Thursday, June 30, 2011

~ membina jiwa rabbani ~



ISLAM adalah satu sistem kehidupan yang lengkap dan teratur. Syariat Islam adalah daripada Allah SWT. Ia umpama sebuah jalan yang melorongkan sesiapa sahaja yang melaluinya ke jalan kebahagiaan yang sejati dan sebenar-benarnya.

Dengan kata lain, jalan kebahagiaan itu sudah terbentang lurus di hadapan, namun persoalan kenapa kita masih memilih jalan kesengsaraan yang bersimpang siur!

Firman Allah:

Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti).
(al-Maidah: 48)

Demikian juga dengan sistem ekonomi Islam. Ia lahir melalui wahyu Allah iaitu al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Kaya dengan segala kekuasaan, maka sebarang sistem yang datang daripada-Nya juga adalah yang terbaik.

Inilah keyakinan yang perlu ada dalam diri setiap umat Islam. Mempertikaikan sistem Islam bermakna kita meragui sistem yang datang daripada Allah.

Antara prinsip-prinsip ekonomi Islam ialah rabbaniah. Ia bermaksud bahawa ekonomi Islam berkait rapat dengan ketuhanan atau ilahiah bukan hanya berlandaskan kepentingan material.

Sengaja di ketengahkan perkara ini kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga kita terlupa untuk menjaga dan memelihara prinsip-prinsip ekonomi Islam yang bersifat tetap dan tidak berubah walaupun berubahnya zaman, lokasi dan manusia.

Dalam menggerakkan ekonomi Islam, individu-individu yang terlibat mesti mengambil kira batasan-batasan Syariah yang telah ditetapkan oleh Allah. Ini kerana, sebagaimana sembahyang dan puasa, sistem ekonomi Islam juga ada kaitannya dengan dosa pahala, syurga dan neraka. Islam mempunyai cara, pemahaman dan nilai-nilai ekonomi yang berbeza dengan ekonomi ciptaan manusia.

Rabbaniah boleh diperbincangkan dalam dua konteks kefahaman.

Kefahaman yang pertama tentang prinsip rabbaniah dalam sistem ekonomi Islam adalah keyakinan bahawa sistem ekonomi Islam dalam segi dasarnya adalah unggul dan terbaik kerana ia datang daripada Allah dan Nabi Muhammad.

Justeru, mereka yang terlibat dalam menggerakkan ekonomi ini tidak akan merasa sangsi dengan keberkesanan dan kebaikan sistem ekonomi ini. Keyakinan ini sangat penting terutama apabila kita gagal mencari hikmah dari pensyariatan sesuatu hukum.

Sebagai contoh, tidak semua umat Islam faham apakah hikmah di sebalik pengharaman riba. Lebih-lebih lagi pada zaman yang begitu mencabar ini.

Riba seolah-olah menjadi kebiasaan dan rata-rata menganggapnya tidak mengapa bak kata peribahasa Melayu alah bisa tegal biasa

Namun, bagi orang yang beriman kepada Allah SWT apabila al-Quran dan hadis dengan jelas mengharamkan riba, mereka tidak akan berlengah-lengah meninggalkan riba dan saki-bakinya tanpa sebarang keberatan. Inilah bukti iman kita kepada Yang Maha Esa.

Firman Allah yang bermaksud:

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad). Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya (an-Nisa': 65).

Kefahaman rabbaniah yang kedua pula adalah segala aktiviti yang dijalankan untuk menggerakkan ekonomi bertujuan mendapatkan keredaan Allah. Mereka yang memahami konsep ini akan memastikan segala pengurusan dan aktiviti ekonomi yang dijalankan tidak mengandungi sebarang perkara yang haram kerana ia pasti dimurkai oleh Allah.

Orang yang memahami tujuan mereka menuju Allah akan menganggap bahawa kegiatan ekonomi yang dijalankan semuanya adalah manifestasi kehambaan kepada Allah.

Kefahaman ini boleh diterapkan dalam diri jika kita memahami bahawa setiap harta yang diperolehi sebenarnya adalah pinjaman daripada Allah. Maka sebagai peminjam kita perlu mematuhi segala terma dan syarat yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman.

Sebab itulah, Allah akan mempersoalkan perolehan harta serta penggunaannya. Setiap nilaian harta akan diperincikan oleh Allah sebagai perhitungan di akhirat kelak.

Abu Barzah r.a, meriwayatkan bahawa Nabi bersabda:

"Tidak berganjak kedua kaki seseorang hamba (di hadapan Allah) pada hari kiamat, sehingga terlebih dahulu akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya." (riwayat al-Tarmizi)

No comments:

Post a Comment