Terlalu banyak hikmah dalam kembara ini Jika segalanya dilihat dengan mata hati Jiwa akan kukuh disepuh iman Akal akan bersih disuluh iktibar Fizikal akan kuat menempuh kesusahan..
Tuesday, April 5, 2011
~ halal vs haram ~
DALAM dunia perniagaan hari ini, kita kerap berhadapan dengan situasi percampuran antara halal dan haram. Situasi ini menuntut kita mengetahui hukum mengenainya supaya harta yang kita perolehi bersih dari elemen-elemen yang bercanggah dengan syariah.
Prinsip asas kepada situasi ini adalah: "Apabila bercampur halal dan haram, maka ia dikira haram."
Contohnya, institusi-institusi perbankan Islam berhadapan dengan masalah ini apabila terdapat pendeposit yang membuka akaun di institusi berkenaan bekerja di tempat yang haram seperti kelab malam atau premis perjudian.
Masalah ini juga dihadapi oleh pengendali takaful apabila terdapat pihak yang ingin menyertai pelan-pelan takaful bekerja di tempat yang haram atau syarikat-syarikat yang mempunyai aktiviti yang bercampur.
Sebagai individu yang hidup bermasyarakat, kita juga tidak dapat lari daripada situasi ini.
Antaranya, apabila kenalan yang bekerja di tempat yang haram menjemput kita kenduri atau jamuan. Ataupun, kenalan kita tersebut memberikan hadiah kepada kita.
Apakah boleh kita menerima undangan dan hadiah tersebut? Bagaimana pula sekiranya duit yang digunakan itu adalah hasil rasuah atau judi?
Terdapat perbezaan hukum bergantung kepada realiti serta sifat keharaman itu.
Jika harta haram itu diperolehi dengan menggunakan kaedah yang halal, maka harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh pihak yang menerimanya.
Sebagai contoh, seseorang yang bekerja dengan syarikat yang menawarkan produk-produk riba, pendapatannya adalah haram. Namun, perolehan pendapatannya itu diusahakan melalui cara dan kaedah yang harus iaitu bekerja.
Maka jika individu tersebut memberi hartanya kepada pihak kedua dengan menggunakan urus niada yang halal seperti hadiah atau sedekah, maka pihak yang menerima harta berkenaan harus menggunakannya.
Ini kerana, harta haram tersebut dimiliki sendiri oleh pengusahanya dengan cara yang sah.
Imam Ibn Taimiah dalam Majmu' Fatawa mengistilahkan harta tersebut sebagai halal kerana pemilik meredai harta haram berkenaan berpindah milik kepada pihak yang mengusahakannya.
Ini bermakna, pekerja kilang arak layak mendapat gaji kerana ia berdasarkan usaha dan kerja yang dilakukan olehnya.
Dalam hal ini, pihak yang pertama tetap mendapat dosa kerana bekerja di tempat yang haram.
Namun, sesiapa yang diberi hadiah atau menerima jemputan kenduri daripada pekerja kilang arak berkenaan boleh mengambil dan menerimanya.
Dosa yang dilakukan oleh orang yang bekerja di tempat yang haram itu tidak terpalit kepada pihak yang kedua secara langsung.
Ini berdasarkan beberapa hujah. Antara dalil yang boleh menjadi rujukan adalah firman Allah SWT:
Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)…(al-An'am: 164)
Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a: Barirah telah diberikan daging. Rasulullah SAW datang dan bekas masakan berada di atas dapur. Lalu Nabi SAW dihidangkan dengan roti dan lauk yang telah sedia ada di rumah (tanpa hidangan daging tersebut). Rasulullah SAW bertanya, "Bukankah tadi aku melihat ada bekas masakan di atas dapur yang di dalamnya ada daging?" Mereka menjawab, "Ya, wahai Rasulullah. Daging itu ialah daging yang telah disedekahkan kepada Barirah. Kami merasa tidak senang untuk memberikan daging tersebut kepadamu (disebabkan Rasulullah tidak menerima sedekah). Lalu Baginda SAW menjawab, "Pemberiannya kepada Barirah adalah sedekah, dan pemberian Barirah kepada kita adalah hadiah". (riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa urusan pertama tiada kaitan dengan urusan kedua. Sekiranya pihak yang pertama memperolehi harta secara haram, dosa berkenaan tidak terkena kepada pihak kedua yang melakukan urusan secara halal dengan pihak yang pertama.
Mazhab Hanafi meletakkan kaedah perpindahan milik memestikan perubahan 'ain dari sudut hukum sekalipun 'ainnya adalah sama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment