DAKWAH ialah usaha mengajak orang lain mendekati Allah, menyeru mereka ke arah kebenaran dan seterusnya mengikut apa digariskan ajaran Islam. Dakwah mengajak manusia melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
Dr Sayyid Muhammad Nuh menjelaskan dalam bukunya Taujihat Nabawiyyah ‘Ala al-Thariq, makruf adalah suatu konsep mencakupi semua perkara atau amalan diterima dan diredai Allah seperti ibadah khusus seperti solat, berpuasa, berzakat dan ibadat umum seperti adil, amanah serta mengotakan janji.
Al-Munkar pula mencakupi semua amalan tidak diredai dan dibenci Allah merangkumi segala perbuatan zahir dan batin seperti riak, hasad dengki, bermusuh-musuhan, meninggalkan ibadah khusus, mencuri, berzina, khianat dan berbohong.
Dalam dunia pekerjaan, seorang Muslim bertanggungjawab untuk berdakwah. Tidak kira apa kategori pekerjaan, sama ada bekerja di pejabat, tapak pembinaan hatta di ladang dan sawah sekalipun, tanggungjawab sebagai pendakwah terletak di bahu kita.
Selaras firman Allah yang bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)
Usaha berdakwah di tempat kerja jangan disalahertikan dengan pengertian sempit. Dakwah bukan bermaksud mengajak melupakan tanggungjawab bekerja dan melaksanakan amal ibadah semata-mata.
Bekerja itu satu amal ibadah apa lagi jika diniatkan kerana Allah dan dilaksanakan penuh amanah, fokus dan ikhlas. Usaha dakwah jangan ditafsirkan sebagai ‘hendak tunjuk alim’ atau ‘hendak tunjuk pandai’.
Jika begitu, semua orang akan takut untuk berdakwah kerana yang memberi dakwah tidak mahu dipandang sebagai penyibuk, manakala yang menerima dakwah pula berasa tidak selesa serta menganggap konteks dakwah sebagai sesuatu yang tidak bermanfaat.
Sesungguhnya Allah menjanjikan seseorang yang berdakwah ke jalan-Nya akan mendapat balasan setimpal dengan usahanya seperti firman yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)
Sebagai da’i, seseorang itu perlu terlebih dulu memperlengkapkan dirinya supaya usaha dakwahnya menjadi sempurna. Tidak nanti orang lain mengatakan ‘nak betulkan orang, diri sendiri pun tunggang-langgang.’
Akhlak dan keperibadian diri yang baik perlu dibentuk dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan terbaik. Kejayaan Rasulullah SAW dalam usaha dakwahnya berjaya menarik minat kaum keluarga, sahabat dan manusia pada zaman jahiliah kerana keperibadian Baginda yang teguh keimanannya, cukup berlemah-lembut, molek budi pekerti dan tutur bicaranya.
Da’i juga perlu memiliki kekuatan intelektual dan spiritual supaya dirinya sendiri arif akan apa yang hendak disebarkan dan orang yang menerima dakwah turut faham serta mudah mengikut dakwahnya.
Jika da’i tidak mampu memahami dan menguasai ilmu pengetahuan, ditakuti usaha dakwahnya akan menjadi sia-sia dan diperlekehkan orang yang cuba didekatinya. Lebih ditakuti, apa yang disebarkan tidak selaras perspektif Islam dan boleh memesongkan fahaman terhadap kesyumulan ajaran Islam.
Berdakwah di tempat kerja bukan sesuatu yang sukar. Pelbagai manhaj atau kaedah dakwah boleh diaplikasikan seperti penulisan, perbualan, mahupun perbuatan untuk menarik minat dan kesedaran orang lain supaya terus berpegang teguh kepada syariat Islam.
Contohnya, ringankan mulut menegur rakan yang suka ‘mencuri tulang’ untuk minum pagi dengan cara mengingatkan mereka pentingnya bersikap amanah kepada majikan bahkan kepada diri sendiri.
Atau memberi teguran terhadap amalan bergosip, mengumpat dan memfitnah orang lain yang memang menjadi ‘hobi’ ketika bekerja di kalangan sesetengah kita. Begitu juga apabila kita dapati ada rakan yang mengambil ringan kewajipan menunaikan solat.
Mereka perlu diingatkan, walau sesibuk mana sekalipun bekerja, ibadah solat perlu didirikan kerana ia tiang agama. Harus diingat, segala peringatan dan teguran perlu dibuat dengan tegas tetapi lembut, merendah suara dan berhikmah.
Dakwah melalui perbuatan juga sangat memberi kesan dalam usaha mengajak orang lain beramal ibadah dengan sempurna. Menjaga amal ibadah khusus, tidak lokek memberi senyuman, membaca al-Quran ketika ada kelapangan, ringan tulang membantu orang lain, sopan santun, menjaga kebersihan diri adalah contoh perbuatan yang boleh menggetarkan kesedaran orang lain untuk mengikut amalan baik yang ditunjukkan.
Sebagai ketua jabatan atau pengurus organisasi misalnya, seseorang boleh menyemarakkan usaha dakwah dengan pelbagai cara antaranya, menggalakkan pekerja bersama membaca al-Quran dan memahami tafsirnya.
Begitu juga sebelum memulakan sesuatu mesyuarat atau perbincangan kumpulan, tazkirah ringkas boleh disampaikan meliputi apa saja konteks ilmu yang berkaitan Islam mahupun isu semasa yang mendasari kehidupan seharian.
Jangan kita segan-segan alang dan berputus asa untuk terus menyampaikan apa yang baik kepada rakan di tempat kerja kerana ia memberikan manfaat yang tiada tolok bandingnya kepada semua pihak termasuk diri kita sendiri .
No comments:
Post a Comment