Monday, June 13, 2011

~ tips pemanis ukhuwah ~


KITA sering merasakan ingin dihargai tetapi pernahkah kita menghargai orang yang disayangi. Oleh itu, marilah kita menghargai saudara seagama menurut perspektif Islam tanpa menilai rupa, harta dan jagalah adab apabila bersama mereka.
Ada beberapa kepentingan yang harus kita pelihara supaya ukhuwah kekal dalam dakapan menuju reda Allah seperti menjaga sikap, saling menasihati, memahami dan bantu-membantu.

Tiap yang asas itu ada perhiasannya, begitu juga ukhuwah, ada perhiasan yang sesuai. Perhiasan bukanlah sesuatu kewajipan tetapi ia seolah garam dalam makanan dan gula dalam minuman. Apabila dipraktikkan, kekuatan ukhuwah itu makin terasa dan tembok perbalahan tidak akan terbina.
Cara kita menghargai saudara kita ialah dengan memberi hadiah dan antara hadiah itu ialah:

  • Kehadiran
    Kehadiran orang yang dikasihi adalah hadiah yang tidak ternilai harganya. Memang kita boleh hadir dengan menghantar surat, e-mel, laman facebook, telefon, foto dan banyak lagi dengan teknologi canggih kini.

    Namun, dengan berada di samping mereka kita akan dapat berbagi perasaan, perhatian dan kasih sayang secara lebih utuh. Oleh itu, jadikan kehadiran anda sebagai pembawa kebahagiaan.
  • Mendengar
    Sedikit orang yang mampu memberikan hadiah seperti ini, kerana kebanyakan kita lebih suka dirinya didengari berbanding dia mendengar. Keharmonian hubungan antara manusia amat ditentukan oleh kesediaan saling mendengar.

    Dengan mencurahkan perhatian pada segala ucapannya, secara tidak langsung kita juga menumbuhkan kesabaran dan kerendahan hati. Untuk mendengar dengan baik, pastikan anda dalam keadaan tenang supaya dapat memahami apa yang disampaikan.

  • Diam
    Dalam diam juga ada kekuatan. Diam boleh digunakan untuk menghukum, mengusir atau membingungkan orang. Tetapi lebih dari segala-galanya, dia boleh menunjukkan kecintaan kita pada seseorang kerana memberi ruang.

  • Kebebasan
    Mencintai seseorang bukan bererti memberi kita hak penuh untuk memiliki atau mengatur kehidupan orang disayangi. Bolehkah kita mengaku mencintai seseorang jika kita selalu mengekangnya? Memberi kebebasan adalah salah satu bukti cinta.

    Makna kebebasan bukanlah bebas berbuat sesuka hati tetapi memberinya kepercayaan penuh untuk bertanggungjawab atas segala hal yang diputuskan atau dilakukan.

  • Keindahan
    Siapa yang tidak bahagia, jika orang yang disayangi tiba-tiba tampil lebih kacak atau cantik? Tampil indah dan rupawan juga adalah hadiah. Bahkan tidak salah jika anda tampil cantik tiap hari begitu juga memastikan kediaman juga indah.

  • Tanggapan positif
    Sedar atau tidak, kita sering memberi penilaian negatif terhadap fikiran, sikap atau tindakan orang yang kita sayang. Kali ini cuba hadiahkan tanggapan positif, nyatakan dengan jelas dan tulus. Cuba ingat berapa kali dalam seminggu anda mengucapkan terima kasih terhadap apa yang dilakukannya demi anda. Ingat pula, pernahkah anda memujinya. Ucapan terima kasih, pujian dan permintaan maaf adalah hadiah cinta yang sering dilupakan.

  • Kesediaan mengalah
    Tidak semua masalah layak menjadi bahan pertengkaran, apalagi hingga menjadi perbalahan yang hebat. Semestinya anda pertimbangkan apakah ia perbalahan itu berbaloi dan apabila ini berlaku, mungkin ada baiknya anda mengalah.

    Kesalahannya mungkin terlewat tiba untuk temu janji dan itu adalah kali pertama, jadi perlukah pertengkaran dibiarkan berlanjutan. Kesediaan untuk mengalah boleh menghilangkan perasaan sakit hati dan menyedarkan kita bahawa manusia tidak sempurna.

  • Senyuman
    Kekuatan senyuman amat luar biasa lebih-lebih lagi senyuman diberi dengan tulus, boleh menghangatkan hubungan yang dingin dan menjadi semangat kepada yang berputus asa. Senyuman juga isyarat untuk membuka diri kepada dunia sekeliling kita. Senyum itu juga ibadah.

    Mari bersama menilai hadiah apakah yang sudah kita beri kepada yang tersayang dan mana yang belum. Jadikan pemberian hadiah sebagai pengikat kasih sayang yang memperkukuhkan ukhuwah.

    Pecahlah batu dipukul besi, berubah hanya dititis air, mana mungkin jiwa pendakwah dapat merubah sekeping hati melainkan ia bertakhtakan kasih. Selamat menambat hati mad'u !! :)
  • No comments:

    Post a Comment