Friday, April 15, 2011

~ harta sepencarian ~


Harta sepencarian boleh dituntut sama ada setelah berlaku perceraian atau selepas kematian suami.

Sedar atau tidak, harta sepencarian dan harta pusaka ini amat mudah dikenal pasti jika suami hanya mempunyai seorang isteri saja sepanjang hayatnya. Tetapi seperti kita sedia maklum, poligami dan perceraian berlaku dalam masyarakat.
Islam membenarkan poligami dan setiap daripada kita terdedah kepada risiko perceraian. Oleh itu, kita perlu faham mengenai hak seorang isteri diceraikan, isteri kematian suami dan isteri kematian suami yang mana suaminya berpoligami.

Hak isteri yang diceraikan terbatas kepada harta sepencarian semasa dan isteri yang diceraikan tidak berhak terhadap harta pusaka suami apabila suami meninggal dunia manakala hak harta pusaka isteri diceraikan ketika itu bekas suami masih mempunyai isteri juga berbeza.

Bagi wanita dalam situasi ini, mereka hanya berhak terhadap harta yang sudah dikenal pasti oleh suaminya sebagai harta sepencarian bersama isteri yang diceraikan kerana ada harta yang dimiliki suami ketika bersama isteri yang lain.

Contohnya, Azman (bukan nama sebenar) dan Dilla (bukan nama sebenar) berkahwin. Setahun selepas mereka berkahwin, mereka membeli sebuah rumah. Namun, tujuh tahun kemudian Azman dengan Milah (bukan nama sebenar) berkahwin. Azman tidak menceraikan Dilla.
Sebaliknya, setelah dua tahun berkahwin, Azman dan Milah bercerai. Milah tidak berhak menuntut rumah yang dibeli Azman dan Dilla kerana itu bukan harta sepencarian dengan suami sebaliknya rumah itu sebahagian daripada harta sepencarian Azman dengan isteri pertamanya, Dilla.

Jika Azman meninggal dunia dua tahun selepas perceraiannya dengan Dilla berlaku, Dilla tidak berhak menuntut harta pusaka Azman.

Bagi isteri yang suaminya berpoligami sehingga ke akhir hayat pula, jika mereka semua tidak diceraikan semasa kematian suaminya, kesemua isteri si mati berhak terhadap harta pusaka si mati mengikut bahagian yang telah ditetapkan faraid kecuali suami berwasiat yang bahagiannya berbeza daripada hukum faraid.

Kadar pusaka isteri dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutangmu.” (Surah Al-Nisa’, ayat 12)

Walau bagaimanapun, jumhur ulama bersepakat mengatakan anak dalam ayat itu bermaksud furu’ waris iaitu anak atau anak kepada anak lelaki dan ke bawah, sama ada furu’ waris berasal daripada isteri berkenaan atau isteri yang lain.

Maka, jika suami meninggal dunia dan beliau mempunyai furu’ waris, maka bahagian isteri atau isteri-isterinya adalah 1/8 saja dari jumlah harta pusaka itu. Perlu diingat jika suami mempunyai furu’ waris dan meninggalkan lebih daripada seorang isteri, bahagian 1/8 yang berhak diwarisi isteri perlu dibahagi sama rata antara kesemua isteri-isterinya.

Bermakna jika bahagian 1/8 itu membawa kepada jumlah harta contohnya sebanyak RM100 dan terdapat empat isteri yang ditinggalkan, setiap isterinya berhak ke atas wang berjumlah RM25.

Oleh kerana pembahagian ini, tidak mustahil bagi yang cuba bertindak mengikut kepentingan diri tidak menyenaraikan nama isteri lain atau isteri tertentu sebagai waris kepada si mati.

Justeru, kita perlu membuat suatu garis panduan dan syarat pengurusan harta pusaka dengan meminta waris mendapatkan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah sebelum sebarang proses pengurusan harta pusaka dilakukan. Ini penting bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Perlu diketahui, jika salah seorang isteri meninggal dunia lebih awal dari suami, harta pusaka isteri yang meninggal dunia akan diuruskan terlebih dulu dan suami berhak ke atas harta pusaka isteri. Tetapi isteri lain si suami tidak berhak ke atas harta si mati.

Oleh itu, Islam menetapkan tiga sebab mengapa seseorang itu berhak terhadap harta pusaka si mati dan salah satu adalah melalui perkahwinan yang sah dan akad ini berterusan sehingga kematian suami atau isteri.

Ikatan perkahwinan yang sah melayakkan isteri mewarisi harta suami sama ada sudah berlaku persetubuhan atau sebaliknya. Seorang isteri yang berada dalam tempoh edah talak raj’iyy atau talak bain juga layak mewarisi harta suaminya.

Begitu juga halnya dengan isteri yang ditalak suami yang sedang sakit tenat (maradh al-maut) dengan talak bain, tetapi bukan atas kehendak isterinya, mereka juga termasuk golongan yang layak menerima harta pusaka peninggalan suami.

Kesimpulannya, wanita bergelar isteri, tidak kira isteri pertama, isteri kedua dan seterusnya, berhak menuntut harta sepencarian masing-masing. Mereka juga mempunyai hak ke atas harta pusaka suami dengan syarat masih sah suami isteri semasa kematian suaminya.

Jika wanita itu sudah bercerai sebelum berlaku kematian, wanita itu hanya boleh menuntut harta sepencarian tetapi tidak boleh menuntut harta pusaka. Isteri yang telah diceraikan tidak berhak sama sekali ke atas harta pusaka seorang lelaki yang meninggal dunia.

Perceraian bukanlah mudah bagi seorang wanita, sama seperti wanita yang menghadapi kematian suami. Oleh itu, wanita perlu mengetahui hak mereka tidak kira sama ada harta sepencarian atau harta pusaka .

No comments:

Post a Comment