Tuesday, June 21, 2011

~ Imam Syatibiy al-Muqri' ~


DALAM dunia Islam banyak terdapat persamaan nama ulama antaranya Imam Syatibiy. Jika mereka yang mendalami ilmu syariat, nama Imam Syatibiy tidak asing kerana beliau adalah seorang tokoh perundangan yang menghasilkan banyak buku yang menjadi rujukan antaranya kitab al-Muwafaqat danal-I'tisam.

Nama penuh Imam Syatibiy yang mengarang kitab al-Muwafaqat ialah Ibrahim Ibn Musa Ibn Muhammad al-Syatibiy dan beliau meninggal dunia pada tahun 790 hijrah.

Sementara Imam Syatibiy yang menjadi tokoh qiraat pula bernama al-Qasim ibn Firruh Ibn Khalaf Ibn Ahmad al-Syatibiy. Beliau meninggal dunia pada tahun 590 hijrah.

Walaupun kedua-duanya berasal dari Syatibah di Andalus, tetapi kedua-duanya berbeza kepakaran ilmu dan hidup dalam dua zaman yang berlainan. Ini bermaksud jika yang bercakap tentang Imam Syatibiy dalam bidang perundangan dia adalah pengarang kitab Muwafaqat. Jika penceramah dalam bidang qiraat selalu menyebut nama Imam Syatibiy ia adalah pengarangMatn Syatibiy.

Karya agung yang dihasilkan oleh Imam Syatibiy al-Muqri' dan sehingga kini menjadi rujukan di pusat pengajian tinggi al-Quran dalam dan luar negara adalah Hirzu al-Amani wa Wajhu al-Tahani atau terkenal dengan nama Matn Syatibiy.

Imam Syatibiy yang alim ilmu qiraat ini walaupun cacat penglihatan namun pandangan hatinya begitu tajam dan Allah menganugerahkan kepadanya kepandaian yang jarang dimiliki insan lain.

Matn Syatibiy yang dihasilkan itu ditulis dalam bentuk syair berjumlah 1,173 rangkap dan kesemua rangkap syairnya itu berakhir dengan huruf lam.

Beliau menerima ilmu Qiraat dan mendalaminya daripada Sheikh Abi Abdillah Muhammad Ibn abi al-'As al-Nafazi. Selepas itu beliau membaca kitab Qiraat yang dikarang oleh Abu Amru al-Dani iaitu al-Taisir secara hafalan di hadapan gurunya Ibn Huzail.

Selain itu, beliau juga pakar dalam ilmu hadis dan mampu memperbetulkan hadis-hadis yang salah dibaca daripada kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Kitab Muwatta' Imam malik berdasar kepada hafalannya.

Ketika beliau menziarahi Mesir, pemerintah Mesir ketika itu meraikan dan menghormatinya. Pemerintah Mesir juga memberi segala kemudahan dan bantuan kepada Imam Syatibiy antaranya melantiknya menjadi ketua guru qiraat di sebuah pusat pengajian Quran di Kaherah.

Menurut Sheikh Abdul Fattah al-Mirsafi, ketika Imam Syatibiy berada di Mesir inilah beliau telah menulis Matn Syatibiy dan Matn Nazimat al-Zuhri dalam Ilmu fawasil.

Matn Syatibiy mendapat tempat dalam arus pembelajaran ilmu qiraat dengan pengaruh yang amat kuat kerana dua sebab utama. Pertama, murid-murid Imam Syatibiy adalah ulama yang amat berpengaruh, menjadi nadi kepada pengajar Matn Syatibiy dan antara mereka ialah muridnya Imam al-Sakhawi iaitu pengarang kitab Jamal al-Qurra.

Faktor kedua, rujukan utama Matn Syatibiy adalah kitab al-Taisir karangan Imam al-Dani yang popular sebelumnya dan diterima ramai. Justeru apabila metod ditukar kepada bentuk syair atau nadham ia mudah untuk dihafal dan menguasai ilmu Qiraat Tujuh.

Di Mesir, Matn Syatiby masih lagi sehingga kini menjadi sukatan pelajaran ilmu Qiraat di peringkat 'Aliyah di Maahad Qiraat.

Di Kuliyyah Quran, Universiti Islam Madinah, Matn Syatibiy menjadi sukatan pelajaran di tahun satu pengajian hingga ke tahun tiga.

Sehingga hari ini banyak ilmu Imam Syatibiy diamalkan sehinggalah penulisan al-Quran dan pembacaannya selalu disebut adalah mengikut riwayat Hafs dari Qiraat Imam 'Asim dan dari Tariq Syatibiy.

No comments:

Post a Comment