PENGANGGURAN satu wabak merunsingkan semua pihak, baik kerajaan mahupun rakyat. Bertambahnya jumlah pengangguran mencerminkan situasi ekonomi sesebuah negara yang bermasalah.
Isu pengangguran banyak difokuskan kepada golongan lepasan universiti yang tidak berkerjaya. Islam mengajar umatnya bekerja, tidak kira bekerja sendiri atau makan gaji.
Allah berfirman yang bermaksud: “Maka apabila sudah didirikan solat, bertebaranlah di muka bumi dan carilah kurniaan Allah.” (Surah al-Jumuah, ayat 10)
Ada banyak hadis yang menganjurkan kita berusaha mencari rezeki dan menjauhi sifat mengemis antaranya daripada Zubair Awwam, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, jika seseorang di antara kamu membawa tali-talinya dan pergi ke bukit mencari kayu api yang dipikul di belakangnya untuk dijual sehingga dia mampu memenuhi keperluannya, adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik mereka memberi atau tidak.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan dari Samurah Jundub, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Minta-minta itu adalah cakaran, yang seseorang mencakar wajahnya dengannya, kecuali jika seseorang meminta kepada penguasa atau atas suatu hal atau perkara yang sangat perlu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Abu Dawud)
Islam memudahkan insan yang dalam kesempitan seperti rakyat meminta kepada pihak penguasa. Penguasa orang yang memegang baitulmal harta kaum Muslimin. Seseorang yang mengalami kesulitan boleh meminta kepada penguasa yang bertanggungjawab atas semuanya.
Namun, ada batas yang perlu diikuti. Tidak boleh seseorang itu sering meminta-minta kepada penguasa. Hal ini berdasarkan hadis Hakim bin Hizaam yang berkata: “Aku meminta kepada Rasulullah SAW, lantas Baginda memberiku. Kemudian aku minta lagi dan Rasulullah memberiku.
Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Hakim! Sesungguhnya harta itu indah dan manis. Jika siapa mengambilnya dengan berlapang hati, maka akan diberikan berkah padanya. Jika siapa mengambilnya dengan kerakusan (mengharap harta), maka Allah tidak memberikan berkah kepadanya, dan perumpamaannya (orang yang meminta dengan mengharap-harap) bagaikan orang yang makan, tetapi tidak kenyang (kerana tidak ada berkah padanya). Tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (yang meminta).”
Kemudian Hakim berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Dzat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak menerima dan mengambil sesuatu pun sesudahmu hingga aku meninggal dunia.”
Ketika Abu Bakar dan Umar menjadi khalifah, mereka memanggil Hakim untuk memberikan sesuatu yang menjadi haknya tetapi beliau menolak kerana sudah berjanji dengan Rasulullah SAW.
Diriwayatkan dari Qabishah Mukhariq, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal, kecuali bagi salah satu dari tiga orang iaitu seseorang yang menanggung hutang orang lain, ia boleh meminta sampai melunaskannya kemudian berhenti, seseorang ditimpa musibah yang menghabiskan hartanya, boleh meminta sampai mendapatkan sandaran hidup dan seseorang ditimpa kesengsaraan hidup sehingga ada tiga orang yang berakal dari kaumnya mengatakan, ‘Si fulan sudah ditimpa kesengsaraan hidup,’ ia boleh meminta sampai mendapatkan sandaran hidup. Meminta-minta selain untuk ketiga hal itu, wahai Qabishah! Adalah haram, dan orang yang memakannya adalah memakan yang haram.” (Hadis riwayat Muslim)
Mencari rezeki pekerjaan rasul. Dalam sejarah, tiada rasul yang menganggur atau mengemis. Namun mereka golongan berusaha keras mencari hasil di bumi.
Abdullah Umar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang sentiasa meminta-minta kepada orang lain sehingga dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sepotong daging pun di wajahnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Menganggur tanpa sebab munasabah perkara dicela. Masalah menimpa generasi muda lepasan universiti ialah sifat terlalu memilih kerja. Menanti kerja yang hanya sesuai dengan kelulusan saja.
Perasaan malu menebal jika dilihat bekerja sebagai seorang kerani biasa, atau guru sekolah rendah agama. Berbulan-bulan sanggup ‘menanam anggur’ di rumah. Ini satu fenomena menyedihkan. Wang hasil bekerja di stesen minyak lebih mulia daripada hasil meminta kepada ibu bapa.
Tambah pengalaman dengan bekerja apa saja selagi halal. Apatah lagi pada zaman sekarang, kebanyakan jawatan menetapkan calonnya mempunyai pengalaman. Jika terlalu memilih pekerjaan dan jawatan, bagaimana mahu mendapat pengalaman?
Bumi Allah terlalu luas, gunakan ilmu yang ada. Ramai pelajar universiti mendapat pendapatan tambahan dengan mengajar tuisyen di rumah mahupun di pusat tuisyen, mengajar al-Quran di surau mahupun di rumah, menjual buku dan kad tambah nilai telefon bimbit.
Saidina Umar berkata: “Wahai pembaca al-Quran, berlumbalah kalian dalam kebaikan, carilah kurniaan dan jangan kalian menjadi beban bagi manusia.”
Semoga perubahan sikap umat Islam dapat menjernihkan imej umat Islam di mata dunia. Jangan dengan sikap mengemis itu mendatangkan fitnah kepada masyarakat seolah-olah Islam jauh dari petunjuk berusaha keras dalam pencarian rezeki.
No comments:
Post a Comment