Saturday, August 20, 2011

~ sampaikan walau sepotong ayat ~



ALLAH memberi peringatan kepada umat manusia agar tidak melakukan dosa dan maksiat yang boleh menimbulkan kekacauan serta fitnah dalam masyarakat.

Umat Islam diseru supaya saling bekerjasama dan bantu membantu dalam usaha mencegah kemungkaran daripada terus berleluasa.

Tatkala Allah turunkan bala bencana akibat perbuatan berdosa itu, ia bukan sahaja menimpa orang yang melakukan dosa itu tetapi juga kepada masyarakat seluruhnya.

Ini bermakna kita bukan sahaja diwajibkan menjauhi diri dari perbuatan yang dilarang oleh Allah tetapi juga berkewajipan mencegah perbuatan itu daripada merebak dalam masyarakat.

Berjuang membanteras maksiat dan menentang kezaliman bukanlah suatu yang mudah untuk dilakukan. Ia memerlukan kesungguhan, kekuatan diri serta pengorbanan yang bukan sedikit.

Ingatlah bahawa orang yang tidak menghalang kezaliman dan kerosakan dengan membiarkannya terus berleluasa tanpa sebarang pencegahan mereka ini wajar dipersalahkan kerana Islam merupakan satu sistem hidup yang tidak membenarkan kezaliman, kerosakan, kemungkaran itu berkembang.

Lebih-lebih lagi jika didapati mereka hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri mengharapkan Allah menyelamatkan mereka dari bala bencana dengan alasan mereka adalah orang yang baik-baik.

Marilah kita bersama-sama menghindari dan mencegah perbuatan mungkar yang berdosa di sisi Allah kerana orang yang melakukan dosa, maksiat dan kezaliman adalah mereka yang mengundang bencana dan malapetaka.

Perbuatan mereka bukan sahaja Allah balas ke atas dirinya sahaja tetapi juga kepada kaum kerabat serta masyarakatnya. Ketika di dunia mereka ditimpa bencana sebagai balasan perbuatan ingkar mereka sedang di akhirat apatah lagi berat azab seksanya.

Kesimpulan

Setiap perbuatan dosa akan dihitung dan mendapat balasan daripada Allah sama ada balasan ketika hidup di dunia mahupun di akhirat nanti.

Bentuk balasan atau musibah yang mereka terima pula bukan sahaja menimpa individu yang melakukan dosa tersebut bahkan orang yang tidak melakukannya juga terpalit sama ditimpa bencana.

Bagi mengelak berlakunya perbuatan dosa yang mengundang bencana kepada masyarakat umumnya hasil daripada dosa yang dilakukan oleh orang tertentu, maka umat Islam telah dipertanggungjawabkan dengan turut sama berganding bahu mencegah dan membanteras perkara fasiq dan mungkar daripada berlaku.

Sesungguhnya umat yang menggalakkan kemungkaran berleluasa maka umat itu akan menanggung dosa.


Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan. (Al-Baqarah 2:48)

No comments:

Post a Comment