ADA beberapa hujah sebahagian pihak yang tidak bersetuju dengan Islam, memberi gelaran negatif kepada umat Islam tanpa memisahkan antara ajaran agama dan amalan agama. Ajaran agama itu suatu yang bersifat benar jika dinilai pada teksnya. Sedangkan amalan agama ada kala melanggar ajaran agama yang telah ditetapkan.
Justeru, gelaran pengganas, ‘fundamentalis’ dan sebagainya memberi kesan buruk kepada umat Islam seluruh dunia. Dakwaan penyebaran Islam tersebar melalui mata pedang dan peperangan adalah dakwaan bersifat tidak adil.
Sejarawan terkemuka, De Lacy O’ Leary dalam bukunya Islam at The Cross Road mengatakan, legenda orang Islam fanatik menyapu dunia dan memaksakan Islam sampai menggunakan pedang atas bangsa yang ditakluki adalah satu mitos luar biasa yang pernah diulang-ulang sejarawan.
Al-Quran meletakkan panduan jelas mengenai Islam. Firman Allah yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” (Surah al-Baqarah, ayat 256)
Said Hawwa menyatakan, agama Islam tidak memaksa manusia menganutinya. Ayat itu juga diulas oleh Syed Qutb yang menyatakan akidah menyentuh soal penerimaan dengan rela hati dan ia tidak boleh berlaku secara paksa.
Menurut al-Qurtubi, Ibnu Abbas melaporkan Rasulullah SAW beria-ia mahu mengislamkan semua manusia di bumi. Lalu ayat ini turun mengingatkan beliau bahawa manusia tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam. Ia berasaskan kepada hidayah Allah.
Sejarah membuktikan kaum Muslimin memerintah Sepanyol selama hampir 800 tahun tidak pernah menggunakan pedang mereka untuk memaksa orang berpindah agama. Sehinggalah datangnya penjajahan terhadap orang Muslim di Sepanyol yang menyaksikan pembunuhan besar-besaran dan tidak ada seorang Muslim di Sepanyol boleh mengalunkan azan secara terang-terangan.
Orang Muslim menguasai tanah Arab selama 1,400 tahun. Jika pedang digunakan sebagai alat menyebarkan Islam, tidak mungkin 14 juta orang Arab memeluk Kristian Koptik selama ratusan generasi.
Begitu juga kisah pemerintahan Muslim di India sekitar 1,000 tahun. Majoriti penduduk India bukan beragama Islam. Jika pedang alatnya, sudah pasti semua penduduk di India akan memeluk Islam.
Bagaimana dengan Islam di Malaysia dan Indonesia. Pasukan tentera manakah yang menyerang dengan pedang sehingga menyebabkan tersebarnya Islam di kedua negara ini. Begitu juga penyebaran Islam di pesisir timur Afrika.
Pedang yang dimaksudkan adalah pedang intelektual. Nabi Muhammad SAW menakluk hati dan pemikiran manusia dengan pedang intelektual sejajar saranan al-Quran.
Firman Allah yang bermaksud:
“Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berbantahlah dengan mereka menggunakan cara yang baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)
Disebabkan pendekatan inilah kita menyaksikan peningkatan tertinggi penganut agama Islam. Artikel Readers Digest Almanac pada 1986 menunjukkan data statistik peningkatan peratusan agama di dunia dari 1934 hingga 1984 yang mengatakan Islam menduduki tangga teratas iaitu sebanyak 235 peratus.
Persoalannya, peperangan apakah yang meletus sehingga tersebar Islam di seluruh dunia.
Islam melarang perbuatan membenci dan memerangi orang bukan Islam. Malah, al-Quran menggalakkan umat Islam berlaku adil dan membuat kebajikan dalam berinteraksi dengan bukan Islam.
Firman Allah yang bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)
Hassan al-Basri melaporkan, apabila Rasulullah SAW menerima tawanan perang terdiri daripada bukan Islam, Baginda menyerahkan mereka pada sebahagian orang Islam untuk dijaga selama dua atau tiga hari.
Baginda mengarahkan supaya orang Islam berbuat baik pada tawanan itu, lalu mereka lebih mengutamakan tawanan perang berbanding diri sendiri. Dakwaan tersebarnya Islam serata dunia kesan penjajahan melalui kezaliman umat Islam terbukti tidak benar.
Bukan sekadar teks agama dan akhlak toleransi Rasulullah SAW sebagai bukti kesalahan dakwaan itu tetapi turut disokong sejarawan dan kisah lampau yang tidak boleh ditutup nilai sejarahnya. :)
No comments:
Post a Comment