Sunday, November 27, 2011

~ hijrah sebelum terlambat ~



Tahun baru Hijrah yang begitu bermakna ini hendaklah dipergunakan untuk menjalani kehidupan dengan lebih bermakna selain memanjatkan rasa syukur kerana masih diberi ruang dan peluang.

Sesungguhnya peristiwa Hijrah memberi signifikan yang sangat besar kepada umat Islam. Melaluinya, ia telah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada bebas, daripada kekufuran kepada terangnya iman dan insan yang lemah bertukar menjadi kuat.

Ramai manusia yang sebelum ini hanyut kemudiannya mendapat petunjuk dan hidayah menukar agama asal dan memeluk Islam. Ini adalah juga Hijrah.

Begitu juga apabila ia melibatkan tokoh masyarakat, selebriti seperti pelakon dan penyanyi malah pemain bola sepak terkenal.

Malah ada sesetengahnya sengaja disenyapkan berita pengislaman mereka kerana mungkin takut ia boleh membayangi segala keburukan yang selama ini disebarkan oleh Barat.

Berikut disenaraikan beberapa orang terkenal dalam bidang mereka yang akhirnya berhijrah, memeluk Islam bukan kerana ikutan jauh sekali kerana paksaan, tetapi setelah mendapat rujukan dan penjelasan yang jelas tentang kebenaran agama suci ini.


Penyanyi rap

Hakikatnya ramai di antara mereka terutama penyanyi rap dari Amerika Syarikat (AS), terdiri dari penganut Islam. Ada di antara mereka sebenarnya penganut sejak lahir dan ramai juga yang memeluk Islam setelah diberi hidayah.

Namun kebanyakan mereka mula memeluk Islam untuk menyatakan sokongan terhadap pertubuhan Nation of Islam yang banyak berjuang untuk golongan kulit hitam tetapi malangnya agak menyeleweng dari ajaran sebenar.

Namun kini kebanyakan mereka sudah beralih menjadi penganut Islam ahli sunni walaupun mengakui masih belum mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

Di antara mereka adalah Lupe Fiasco atau nama Islamnya Wasalu Muhammad Jaco, Q-Tip atau Kamaal Ibn John Fareed selain Mos Def, Busta Rhymes, anggota kumpulan Wu Tang Clan, Ghosta Killah, Ice Cube, Rhymefes, Beanie Sigel dan Freeway yang nama Islam mereka tidak dinyatakan.

Juga dinyatakan adalah seorang rapper kulit putih yang menganut Islam sejak tahun 1990-an lagi iaitu Everlast. Kesemua mereka ini masih mengekalkan karier menyanyi dan berlakon tetapi pada masa yang sama sudah berubah jauh lebih baik berbanding kehidupan lampau, semuanya berikutan menganut Islam.

Malah mereka turut memasukkan lirik-lirik lagu yang memuji kebesaran tuhan di dalam album mereka selain mengkritik keras tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.

Namun terdapat mereka yang terus meninggalkan bidang hiburan seperti yang berlaku kepada Loon, Napolean dan juga Yusuf Islam.


~ Salam maal hijrah buat semua . Lakukanlah sebuah anjakan paradigma yang memberi manfaat buat umat sejagat . Usah dilayan mereka yang beraura 'negatif' . Apa yang lebih penting adalah siapa kita di mata Allah. :)


Tuesday, November 22, 2011

~ status anak luar nikah ? ~



TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat menyatakan bagi 2008 hingga 2010, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 152,182 anak tak sah taraf dilahirkan dan 257,5411 bagi 2000 hingga 2008.
Statistik itu mengikut kes dilaporkan ke JPN dan kita percaya statistik sebenarnya lebih lagi memandangkan banyak kes kelahiran anak tak sah taraf yang tidak didaftarkan, sudah pastinya angka ini amat membimbangkan.
Anak tak sah taraf berkait secara langsung dengan persoalan zina yang makin berleluasa di kalangan umat Islam kebelakangan ini. Justeru, untuk membendung permasalahan ini berterusan maka jalan yang boleh melorongkan ke arah perlakuan zina harus ditutup serapat-rapatnya.

Kita wajib mencari jalan bagi menutup ruang untuk perlakuan zina seperti membataskan pergaulan lelaki dan wanita, menutup tempat maksiat seperti pusat hiburan atau rumah urut.

Mengikut peruntukan undang-undang contohnya, seksyen 2(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 mentakrifkan ‘anak tak sah taraf’ anak yang dilahirkan daripada hubungan luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah.

Mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak, anak tak sah taraf tiada hubungan dengan suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung. Nasab anak ini hanyalah kepada ibu dan keturunannya.
Ini bermakna anak ini tiada bapa dan tidak layak menerima apa-apa daripada lelaki bergelar bapa. Nafkah saraan anak tak sah taraf di bawah tanggungan ibunya dan bukan menjadi tanggungan lelaki yang bersama ibunya.

Dari sudut perwalian pula, anak itu tidak mempunyai wali dan perlu kepada wali hakim jika hendak bernikah. Anak luar nikah tidak dinasabkan kepada mana-mana lelaki, sebaliknya dinasabkan kepada ibunya/keturunannya.

Dari sudut perwarisan pula, jika ibu kandungnya meninggal dunia, anak itu berhak mendapatkan bahagian dari pusaka ibunya.

Anak tak sah taraf berbeza dengan anak yang lahir daripada persetubuhan syubhah (wati syubhat) atau persetubuhan meragukan.

Perkahwinan syubhah bermaksud akad perkahwinan yang dianggap sah oleh pasangan kerana semua syarat perkahwinan dipenuhi tetapi pada hakikatnya akad itu tidak sah kerana sebab tertentu.

Contohnya bagi suami dan isteri, mereka beranggapan perkahwinan mereka sah kerana memenuhi rukun pernikahan iaitu dengan adanya wali, saksi, ijab kabul, pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

Tetapi hakikatnya, akad itu tidak sah kerana wali tidak memenuhi syarat perwalian. Oleh demikian, jika ketika dalam proses perkahwinan tiada mana-mana pihak mengetahui status wali yang mewalikan pernikahan, maka anak itu adalah anak sah taraf.

Anak itu tetap dinasabkan iaitu dibin atau binti kepada lelaki berkenaan. Maka lelaki berkenaan ialah ayah kepada anak yang bakal dilahirkan dan berkewajipan menyediakan nafkah sewajarnya seperti mana layak diterima anak.

Mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, seksyen 114 menyatakan, “Jika seseorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”

Setiap anak yang lahir melalui persetubuhan syubhah tetap dianggap sebagai anak sah taraf dan anak kandung kepada bapanya jika dilahirkan antara tempoh enam bulan hingga empat tahun qamariah dikira bermula persetubuhan itu berlaku. Begitu juga hak anak berkenaan terhadap harta peninggalan bapanya.

Jika ada pihak ketika proses perkahwinan mengetahui status sebenar wali yang mewalikan pernikahan tidak menepati syarat, maka anak dari perkahwinan itu tidak boleh dibinkan atau dibintikan dengan bapa anak berkenaan.

Masyarakat diseru tidak meminggirkan atau menghina anak tidak sah taraf kerana mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan. Status anak tak sah taraf ini bukanlah atas kehendak anak yang tidak berdosa sebaliknya akibat kesalahan kedua-dua ibu bapanya.

Masyarakat juga harus membezakan antara anak tak sah taraf dengan anak lahir dari pernikahan yang meragukan dengan hak dan status dua keadaan anak ini berbeza mengikut peruntukan undang-undang serta hukum syarak.

~ jom solat jemaah ! ~




FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila engkau berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat beserta denganmu) sujud maka hendaklah mereka berpindah dari belakangmu (untuk menghadap musuh). (an-Nisa': 102)

SOLAT berjemaah sangat dituntut dalam Islam sehinggakan ia diperintahkan walaupun berada di medan pertempuran untuk berperang. Ini sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat di atas yang turunkan kepada Rasulullah semasa baginda ingin menghadapi peperangan dengan orang kafir.

Mungkin ramai yang masih meragui mengapa perlunya melaksanakan solat berjemaah sedangkan ia boleh dilakukan secara bersendiri di rumah atau di lokasi kita berada tanpa bersusah payah ke masjid ataupun surau.

Namun salah faham terhadap kemestian solat jemaah di surau dan masjid ini juga sebenarnya telah merumitkan untuk melaksanakan tuntutan tersebut sedangkan ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun hanya dua orang.

Mengerjakan solat secara berjemaah seminggu sekali pada solat Jumaat atau solat sunat raya dianggap telah mencukupi oleh sesetengah umat Islam asakan tidak meninggalkan kewajipan dalam rukun Islam kelima itu sendiri di rumah.

Solat berjemaah sering diambil mudah dan semakin kurang mendapat sambutan. Antara sebabnya, kurangnya kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kelebihan dan manfaat yang bakal diperoleh daripada menunaikan tuntutan Allah tersebut.

Kelebihan solat berjemaah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Solat berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang berseorangan dengan kelebihan 27 darjat. (riwayat al-Bukhari)

Sabda Rasulullah dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah melipat kali gandakan ganjaran kepada hambanya yang menunaikan solat berjemaah berbanding solat secara bersendirian walaupun ia tiada perbezaan dari segi perbuatan fizikal dan bacaan ketika solat.

Malah kelebihan serta manfaat solat berjemaah terbukti dari segi saintifik dan diakui oleh pakar sains fizik di sebuah universiti di Amerika Syarikat, Prof. John Herbert selepas membuat kajian mengenai tujuan dan kelebihan solat berjemaah.

Hasil kajian John Herbert mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga.

"Tubuh manusia terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif. Setiap aktiviti harian kita tidak kira bekerja, beribadat atau berehat banyak menggunakan tenaga yang menyebabkan berlakunya pertukaran cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan cas tersebut di dalam tubuh.

"Ini menyebabkan tubuh berasa letih dan tidak bermaya. Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita iaitu dengan cara menunaikan solat berjemaah yang merangsang proses pertukaran cas elektrik dalam tubuh kita tersebut," katanya.

Tubuh manusia mengeluarkan cas yang berlebihan dan cas itu akan ditarik oleh cas yang berlawanan dalam tubuh badan jemaah di sebelah kanan dan kiri.

Begitu juga proses yang sama berlaku kepada setiap jemaah. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh badan kita.

Mengikut hasil kajian tersebut, proses pertukaran cas ini sangat diperlukan dalam kehidupan harian sebagaimana keperluan tidur pada setiap hari dengan sama.

Menurutnya, bilangan rakaat yang berlainan dalam setiap waktu solat adalah bertepatan dengan keperluan pertukaran cas elektrik positif dan negatif tersebut.

Solat subuh hanya dua rakaat kerana ia hanya memerlukan sedikit pertukaran cas dalam tubuh. Berlainan pula dengan solat Zuhur dan Asar yang memerlukan pertukaran cas yang banyak untuk menyeimbangkan cas dan mengembalikan tenaga dan kecergasan tubuh.

"Selepas waktu Asar pula, pada kebiasaannya kita hanya beriadah atau melakukan aktiviti ringan yang tidak terlalu banyak menggunakan tenaga di samping perbezaan masa yang diperuntukan tidak terlalu ketara.

"Oleh itu, solat berjemaah waktu Maghrib hanya sebanyak tiga rakaat mencukupi untuk menyeimbangkan cas dalam tubuh," katanya.

Walaubagaimanapun, mungkin sesetengah daripada kita keliru mengenai bilangan solat Isyak yang banyak sedangkan ia tidak jauh berbeza dengan waktu solat Maghrib.

Menurut kajian itu, pertukaran cas yang banyak perlu bagi menyediakan cas elektrik dalam tubuh yang benar-benar seimbang dan pengumpulan tenaga yang secukupnya untuk bangun pada sepertiga malam bagi menunaikan solat sunat seperti yang dituntut dalam Islam.

"Hasil kajian saintifik tersebut menunjukkan kepada kita betapa indah dan sempurnanya amalan agama Islam sehingga setiap kewajipan yang diperintahkan kepada kita mempunyai kelebihan dan manfaat tersendiri," katanya.

Hasil kajian John Herbert itu membuka pintu hatinya dan mendapat hidayah Allah untuk memeluk agama Islam kerana tiada amalan agama lain yang selengkap dan sempurna sebagaimana ajaran Islam. :)

~ sabar dalam mendidik ~




MEMANG sudah fitrah anak yang masih kecil terutama yang nakal dan hiperaktif ada kala amat menggusarkan ibu bapa. Maka timbul rasa kurang senang sehingga bertindak secara keterlaluan dalam menghukum. Islam melalui panduan yang diperturunkan Rasulullah SAW banyak memberi gambaran jelas bagaimana kita boleh bertindak secara tepat dalam permasalahan menghukum anak.
Diceritakan oleh Muawiyah bin Salih, ada lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, ahli keluargaku tidak taat kepadaku. Apakah yang patut aku gunakan untuk menghukum mereka? Lalu kata Baginda: Maafkanlah saja. Kemudian Rasulullah SAW menyebut hal yang sama pada kali kedua bahkan juga pada kali ketiganya. Seterusnya Baginda mengatakan: Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka. - Hadis riwayat at-Tabrani
Seboleh-bolehnya gunakan pendekatan memaafkan kesalahan dilakukan ahli keluarga khususnya anak.

Namun, Rasulullah SAW tidak melarang menggunakan kaedah hukuman.

Bagaimanapun hukuman seharusnya sepadan dengan bentuk atau tahap kesalahan serta dilarang memukul bahagian muka.

Sebenarnya panduan Rasulullah SAW itu tersirat dua makna iaitu dari perspektif psikologi dan fisiologi.

Ditinjau dari aspek psikologi, pendekatan memberikan kemaafan adalah kaedah berlemah lembut dalam memberi teguran.

Dengan cara demikian, perasaan anak yang masih kecil tidak akan terguris.

Ini penting supaya jiwa anak tidak terkongkong yang kemungkinan akan menyebabkan terbantutnya perkembangan minda positif.

Zaman sekarang ini, banyak sudah terjadi anak yang bertindak lari dari rumah.

Seharusnya ibu bapa mengambil berat isu ini.

Salah satu penyebabnya, tindakan membabi buta dalam menghukum dan seterusnya jiwa anak berasa tertekan.

Selain itu, dari sudut ilmu psikologi juga pernah dinyatakan bahawa anak yang kerap dihukum akan menjadikan hatinya keras dan berkelakuan kasar semasa bergaul dengan rakan sebaya.

Untuk membimbing anak beristiqamah pada jalan benar dan menepati kehendak agama, tidak hanya terletak pada kaedah merotan dan memukul saja.

Sebaliknya ibu bapa seharusnya mampu mempelbagai teknik khususnya teknik dorongan dalaman.

Mendidik anak perlu menggunakan kepelbagaian teknik yang berterusan contohnya dengan memberikan pemahaman jelas, tepat, pengajaran dan peringatan supaya akidah anak bertapak kukuh dalam jiwa mereka.

Kaedah secara kekerasan akan hanya mengundang rasa dendam kesumat dalam hati anak dan jika perasaan itu dibiarkan bersarang di jiwa mereka, akan menjadi sebati dengan diri.

Keadaan itu sangat berisiko tinggi untuk menjerumuskan anak ke kancah yang negatif. Rafi’ bin Amru al-Ghifari pernah menceritakan: “Saya seorang kanak-kanak yang sering membaling pokok tamar kepunyaan orang Ansar.

Saya kemudian ditangkap lalu dibawa menemui Rasulullah SAW.

Baginda SAW bertanya kepadaku: Kenapa kamu selalu membaling pokok tamar kepunyaan orang lain? Lalu saya jawab: Untuk memakan buahnya.

Baginda SAW memberi nasihat kepadaku: Jangan baling pokok tamar kepunyaan orang lain.

Kamu boleh makan setiap buah yang jatuh di bawahnya.

Seterusnya Baginda Rasulullah SAW mengusap kepada saya sambil berkata:

Ya Allah, Ya Tuhanku. Kenyangkanlah perutnya (dengan tamar yang gugur itu).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Lihatlah betapa halus dan lembutnya teknik pendidikan Rasulullah SAW.

Kanak-kanak yang bersalah ditegur dengan pola psikologi sangat menyentuh jiwanya kerana disamping memberi nasihat Baginda juga menggunakan teknik sentuhan.

Sebenarnya, teknik sentuhan terhadap badan anak akan memautkan keakraban utuh seterusnya berkeupayaan menjana penyerapan fahaman terhadap apa yang diajar.

Bagaimanapun, Islam tidak pernah menghalang teknik menghukum tetapi dengan bersyarat hendaklah dilakukan pada masa bersesuaian.

Ingatlah, kaedah pukulan tidak sesuai untuk semua anak, semua situasi atau semua kesalahan.

Kaedah menghukum dengan rotan misalnya digunakan selepas kaedah penjelasan pemahaman dan nasihat dilakukan terlebih dulu.

Pesan Nabi SAW: “Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah jika berumur 10 tahun (jika tidak menunaikan solat juga) dan pisahkanlah tempat tidur anak (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)