KEJADIAN matahari adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Ilahi yang terpenting di alam ini.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (sebahagian dari dalil yang itu ialah) matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya, itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yasin, ayat 38)
Kejadian matahari memberi manfaat dan faedah kepada semua makhluk di bumi hasil daripada cahayanya. Andai kata matahari tidak menyinarkan cahayanya, sudah tentu memberi kesukaran kepada makhluk di bumi ini menjalani kehidupan masing-masing.
Disebabkan cahayanya, binatang menjadi ceria manakala burung pula bersiul sambil bertasbih memuji Allah SWT.
Melalui sinar cahaya matahari juga tanaman dapat hidup subur. Pohon dan bunga dapat tumbuh sekali gus mengindahkan pemandangan bumi. Manusia pula dapat menikmati hasil daripada buah-buahan yang masak dan ranum sebagai makanan yang berkhasiat.
Matahari menyedut air di laut dan sungai lalu terbentuknya awan. Apabila awan menjadi berat, ia pecah lalu menitiskan hujan. Dengan kejadian hujan yang menyirami bumi, tumbuhan dapat membesar dengan sempurna. Sebahagiannya menjadi punca rezeki manusia. Justeru, tidak layak manusia bersyukur melainkan kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki.
Manusia amat memerlukan matahari sebagai pelita yang menyinari kehidupan mereka di dunia. Tanpa matahari mustahil mereka dapat menjalankan tugas mereka di bumi dalam keadaan selesa dan sempurna.
Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah, bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat, tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?” (Surah al-Qasas , ayat 71)
Sementara itu, bulan pula adalah satu jirim yang mana permukaannya berbatu batan dan berbentuk bulat. Permukaannya sejuk melainkan permukaan yang bertentangan dengan matahari. Ia berpusing atau beredar pada tempat peredarannya (manzilah).
Allah SWT menjelaskan pergerakan bulan yang berada tetap di paksinya mengelilingi bumi bertujuan untuk memberi faedah kepada manusia mengetahui bilangan hari, bulan, musim dan tahun.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.
“Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya)”. (Surah Yunus, ayat 5)
Bagi golongan beriman, mereka boleh mengetahui masa beribadat seperti waktu solat, berpuasa Ramadan dan menunaikan fardu haji di Baitullah. Dalam urusan muamalat pula mereka boleh menetapkan tempoh untuk urusan sewa menyewa, gadaian, upah dan pelbagai lagi.
Selain itu Allah SWT juga menjelaskan perbezaan di antara cahaya matahari dan bulan. Hal ini diterangkan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang)”. (Surah Nuh, ayat 16)
Jika diperhatikan dalam al-Quran, Allah SWT sentiasa menyifatkan matahari sebagai lampu (pelita) yang bersinar, sedangkan bulan disifatkan-Nya sebagai cahaya. Apakah perbezaan di antara kedua-duanya ?
Kemajuan sains mendapati cahaya matahari datang daripada zat matahari itu sendiri. Oleh itu ia menjadi lampu atau pelita yang bersinar. Sedangkan bulan tidak, ia hanya menerima cahaya daripada matahari kemudian memantulkannya pula ke bumi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?” (Surah an-Nabaa, ayat 13)
Walaupun cahaya bulan tidak setanding dengan cahaya matahari tetapi ia tetap mengasyikkan mata memandang terutama ketika di bulan purnama. Memandang bulan yang indah memberi kerehatan dan ketenangan pada fikiran juga minda manusia.
Kesimpulannya kita hendaklah merasa bersyukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat matahari dan bulan yang dikurniakan-Nya.
No comments:
Post a Comment