Friday, April 6, 2012

~ hudud dan hak Allah ~





Hudud adalah sebahagian daripada undang-undang syariah di bawah bab Kanun
Jinayah Syariah.

Adapun undang-undang syariah itu terdapat di dalamnya banyak bentuk
undang-undang; antaranya ialah undang-undang jinayah, undang-undang
munakahat, undang-undang iktisoddi, undang-undang perlembagaan Islam
ataupun Kanun Dusturi Islami dan bermacam-macam lagi undang-undang Islam
yang lain.

Di bawah undang-undang jinayah ( atau lebih dikenali sebagai Kanun Jenayah
Syariah) ini terbahagi pula kepada 4 jenis.Iaitu hudud, qisos, diat dan
takzir.

A) Makna HUDUD:
Bermakna batasan yang dibuat oleh ALLAH SWT dan ia tidak boleh dilanggar
oleh sesiapa pun. Contohnya; kalau seseorang itu mengaku berzina, maka dia
wajib dihukum sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT, iaitu wajib
sebat dia 100X (bagi yang belum kahwin).Kalau dia mengaku mencuri pula, maka
tak boleh penjarakan dia dan tak boleh dendakan dia, tapi wajib dipotong
tangannya kerana ia adalah satu batasan yang telah dibuat oleh ALLAH SWT.

B) Hukuman HUDUD:
Hukuman Hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan ALLAH di
dalam Quran/hadith.Hukuman Hudud ini adalah hak ALLAH ,yang tidak boleh
ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh di ubah-suai dan dipinda. Hukuman
Hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun.Mereka yang melanggar
aturan-aturan hukum ALLAH, yang telah ditentukan dan ditetapkan
ALLAH/rasulNya yang disebutkan di dalam Quran/hadith adalah termasuk
dalam golongan orang-orang yang zalim. Sepertimana firman ALLAH SWT yang
bermaksud:

" Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum ALLAH, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim."
(Suratul Baqarah:229)

C) Kesalahan yang dikenakan hukuman HUDUD:

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman Hudud ialah:

i) Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengkut hukum
syara`.

ii) Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang
yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dan tuduhan itu tidak dapat
dibuktikan dengan 4 orang saksi.

iii) Minum arak atau minuman yang memabukkan, samada sedikit atau banyak,
mabuk atau tidak.

iv) Mencuri, iaitu memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jagaan
atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan
harta itu dari jagaan atau milik tuannya..

v) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, samada dengan perbuatan
atau dengan perkataan, atau dengan iktikad kepercayaan.

vi) Merompak (hirabah); iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan
untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.

vii) Pendurhakaan (bughat) ;iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau
mendurhaka kepada Ulil Amri yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum
ALLAH.

QISAS:

Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.Membunuh dibalas
dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan
melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan.

Perbandingan QISAS dan HUDUD:

Persamaan diantara qisas dengan hudud ni ialah hukumannya telah ditetapkan
;seperti kadar dan bentuknya, yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT di dalam
al-Quran. Manakala perbezaan diantara qisas dengan hudud pula ialah hukuman
qisas ini hendaklah dituntut oleh mangsa ataupun keluarga mangsa Tapi kalau
tidak dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa ,maka tidak boleh dikenakan
hukuman qisas.Jadi, berbezalah diantara qisas dengan hudud ,dimana hudud
ini, walaupun tidak dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa tetapi ianya tetap
wajib dilaksanakan.

Kesalahan & Hukuman QISAS:

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah :

a) Membunuh orang lain dengan sengaja.
b) Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain
dengan sengaja.
c) Melukakan orang lain dengan sengaja.

a) Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas
ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh.Sepertimana firman ALLAH SWT yang
bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman ,diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas
(balasan yang seimbang)
dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh."
(Suratul Baqarah : 178)

b & c) Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan
orang lain atau melukakannya, wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar
kecederaan atau luka seseorang itu, juga mengikut jenis anggota yang dicederakan
dan yang dilukakan tadi.Sepertimana firman ALLAH SWT yang
membawa maksud:

"Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (orang-orang Yahudi) yang disebutkan
dalam Kitab Taurat, bahwasanya nyawa dibalas dengan nyawa, dan mata dibalas
dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan
telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan kecederaan juga hendaklah dibalas
seimbang. Tapi bila sesiapa mengampuninya,maka itu adalah penebus dosa
baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan
oleh ALLAH,maka mereka itulah orang-orang yang zalim."
(Suratul Ma`idah : 45)

DIAT:

Hukuman Diat bermakna pampasan atau pun ganti rugi.

Diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjinayah kepada
wali/waris mangsanya sebagai ganti rugi disebabkan jinayah yang dilakukan
oleh penjinayah keatas mangsanya.

Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan
kesalahan qisas.Hukuman diyat ialah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan
ALLAH dan rasulNya di dalam al-Quran/hadith sebagai ganti rugi diatas
kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan anggota badan, atau
melukakannya.

Kesalahan yang dikenakan hukuman diyat:

i) Pembunuhan yang serupa dengan sengaja: Serupa dengan sengaja bermakna
perbuatan tadi sengaja walaupun tidak ada niat untuk membunuh atau
mencederakan.

ii) Pembunuhan yang tersalah (tidak sengaja) - qotlu qotto` yakni yang
memang tidak sengaja.

iii) Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau ahli waris orang
yang dibunuh; sepertimana firman ALLAH TA`ALA dalam Suratul Baqarah ayat 178
yang bermaksud,:

"Sesiapa yang dapat memperolehi sebahagian keampunan daripada saudaranya
(waris kepada mangsa yang dibunuh), maka hendaklah diikuti dengan cara yang
baik (iaitu menuntut ganti rugi dengan tidak melampaui batas).Dan tunaikanlah
bayaran diyat itu dengan ihsan. Yang demikian itu adalah suatu
keringanan/kemudahan yang diberikan oleh ALLAH SWT. Serta satu rahmat
daripada Tuhan kamu ( makna rahmat adalah kasihan belas daripada ALLAH SWT
kepada sekelian hambaNya). Sesiapa yang melampaui batas selepas daripada itu,
maka baginya azab yang pedih."

Hukuman TAKZIR:

Hukuman takzir ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera,
iaitu penjenayah-penjenayah tadi tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.

Hukuman takzir dalam Kanun Jenayah Syariah adalah hukuman yang tidak
ditentukan dan ditetapkan ALLAH kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Quran/
hadith. Ia terserah kepada kebijaksanaan Ulil Amri.Tetapi para ulama berpendapat
bahwa takzir tidak boleh menyamai sekurang-kurang hudud.

Contohnya; kalau kita nak sebat orang,misalnya.Kalau nak jatuh hukuman sebat
diatas kesalahan takzir,maka bilangan sebatan yang dijatuhkan tidak boleh
menyamai sekurang-kurang hudud.Contoh sekurang-kurang hudud ialah 40
sebatan,yakni yang dikenakan ke atas peminum arak atau peminum minuman keras
yang memabukkan.Jadi kalau hendak melaksanakan sebatan mengikut hukuman
takzir,maka ia tidak boleh sampai kepada 40 sebatan.Ia mestilah 39 sebatan
ke bawah. Wallahu Taala A'lam.

Hukuman takzir adalah hukuman dera ke atas penjenayah-penjenayah yang telah
sabit kesalahannya dalam mahkamah, dan hukumannya tidak dikenakan hukuman
hudud/qisas, kerana kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah itu tidak
termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukum hudud atau qisas.

Jenis atau kadar serta bentuk hukuman takzir itu adalah terserah kepada
kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan
keatas penjenayah-penjenayah itu,kerana hukuman takzir itu adalah bertujuan
untuk menghalang penjenayah-penjenayah daripada mengulangi kembali kejahatan
yang mereka lakukan tadi,yakni bukan untuk menyiksa mereka.

Moga ada manfaatnya.

No comments:

Post a Comment