Saturday, June 18, 2011

~ jalinan kasih ~


Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 34 bermaksud: “Golongan lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita.”

Mengikut sebahagian ulama lain berpandangan bahawa urusan rumah dan mengurus anak diserahkan kepada wanita. Dalilnya seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228 mengenai isteri yang bermaksud: “Dan mereka (wanita) mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf (maklum).”
Maksud al-Makruf dalam firman Allah SWT tadi ialah berkhidmat kepada suami. Pandangan mengenai membuat isteri bersenang-senang sementara lelaki melaksanakan urusan rumah tangga seperti menyapu, memasak, membasuh dan lain-lain bukanlah perkara yang makruf khususnya lelaki bekerja membanting tulang di luar rumah. Maka yang adil, sewajarnya wanita berperanan melaksanakan tugas-tugas rumah.

Sesungguhnya setiap hak itu mestilah seimbang dengan kewajipan. Allah SWT sudah menugaskan suami untuk memenuhi hak-hak isterinya seperti belanja, pakaian, tempat tinggal dan makan, maka sewajarnya isteri melaksanakan tugas yang seimbang dengan hak-hak yang dikorbankan suami kepadanya sebagai balasan dari pengorbanannya.

Adapun pendapat yang mengatakan bahawa mahar dan nafkah dibebankan ke bahu suami sebagai balasan daripada kelazatan yang diperolehnya daripada wanita ialah pendapat yang kurang tepat kerana kelazatan itu sama-sama dirasakan suami isteri.

Ibnu al-Qayyim RHM berkata dalam kitab al-Huda: “Sesungguhnya akad yang mutlak dihukum sesuai menurut kebiasaan. Justeru menurut kebiasaannya, wanitalah yang perlu berkhidmat kepada suami bagi melaksanakan tugas rumah. Kemudian Ibnu al-Qayyim menyebut firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”

Oleh itu, jika wanita tidak berkhidmat kepada lelaki, malah lelaki yang perlu berkhidmat kepadanya, bererti wanitalah yang menjadi pemimpin bukannya lelaki.

Mari kita amati bagaimana isteri-isteri sahabat melayan suami. Sebagai contoh Asma’ Abu Bakar berkata mengenai bagaimana beliau melayan Zubair RA, iaitu: “Saya melayan Zubair (suaminya) dan melaksanakan semua urusan rumah. Di samping itu, dia memiliki kuda, maka sayalah yang melatihnya, memberi kudanya rumput dan mengurusnya.”

Fatimah al-Zahra,’ penghulu semua wanita turut serta berkhidmat kepada Ali dan melaksanakan urusan rumahnya seperti membuat tepung, mengadun, membuat roti dan menggiling. Dia dan suaminya pernah mengadu mengenai tugas mereka. Rasulullah SAW memutuskan supaya Fatimah berperanan melakukan tugas dalam (rumah) manakala Ali berperanan melakukan tugas luar.

Ibnu Hubaib berkata: “Maksud tugas dalam ialah membuat tepung, memasak, membentang tikar, menyapu rumah, mengambil air dan semua kerja rumah.”

Demikianlah, wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment