Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendirilah yang berusaha mengubahnya. Malah Rasulullah SAW mengingatkan umatnya tidak menjadi generasi 2M iaitu Maqhbun (individu yang rugi dan leka) dan Mal’un (individu dilaknati).
Maqhbun adalah individu yang apabila dua hari dilalui tanpa usaha peningkatan atau penambahbaikian kehidupan, manakala Mal’un pula ialah apabila pencapaian hari ini lebih buruk atau rendah daripada sebelumnya. Islam amat menggalakkan umatnya terus maju dan berusaha ke arah itu, sekali gus membenci umatnya bersifat jumud (statik) atau apa juga sifat yang menghalang peningkatan duniawi dan ukhrawi.
Segala usaha menambah baik kehidupan termasuklah mengubah sifat mazmumah kepada mahmudah seperti suka berprasangka buruk kepada berprasangka baik atau berfikiran positif, cemburu yang membawa kepada hasad dengki yang memakan amalan kebaikan diri kepada usaha meniru kebaikan, sifat lesu, layu, malas dan meminta-minta kepada kegigihan, sifat mudah berputus asa kepada kecekalan. Daripada melaksanakan sistem kerja yang lambat dan birokrasi kepada yang cekap dan efisien, daripada memudahkan urusan sendiri kepada memudahcarakan urusan orang lain, daripada mementingkan keperluan kerja sendiri kepada mengutamakan kepentingan pelanggan dan kebajikan masyarakat. Pada hakikatnya, usaha mencantikkan amal hati dan kebaikan gerak geri itu tidak ada noktah penghujungnya. Malah, usaha mengubah diri kepada kecemerlangan adalah suatu ibadat, sedekah dan termasuk dalam amalan sunnah Rasulullah SAW. Islam mempelopori formula anjakan dan lonjakan kecemerlangan ini dalam menelusuri kehidupan.
Merenungi setiap diri insan sebagai pemimpin mampu menguatkan lagi perasaan bertanggungjawab dalam menunaikan agenda kehidupan. Sama ada pemimpin dalam konteks yang kecil iaitu kepada diri sendiri dan keluarga, ataupun yang luas meliputi masyarakat dan subordinat dalam sesebuah organisasi. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab atas siapa yang dipimpin.” (Riwayat Muslim).
Sekiranya kita pemimpin dalam organisasi, usaha memimpin diri dan warga kerja dengan membudayakan budaya kerja cemerlang dan berkualiti termasuklah mengembangkan potensi pekerja dan perkhidmatan bertaraf dunia dan kelas pertama mampu menjadikan kerja sebagai jihad. Sheikh al-Sya’rani, seorang ahli sufi berpandangan kerja seseorang itu lebih utama berbanding beribadat kerana manfaat beribadat hanya diperoleh orang yang melakukannya (beribadat), sedangkan manfaat individu yang bekerja akan diperoleh bukan sekadar untuk dirinya saja, tetapi keluarganya dan masyarakat selagi ia tidak melalaikannya daripada menunaikan kewajipan kepada Allah SWT. Pandangan al-Sya’rani dipetik berkata: “Alangkah baiknya jika tukang jahit menjadikan jarumnya dan tukang kayu menjadikan gergajinya sebagai tasbih.”
Oleh itu, baca dan renungi inti pati ayat Allah SWT kepada Baginda Rasulullah SAW dalam Surah al-Insyirah, Ayat 1-6 sebagai doa penguat semangat bermaksud: “Bukankah Kami melapangkan untukmu dadamu dan Kami menghilangkan daripadamu beban Yang memberatkanmu dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” :)
No comments:
Post a Comment