kita mengetahui dan bersabar.
    Dalam ujian itu terkandung pendidikan sebelum Allah mengurniakan markah berupa kejayaan, keberkatan dan pahala. Ujian itu mendidik hati tunduk ikhlas dan mengakui betapa lemahnya diri tanpa pertolongan-Nya.

    Justeru, dalam mencari rezeki atau bekerja dan mengurus organisasi, masalah tidak dapat dielakkan. Bahkan apabila masyarakat bertambah ramai dan negara semakin maju maka seolah-seolah ia menjadi harga yang perlu dibayar kerana pengurusan kehidupan semakin rumit. Misalnya, kepelbagaian sikap, persaingan dalam kerja, konflik dan kepentingan mencapai kualiti perkhidmatan yang tinggi menyebabkan setiap pekerja perlu sentiasa berusaha membina kekuatan diri.

    Islam sebagai cara hidup menggariskan tiga panduan utama sebagai resipi ketahanan berguna dalam menghadapi kepayahan iaitu sifat sabar, solat dan siap sedia (3S) dalam mengharunginya.

    Dalam Sunan al-Termizi daripada Abdullah bin Abbas ra berkata:
    “Aku pernah bersama Rasulullah SAW dan baginda berkata kepadaku: “Wahai anak, sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimah: Jagalah Allah, pasti Dia menjagamu.


    Jagalah Allah, nescaya kamu mendapati-Nya di hadapanmu (dengan pertolongan-Nya), Kenallah Allah dalam kesenangan, pasti Dia mengenalmu dalam kesusahan dan sabdanya lagi, ketahuilah kemenangan ada bersama kesabaran.”
    Sekiranya kita cenderung melihat masalah sebagai rintangan kepada kejayaan, berusahalah menguatkan hati dan mengubah pemikiran dan melihatnya sebagai peluang berjaya. Kaedah pertama ialah melaluinya dengan sabar dengan membayangkan nikmat kesenangan hidup yang lebih luas dan tidak terhitung dianugerahkan Allah SWT. Kejayaan yang diraih hasil kesabaran lebih indah untuk dikenang, kerana di sebalik kemanisan itu ada pengalaman pahit dan sukar. Pengalaman itu mampu melahirkan kemahiran yang diperlukan dalam melahirkan individu profesional dalam organisasi.

    Kesabaran adalah rahsia kejayaan. Ia dinyatakan lebih daripada 90 kali dalam pelbagai bentuk dalam al-Quran. Ibn Taimiyyah pernah ditanya: “Dengan cara apakah kepemimpinan diperoleh? Dia menjawab dengan kesabaran dan keyakinan seperti firman Allah SWT bermaksud:
    “Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar dan meyakini ayat kami.” (Surah al-Sajdah, ayat 24)

    Kedua membina ketahanan diri melalui solat sebagai perisai. Justeru, peliharalah solat, berdoa dan perbanyakkan beristighfar kepada Ilahi agar diberikan hikmah dan kejayaan yang diberkati.

    Dalam kesibukan kita mencari rezeki, jangan sampai menggadaikan solat atau menjadikannya sebagai penguat diri hanya ketika ditimpa kesusahan. Usaha menyediakan ruang solat yang selesa di tempat kerja perlu dilihat sebagai kewajipan organisasi dalam memelihara solat warga kerjanya. Jangan hanya kebajikan atau tanggungjawab sosial diberi keutamaan sedangkan tiada peruntukan menyediakan ruang beribadat yang selesa.

    Ketiga, hendaklah kita sentiasa bersiap sedia. Dalam konteks organisasi, pelbagai perancangan strategik boleh dilakukan, termasuk usaha menguatkan akal dan hati dengan menentukan hasrat mencapai kejayaan. Penentuan ini mampu memberi tenaga dalam mengorak strategi. Kata-kata hukama ada menyebut matlamat yang ingin dicapai adalah rahmat Allah. Jika tidak, ibu enggan mengandung dan petani enggan bercucuk tanam. Ertinya, kerana membayangkan hasrat yang ingin dicapai iaitu zuriat dan hasil tanaman itulah, maka ibu dan petani sanggup mengharungi kepayahan.

    Selain itu, kita perlu memelihara hubungan dengan persekitaran dengan memupuk kemahiran interpersonal atau interpersonal kompeten seperti memahami watak, sikap rakan sekerja, memupuk sifat empati, menghormati dan bertanggungjawab. Insya-Allah, kita pengemudinya selepas dayung ada di tangan dan dengan sifat tawakal, Allah SWT akan memudahkan segala kepayahan.

    Wednesday, June 22, 2011

    ~ menjunjung Islam nan gemilang ~



    1. Hukum Menulis Ayat-Ayat al-Quran Mengikut Reka bentuk Alat Permainan Seperti Wau, Tumbuhan, Bunga-Bungaan dan Seumpamanya.Keputusan:

    Penulisan ayat-ayat al-Quran dan hadis dalam bentuk hiasan yang keterlaluan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kesukaran kepada pembaca adalah dilarang.

    ii. Penulisan khat ayat al-Quran dan hadis boleh dibuat dengan syarat ditulis dengan betul dan dapat dibaca dengan mudah dan jelas.

    iii. Tulisan khat ayat al-Quran dan hadis tidak boleh dicampuradukkan dengan ayat lain sehingga boleh mengelirukan pembaca.

    iv. Tulisan khat ayat al-Quran dan hadis mestilah ditulis dengan sempurna dan susunan ayat-ayatnya tidak boleh terputus-putus sehingga mencacat atau mengelirukan atau mengubah maknanya.

    v. Tulisan seni khat yang mengelirukan dan menghilangkan tujuan ayat-ayat al-Quran dan hadis diturunkan iaitu untuk dibaca, difahami dan dihayati adalah dilarang.

    vi. Sekiranya tulisan seni khat ini yang diambil dari kata-kata hikmah, syair dan seumpamanya dalam tulisan jawi adalah diharuskan.

    vii. Walau bagaimanapun tulisan khat ayat al-Quran dan hadis tertakluk di bawah Akta Percetakan Teks al-Quran 1986, Kementerian Dalam Negeri.Tarikh diputuskan: 6 September 2005


    2. Hukum Skim Pinjaman Wang/Pembiayaan Daripada Koperasi Dan Seumpamanya Untuk Menunaikan Haji . Keputusan:

    i. Adalah harus seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau umrah sekiranya diyakini mampu membayar balik hutang tersebut dan ia tidak menjejaskan kehidupan normalnya; dan

    ii. Skim pinjaman tersebut hendaklah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkan prinsip ikhlas, adil dan telus dalam operasinya di samping bebas dari unsur-unsur riba.Tarikh keputusan: 6 September 2005. Diwartakan pada 25 Mei 2006


    3. Hukum Menggunakan Alat-Alat Bantuan Untuk Tujuan Hubungan Kelamin . Keputusan:Harus menggunakan alat-alat bantuan untuk tujuan hubungan kelamin bagi suami dan isteri dengan syarat:

    i. Tidak mendatangkan kemudaratan dari segi fizikal ataupun mental sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

    ii. Alat yang digunakan bukan daripada bahan yang najis.

    iii. Hendaklah persetujuan bersama di antara suami dan isteri.

    iv. Digunakan untuk tujuan kebaikan bagi perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja.Tarikh keputusan: 15 November 2005. Diwartakan pada 15 Mac 2007


    4. Hukum Rakaman Lagu-Lagu Nasyid Berbentuk Doa . Keputusan:

    i. Nyanyian dan senikata yang memuji Allah dan rasul atau keindahan makhluk Allah atau kepada tanggungjawab atau mengenai sifat bertakwa kepada Allah SWT adalah diharuskan.

    ii. Jika nyanyian secara berkumpulan di antara lelaki dan perempuan sama ada semasa persembahan atau latihan adalah diharuskan sekiranya tidak bercampur di antara lelaki dan perempuan.

    iii. Penyanyi tidak boleh mempersembahkan nyanyian dengan gaya yang memberahikan dan boleh menimbulkan fitnah.

    iv. Penyanyi hendaklah memakai pakaian yang menutup aurat.

    v. Tidak memuji makhluk Allah berlebihan bermaksud tidak terkeluar daripada syarak.

    vi. Sekiranya terdapat ayat-ayat al-Quran yang digunakan sebagai nasyid hendaklah dibaca mengikut hukum tajwid.Tarikh keputusan: 15 November 2005. Diwartakan pada 15 Mac 2007


    5. Hukum Menulis Dan Menerbit Bahan-Bahan Yang Mengandungi Ayat-ayat al-Quran, Hadis Beserta Pandangan-Pandangan Agama Lain (Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian).Keputusan:

    Menulis dan menerbitkan bahan-bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran, hadis beserta pandangan-pandangan agama lain (Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian) adalah dilarang kecuali pandangan Islam dan ayat-ayat al-Quran serta hadis diasingkan daripada agama lain dan agama Islam perlu mendominasikan keseluruhan penerbitan tersebut.Tarikh keputusan: 15 November 2005

    ~ keadilan dalam kehakiman ~


    TATACARA perbicaraan di Mahkamah Syariah dipandu oleh Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah setiap negeri. Walaupun ada seksyen dan peruntukan yang berbeza, secara umumnya maksud yang ingin dinyatakan dalam undang-undang itu adalah sama.

    Seksyen 127 Enakmen Tatacara Mal memperuntukkan: Demi kepentingan keadilan, mahkamah boleh, pada mana-mana peringkat prosiding, memanggil mana-mana pihak untuk mengemukakan keterangan dan boleh memeriksa mana-mana tempat atau barang.
    Maksudnya, mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan mana-mana pihak sama ada plaintif, defendan atau saksi hadir semula ke mahkamah untuk memberi keterangan, walaupun peringkat keterangan pihak itu sudah berlalu. Hakim bicara juga boleh pergi ke mana-mana premis atau tempat untuk memastikan segala dakwaan dikemukakan itu benar, jika hakim berpendapat perlu untuk berbuat demikian. Kaedah memanggil semula pihak ini boleh dibuat demi kepentingan keadilan.

    Sub-seksyen 92 (4) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah menjelaskan perkara ini dengan memperuntukkan, mahkamah boleh dalam segala hal membenarkan seseorang saksi dipanggil semula sama ada untuk pemeriksaan utama selanjutnya atau pemeriksaan balas selanjutnya dan jika mahkamah membenarkan sedemikian, maka pihak mempunyai hak muntuk membuat pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula selanjutnya.

    Memanggil semula untuk memberi keterangan bagi memastikan tidak ada yang disembunyikan kerana perbuatan itu dilarang keras.

    Allah berfirman yang bermaksud:
    “Sesungguhnya orang yang menyembunyikan sebahagian keterangan dan petunjuk yang telah Kami turunkan dan Kami terangkan kepada manusia dalam kitab, mereka itu akan dilaknat Allah dan orang yang melaknat. Kecuali mereka yang telah bertaubat dan berbuat baik serta mahu menjelaskannya, maka akan Aku terima taubatnya dan Aku adalah Maha Menerima Taubat dan Belas Kasihan.” (Surah al-Baqarah, ayat 159-160)

    Keterangan penting di Mahkamah Syariah kerana keadilan adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah dalam semua aspek dan keadaan.
    Firman Allah yang bermaksud:
    “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan ini) supaya kamu mengambil peringatan.” (Surah an-Nahl, ayat 90)


    Dalam satu riwayat, Saidina Ali telah diutus untuk menjadi kadi di Yaman: “Rasulullah telah mengutuskan aku ke Yaman sebagai kadi. Aku berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, tuan mengutuskan saya (menjadi kadi) sedangkan saya masih muda dan tidak mengetahui mengenai kehakiman? Rasulullah berkata: Sesungguhnya Allah memberikan hidayat-Nya di hatimu dan menetapkan lidahmu, jika engkau duduk menghakimkan antara dua orang yang bertikai janganlah engkau membuat keputusan sehingga kau telah mendengar (hujah) yang satu lagi seperti kau telah mendengar yang pertama, dengan demikian hukuman akan jelas. Saidina Ali berkata: Sejak itu aku terus menjadi kadi dan aku tidak pernah ragu-ragu dalam membuat keputusan selepas itu.”

    Tuesday, June 21, 2011

    ~ Imam Syatibiy al-Muqri' ~


    DALAM dunia Islam banyak terdapat persamaan nama ulama antaranya Imam Syatibiy. Jika mereka yang mendalami ilmu syariat, nama Imam Syatibiy tidak asing kerana beliau adalah seorang tokoh perundangan yang menghasilkan banyak buku yang menjadi rujukan antaranya kitab al-Muwafaqat danal-I'tisam.

    Nama penuh Imam Syatibiy yang mengarang kitab al-Muwafaqat ialah Ibrahim Ibn Musa Ibn Muhammad al-Syatibiy dan beliau meninggal dunia pada tahun 790 hijrah.

    Sementara Imam Syatibiy yang menjadi tokoh qiraat pula bernama al-Qasim ibn Firruh Ibn Khalaf Ibn Ahmad al-Syatibiy. Beliau meninggal dunia pada tahun 590 hijrah.

    Walaupun kedua-duanya berasal dari Syatibah di Andalus, tetapi kedua-duanya berbeza kepakaran ilmu dan hidup dalam dua zaman yang berlainan. Ini bermaksud jika yang bercakap tentang Imam Syatibiy dalam bidang perundangan dia adalah pengarang kitab Muwafaqat. Jika penceramah dalam bidang qiraat selalu menyebut nama Imam Syatibiy ia adalah pengarangMatn Syatibiy.

    Karya agung yang dihasilkan oleh Imam Syatibiy al-Muqri' dan sehingga kini menjadi rujukan di pusat pengajian tinggi al-Quran dalam dan luar negara adalah Hirzu al-Amani wa Wajhu al-Tahani atau terkenal dengan nama Matn Syatibiy.

    Imam Syatibiy yang alim ilmu qiraat ini walaupun cacat penglihatan namun pandangan hatinya begitu tajam dan Allah menganugerahkan kepadanya kepandaian yang jarang dimiliki insan lain.

    Matn Syatibiy yang dihasilkan itu ditulis dalam bentuk syair berjumlah 1,173 rangkap dan kesemua rangkap syairnya itu berakhir dengan huruf lam.

    Beliau menerima ilmu Qiraat dan mendalaminya daripada Sheikh Abi Abdillah Muhammad Ibn abi al-'As al-Nafazi. Selepas itu beliau membaca kitab Qiraat yang dikarang oleh Abu Amru al-Dani iaitu al-Taisir secara hafalan di hadapan gurunya Ibn Huzail.

    Selain itu, beliau juga pakar dalam ilmu hadis dan mampu memperbetulkan hadis-hadis yang salah dibaca daripada kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Kitab Muwatta' Imam malik berdasar kepada hafalannya.

    Ketika beliau menziarahi Mesir, pemerintah Mesir ketika itu meraikan dan menghormatinya. Pemerintah Mesir juga memberi segala kemudahan dan bantuan kepada Imam Syatibiy antaranya melantiknya menjadi ketua guru qiraat di sebuah pusat pengajian Quran di Kaherah.

    Menurut Sheikh Abdul Fattah al-Mirsafi, ketika Imam Syatibiy berada di Mesir inilah beliau telah menulis Matn Syatibiy dan Matn Nazimat al-Zuhri dalam Ilmu fawasil.

    Matn Syatibiy mendapat tempat dalam arus pembelajaran ilmu qiraat dengan pengaruh yang amat kuat kerana dua sebab utama. Pertama, murid-murid Imam Syatibiy adalah ulama yang amat berpengaruh, menjadi nadi kepada pengajar Matn Syatibiy dan antara mereka ialah muridnya Imam al-Sakhawi iaitu pengarang kitab Jamal al-Qurra.

    Faktor kedua, rujukan utama Matn Syatibiy adalah kitab al-Taisir karangan Imam al-Dani yang popular sebelumnya dan diterima ramai. Justeru apabila metod ditukar kepada bentuk syair atau nadham ia mudah untuk dihafal dan menguasai ilmu Qiraat Tujuh.

    Di Mesir, Matn Syatiby masih lagi sehingga kini menjadi sukatan pelajaran ilmu Qiraat di peringkat 'Aliyah di Maahad Qiraat.

    Di Kuliyyah Quran, Universiti Islam Madinah, Matn Syatibiy menjadi sukatan pelajaran di tahun satu pengajian hingga ke tahun tiga.

    Sehingga hari ini banyak ilmu Imam Syatibiy diamalkan sehinggalah penulisan al-Quran dan pembacaannya selalu disebut adalah mengikut riwayat Hafs dari Qiraat Imam 'Asim dan dari Tariq Syatibiy.

    ~ Al-'Adatu Muhakkamah ~


    DALAM proses ijtihad, para mujtahid akan merujuk kepada sumber-sumber utama syariah Islam iaitu al-Quran dan sunnah. Namun, pelaksanaan hukum-hakam tersebut akan mengambil kira situasi semasa dan kebiasaan masyarakat di sesuatu tempat itu.

    Perlu difahami bahawa kedudukan sesuatu hukum itu tidak tertakluk mutlak kepada gambaran situasi semasa. Ia tetap didasari dengan wahyu Allah SWT. Namun, adat hanyalah salah satu faktor yang akan dipertimbangkan oleh para ulama dalam mengeluarkan hukum.

    Justeru, melihat kepada adat sebagai salah satu faktor penyumbang kepada ketentuan hukum, maka para ulama telah menggagaskan sebuah kaedah fiqh iaitu 'Al-'Adatu Muhakkamah yang bermaksud, adat dijadikan hakim.

    Kaedah ini berdasarkan beberapa dalil. Salah satunya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud yang bermaksud:

    Apa yang dinilai oleh kaum muslimin sebagai baik, maka ia adalah baik di sisi Allah, dan apa yang dinilai buruk oleh kaum muslimin, maka buruklah ia di sisi Allah (riwayat Bukhari).

    Walaupun terdapat perbincangan di kalangan ulama tentang kedudukan Hadis ini sebagaimana yang ditakhrijkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya, tetapi maksud hadis tersebut bertepatan dan tidak bertentangan dengan akal. Justeru, banyak permasalahan fikah yang mengambil kira adat atau uruf di sesuatu tempat khususnya perkara yang tidak dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadis.

    Perkara yang paling penting dalam memahami adat serta uruf yang diiktiraf di sisi para ulama adalah ia perlu bertepatan dengan Al-Quran dan Hadis. Jika ia bertentangan dengan kedua-dua sumber utama berkenaan, maka ia tertolak.

    Sebagai contoh, keadaan masyarakat di sebuah tempat yang menerima riba sebagai suatu kebiasaan dalam urusniaga. Apabila memberikan pinjaman, mereka akan meminta bayaran yang lebih dan ia diterima oleh masyarakat berkenaan.

    Ia tidak dianggap zalim dan mereka yang terlibat dalam transaksi tersebut bebas melakukan riba. Adat ini tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan al-Quran, hadis dan ijmak ulama.

    Demikian juga apabila masyarakat telah menganggap tarian yang mendedahkan aurat sebagai seni dan adat yang perlu dikekalkan. Adat seumpama ini juga tidak boleh dijadikan hukum kerana jelas bertentangan dengan syariah.

    Adat yang boleh diambil kira sebagai hukum juga hendaklah menepati maslahah iaitu ia membuka ruang kebaikan dan menolak kemudaratan.

    Maslahah ini hendaklah meliputi kesemua umat Islam bukan hanya berkaitan individu-individu tertentu sahaja.

    Pertimbangan para ulama berkenaan dengan masa, orang dan suasana juga dikenali sebagai fiqh waqi'. Beberapa hukum yang pernah diputuskan oleh cendekiawan yang pakar dalam syariah mempunyai kaitan dengan adat dan uruf sebagai pertimbangan hukum. Antaranya, hukum berkaitan had umur baligh, penentuan masa haid dan sebagainya.

    Pernah suatu ketika Nabi SAW ditanya oleh Zaid bin Khalid berkenaan dengan hukum menangkap unta-unta yang terbiar. Nabi menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:

    Apa kaitan kamu dengannya. Biarkannya, kerana ia boleh menjaga diri dan mencari minumannya. Ia akan meminum air dan memakan pepohon yang ada sehinggalah ia dijumpai semula oleh tuannya… (riwayat Muslim)."

    Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Nabi melarang menangkap unta yang tersesat. Hukum ini masih dipraktiskan pada zaman Nabi, Abu Bakar dan Umar al-Khattab.

    Apabila tiba zaman Uthman bin Affan sebagai khalifah, pandangan beliau agak berlainan dengan apa yang disabdakan oleh Nabi. Pada zaman tersebut, Uthman mengarahkan supaya unta-unta yang terbiar ditangkap dan dijual.

    Hasil jualan unta tersebut kemudiannya disimpan sehinggalah dituntut oleh tuan punya unta tersebut. Pada zaman Ali bin Abi Talib pula, beliau mengarahkan supaya unta-unta tersebut ditangkap dan dipelihara di sebuah tempat khas sehinggalah dituntut oleh tuannya.

    Hukum fiqh bersifat semasa

    Pendekatan yang berbeza itu dilaksanakan dengan mengambil kira suasana dan adat masyarakat. Pada zaman Nabi, masyarakat lebih amanah dan bertanggungjawab sedangkan pada zaman Uthman dan Ali, masyarakat semakin meninggalkan agama mereka.

    Ini menunjukkan bahawa kefahaman tentang suasana semasa dan adat setempat adalah amat penting dalam proses ijtihad dan mengeluarkan fatwa.

    Terdapat beberapa lagi contoh aplikasi ijtihad yang mengambil kira adat pada zaman para sahabat r.a seperti hukum talak tiga dengan satu lafaz. Ibnu Abbas r.a meriwayatkan sebuah Hadis yang bermaksud:

    Talak (dengan lafaz tiga talak sekali gus) pada zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar dan dua tahun pemerintahan Umar hanyalah satu. (riwayat Muslim).

    Ini bermakna, pada zaman Umar r.a telah berlaku perubahan di mana lafaz talak tiga sekali gus akan dikira sebagai talak tiga. Ini kerana, Umar berpandangan bahawa keadaan masyarakat dan adat setempat telah berubah.

    Masyarakat pada waktu itu suka bermain-main dengan talak di mana ada di kalangan mereka melafazkan talak sewenang-wenangnya. Jadi, beliau perlu mengetatkan peraturan dan hukuman untuk mendisiplinkan para suami agar tidak menjadikan wanita sebagai mangsa untuk dipermainkan.

    Kesimpulannya, hukum-hukum yang berkaitan dengan fiqh adalah bersifat semasa dan mengambil kira adat sesuatu masyarakat sebagai pertimbangan.

    Ini berlainan dengan perkara yang berkaitan akidah yang bersifat tetap dan tidak berubah. Sifat hukum fiqh yang murunah (fleksibel) ini menyebabkan syariah Islam relevan untuk semua tempat, masa dan keadaan.

    Justeru, tiada alasan untuk kita meninggalkan hukum-hakam dalam meneruskan kehidupan di mana jua kita berada.