SOLAT merupakan satu kewajipan dan syiar yang paling utama dalam kehidupan seorang Muslim. Pemisah antara garisan iman dan kufur, menjadi perbezaan antara orang yang beriman dan orang yang kafir adalah solat.
Di dalam al-Quran, solat turut dijadikan sebagai pembukaan sifat-sifat orang yang beriman yang akan memperoleh kebahagiaan, sekali gus menjadi penutup kehidupan.
Al-Quran turut menganggap orang yang meninggalkan solat adalah orang yang sesat dan menyimpang. Adapun yang meninggalkan solat secara berterusan termasuk dalam ciri-ciri orang kafir.
Malah solat juga menjadi ibadah pertama yang akan dipersoal dan dihisab untuk seorang mukmin pada hari kiamat kelak. Ini menunjukkan pentingnya solat dalam kehidupan seharian masyarakat Islam.
Antara perkataan yang menjadi rukun dalam solat adalah takbiratulihram, membaca al-Fatihah (termasuk basmalah), tasyahud akhir, selawat ke atas nabi dan salam yang pertama. Selain itu, perbuatan yang merupakan rukun di dalam solat adalah; berdiri tegak jika mampu, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, duduk pada rakaat terakhir dan tertib.
Ia juga melibatkan hati iaitu melalui niat. Dan pada asalnya, perkataan solat itu adalah merujuk kepada doa atau untuk mengemukakan permohonan di dalam bahasa Arab.
Hikmah solat
Solat merupakan talian langsung antara seorang hamba kepada penciptanya. Hanya orang yang beriman dan beramal soleh akan mendirikan solat.
Melalui solat juga, ia menjadi peluntur dosa-dosa ringan yang paling efisien. Solat juga berperanan dalam memohon segala perkara baik kepada pemohon, dalam bentuk perolehan suatu manfaat atau penghindaran daripada musibah dan petaka.
Solat turut menjadi kekuatan agama Islam. Melaksanakan kewajipan solat fardu diibaratkan membina tiang-tiang untuk memperkukuhkan agama.
Solat juga dapat membina jati diri yang dilihat mempunyai tiga keistimewaan iaitu ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Sekiranya solat yang didirikan tidak mempunyai ketiga-tiga perkara ini, maka solat tersebut akan dianggap tidak berfaedah sama sekali. Ini berdasarkan kepada Tafsir al-Azhar, Imam Abu al-Aliyah.
Solat turut menjadi kekuatan jiwa seseorang apabila ia didirikan sehingga mampu meninggalkan maksiat dan kemungkaran.
Malahan, ia menjadi cahaya kepada kehidupan di dunia dan untuk di akhirat kelak. Keberuntungan melakukan solat ini juga dapat dilihat apabila solat dapat meninggikan kedudukan dan menghapuskan kesalahan.
Kelebihan solat juga dilihat apabila solat merupakan penawar kepada tekanan perasaan. Solat dapat menenangkan jiwa yang kusut dan tertekan. Hal ini adalah disebabkan kerana solat mengandungi zikir-zikir yang mampu mendamaikan hati.
Rasulullah SAW sendiri mengakui hakikat zikir dapat mengubat jiwa yang resah seperti di dalam sabdanya: "Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat." (riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Adab: Bab Solat Malam).:)
No comments:
Post a Comment