Wednesday, June 22, 2011

~ menjunjung Islam nan gemilang ~



1. Hukum Menulis Ayat-Ayat al-Quran Mengikut Reka bentuk Alat Permainan Seperti Wau, Tumbuhan, Bunga-Bungaan dan Seumpamanya.Keputusan:

Penulisan ayat-ayat al-Quran dan hadis dalam bentuk hiasan yang keterlaluan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kesukaran kepada pembaca adalah dilarang.

ii. Penulisan khat ayat al-Quran dan hadis boleh dibuat dengan syarat ditulis dengan betul dan dapat dibaca dengan mudah dan jelas.

iii. Tulisan khat ayat al-Quran dan hadis tidak boleh dicampuradukkan dengan ayat lain sehingga boleh mengelirukan pembaca.

iv. Tulisan khat ayat al-Quran dan hadis mestilah ditulis dengan sempurna dan susunan ayat-ayatnya tidak boleh terputus-putus sehingga mencacat atau mengelirukan atau mengubah maknanya.

v. Tulisan seni khat yang mengelirukan dan menghilangkan tujuan ayat-ayat al-Quran dan hadis diturunkan iaitu untuk dibaca, difahami dan dihayati adalah dilarang.

vi. Sekiranya tulisan seni khat ini yang diambil dari kata-kata hikmah, syair dan seumpamanya dalam tulisan jawi adalah diharuskan.

vii. Walau bagaimanapun tulisan khat ayat al-Quran dan hadis tertakluk di bawah Akta Percetakan Teks al-Quran 1986, Kementerian Dalam Negeri.Tarikh diputuskan: 6 September 2005


2. Hukum Skim Pinjaman Wang/Pembiayaan Daripada Koperasi Dan Seumpamanya Untuk Menunaikan Haji . Keputusan:

i. Adalah harus seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau umrah sekiranya diyakini mampu membayar balik hutang tersebut dan ia tidak menjejaskan kehidupan normalnya; dan

ii. Skim pinjaman tersebut hendaklah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkan prinsip ikhlas, adil dan telus dalam operasinya di samping bebas dari unsur-unsur riba.Tarikh keputusan: 6 September 2005. Diwartakan pada 25 Mei 2006


3. Hukum Menggunakan Alat-Alat Bantuan Untuk Tujuan Hubungan Kelamin . Keputusan:Harus menggunakan alat-alat bantuan untuk tujuan hubungan kelamin bagi suami dan isteri dengan syarat:

i. Tidak mendatangkan kemudaratan dari segi fizikal ataupun mental sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

ii. Alat yang digunakan bukan daripada bahan yang najis.

iii. Hendaklah persetujuan bersama di antara suami dan isteri.

iv. Digunakan untuk tujuan kebaikan bagi perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja.Tarikh keputusan: 15 November 2005. Diwartakan pada 15 Mac 2007


4. Hukum Rakaman Lagu-Lagu Nasyid Berbentuk Doa . Keputusan:

i. Nyanyian dan senikata yang memuji Allah dan rasul atau keindahan makhluk Allah atau kepada tanggungjawab atau mengenai sifat bertakwa kepada Allah SWT adalah diharuskan.

ii. Jika nyanyian secara berkumpulan di antara lelaki dan perempuan sama ada semasa persembahan atau latihan adalah diharuskan sekiranya tidak bercampur di antara lelaki dan perempuan.

iii. Penyanyi tidak boleh mempersembahkan nyanyian dengan gaya yang memberahikan dan boleh menimbulkan fitnah.

iv. Penyanyi hendaklah memakai pakaian yang menutup aurat.

v. Tidak memuji makhluk Allah berlebihan bermaksud tidak terkeluar daripada syarak.

vi. Sekiranya terdapat ayat-ayat al-Quran yang digunakan sebagai nasyid hendaklah dibaca mengikut hukum tajwid.Tarikh keputusan: 15 November 2005. Diwartakan pada 15 Mac 2007


5. Hukum Menulis Dan Menerbit Bahan-Bahan Yang Mengandungi Ayat-ayat al-Quran, Hadis Beserta Pandangan-Pandangan Agama Lain (Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian).Keputusan:

Menulis dan menerbitkan bahan-bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran, hadis beserta pandangan-pandangan agama lain (Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian) adalah dilarang kecuali pandangan Islam dan ayat-ayat al-Quran serta hadis diasingkan daripada agama lain dan agama Islam perlu mendominasikan keseluruhan penerbitan tersebut.Tarikh keputusan: 15 November 2005

No comments:

Post a Comment