Terlalu banyak hikmah dalam kembara ini Jika segalanya dilihat dengan mata hati Jiwa akan kukuh disepuh iman Akal akan bersih disuluh iktibar Fizikal akan kuat menempuh kesusahan..
Wednesday, March 30, 2011
~ jahiliah moden ~
HARI kiamat termasuk dalam Rukun Iman dan sudah pasti akan berlaku dan wajib bagi semua orang mempercayainya. Bagi yang tidak mahu mempercayainya, mereka adalah orang yang mendustai Allah dan rasul-Nya.
Pastinya, hari kiamat itu adalah malapetaka yang amat dahsyat dan menakutkan bagi sesiapa yang menghayatinya. Gambaran mengenai peristiwa ngeri dan dahsyat yang berlaku ketika datangnya hari kiamat adalah untuk menimbulkan rasa takut, gementar dan gerun dalam hati manusia kerana melihat perkara yang tidak pernah terjadi sebelumnya.
Firman Allah dalam surah at-Takwir ayat 1-9 yang bermaksud: “Apabila matahari dilingkari cahaya (dan hilang lenyap) dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung ganang diterbangkan di angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu) dan apabila unta yang bunting terbiar dihimpunkan dan apabila lautan meluap dan apabila tiap diri disatukan dengan pasangan dan apabila anak perempuan yang di tanam hidup-hidup ditanya, apakah dosa mereka sehingga dibunuh dengan sedemikian rupa?”
Ayat di atas menggambarkan kepada kita bahawa antara peristiwa yang berlaku pada hari kiamat nanti akan dibangkitkan bayi yang dibuang atau ditanam hidup-hidup dan bertanya apakah dosanya sehingga dibunuh tanpa rasa belas kasihan?
Seperti yang kita tahu, bangsa Arab sebelum datangnya Islam yang dibawa oleh Nabi SAW membuang dan menanam hidup-hidup bayi adalah budaya mereka yang duduk di kampung dan miskin pada zaman jahiliah.
Di dalam ayat ini Allah SWT menjelaskannya sebagai satu kutukan dan cemuhan kepada sesiapa yang membunuh, membuang, menyeksa dan menghina bayi yang tidak mengetahui apa-apa.
Bertambah sedih lagi apabila anak yang tidak berdosa itu dibunuh tanpa rasa bersalah. Hari ini kita lihat jahiliah moden kembali dan cara serta tindakan lebih kejam, zalim dan menindas berbanding dulu. Mereka membuang bayi merata-rata, di jalan, bilik air, masjid, tong sampah, depan rumah dan yang lebih menyedihkan lagi menjadi hidangan anjing liar serta menjadi makanan ulat. Allah SWT mengutuk sekeras-kerasnya pekerjaan keji sedangkan manusia dijadikan Allah sebagai makhluk paling mulia di muka bumi.
Di akhirat nanti Allah akan memberikan hak kepada bayi untuk bertanya selepas mereka dinafikan hak di dunia, Allah juga memberikan peluang untuk membela diri, selepas sekujur tubuh yang lemah tidak berdaya melawan ketika dibuang di dunia.
Sudah semestinya persoalan yang dilontarkan kepada kedua-dua ibu bapanya memberikan peringatan kepada pembunuh dan mereka yang ‘bercita-cita’ menjadi pembunuh.
Berfikirlah sebelum melakukan jenayah zina, hubungan terlarang dan perbuatan tidak berperikemanusiaan. Hari ini, gejala sosial ini berada pada tahap kritikal walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menangani masalah ini.
Sebagai contoh, kebanyakan mereka yang membuang bayi adalah daripada umat Islam. Hakikatnya, keprihatinan kita sebagai umat Islam dalam menangani masalah ini begitu rendah.
Tuesday, March 29, 2011
~ manusia tetap hamba ~
TARIKH 11 Mac lalu adalah hari yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Jepun lebih-lebih lagi bagi yang tinggal di kawasan Timur Laut negara berkenaan. Sekelip mata ombak tsunami setinggi 10 meter membadai lalu menghancurkan semua di hadapannya.
Sehingga kini dianggarkan lebih daripada 10,000 orang terkorban ataupun hilang tidak dijumpai dan Bank Dunia pula menganggarkan kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di kawasan terbabit mencecah RM700 bilion (US$235 bilion) dan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk membangun semula.
Belum pun reda daripada trauma rempuhan tsunami rakyat Jepun kini terdedah pula kepada kesan langsung daripada radiasi loji tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi yang juga rosak teruk akibat tsunami.
Secara tersurat apa yang berlaku di Jepun suatu bentuk musibah dan bencana alam yang tidak dapat dielakkan. Ia termasuk dalam ruang lingkup kekuasaan mutlak Allah SWT yang Maha Berkuasa melakukan apa saja. Perlu diingat walau sehebat mana sekalipun teknologi garapan pemikiran manusia ia masih dangkal untuk menentukan apa yang akan berlaku pada hari mendatang.
Walau dengan kecanggihan teknologi yang ada, manusia mampu mengesan kejadian gempa bumi di bawah laut dan juga ombak tsunami pasti tidak dapat dielakkan jika benar Allah SWT menghendaki ia berlaku. Malah perkara ini termasuk dalam ketetapan qada dan qadar Allah SWT yang tidak juga menafikan konsep usaha dan tawakal kepadanya.
Secara tersirat ia sebenarnya satu daripada nikmat dan rahmat Allah SWT yang Maha Luas kepada hamba-Nya yang beriman agar berfikir dan merenung kepada setiap kejadian yang berlaku dengan pandangan mata hati. Ia sekali gus mengajak manusia untuk sentiasa bersyukur atas segala nikmat kurniaan Ilahi yang tidak terhitung banyaknya.
Mana tidaknya sehingga hari ini kita di Malaysia masih dipelihara daripada sebarang kejadian gempa bumi, tsunami, letupan gunung berapi dan huru-hara yang melanda sebahagian masyarakat dunia. Rakyat negara ini masih selamat, bebas bergerak ke sana ke mari, makanan dan segala keperluan asas mencukupi.
Segala nikmat ini hendaklah disyukuri dengan memperbanyak melakukan ketaatan sambil berharap belas kasihan dan rahmat daripada Yang Maha Kuasa. Apatah lagi pada akhir zaman saat dunia semakin uzur dan hampir kepada kemusnahan.
Jika tidak kemungkinan pelbagai musibah dan malapetaka bakal menimpa secara tiba-tiba tanpa disedari implikasi daripada kemurkaan Allah SWT terhadap perlakuan segelintir umat manusia yang tidak bersyukur ke atas nikmat yang dikurniakan-Nya.
Sebelum terlambat umat Islam juga harus menginsafi betapa gegaran dan gempa saat berlakunya hari kiamat adalah sesuatu yang menakutkan dan tiada sesiapa akan terselamat daripada kemusnahan seluruh alam.
~ Bermuamalat dengan bukan Islam ~
Islam adalah merupakan agama yang membawa kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh alam. Apabila Nabi SAW dibangkitkan, baginda mengajar umatnya berakhlak mulia kepada semua manusia.
Dalam sejarah Islam, banyak situasi di mana Muslim mendapatkan khidmat bukan Islam dalam urusan mereka dan tidak kurang juga yang dilantik memegang jawatan tertentu kerajaan.
Secara asasnya, Islam membenarkan umatnya berurusan dengan orang bukan Islam khususnya dalam aspek yang berkaitan dengan muamalat. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (al-Mumtahanah: 8)
Umat Islam perlu menjaga keharmonian hidup bersama dengan orang yang bukan Islam dalam keadaan prinsip-prinsip Islam dijaga. Umat Islam juga dilarang menimbulkan perselisihan dan mencetuskan permusuhan dengan orang yang bukan Islam.
Nabi SAW bersabda: Barang siapa menyakiti zimmi, maka dia telah menyakitiku. (riwayat Bukhari)
Sekiranya kita selusuri sirah nabi SAW, kita akan dapati baginda bekerjasama dengan orang bukan Islam dalam urusan harian. Termasuk dalam hal ini apabila Nabi SAW berhijrah ke Madinah dan menjadi pemimpin utama negara Islam itu, antara dasar yang diperkenalkan ialah piagam Madinah atau lebih dikenali sebagai Sahifah Madinah.
Antara kandungan piagam itu adalah kerajaan Islam bertanggungjawab melindungi masyarakat sama ada Muslim atau bukan Muslim selagi mereka mematuhi Perlembagaan.
Jelas di sini bahawa nabi SAW mengiktiraf peranan orang bukan Islam dalam pembinaan sesebuah kerajaan. Demi menjaga keharmonian kaum dan agama, Nabi SAW bersikap toleransi dengan mendahulukan diplomasi terlebih dahulu dari peperangan.
Dalam menjayakan Hijrah baginda SAW, peranan orang bukan Islam telah digunakan untuk melancarkan perjalanan baginda dan Abu Bakar r.a. Beliau adalah Abdullah bin Uraiqith.
Nabi SAW menggunakan khidmat beliau sebagai penunjuk jalan kerana jalan yang dilalui oleh mereka bukan jalan biasa yang dilalui oleh masyarakat Mekah untuk bermusafir ke Madinah.
Tindakan Nabi SAW yang bekerjasama dengan Abdullah bin Uraiqith walaupun beliau tidak memeluk agama Islam dilihat penting untuk menjayakan cita-cita Hijrah. Berdasarkan peristiwa ini, Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buty berpandangan, harus umat Islam meminta bantuan orang bukan Islam jika terdapat keperluan tertentu. (Dr. Said Ramadan al Buty, Fiqh Al Sirah, ms. 134).
Sistem kewangan Islam adalah bersifat universal yang merentasi sempadan agama. Ia bukan semata-mata untuk orang Islam malah untuk orang bukan Islam. Ini bertepatan dengan tujuan Nabi SAW diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam. (rujuk al-Anbiya':107)
Dalam aspek muamalat, Nabi Muhammad SAW pernah berurusan dengan orang bukan Islam semasa hayatnya.Contohnya, nabi SAW bermuamalah dengan seorang Yahudi sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis; Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW. (riwayat Bukhari)
Monday, March 28, 2011
~ Bilal : Muazin Ar-Rasul ~
Bilal bin Rabah atau nama lengkapnya Bilal bin Rabah Al-Habasyi dikenali dengan dengan gelaran Muazin Ar-Rasul.
Beliau memiliki tubuh yang tinggi, kurus, kulitnya berwarna coklat, pelipisnya tipis dan rambutnya lebat. Ibunya pula adalah hamba kepada Ummayyah bin Khalaf dari Bani Jumuh.
Apabila mendengar Islam daripada risalah yang dibawa Rasulullah, beliau menemui baginda dan mengikrarkan dirinya memeluk agama Islam.
Ketika beliau memeluk Islam, hanya terdapat beberapa orang sahaja yang memeluk Islam di atas permukaan bumi ini iaitu Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Ammar bin Yasir serta ibunya Sumaiyyah, Suhaib Ar-Rumi dan Al-Miqdad bin Al-Aswad.
Bilal pernah diseksa oleh Umayyah malah membiarkannya di tengah gurun padang pasir selama beberapa hari.
Sebahagian besar kalangan mereka yang memeluk Islam pada masa tersebut mempunyai keluarga tempat mereka berlindung daripada kekejaman golongan musyrikin kecuali Bilal dan Ammar bersama-sama dengan bapa dan ibunya serta Suhaib.
Oleh kerana itu mereka menjadi sasaran golongan musyrikin Quraisy untuk melepaskan geram mereka terhadap Islam.
Dengan kepanasan matahari di padang pasir, beliau diseksa sambil perutnya diikat dengan batu besar. Lehernya pula diikat dengan tali. Beliau diseret oleh orang-orang kafir bersama anak-anak mereka di antara bukit-bukit di Mekah.
Ketika diseret, Bilal dengan tenang mengucapkan kata "Ahad… Ahad" malah beliau menolak mengucapkan kata-kata kufur.
Tidak cukup dengan penyeksaan itu, golongan musyrikin menanggalkan pula pakaian Bilal, mereka memakaikannya dengan baju besi kemudian mereka menjemur beliau di bawah panas terik cahaya matahari.
Malah mereka memukulnya dengan menggunakan cemeti sambil memerintahkan Bilal supaya mencaci Nabi Muhammad.
Selepas kejadian itu, Abu Bakar memerdekakan Bilal dengan membelinya daripada Umayyah dengan harga sembilan tahil emas. Umayyah sengaja menjualnya dengan harga yang mahal supaya Abu Bakar tidak mahu membeli.
Umayyah berkata: "Sekiranya Abu Bakar tidak mahu membeli dengan harga tersebut, aku tetap akan menjualnya walaupun dengan harga 1 tahil emas."
Sebaliknya Abu Bakar juga berkata di dalam hatinya: "Sekiranya dia tidak mahu menjual dengan harga tersebut, aku tetap akan membelinya walaupun dengan harga 100 tahil emas."
Setelah hijrah, azan disyariatkan dan Bilal mengumandangkan azan. Beliau adalah muazin pertama dalam Islam kerana memiliki suara yang sungguh lunak.
Bilal juga pernah menjawat jawatan sebagai bendahara Rasulullah di Bait Al-Mal malah beliau juga tidak pernah menolak daripada mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah.
Ketika perang Badar, apabila melihat Umayyah dan Bilal berkata: "Aku tidak akan selamat jika Umayyah selamat."
Dengan pertolongan beberapa pasukan kaum muslimin mereka berjaya membunuh Umayyah.
Pada saat pembebasan Kota Mekah, Rasulullah menyuruh Bilal mengumandangkan azan di belakang kaabah. Ia merupakan azan yang pertama dikumandangkan di Mekah.
Rasulullah pernah bertanya kepada Bilal: "Hai Bilal, ceritakanlah kepadaku mengenai amalan yang menurutmu paling besar pahalanya yang pernah kamu kerjakan dalam Islam."
Lalu Bilal menjawab: "Aku tidak pernah mengerjakan amalan yang menurutku besar pahalanya, tapi aku tidak wuduk di waktu malam dan siang, melainkan aku menunaikan solat yang diwajibkan bagiku mengerjakannya."
Setelah Rasulullah wafat, Bilal meminta izin kepada Abu Bakar untuk meninggalkan Madinah dan berjuang di jalan Allah. Abu Bakar menyarankan agar Bilal terus menetap di Madinah. Bilal menetap di sana dan akhirnya beliau bergabung bersama pasukan yang diutus untuk membebaskan wilayah Syam.
Beliau meriwayatkan 44 hadis antaranya, nabi bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu menunaikan solat malam (tahajud), kerana solat malam adalah tradisi (kebiasaan) orang-orang soleh sebelum kamu, dan sesungguhnya solat malam adalah amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, dapat mencegah daripada perbuatan dosa, mengampuni dosa-dosa kecil, dan menghilangkan penyakit badan (riwayat Tirmidzi)."
Bilal dilahirkan di Kota Mekah sekitar tahun 43 sebelum Hijrah dan meninggal dunia di Damsyik pada tahun 20 Hijrah dan ada riwayat menyebut bahawa beliau dimakamkan di Halb.
~ perundangan Islam bersifat mendidik ~
PERUNDANGAN Islam diturunkan bukan untuk menghukum tetapi untuk mendidik. Disebabkan itu Islam amat menitikberatkan perlindungan terhadap insan yang mula mencari pintu taubat. Dalam Islam, keaiban manusia bukan dianggap sesuatu yang perlu diketengahkan. Malah ia ditutup serapat mungkin kerana itu rahmat Allah SWT. Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang pun terlepas daripada melakukan kesalahan.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui”. (Surah An-Nuur: 19)
Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Setiap daripada kamu ialah orang yang berbuat salah dan sebaik-baik orang yang berbuat salah ialah orang yang bertaubat.” (HR Ahmad)
Setiap manusia tidak terlepas daripada keaiban. Sama ada diketahui orang lain mahupun menjadi rahsia sendiri. Namun, Allah itu berkuasa menutup dan membuka keaiban hamba-Nya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. (Hadis riwayat at-Tirmidzi).
Segala maksiat di sekeliling kita perlu dicegah. Kita membenci segala perbuatan maksiat. Namun, kita tidak membenci orang yang melakukan maksiat. Apatah lagi melaknat orang berkenaan. Ahli Sunnah Wal-Jamaah dalam menghadapi sesuatu kemungkaran membezakan antara perbuatan dan si pembuat.
Diterangkan bahawa perbuatan itu adalah salah supaya pembuatnya berhenti dan tidak diikuti orang ramai. Ada pun terhadap pembuatnya, Ahli Sunnah Wal-Jamaah menangguhkan sebarang hukuman sehingga diperhatikan tiga syarat berikut;
Ditegakkan hujah kepadanya, iaitu mengemukakan dalil dan hujah bahawa apa yang dilakukan adalah kemungkaran. Kemudian dibersihkan salah fahamnya iaitu dalil dan hujah diberi dalam bentuk penerangan jelas bagi membersihkan kekeliruan yang mungkin dihadapi olehnya apabila melakukan kemungkaran itu.
Akhirnya, Islam mempertimbangkan sama ada dia melakukan kemungkaran itu dalam suasana sedar dan rela atau terpaksa, tersilap atau tidak mampu untuk mengelaknya.
Demikian sikap hati-hati AhliSunnah Wal-Jamaah dalam membezakan antara perbuatan dan pembuat.
Umar al-Khathab menerangkan bahawa pada zaman Rasulullah SAW terdapat seorang lelaki yang bernama Abd Allah. Dia lazim (berjenaka) sehingga membuat Rasulullah SAW tertawa. Nabi pernah merotannya (sebagai hukum hudud) kerana kesalahan minum arak.
Pada suatu hari dia dibawa menghadap Baginda atas kesalahan yang sama, lalu dikenakan hukuman rotan. Berkata seorang lelaki: “Ya Allah! Laknatlah dia! Betapa banyak kali dia dibawa menghadap Rasulullah atas kesalahan sama!” Namun Nabi menjawab:
“Jangan melaknatnya! Demi Allah! Aku tidak tahu bila ternyata dia mengasihi Allah dan rasul-Nya. (Riwayat al-Bukhari)
Berlaku beberapa kes pada zaman Nabi yang menunjukkan bahawa perundangan Islam bukan sekadar untuk menghukum. Namun ia juga sebagai produk mendidik jiwa. Manusia yang paling arif berkenaan hukum Allah SWT ialah nabi. Namun, terdapat kisah bagaimana proses berlaku pelaksanaan hukum hudud yang melalui proses menutup keaiban terlebih dulu.
Hadis daripada Nu’aim Hazzal: “Ma’iz Malik adalah seorang yatim di bawah asuhan bapakku. Lalu dia berzina dengan seorang budak daripada suku itu. Maka bapakku berkata kepadanya: “Pergilah kepada Rasulullah SAW, lalu beritahulah kepada Baginda apa yang sudah engkau lakukan. Semoga beliau memohonkan ampun untukmu”. Bapakku menghendaki hal itu kerana berharap Ma’iz mendapat penyelesaian.
Maka Ma’iz mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku.” Lalu Baginda berpaling daripadanya. Kemudian Ma’iz mengulangi: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku”. Maka baginda berpaling darinya. Kemudian Ma’iz mengulangi dan berkata, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku”.
Rasulullah SAW bersabda: “Engkau sudah mengatakannya empat kali. Lalu dengan siapa? Dia menjawab, “Dengan si Fulanah”. Lalu Baginda bersabda, “Apakah engkau berbaring dengannya?” Dia menjawab, “Ya” Lalu Baginda bersabda, “Apakah engkau menyentuh kulitnya?” Dia menjawab, “Ya” Lalu beliau bersabda, “Apakah engkau bersetubuh dengannya?” Dia menjawab, “Ya” Maka Rasulullah SAW memerintahkan untuk merejamnya.
Kemudian dia dibawa keluar ke Harrah. Tatkala dia direjam, lalu merasakan lemparan batu. Dia berkeluh kesah, lalu keluar dan melarikan diri. Maka Abdullah Unais mengekorinya. Sedangkan sahabatnya lain sudah penat.
Kemudian Abdullah mengambil tulang betis unta, lalu melemparkannya, sehingga dia membunuhnya. Lalu dia mendatangi Rasulullah SAW dan menceritakannya kepada Baginda.
Maka Baginda bersabda: “Tidakkah kamu membiarkannya, kemungkinan dia bertaubat, lalu Allah menerima taubatnya!” (kisah lengkap pada Sahih Muslim)
Menurut Syeikh Islam Ibn Taimiyyah, Nabi sebenarnya sedang berusaha agar hukuman rejam ke atas Ma’iz tidak berlaku. (Majmu Fatawa 16/31) Ini menunjukkan kepada kita banyak ruang yang boleh ditutup keaiban berkenaan, maka hendaklah kita menutupnya. Disebabkan kita sendiri yang membukanya, maka berlakulah pengadilan Allah SWT terhadap hamba-Nya.
Sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah perkara keji yang dilarang oleh Allah. Sesiapa yang melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” (Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi).
Sunday, March 27, 2011
~ Salafussoleh ~
Allah SWT sudah mempersiapkan orang Islam terdahulu sebagai umat yang percaya dengan sifat jujur dan amanah yang sudah memelihara Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW dengan menghafalnya dalam dada mereka. Antara mereka ada yang lebih mengambil berat mengenai al-Quran dan ilmu-ilmunya atau yang kita kenali dengan Mufassirun atau kalangan ahli tafsir. Ada juga yang lebih menumpukan tentang hadis Rasulullah SAW dan ilmu-ilmunya atau lebih dikenali dengan al-Muhaddisun atau kalangan ahli hadis.
Sahabat, at-Tabi’in dan orang yang setelah mereka menghafal hadis-hadis Rasulullah SAW dan diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya dengan cara yang sama. Mereka tidak pernah meninggalkan pelbagai perkara mengenai kehidupan Rasulullah SAW, segala peninggalannya, sejarah perjalanannya, sifat-sifatnya melainkan mereka menghafal dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah baik bagi kamu pada diri Rasulullah SAW contoh ikutan yang baik.”
Mereka sudah diperintahkan untuk mengambil apa-apa yang datang daripada Rasulullah SAW dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang Rasulullah sebagai mana firman Allah SWT dalam surah al-Hasy ayat 7 iaitu: “Dan apa juga perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa juga yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah “Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”
Kalangan sahabat sangat mengambil berat tentang Rasulullah SAW apa-apa yang datang daripada Rasulullah SAW terus mereka praktikkan sehari-hari tanpa sebarang soalan tentang sebab dan alasannya.
Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, daripada Ibnu Umar yang bermaksud: “Bahawasanya Rasulullah SAW memakai cincin daripada emas, maka orang ramai memakai cincin daripada emas. Kemudian Baginda melepaskannya dan berkata: Aku tidak akan memakainya selama-lamanya. Maka semua orang melepaskan cincin mereka.”
Ibnu Hajar berkata: “Dalam kisah ini nampak bahawa kalangan sahabat bertindak segera dalam mengikuti perbuatan-perbuatan Rasulullah SAW, sama ada yang Baginda tetapkan maka mereka (para sahabat) akan terus mengerjakannya, mahu pun yang Baginda tegah, maka mereka akan segera meninggalkannya.”
Rasulullah SAW sudah memerintahkan kalangan sahabatnya untuk mendengarkan hadisnya, menghafal dan menyampaikannya kepada orang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Zaid bin Thabit, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, semoga Allah memberi kebaikan kepada orang yang mendengarkan satu hadis daripadaku, kemudian menghafal dan mengamalkannya. Berapa banyak orang yang menyampaikan hadis kepada orang yang lebih faqih daripadanya dan berapa banyak orang yang menyampaikan hadis lebih banyak hafalan daripada memahaminya.
Usaha periwayatan hadis hingga sekarang masih menjadi satu kemuliaan yang didapati oleh orang yang adil daripada umat Islam iaitu orang yang mengambil berat akan periwayatan hadis sebagai salah satu bentuk daripada pemeliharaan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.
Dalam satu riwayat yang masyhur daripada Jabir bahawasanya beliau sudah melakukan perjalanan ke Syam untuk mengenal pasti satu hadis daripada Abdullah bin Anis. Begitu juga yang dilakukan oleh Abu Ayyub yang melakukan perjalanan daripada Madinah ke Mesir untuk meriwayatkan hadis daripada Uqbah bin Amir.
Sebagaimana dilakukan oleh sahabat-sahabat Nabi, diikuti dengan para tabi’in. Bahkan para tabi’in sudah melakukan perjalanan yang jauh untuk mencari hadis. Ini juga menggambarkan peta perjalanan mereka demi menyebar luaskan hadis Rasulullah SAW kepada semua orang. Kesungguhan para Tabi’in dalam menghadapi cabaran dan rintangan seperti yang disampaikan oleh Sa’id bin al-Musayyab: “Aku akan berjalan selama satu hari satu malam untuk mendapatkan satu hadis.”
Awal mula usaha penulisan hadis telah dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagaimana yang disebut oleh Jalaluddin as-Suyuti dalam kitab Tadrib al-Rawi fi Syarh al-Nawawi iaitu: Penulisan hadis bermula pada awal tahun ke 100 hijrah pada masa Khalifah Umar bin Abdul Aziz.
Usaha penulisan hadis secara lengkap dilakukan oleh Muhammad bin Syihab al-Zuhri yang didorong oleh keinginan beliau memenuhi cita-cita murni Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan kecintaan beliau terhadap hadis Rasulullah SAW.
Ibnu Hajar menyebut dalam Fathul Bari bahawa antara kitab Hadis yang awal ialah kitab hadis al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik.
Demikianlah secara ringkas berkenaan perhatian yang sudah diberikan oleh Salafussoleh dari umat ini untuk menjaga dan menyebarluaskan hadis Nabi Muhammad SAW. Wallahua’lam.
Saturday, March 26, 2011
~ wuduk penyeri wajah ~
DARIPADA Abu Hurairah katanya, bersabda Rasulullah SAW bermaksud: "Luas telagaku pada Hari Kiamat lebih dari jarak Ailah dan Adan, airnya lebih jernih daripada salju, lebih manis daripada madu bercampur susu, bejananya lebih baik daripada bintang di langit; Aku melarang umat selain umatku datang minum di situ, seperti mana seorang yang menjaga unta orang lain akan minum dari telaganya; Ditanya Rasulullah SAW: Dapatkah tuan mengenal kami ketika itu? Jawab Rasulullah SAW: Ya, ialah dengan bekas wuduk yang gilang-gemilang di mukamu sebagai tanda diistimewakan dari umat lain.
Allah SWT berfirman maksudnya: “Pada hari ketika kamu melihat orang mukmin lelaki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): Pada hari ini ada berita gembira untukmu, iaitu syurga yang mengalir di bawahnya sungai yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang banyak.” (Surah al-Hadid, ayat 12)
Sesungguhnya bekas air wuduk di wajah kita menjadi penyeri wajah. Begitu juga setiap amal salih yang kita lakukan adalah penyeri akhlak. Semua himpunan cahaya ini adalah lambang keserian iman yang akan menerangi hidup seseorang di dunia dan akhirat.
Syurga indah sedia menanti mereka di sana. Maka alangkah ruginya jika kita terkecuali daripada golongan yang disebutkan Rasulullah SAW. Namun manusia lazimnya selalu leka dalam mengejar nikmat dunia sementara di depan mata berbanding nikmat akhirat indah dan kekal abadi.
Sesungguhnya janji Allah SWT tetap benar dan hanya orang yang sabar saja akan dapat mengecap nikmat kebahagiaan yang dijanjikan-Nya itu.
Thursday, March 24, 2011
~ remaja berjiwa perkasa ~
KETAHANAN mental adalah suatu keperluan bagi generasi muda. Cabaran yang dihadapi kini tidak sahaja bersifat rohaniah, tetapi juga menguji ketahanan mental. Ketahanan mental bermaksud ada keupayaan berfikir yang baik dan keupayaan menyaring sumber pemikiran dari luar.
Dalam tradisi Islam, ketahanan mental seimbang dengan ketahanan rohaniah. Sebab itu, ilmuwan Islam dalam menghadapi kerenah zaman utuh dengan daya intelektualnya dan dicermin akhlaknya yang baik.
Ketahanan mental menuntut penguasaan ilmu berlaku dan keupayaan berfikir berkembang menghadapi cabaran globalisasi, justeru para remaja harus mempunyai persiapan ke arah ini. Al-Quran memberikan pedoman mengenai kegunaan akal (afala ya' qilun).
Al-Quran juga memberi asas kepada kemahiran dan kedalaman berfikir (afala yatafaqqarun) dan al-Quran juga memberikan bimbingan untuk mengetahui, mengkaji dan meneliti (afala yatadabbarun).
Asas ini menjadi landasan kepada ilmuwan Islam pada masa silam memiliki jiwa tadabbur (memerhati, mengetahui, memahami). Jiwa tadabbur ini sangat penting bagi remaja kerana ia adalah landasan kepada ketahanan mental.
Ketahanan mental dalam erti kata yang luas ialah kesediaan para remaja menyerap pemikiran-pemikiran baru dari Barat dan Timur tanpa menyebabkan ia bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Nilai dan etika Islam menjadi faktor penyaring terhadap unsur-unsur dari luar.
Ketahanan mental juga terhubung dengan kemahiran berfikir yang perlu ada pada remaja. Kemahiran berfikir seperti berfikir kritikal, kreatif, lateral, reflektif dan strategik adalah sangat penting kepada remaja di zaman ini.
Apabila remaja ingin bersifat kritis, ia sepatutnya mempunyai ilmu-ilmu asas tentang subjek yang berkaitan serta ilmu-ilmu berbanding sebagai asas kritik.
Daripada situ, para remaja akan mampu melihat sesuatu dari jendela Islam dan juga sesuatu yang bermanfaat dari sumber orang lain.
Berfikir kreatif membawa kepada pemikiran yang berkembang dan diolah sehingga menghasilkan pemikiran-pemikiran baru yang bernas dan bertenaga.
Berfikir reflektif membawa kepada keupayaan remaja melihat peristiwa-peristiwa lalu yang menyumbang kepada pembangunan tamadun umat manusia.
Berfikir lateral menjadikan remaja berfikir secara holistik dan mampu menghubungkan sesuatu peristiwa dengan peristiwa yang lain. Berfikir strategik pula adalah suatu kemahiran yang terbaik bagi remaja mengimbangkan idealisme dengan realiti.
Mempunyai idealisme bermakna membina keunggulan dalam berfikir. Keunggulan dalam berfikir berdepan dengan faktor-faktor semasa yang sangat mencabar. Berfikir strategik mampu menjadikan remaja memahami faktor keutamaan dan juga faktor sampingan.
Apabila asas dan kemahiran berfikir terbina, para remaja bakal memiliki senjata berfikir yang ampuh serta membezakan yang baik dan yang buruk dan yang bermanfaat atau sebaliknya. Asas ini mampu memberikan ketahanan mental kepada remaja.
~ bencana sebagai amaran ! ~
FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Surah al-Rum, ayat 41)
Menjadi keyakinan setiap Muslim yang beriman kepada Allah bahawa setiap rahmat dan musibah, kejayaan dan kegagalan, keuntungan dan kerugian, berasal daripada Allah. Bahkan Allah saja yang Maha Mengetahui bila ia akan melimpah atau menimpa kepada seseorang atau sesuatu bangsa.
Setiap Muslim wajib meyakini bahawa Allah adalah Zat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Oleh itu, adalah mustahil bagi Allah untuk berlaku zalim terhadap manusia dan makhluk lain yang menghuni alam semesta ini.
Rahmat Allah dan keampunan-Nya lebih luas daripada azab dan murka-Nya. Sehubungan itu, Allah berfirman yang maksudnya: “Dengan demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiayai diri sendiri.” (Surah al-Rum, ayat 9)
Keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim akan menjadi faktor utama turunnya kerahmatan dan keberkatan daripada Allah. Sebaliknya, kekufuran, kesyirikan, kemaksiatan, kefasikan, pendustaan terhadap Allah menjadi punca turunnya azab dan malapetaka tidak diundang.
Bukankah Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Jika penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentu Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96)
Justeru, apa pun musibah dan bencana yang menimpa manusia mewajarkan satu renungan dan muhasabah diri. Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian pernah dilakukannya sehingga mengundang bala bencana daripada Allah itu.
Maka tepatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak ada kebaikan dalam kehidupan ini melainkan orang yang benar-benar mahu mendengar dan merenung diri atau orang yang berilmu dan berkata benar. Wahai manusia! Kalian semua berada pada satu zaman yang penuh dengan kemelut dan krisis. Di samping itu, masa juga berjalan begitu pantas. Pada waktu itu, kalian semua yang menyaksikan sesuatu yang asing dan baru akan berlaku silih berganti siang malam serta sesuatu yang jauh akhirnya menjadi lebih dekat di samping berselang-selang satu demi satu apa yang dijanjikan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu ‘Asakir)
Imam Baidawi berkata, yang dimaksudkan dengan kerosakan adalah cuaca kering kontang, kebakaran, banjir besar, hilangnya keberkatan dan banyaknya kebuluran, adalah akibat kemaksiatan dan perbuatan dosa manusia.
Manakala Imam Ibnu Kathir pula mentafsirkan kerosakan dengan berkurangnya hasil pertanian dan buah-buahan kerana kemaksiatan manusia. Baiknya bumi dan langit adalah bergantung dengan ketaatan penghuninya.
Menjadi kewajipan setiap Muslim yang beriman supaya bersabar mendepani segala musibah dan malapetaka melanda. Jangan berasa lemah semangat, berduka cita, berputus asa, bersedih secara berlebihan, apatah lagi menyalahkan takdir terhadap apa yang berlaku.
Tuesday, March 22, 2011
~ Bersyukur atas nikmat dan ujian ~
AYAT itu diulang sebanyak 31 kali dalam surah Ar-Rahmaan. Kerap membuat siapapun tertegun membacanya. Betapa kita, sebagai makhluk-Nya, terkadang terlalu sombong untuk sekadar mengucapkan 'terima kasih' kepada Yang Maha Pencipta, Allah SWT.
Sudah banyak sekali nikmat yang sudah Dia berikan. Namun, kita malah tidak bersyukur kepada-Nya.
Bukankah Allah SWT telah berfirman: Dan, Dia telah memberikanmu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu hajati. Dan, jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya, manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (Ibrahim: 34)
Sudah banyak sekali nikmat yang Dia berikan. Antaranya adalah nikmat manisnya iman, nikmat menghirup udara segar dan sebagainya.
Allah telah memberi gambaran yang menggembirakan bagi hamba-hamba-Nya yang bersyukur, dan ancaman untuk hamba-hamba-Nya yang kufur, seperti yang termaktub dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memberitahu; Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu. Dan, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih. (Ibrahim: 7)
Maka, syukurilah nikmat yang datang pada kita. Jangan kita terlena hingga kita lupa dan mendakwa kejayaan itu adalah hasil jerih payah kita sendiri, tanpa menganggap Allah sebagai Maha Pemberi.
Bila hal yang di atas berhubungan dengan pemberian yang sesuai dengan kehendak kita, bagaimana pula dengan pemberian yang tidak sesuai dengan keinginan kita?
Terkadang kita, sebagai manusia, mengeluh atau tidak mensyukuri pemberian Allah SWT yang tidak sesuai pada kita. Padahal, kita tidak tahu kalau itu sebenarnya baik untuk kita.
Kita hanya terus menyalahkan keputusan-Nya. Jarang kita melihat sisi positif dari pemberian itu. Padahal, Allah selalu memberikan yang terbaik untuk kita.
Oleh demikian, ketika ditimpa suatu musibah, janganlah cepat-cepat mengeluh. Lihatlah sisi positifnya.
Berfikirlah bahawa Allah sayang kepada kita, kerana Allah ingin segera menghapus dosa kita lewat ujian itu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah seorang muslim ditimpa musibah berupa rasa lelahnya badan, rasa lapar yang terus menerus atau sakit, rasa sedih/benci yang berkaitan dengan masa sekarang, rasa sedih/benci yang berkaitan dengan masa lalu, gangguan orang lain pada dirinya, sesuatu yang membuat hati menjadi sesak sampai-sampai duri yang menusuknya melainkan akan Allah hapuskan dengan sebab hal tersebut kesalahan-kesalahannya. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Begitu juga ketika keputusan Allah tidak sesuai harapan kita. Mungkin itu adalah untuk kebaikan jangka panjang kita. Ingatlah, Allah memberikan apa yang kita perlukan, bukan yang kita harapkan.
Sebabnya, kita tidak tahu hikmah di sebalik kurniaan atau ujian Allah kepada kita. Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)
Perpisahan dengan mereka yang kita cintai, penyakit yang menimpa kita adalah beberapa ujian yang perlu kita ambil sisi positifnya. Jangan kita terus mengeluh dan mengeluh.
Sesekali, beranikan diri kita untuk mengambil sisi positif daripadanya. Sebabnya, di sebalik semua kejadian, pasti ada hikmahnya.
Wallahu a'lam.
Monday, March 21, 2011
~ Abu Al-Fida ~
NAMA lengkapnya adalah Ismail bin Afdal Ali bin Al-Muzaffar Mahmud bin al-Mansur Muhammad bin Taqi ad-Din Umar bin Syahansyah bin Ayyub al-Malik al-Mu'ayyad Imaduddin Abu al-Fida atau lebih dikenali sebagai Abu Fida.
Beliau telah dilahirkan pada tahun 672 M di Damsyik dan merupakan salah seorang seorang cucu keluarga Ayyub, ayah Saladin (Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi).
Ketika berusia 12 tahun, beliau telah menyertai rombongan ayahnya serta saudara sepupunya al-Muzaffar Mahmud II, dalam satu penyerbuan terhadap benteng St. John, malah beliau juga turut serta dalam penyerbuan pada Perang Salib di Tripoli, Arced dan Qalat ar-Rum.
Lima tahun kemudiannya, ketika beliau berusia 17 tahun, beliau turut bertempur melawan tentera-tentera Salib yang menguasai Trablis dan pada tahun 710 H, beliau telah diangkat menjadi putera mahkota di daerah Hammah dan sekitarnya serta menjadi raja pada tahun 712 H dengan gelaran al-Malikul Muayyad.
Selain itu beliau merupakan seorang ahli geografi dan ahli sejarah. Setelah memasuki usia tua, beliau telah menghasilkan beberapa karya puitis termasuk sebuah gubahan daripada karya juristik al-Mawardi, yang berjudul Al-Hawi.
Penulisan karyanya banyak menyangkut keagamaan dan subjek-subjek itu telah hampir hilang sebahagiannya. Tetapi dua buah karya besarnya telah berhasil mengangkat reputasinya sebagai salah seorang ilmuwan tersohor.
Keduanya merupakan antologi berukuran besar yang kemudiannya disusun dengan sempurna sekali. Karyanya itu berjudul Mukhtasar Tarikh al-Basyar, iaitu sebuah buku sejarah antarabangsa yang mencakupi pra-Islam dan sejarah Islam pada tahun 729 H.
Selain itu, kitabnya yang berjudul Takwin al-Bulan, iaitu sebuah deskripsi geografi yang dilengkapi dengan sejumlah data, matematik, dan fizik turut diiktiraf oleh para ilmuwan yang lain.
Dalam penulisan dan pengkajian itu, Abu Fida banyak membahas dan memberi penjelasan astronomi dan kedudukan bumi. Beliau juga telah menemukan alat yang disebut "miqyas" yang dapat digunakan untuk mengukur luas beberapa tempat yang berbeza-beza.
Beliau juga sempat menghasilkan sebuah karya yang berjudul, An Abridgement of the History of the Human Race, iaitu sebelum dua tahun pengakhiran hayatnya.
Sunday, March 20, 2011
~ mata wang Islam ~
KEDATANGAN Islam ke Nusantara membawa seribu satu perubahan dan keindahan bersamanya. Walaupun terdapat pelbagai teori mengenai tempat pertama dan bila Islam sampai ke dunia Melayu, yang pasti ia membawa kesan yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Islam di wilayah ini yang rata-ratanya dihuni oleh orang Melayu.
Salah satu perubahan besar yang boleh dilihat adalah pengeluaran duit oleh kerajaan Islam tempatan.
Kerajaan yang dipelopori oleh Kesultanan Melayu yang beragama Islam sama ada di Sumatera, Jawa dan Semenanjung Tanah Melayu juga mengambil langkah yang sama dengan menempa duit kerajaan sendiri seperti yang dilakukan oleh kerajaan Islam di kawasan lain.
Mata wang penting kerana kedudukan dunia Melayu yang menjadi pusat perdagangan antarabangsa bagi pedagang asing terutamanya dari Timur Tengah, Gujerat dan China.
Logam yang menjadi bahan utama dalam pembuatan duit seperti emas, perak dan timah adalah merupakan sumber asli yang banyak terdapat di dunia Melayu pada waktu itu.
Rekaan mata wang yang dihasilkan oleh pemerintah Islam di dunia Melayu mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan mata wang yang dihasilkan di Timur Tengah tetapi mempunyai sedikit persamaan dengan kerajaan Islam yang paling hampir dengan Asia Tenggara iaitu Kerajaan Islam di India.
Ciri-ciri mata wang Islam dunia Melayu adalah seperti berikut:
Ciri pertama, adalah bahasa yang digunakan di atas duit yang dikeluarkan.
Hampir kesemua mata wang Islam dunia Melayu menggunakan bahasa Arab dan tulisan Arab walaupun dunia Melayu mempunyai bahasa Melayu dan tulisan Jawi.
Ini secara tidak langsung menunjukkan kedudukan bahasa Arab yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu ketika itu.
Ciri kedua, adalah gelaran raja. Kebanyakan mata wang Islam dunia Melayu mempamerkan nama gelaran pemerintah Islam dalam bahasa Arab seperti, Al-Adil, Malik Al-Adil, Nasir al-Dunia Wa'l-Din, Al-Sultan Al-Adil dan Khalifah Al-Mukmin.
Gelaran-gelaran ini digunakan bagi menggantikan nama raja atau sebagai tambahan kepada nama raja atau ratu yang memerintah yang terdapat di atas duit tersebut ketika itu.
Ciri ketiga adalah tahun dan nama tempat ia dikeluarkan. Ciri ini tidak kelihatan bagi mata wang yang dikeluarkan pada abad ke 15 hingga 18 Masihi tetapi mula kelihatan dalam abad ke 19 Masihi.
Antara mata wang yang mempunyai tahun dan tempat ia dikeluarkan adalah mata wang dari Kelantan dan Kedah.
Daripada segi reka bentuk mata wang pula, dunia Melayu mempunyai bentuk mata wang yang pelbagai dan menarik. Antara bentuk yang sering digunakan adalah bulat dan segi enam.
Duit yang berbentuk segi enam pernah dikeluarkan oleh kerajaan Melayu seperti di Kedah dan di Johor. Bagi bentuk bulat pula terdapat dua lagi pecahan rekaan iaitu yang mempunyai lubang di bahagian tengah dan yang disusun dalam bentuk sebatang pokok.
Duit berbentuk bulat dan mempunyai lubang di bahagian tengah telah dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan, Patani dan Kedah. Rekaan bentuk ini dikatakan diadaptasi daripada mata wang yang di bawa dari China oleh pedagang China.
Bagaimanapun, mata wang yang dihasilkan di China mempunyai lubang berbentuk segi empat di bahagian tengah manakala di dunia Melayu lubangnya berbentuk bulat. Rekaan ini adalah bagi memudahkan duit tersebut diikat bersama menggunakan tali dalam jumlah tertentu.
Bagi duit yang disusun dalam bentuk sebatang pokok ia diberi nama pokok duit. Pokok duit diperbuat daripada logam timah dan ia keluarkan oleh kerajaan Kelantan dalam abad ke 18 Masihi. Ia boleh ditempa semula selepas duit berbentuk bulat yang dijadikan 'daun' atau 'buah' telah habis dipatahkan dan digunakan.
Pada sebatang pokok duit terdapat lima belas ranting yang mempunyai sehelai daun 'daun' atau sebiji 'buah' pada setiap satunya.
Mata wang di Semenanjung Tanah Melayu terus mengalami perubahan dari satu abad ke abad yang seterusnya. Ketika di bawah pengaruh British, mata wang Semenanjung Tanah Melayu mula menggunakan angka rumi dan tulisan jawi.
Tulisan jawi masih lagi kelihatan di atas wang kertas yang digunakan pada hari ini tetapi bahasa Arab telah terhenti penggunaannya sejak abad awal abad ke 20 Masihi kerana mata wang dunia Melayu telah mula dikeluarkan secara seragam selari dengan pembentukan negara Malaysia.
~ larangan amalan sunat ketika khutbah Jumaat ~
“Jika engkau berkata kepada temanmu, ‘Diamlah’ ketika mana imam atau khatib menyampaikan khutbahnya, maka engkau melakukan perkara sia-sia, maka tidak ada Jumaat baginya.” Hadis ini diriwayatkan oleh enam ulama hadis daripada seorang sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah r.a.
Hadis ini difahami majoriti ulama sebagai anjuran untuk mendengar khutbah dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan ketika khatib sedang menyampaikan khutbah.
Namun, ia bukan bermakna batalnya kewajipan Jumaat apabila seseorang Muslim itu melakukan perkara yang dilarang. Ini kerana makna “tidak ada Jumaat baginya” adalah bermaksud tidak ada pahala Jumaat, bukan tidak sah Jumaatnya.
Memang benar segala bentuk amalan sunnah seperti membaca tasbih, al-Quran dan sebagainya hendaklah dihentikan sebaik saja khatib naik mimbar untuk menyampaikan khutbahnya.
Ini berdasarkan kepada hadis daripada seorang sahabat Nabi, iaitu Tsa’labah Abi Malik yang diriwayatkan oleh Imam as-Syafi’I dalam kitabnya al-Umm yang menyatakan: Duduknya Imam di atas mimbar memutuskan segala tasbih [amalan sunnah], dan khutbahnya memutuskan segala macam perbicaraan.”
Akan tetapi, perlu dinyatakan di sini bahawa larangan di sini adalah larangan yang bermaksud makruh bukan haram.
Dalam buku al-Majmu’, karangan Imam an-Nawawi disebutkan bahawa ulama yang bermazhab as-Syafi’I berpandangan bahawa mereka sepakat melarang siapa saja yang berada di masjid untuk melakukan apa saja ketika imam atau khatib sudah duduk di atas mimbar.
Imam al-Ghazali seperti yang dikutip oleh an-Nawawi rhm berpandangan, “Jika khatib sudah duduk di atas mimbar, maka tidak dibenarkan lagi melakukan amalan sunnah. Kerana itu, sesiapa yang tidak dalam keadaan menunaikan solat, maka dia tidak boleh mengerjakan solat. Manakala sesiapa yang mengerjakan solat, maka hendaklah dia mempercepatkan solatnya.”
Ini berlaku bagi jemaah yang sudah berada atau duduk di dalam masjid. Mereka yang masuk ke masjid dan belum duduk sewaktu imam duduk di atas mimbar atau sedang berkhutbah, maka dia dianjurkan untuk mengerjakan solat sunat tahiyyah al-masjid sebanyak dua rakaat yang ringkas atau singkat.
Makruh hukumnya meninggalkan solat sunnah ini, kerana Nabi SAW bersabda bermaksud: Jika salah seorang di antara kamu masuk masjid, maka janganlah dia duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.”
Tetapi jika ia masuk ke masjid di akhir khutbah dan menduga bahawa bila dia melakukan solat tahiyyah al-masjid, dia tidak dapat mengikuti imam dalam takbir pembukaan [takbiratul ihram], maka dia tidak perlu menunaikan solat.
Namun dia tidak boleh duduk melainkan berdiri menunggu khutbah berakhir agar tuntutan Nabi SAW supaya tidak duduk dapat dilaksanakan. Wallahua’lam.
Saturday, March 19, 2011
~ Pemilihan nama anak ~
HAK memberikan nama anak adalah tanggungjawab ibu bapa dan pastinya mereka ingin memberi nama yang mempunyai maksud baik mengikut lunas agama. Oleh itu, jika pihak lain seperti datuk atau nenek ada memberi cadangan, jangan berkecil hati andai cadangan tidak diterima.
Tidak dinafikan, memberikan nama anak ada kalanya menimbulkan dilema kepada ibu bapa kerana dalam mencari nama yang sesuai ada kalanya penekanan diberi kepada makna, sementara ada pula mementingkan nama tetapi bukan maknanya.
Justeru, berlakulah nama anak yang bunyinya memang sedap tetapi apabila disemak, membawa maksud tidak baik atau tidak mempunyai makna. Sedangkan, apabila nama disebut, ia sebahagian daripada doa.
Firman Allah bermaksud: “Allah memiliki nama yang baik lagi indah, maka berdoalah dengannya.” (Surah al-A’raf, ayat 180)
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah Azza wa Jalla ialah Abdullah dan Abd Rahman.” (Hadis sahih Muslim)
Menurut sunnah Rasulullah SAW, kita disaran memberi nama, mengadakan kenduri akikah, mencukur keseluruhan kepala dan mentahnik anak pada hari ketujuh selepas kelahiran. Menjadi kewajipan ibu bapa memilih nama membawa makna baik untuk anak mereka.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka gunalah nama yang baik.”
Ibu bapa juga hendaklah menetapkan niat memilih nama anak kerana Allah, bukan untuk menunjuk-nunjuk selain memelihara sunnah Nabi SAW memberi identiti yang baik kepada bayi baru dilahirkan.
Andainya tidak mahir, dinasihatkan bertanya kepada mereka yang arif dalam bahasa Arab bagi mendapatkan kepastian mengenai kesesuaian gabungan nama (jika lebih daripada satu) supaya terpelihara maksudnya.
Contoh gabungan nama yang sesuai seperti Amirul Muttaqin yang bermakna ketua orang bertakwa. Jika memilih salah satu nama Allah, hendaklah menambah perkataan ‘Abdul’ yang bermaksud hamba.
Elakkan memilih nama yang tidak mempunyai maksud atau tiada kaitan dengan Islam dan jangan memberi nama terlalu panjang. Kita dapati masyarakat Malaysia cenderung memberikan nama yang panjang sehingga seorang kanak-kanak memiliki tiga nama.
Bayangkan berapa lama masa akan diambil anak itu untuk mengisi borang sepanjang hidup mereka. Segala urusan anak menjadi lewat angkara ibu bapa atau mereka yang ghairah memberikan nama anak tanpa memikirkan risikonya.
Pastikan juga nama panggilan mempunyai maksud kerana ada anak diberi nama dengan maksud yang indah tetapi dipanggil setiap hari dengan nama yang tiada makna atau lari maksud baiknya.
Begitu juga dengan nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan seperti biasa berlaku anak lelaki diberi nama Iman kerana nama itu sesuai untuk anak perempuan manakala bagi anak lelaki ialah Ayman.
Kita pasti tidak mahu anak merasa malu atau menjadi bahan ejekan hanya kerana nama lalu menyalahkan ibu bapa. Oleh itu, sentiasa berhati-hati apabila hendak memberi nama kepada bayi baru dilahirkan, jangan terburu-buru dan dapatkan pandangan pihak yang arif .
Thursday, March 17, 2011
~ Nasyid seimbangkan hiburan ~
KECENDERUNGAN masyarakat kini yang lebih gemar hiburan perlu dipandu dengan pengisian yang betul agar tidak 'hanyut' oleh budaya hedonisme yang semakin banyak disiarkan menerusi media massa.
Meneliti perkara ini, nasyid dilihat amat signifikan berperanan sebagai hiburan alternatif yang juga boleh mengajak manusia kepada kebaikan Nasyid juga menjadi medium melestarikan dakwah secara berhikmah.
Ini selaras dengan maksud firman Allah yang bermaksud: Serulah kepada jalan Tuhan-Mu dengan penuh hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah dengan cara yang baik. (an-Nahl: 35)
~ pancaindera : Subhanallah ! ~
MANUSIA makhluk menakjubkan yang Allah letakkan kepada mereka banyak rahsia kekuasaan Ilahiyah dan tempat melahirkan inayah ketuhanan-Nya. Mereka dipilih Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firman-Nya: "Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-An'am ayat 165)
Kalau dikaji ayat al-Quran, terdapat banyak perintah Allah menyuruh manusia mengkaji diri mereka sendiri. Pada diri manusia itu terdapat tanda kebesaran, rahsia dan kekuasaan Allah yang perlu direnungi sebagai pedoman dan iktibar. Hanya mereka yang berakal memahami hakikat ini.
Firman Allah bermaksud: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (az-Zariyat ayat 21) Firman Allah SWT lagi bermaksud: “(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan dari apa ia diciptakan.” (at-Tariq Ayat 5) Sesungguhnya Allah mencipta setiap anggota manusia dengan sempurna, cantik dan tersusun. Cuba perhatikan anggota yang wujud di kepala manusia seperti lidah, telinga dan mulut. Lidah yang dicipta sentiasa digunakan manusia untuk bertutur di samping berperanan sebagai deria rasa untuk menikmati makan dan minuman. Di kanan dan kiri kepala manusia pula, Allah mencipta sepasang telinga untuk mendengar. Di kepala itu juga terdapat sepasang mata untuk melihat.
Tiga pancaindera yang terletak di kepala ini sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia membantu manusia menguruskan kehidupan harian mereka. Jika ditanya kepada manusia, adakah mereka mahu dibisukan lidah, dibutakan mata atau dipekakkan telinga, tentu sekali mereka akan mengatakan tidak kerana tanpa ketiga-tiga pancaindera ini kehidupan mereka amat sukar.
Persoalannya siapakah yang mencipta dan menganugerahkan pancaindera yang hebat ini secara percuma kepada manusia? Jika rosak, adakah pancaindera yang sangat berharga ini boleh dibeli atau ditempah sebagai gantinya? Seterusnya adakah wujud cerdik pandai di dunia ini yang boleh mencipta pancaindera itu yang sama dan setanding seperti asal?
Persoalan seperti ini tidak mampu dijawab oleh manusia melainkan ia perlu kembali kepada yang menciptanya. Siapakah yang mampu mencipta pancaindera yang sebegitu hebat? Tidak lain Dialah Tuhan yang bersifat Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih kepada seluruh makhluk-Nya.
Contoh lain, jika seseorang manusia yang mahu tidur, namun matanya tidak mahu lelap sedangkan sudah puas dia berusaha untuk memejamkan matanya, adakah dia yang mahu supaya matanya tidak lelap? Atau ada kuasa lain yang menahan matanya supaya lelap? Jika ya, adakah manusia boleh melawan kuasa itu? Sudah tentu jawapannya tidak. Ini menunjukkan betapa lemahnya manusia. Jika matanya sendiri tidak berupaya untuk dilelapkan apatah lagi jika mahu dibanding dengan kekuasaan Penciptanya.
Demikianlah beberapa contoh yang terdapat pada diri manusia yang perlu direnungi, moga-moga dengan cara itu manusia akan mengenali siapa dirinya, siapa Tuhannya dan ke mana akhirnya perjalanan hidup mereka.
Wednesday, March 16, 2011
~ Hukum ambil untung atas angin ~
UNTUNG atas angin adalah istilah yang sudah difahami dalam masyarakat di Malaysia. Ia biasanya dikaitkan dengan sebarang aktiviti yang dilakukan oleh individu dalam urusniaga yang menyebabkannya memperolehi keuntungan tanpa melalui usaha ataupun modal.
Ia biasanya dilakukan oleh mereka yang menjadi perantaraan sesuatu urusan atau lebih dikenali sebagai 'orang tengah'.
Keuntungan yang diperolehi itu disebut dengan pelbagai istilah seperti imbuhan, insentif, komisen dan sebagainya. Sama ada ia dibolehkan dalam sudut syariah bukan sahaja bergantung kepada konotasi, tetapi juga metodologi yang digunakan bagi memperolehinya.
Kita semua perlu berhati-hati kerana pada kebiasaannya aktiviti mengambil untung atas angin mempunyai unsur syubhat bahkan ada yang mencapai tahap haram.
Namun, ada juga yang dibenarkan dan diharuskan jika ia mengikuti syarat dan etika yang ditetapkan oleh syariah.
Untung atas angin mungkin boleh berlaku dengan beberapa cara. Antaranya, dengan menjadi wakil atau orang tengah bagi membuat pembelian sesuatu barang yang terdapat di pasaran.
Oleh kerana kuantiti barang yang ingin dibeli itu banyak, maka penjual akan memberi diskaun terhadap setiap unit yang dibeli. Wakil akan mendapat habuannya melalui diskaun yang diberikan kerana dia tetap mencatatkan harga asal pada sebut harga barangan berkenaan.
Halal atau tidak keuntungan yang diperolehi itu bergantung kepada keizinan oleh pihak pembeli atau pihak pewakil.
Sekiranya wakil diberi hak oleh pewakil untuk mengambil keuntungan daripada diskaun yang diberikan, maka apa yang diambilnya itu adalah halal daripada segi syarak.
Namun, sekiranya dia tidak diberi kebenaran, maka tidak harus baginya untuk mengambil keuntungan dan sekiranya ada diskaun, ia perlu dipulangkan semula kepada pembeli.
Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)
Fenomena ini kerap berlaku dalam sesebuah institusi kerajaan atau swasta. Pegawai yang ditugaskan membuat pembelian telah mengadakan rundingan lebih awal dengan pihak pembekal atau penjual untuk mencatatkan harga yang tinggi pada sebut harga barang yang ingin atau sudah dibeli.
Justeru, tidak hairanlah jika kita mendapati dalam laporan audit, harga sesuatu barang mencecah 10 kali ganda daripada harga asal.
Dalam kes ini, bukan sahaja pegawai yang berurusan yang mendapat untung atas angin, tetapi ia turut melibatkan pihak lain termasuk pegawai tinggi yang memberikan kelulusan.
Bahkan, ada yang sanggup berpakat untuk menipu dengan mencipta beberapa sebut harga sedangkan ia tidak wujud sama sekali. Ini bertujuan mengaburi mata pihak atasan dan juruaudit kerana setiap pembelian yang ingin dibuat memerlukan kepada beberapa sebut harga, sebagai contoh, ada syarikat yang menetapkan sekurang-kurangnya tiga sebut harga.
Untung atas angin juga mungkin berlaku apabila pegawai yang ditugaskan mencari dan memilih penjual alatan pejabat, kontraktor baikpulih bangunan, konsultan dan sebagainya telah mensyaratkan supaya diberi sejumlah imbuhan untuk membolehkan mereka dipilih mendapat tender projek tertentu. Aktiviti ini dianggap sebagai rasuah dan hukumnya adalah haram.
Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan". (riwayat at-Tirmidzi)
Subscribe to:
Posts (Atom)