Tuesday, April 26, 2011

~ menahan pandangan ~


TERASA sebak di hati ketika menatap gambar bayi yang dibuang di pusat pembuangan sampah, dibakar, ada yang dimakan haiwan dan seribu satu gambaran memilukan. Di manakah hilang nilai kemanusiaan?

Munculnya pelbagai saranan untuk menyelesaikan masalah ini. Malangnya kebanyakan saranan bukan menjurus kepada masalah pokok. Kempen membanteras jenayah pembuangan bayi bukanlah suatu yang asing dalam agama.
Malah, ia sudah dikempen Baginda Nabi SAW sejak dulu lagi. Berbeza dengan pendekatan kita, Nabi SAW mengutamakan persoalan menutup jalan awal perzinaan. Oleh kerana itulah prinsip Nabi SAW, mencegah lebih baik daripada merawat.

Kita seolah-olah terkapai-kapai mencari teknik terkini, yang pada sangkaan kita teknik berkesan. Namun, kita terlupa atau sengaja melupakan teknik asas yang dicipta agama bagi menangani isu ini.


Lazimnya, bayi yang dibuang lahir daripada hubungan seksual di luar nikah. Ada kalanya dibuang kerana perasaan malu dan ada kala kerana tidak mampu menyara kehidupan anak itu. Penghinaan sosial yang amat terkesan kepada pelaku zina membuatkan mereka takut berhadapan masyarakat.


Masyarakat kita seolah-olah menutup terus pintu taubat dengan tidak menerima kepulangan semula pelaku zina ke pangkal jalan. Malah, berita mengandung anak luar nikah, ditangkap khalwat dan sebagainya adalah cerita sensasi masyarakat.

Status kritikan sosial membuatkan wanita mengandung anak luar nikah membuang bayi mereka di merata tempat, sedangkan, keadaan ini berbeza dengan wanita mengandung anak luar nikah dalam kalangan bukan Islam.

Bukanlah kita menggalakkan perzinaan. Namun, kita menentang penderaan mental dan maruah insan terlanjur menjuruskan mereka bertindak di luar jangkaan. Dalil al-Quran dan sunnah jelas melarang pembunuhan anak walaupun atas dasar takutnya kemiskinan.


Firman Allah yang bermaksud: “Jangan kamu membunuh anakmu lantaran takut kelaparan, Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka mahupun kepadamu, sesungguhnya membunuh mereka satu dosa besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31)


Pembuangan bayi akibat zina dan Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan yang buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32)


Allah menggunakan kalimah ‘jangan mendekati’ perzinaan sebagai larangan kita mendekatkan diri kepada zina. Hal yang membawa kepada zina jelas diterangkan dalam hadis berikut: “Ditetapkan atas anak Adam bahagiannya daripada zina, akan diperoleh hal itu, tidak dapat dihindarkan. Kedua, mata berzina dan zinanya dengan memandang (yang haram). Kedua telinga berzina dan zinanya dengan mendengar (yang haram). Lisan itu berzina dan zinanya berbicara (yang diharamkan). Tangan itu berzina dan zinanya dengan memegang. Kaki itu berzina dan zinanya dengan melangkah (kepada apa yang diharamkan). Sementara hati itu berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan kemaluan yang membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Hadis riwayat Muslim)


Agama mendatangkan kaedah menutup pintu perzinaan antaranya menundukkan pandangan. Memelihara pandangan kepada bukan mahram, apatah lagi menonton video lucah dan gambar membuka aurat yang memberahikan.


Ini kerana ia boleh menggalakkan manusia melakukan apa yang ditonton. Ibu bapa hendaklah memantau bahan bacaan, drama dan filem serta laman web yang dilayari anak mereka.


Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (ya Muhammad) kepada lelaki yang beriman; Hendaklah mereka menahan pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka.” (Surah an-Nur, ayat 30-31)


Menjaga tutur kata dan pendengaran termasuklah menjauhi berbicara dengan bukan mahram tanpa sebab munasabah, apatah lagi untuk bergurau senda hingga membuat lawak lucah. Istilah moden muda mudi iaitu ‘phone sex’ seolah-olah menjadi perkara biasa.


Sangat dikesalkan bagaimana sebahagian ibu bapa tidak kisah apabila anak mereka bergayut telefon setiap hari dengan teman istimewa masing-masing. Alasannya anak sudah dewasa, sedangkan itu adalah antara mukadimah ke arah zina.


Menjauhi bersentuhan dengan bukan mahram. Bersentuhan ini boleh berlaku ketika bertepuk tampar dalam gurauan, bersalaman, berpegangan tangan dan membonceng motosikal. Lebih parah lagi, apabila tanpa segan silu berpelukan di khalayak ramai.


Abu Said Al-Anshari mendengar Rasulullah SAW bersabda kepada wanita ketika Baginda keluar dari masjid dan mendapati lelaki bercampur dengan mereka di jalan: “Berjalanlah kalian di belakang (jangan mendahului lelaki). Ini kerana sungguh tidak ada bagi kalian hak untuk lalu di tengah-tengah jalan, tetapi bagi kalian hanyalah tepi jalan.” (Sunan Abi Daud, Shaikh al-Albani menyatakan ia hadis hasan).

No comments:

Post a Comment