MANUSIA diciptakan berlainan jantina dan berpasangan dengan tujuan dan maksud tersendiri, iaitu untuk saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Selain itu penciptaan manusia daripada kalangan lelaki dan wanita pula bertujuan untuk mengembangkan keturunan manusia agar terus berkekalan hingga ke hari kiamat.
Sehubungan tindakan nekad segelintir lelaki yang merubah jantina ataupun berperawakan seperti wanita adalah perbuatan yang melanggar ketentuan agama dan tidak bersesuaian dengan nilai budaya masyarakat setempat.
Apatah lagi jika ia membabitkan proses pembedahan dan penukaran alat kelamin yang berkemungkinan memudaratkan.
Golongan yang melakukan perbuatan keji ini dipengaruhi syaitan sehingga terdorong mengikut nafsu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa ayat 119 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.”
Malah perbuatan mereka juga mendedahkan diri kepada risiko kerosakan anggota badan sehingga boleh lumpuh dan menyebabkan kehilangan nyawa. Sudah semestinya amalan buruk ini dilarang agama kerana manusia ditegah mendedahkan diri kepada jurang kebinasaan yang merosakkan.
Selain itu terdapat banyak hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang menegah manusia daripada mengubah ciptaan Tuhan. Misalnya sebuah hadis riwayat Abdullah ibn Masud yang bermaksud: “Aku mendengar Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencabut bulu keningnya dan yang mengikir giginya untuk kelihatan cantik, yang mengubah ciptaan Allah SWT.”
Persoalanya, bagaimana pula perbuatan seseorang yang memakan ubat dengan tujuan untuk menukar suara daripada garau menjadi lembut, memakan hormon untuk membentuk fizikal seperti wanita dan lain-lain yang lebih berat daripada sekadar mencukur bulu kening.
Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah SAW juga direkodkan pernah melaknat lelaki yang menyamai kaum wanita dan wanita yang menyamai kaum lelaki. (Riwayat Imam al-Bukhari)
Perbuatan ini jika tidak dibanteras akan menimbulkan kecelaruan hukum syarak. Walaupun seseorang telah menukar kemaluannya, status jantina asal masih kekal walaupun secara fizikal telah berubah. Ia juga memporak-perandakan sistem hidup bermasyarakat sedia ada.
Golongan yang berangan-angan untuk menukar jantina dinasihatkan berfikir sebelum melakukan tindakan yang akan menyebabkan mereka merana seumur hidup.
Justeru, akur dengan ketetapan Ilahi adalah jalan bahagia menuju kejayaan. Manusia dikurniakan akal untuk berfikir bagi membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara.
No comments:
Post a Comment