ISLAM merupakan agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada manusia. Sebab itu, jika diamati al-Quran dan sunnah, kita akan dapati bahawa sesungguhnya hukum-hakam syariah cenderung kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan.
Ia kemudian disusuli dengan penyelesaian yang boleh membawa kepada kemaslahatan. Daripada kerangka inilah, timbulnya hukum-hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.
Mudarat adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya kepada keperluan asas manusia seperti agama, diri, keturunan, akal dan harta.
Biasanya, apabila terjadinya sesuatu yang mudarat itu, ia akan menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kesusahan, kerugian dan pelbagai bebanan dalam kehidupannya.
Mudarat sebenarnya adalah ancaman yang mengundang bahaya dalam kehidupan manusia. Terdapat pelbagai jenis mudarat yang telah diklasifikasikan oleh para ulama.
Antaranya, mudarat kecil dan mudarat besar, mudarat khusus dan mudarat umum, mudarat jangkamasa pendek dan mudarat jangka masa panjang.
Sejajar dengan itu, para ulama telah menggagaskan kaedah fiqh ini yang bermaksud semua kemudaratan mesti dihapuskan. Asas utama kepada kaedah ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: Tiada mudarat dan tidak memudaratkan (riwayat Bukhari dan Muslim).
Di bawah kaedah ini, terdapat beberapa kaedah pecahan. Kaedah pertama adalah kaedah 'Keadaan Darurat Mengharuskan Perkara Yang Haram'.
Ia bermaksud, apabila kita berhadapan dengan keadaan yang mendatangkan mudarat kepada diri, maka diharuskan pada waktu itu untuk melakukan perkara yang haram.
Sebagai contoh, seseorang yang berada dalam keadaan tersangat lapar kerana tidak memperolehi makanan yang halal untuk tempoh masa yang agak lama.
Pada waktu itu, dia boleh memakan makanan yang haram setelah dia berusaha sedaya-upaya mencari makanan yang halal. Keharusan memakan makanan yang haram itu disebabkan keadaannya pada waktu itu terdesak.
Namun, keharusan itu hanyalah sekadar untuk melepaskan keadaannya dalam keadaan darurat dan dia tidak boleh mengambil kesempatan untuk berlebih-lebihan serta tidak cenderung untuk melakukannya melainkan kerana keadaan pada waktu itu memaksanya.
Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 173)
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Maidah: 3)
Apabila seseorang itu diancam nyawanya supaya dia mengucapkan kalimah kufur, maka Islam membenarkannya asalkan hatinya tetap dalam keimanan.
Ini sebagaimana yang berlaku kepada Ammar bin Yasir yang telah memilih rukhsah iaitu mengucapkan kalimah kufur dalam keadaan darurat. Namun hatinya tetap dalam keimanan. Perbuatan Ammar itu adalah dibenarkan dan diakui oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar. (an-Nahl: 106)
Keharusan bukan selama-lamanya
Kaedah pecahan yang seterusnya adalah apa yang diharuskan dalam keadaan darurat dikira mengikut kadar keperluannya sahaja.
Kaedah ini sebenarnya mengkhususkan kaedah yang pertama. Ini bermakna, keharusan perkara haram itu bertempoh dan tidak selama-lamanya. Apabila terkeluar dari keadaan darurat, maka keharusannya terhapus dan ia kembali haram.
Hukum yang berkaitan dengan kaedah ini antaranya ialah sekiranya tiada doktor wanita, dibolehkan untuk pesakit wanita menggunakan khidmat doktor lelaki untuk mendapatkan rawatan. Namun, doktor lelaki tersebut hanya dibolehkan melihat dan menyentuh tempat yang sakit sahaja sekiranya perlu.
Begitu juga, seseorang itu boleh menceritakan tentang keburukan orang lain ketika perlu seperti apabila ditanya oleh bakal isteri orang tersebut.
Kaedah yang seterusnya adalah kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan. Ini bermakna umat Islam tidak boleh menolak sesuatu kemudaratan dengan menggunakan mudarat yang lain.
Sebagai contohnya, seseorang itu tidak boleh merosakkan kehidupan orang lain demi menyelamatkan kehidupannya.
Namun begitu, mudarat ini boleh ditolak dengan mengambil mudarat yang lebih ringan. Ini berlaku apabila berlaku pertembungan di antara dua mudarat.
Maka, kita perlu memilih mudarat yang lebih ringan atau kecil. Ini terkandung di bawah kaedah pecahan 'Apabila Terdapat Pertentangan Di Antara Dua Kemudaratan, Dihindarkan Yang Lebih Berat Dengan Mengambil yang Lebih Ringan'.
Dalam bidang muamalat Islam, para ulama dan sarjana ekonomi Islam banyak mengguna pakai kaedah fiqh keempat ini dalam berhadapan dengan situasi yang ada pada hari ini.
No comments:
Post a Comment