Tuesday, November 22, 2011

~ status anak luar nikah ? ~



TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat menyatakan bagi 2008 hingga 2010, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 152,182 anak tak sah taraf dilahirkan dan 257,5411 bagi 2000 hingga 2008.
Statistik itu mengikut kes dilaporkan ke JPN dan kita percaya statistik sebenarnya lebih lagi memandangkan banyak kes kelahiran anak tak sah taraf yang tidak didaftarkan, sudah pastinya angka ini amat membimbangkan.
Anak tak sah taraf berkait secara langsung dengan persoalan zina yang makin berleluasa di kalangan umat Islam kebelakangan ini. Justeru, untuk membendung permasalahan ini berterusan maka jalan yang boleh melorongkan ke arah perlakuan zina harus ditutup serapat-rapatnya.

Kita wajib mencari jalan bagi menutup ruang untuk perlakuan zina seperti membataskan pergaulan lelaki dan wanita, menutup tempat maksiat seperti pusat hiburan atau rumah urut.

Mengikut peruntukan undang-undang contohnya, seksyen 2(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 mentakrifkan ‘anak tak sah taraf’ anak yang dilahirkan daripada hubungan luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah.

Mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak, anak tak sah taraf tiada hubungan dengan suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung. Nasab anak ini hanyalah kepada ibu dan keturunannya.
Ini bermakna anak ini tiada bapa dan tidak layak menerima apa-apa daripada lelaki bergelar bapa. Nafkah saraan anak tak sah taraf di bawah tanggungan ibunya dan bukan menjadi tanggungan lelaki yang bersama ibunya.

Dari sudut perwalian pula, anak itu tidak mempunyai wali dan perlu kepada wali hakim jika hendak bernikah. Anak luar nikah tidak dinasabkan kepada mana-mana lelaki, sebaliknya dinasabkan kepada ibunya/keturunannya.

Dari sudut perwarisan pula, jika ibu kandungnya meninggal dunia, anak itu berhak mendapatkan bahagian dari pusaka ibunya.

Anak tak sah taraf berbeza dengan anak yang lahir daripada persetubuhan syubhah (wati syubhat) atau persetubuhan meragukan.

Perkahwinan syubhah bermaksud akad perkahwinan yang dianggap sah oleh pasangan kerana semua syarat perkahwinan dipenuhi tetapi pada hakikatnya akad itu tidak sah kerana sebab tertentu.

Contohnya bagi suami dan isteri, mereka beranggapan perkahwinan mereka sah kerana memenuhi rukun pernikahan iaitu dengan adanya wali, saksi, ijab kabul, pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

Tetapi hakikatnya, akad itu tidak sah kerana wali tidak memenuhi syarat perwalian. Oleh demikian, jika ketika dalam proses perkahwinan tiada mana-mana pihak mengetahui status wali yang mewalikan pernikahan, maka anak itu adalah anak sah taraf.

Anak itu tetap dinasabkan iaitu dibin atau binti kepada lelaki berkenaan. Maka lelaki berkenaan ialah ayah kepada anak yang bakal dilahirkan dan berkewajipan menyediakan nafkah sewajarnya seperti mana layak diterima anak.

Mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, seksyen 114 menyatakan, “Jika seseorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”

Setiap anak yang lahir melalui persetubuhan syubhah tetap dianggap sebagai anak sah taraf dan anak kandung kepada bapanya jika dilahirkan antara tempoh enam bulan hingga empat tahun qamariah dikira bermula persetubuhan itu berlaku. Begitu juga hak anak berkenaan terhadap harta peninggalan bapanya.

Jika ada pihak ketika proses perkahwinan mengetahui status sebenar wali yang mewalikan pernikahan tidak menepati syarat, maka anak dari perkahwinan itu tidak boleh dibinkan atau dibintikan dengan bapa anak berkenaan.

Masyarakat diseru tidak meminggirkan atau menghina anak tidak sah taraf kerana mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan. Status anak tak sah taraf ini bukanlah atas kehendak anak yang tidak berdosa sebaliknya akibat kesalahan kedua-dua ibu bapanya.

Masyarakat juga harus membezakan antara anak tak sah taraf dengan anak lahir dari pernikahan yang meragukan dengan hak dan status dua keadaan anak ini berbeza mengikut peruntukan undang-undang serta hukum syarak.

No comments:

Post a Comment