Wednesday, August 3, 2011

~ meraih ijazah taqwa ~




RAMADAN kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW:

Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka (riwayat Muslim).

Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah.

Firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah.

Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.

Justeru, sekolah atau madrasah Ramadan perlulah dihayati dan dipenuhi dengan pelbagai amanah kerja yang diminta oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah. Tanpa pendaftaran atau yuran, bulan tarbiyah dan pendidikan ini menjanjikan kelebihan dan kemenangan kepada hamba-Nya yang bertakwa. Benarlah janji Allah:

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. (al-Naba': 31).

Takwa secara ringkas maksudnya melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Maksud ini dilaksanakan melalui arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum.

Namun lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta riba, berjudi dan sebagainya.

Madrasah Ramadan juga mengajar kita supaya sentiasa melakukan kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, tarawih, tazkirah, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim dan sebagainya hendaklah menjadi agenda kita sehari-harian dalam bulan berkat ini.

Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan.

Walaupun pelbagai ganjaran yang boleh direbut dalam Ramadan, namun terdapat di kalangan umat Islam di negara kita yang telah mengkurus-keringkan pahala mereka.

Ini akibat daripada salah faham dan kesilapan tradisi dalam melakukan ibadah puasa Ramadan.

Perkara berkaitan salah faham dan kesilapan yang disebutkan dalam rencana ini hanyalah beberapa peringatan kepada kita untuk memastikan ibadat puasa kita diterima sepenuhnya oleh Allah. Kadang-kadang, kita lebih mementingkan perkara-perkara kecil, sedangkan perkara yang lebih besar tidak diberi perhatian.

Contohnya, wujud tradisi dalam masyarakat kita yang terikut-ikut budaya bergaduh atau bertengkar mengenai jumlah rakaat dalam solat Terawih.

Hakikatnya, solat tersebut adalah sunat bukannya wajib. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dan juga para Khulafa' al-Rasyidin yang dimulakan oleh Umar al-Khattab.

Sepatutnya, perkara ini tidak menjadi isu. Malah, jangan terkejut khalifah Umar Abdul Azi pernah menguatkuasakan solat Terawih sebanyak 36 rakaat dan tiga kali witir.

Apa yang penting adalah amalan tersebut disertai dengan niat yang ikhlas. Dua rakaat yang ikhlas lebih mulia daripada 100 rakaat yang ujub. Pertelingkahan dalam perkara-perkara kecil dan sunat hendaklah dielakkan demi menjaga silaturahim sesama Muslim.

Justeru, sepanjang madrasah Ramadan ini kita hendaklah mengawasi pancaindera dengan melakukan perkara-perkara berikut bagi memenuhi tuntutan sebenar ibadat puasa;

n Menjaga lidah daripada bercakap kosong, mengumpat, memburuk-burukkan orang lain dan sebaiknya hendaklah dibasahi dengan berzikir atau bertadarus al-Quran;

n Menjaga mata daripada melihat perkara yang diharam dan melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT;

n Menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu dan perbualan yang tidak berfaedah dan sebaiknya digunakan untuk mendengar bacaan al-Quran.

n Menjaga anggota-anggota tubuh lain seperti perut, kaki, tangan dan sebagainya. Perut semasa bersahur dan berbuka puasa hendaklah diisi dengan makan halal, baik dan mengikut sunnah. Kaki dan tangan hendaklah digunakan untuk berzikir, solat, dan melangkah ke surau atau masjid.

Dengan pengawasan dan amalan baik, insya-Allah Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita sebelum dijemput ke alam barzakh. Alangkah indahnya jika kita berjaya menghabiskan tempoh latihan di madrasah Ramadan ini dengan memperoleh ijazah takwa yang dijanjikan itu.

Beruntunglah kita di dunia dan berbahagialah kita di akhirat. Ingatlah perkhabaran Rasulullah:

Orang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya, iaitu kegembiraan apabila berbuka, dan apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. (riwayat al-Bukhari).


No comments:

Post a Comment