Thursday, December 29, 2011

~ kerana iman bukan warisan ~




MENJADI mukmin pasti melalui pelbagai ujian daripada Allah SWT bagi menguji adakah dirinya mukmin sebenar atau munafik. Allah tegas menggolongkan kaum munafik yang suka berdusta orang tidak beriman walaupun mengakui dirinya beriman.

Firman Allah bermaksud: “Di antara manusia ada mengatakan, kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 8).

Kita menyedari iman tidak boleh diwarisi daripada orang tua atau nenek moyang. Iman dan Islam bukan secara automatik diwariskan daripada orang tua kepada keturunannya. Mengakui orang beriman harus melalui ujian dan perjuangan dalam memelihara iman dan tauhid serta kesungguhan doa kepada Allah agar menunjukkan kita hidayah dan keselamatan dunia dan akhirat.
Segeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah seperti malam gelap gelita. Pada pagi seorang lelaki masih mukmin, lalu menjadi kafir pada petang hari. Pada petang hari seorang lelaki masih mukmin, lalu menjadi kafir pada pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan barang kenikmatan dunia. - Hadis riwayat Muslim Ustaz yang salih tidak serta merta mempunyai keturunan yang juga alim. Jangankan ustaz, bahkan nabi pun tidak selalu anaknya menjadi orang beriman.

Hal ini berlaku dalam kisah Nabi Allah Nuh AS. Firman Allah bermaksud: “Dan Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku, termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itu benar. Dan Engkau adalah hakim seadil-adilnya.” Allah berfirman bermaksud: “Wahai Nuh, sesungguhnya dia bukan termasuk keluargamu (yang dijanjikan selamat), sesungguhnya perbuatannya tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikatnya). Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu agar kamu jangan termasuk orang yang tidak berpengetahuan.” (Surah Hud, ayat 45-46).

Allah menegur Nabi Nuh agar jangan menganggap anaknya yang condong memilih kafir daripada iman sebagai keluarganya. Bahkan Allah melarang Nabi Nuh mengajukan doa mencerminkan seolah-olah dirinya sebagai nabi tidak berpengetahuan dalam persoalan akidah sebagai pengikut setia antara umat manusia, bahkan antara anak dan ayah.

Demikian pula dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda dengan tegas memperingatkan kepada keturunannya agar jangan menganggap garis keturunan sebagai automatik mendatangkan keistimewaan dibandingkan dengan orang lain. Tidak semestinya seseorang yang menjadi sebahagian daripada ahlil bait Rasulullah menjadi yakin dan pasti dirinya akan masuk syurga dan memperoleh syafaat Nabi Muhammad SAW.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Ahlil baitku berpandangan mereka adalah orang paling berhak mendapat syafaatku, pada hal tidaklah demikian. Sesungguhnya para waliku di antara kamu sekalian ialah yang bertakwa, siapapun kamu dan di manapun adanya.” (Diriwayatkan Ibnu Abi Ashim, dalam As-Sunnah)

Umat Islam harus faham zaman ini adalah era penuh fitnah di mana ancaman utama ialah munculnya gejala ‘murtad tanpa sedar’ sehingga Nabi SAW menggambarkan seperti malam yang gelap gelita.

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Segeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah seperti malam gelap gelita. Pada pagi seorang lelaki masih mukmin, lalu menjadi kafir pada petang hari. Pada petang hari seorang lelaki masih mukmin, lalu menjadi kafir pada pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan barang kenikmatan dunia.” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menggambarkan dengan tepat keadaan dunia sekarang. Fitnah sudah merebak sama ada ideologi, politik, sosial, ekonomi, budaya, hukum, pendidikan dan sebagainya.

Jelas dan tegas Nabi Muhammad SAW mengatakan yang bermaksud: “Pagi beriman, petangnya kafir.”

Semoga kita ditunjukkan Allah jalan lurus (siratal mustaqim), iaitu jalan orang yang diberikan nikmat, bukan jalan orang dimurkai, dan bukan jalan orang yang sesat.

Saturday, December 24, 2011

~ kembara mahasiswa ~




Tarbiyah ruhiyah berjalan seimbang ,
Motivasi diri pembakar semangat ,
Minda mahasiswa terus berkembang ,
Teruskan berusaha memerah keringat .

Indahnya hidup berpaksi Tuhan ,
Agenda barat penuh muslihat ,
Umat Islam dibelenggu kelemahan ,
Perkukuh kembali iman nan terpahat .

Sistem pendidikan telah tercemar ,
Bangsa yang lesu kian bercelaru .
Golongan muda semakin meliar ,
Bangkitlah jundi teras peneraju .

Wanita solehah menjadi idaman ,
Qudwah hasanah segenap umat ,
Sungguhpun hidup penuh ancaman ,
Budaya santun terus tersemat .

Ilmu dikuasai sehabis daya ,
Dalam menghapus rona kejahilan ,
Tambahkan nilai ke arah berswadaya ,
Eratkan perpaduan sifarkan perpecahan .

Tuesday, December 20, 2011

~ miracle of Quran ~




AL-QURAN diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui wahyu dalam bentuk hafalan. Rasulullah tidak tahu membaca dan menulis untuk membuat catatan bagi setiap wahyu yang diterima.

Ada hikmahnya kenapa baginda dizahirkan ke dunia oleh Allah sebagai seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Antaranya tentulah supaya umat yang diseru kepada Islam dan agar beriman kepada kalamullah tidak akan menganggap al-Quran hasil karangan baginda.

Ayat-ayat al-Quran itu sendiri terlalu indah dan tidak mampu diatasi oleh susunan bahasa hasil karya para sasterawan sejak dulu hingga kiamat.

Bukan sahaja setiap ayat tetapi juga setiap huruf ada kekuatan dan manfaatnya kepada manusia yang beriman dan bertakwa.

Sebenarnya, bukan tidak ada catatan ayat-ayat al-Quran dibuat tetapi ia sangat terhad dan catatannya pula dibuat pada belulang, kayu, batu, pelepah tamar dan sebagainya oleh para penulis wahyu, pada umumnya untuk simpanan peribadi.

Rata-rata pemilikan ayat-ayat al-Quran pada waktu itu adalah dalam bentuk hafalan. Kebetulan ayat-ayat al-Quran pula diwahyukan kepada baginda secara berperingkat-peringkat dan pendek. Secara tidak langsung ia mudah diingat.

Cara yang betul dan tepat bacaan al-Quran pula dirujuk kepada baginda oleh para penulis wahyu serta para sahabat ketika baginda belum wafat manakala baginda pula bertadarus dengan Jibril bagi membetulkan bacaan.

Semasa hayat baginda, soal ketepatan bacaan al-Quran tidak menjadi masalah. Tetapi bila baginda wafat, diikuti pula dengan kematian sahabat-sahabat besar dan penulis wahyu, mahu tidak mahu akan timbul masalah kerana bahasa Arab sendiri ada pelbagai loghatnya.

Disebabkan bimbang generasi di luar era hayat para sahabat akan terpisah daripada al-Quran, maka para sahabat telah mencadangkan supaya ayat-ayat al-Quran dibukukan. Ia dilaksanakan pada era Uthman Affan sebagai khalifah. Uthman adalah antara penulis wahyu.

Bagaimanapun ayat-ayat al-Quran yang ditulis oleh para penulis wahyu tanpa titik dan tanpa baris. Kepada bangsa Arab tentulah ia tidak menjadi masalah kerana al-Quran ditulis dalam bahasa mereka walaupun loghatnya berbeza.

Namun, ia mendatangkan masalah kepada umat Islam yang bukan berbangsa Arab. Islam diturunkan kepada semua manusia, tidak hanya terhad kepada bangsa Arab sahaja.

Dalam pada itu, timbul perbezaan lahjah dan menimbulkan pelbagai qiraat di kalangan bangsa Arab sendiri berdasarkan loghat masing-masing. Pada tahun 200 Hijrah muncul ahli qiraat yang tidak terhingga banyaknya. Antaranya qiraat Ibnu Mas'ud.

Sebagaimana yang telah dicatatkan di atas, al-Quran pada mulanya ditulis tanpa titik dan baris. Pun begitu ia tidak mempengaruhi bacaan kerana para sahabat dan tabi'en adalah orang yang fasih dalam bahasa Arab.

Sebab itu mereka dapat membaca dengan baik dan tepat. Tetapi setelah agama Islam tersebar luas dan dianuti oleh kalangan yang bukan berbangsa Arab, sulit bagi mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab untuk membaca dengan baik dan tepat.

Jika keadaan itu kekal, tentu ia menimbulkan kesalahan bacaan 'ain di kalangan mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab. Justeru Abul Aswad mengambil inisiatif memberi tanda-tanda dalam al-Quran dengan tinta yang berlainan warnanya dengan tulisan al-Quran.

Tanda-tanda itu adalah titik di atas bagi fathah, titik di bawah untuk kasrah, titik di sebelah kiri untuk dhammah dan dua titik untuk tanwin. Usaha murni itu dilakukan pada era kekhalifahan Muawiyah.

Pada era khalifah Abdul Malik bin Marwan (685-705 Masehi), Nasyir bin Asyim dan Yahya bin Ya'mar menambahkan lagi tanda-tanda untuk huruf-huruf yang bertitik dengan tinta yang sama dengan tulisan al-Quran.

Ia untuk membezakan antara maksud dari titik Abul Aswad Ad-Duali dengan titik yang baru. Titik Abul Aswad adalah untuk tanda baca dan titik Nasyir bin Asyim adalah titik huruf.

Cara penulisan jenis ini tetap berlaku pada era pemerintahan Bani Umaiyyah dan pada permulaan era pemerintahan Bani Abbasiyah. Malah telah dipakai pula di Sepanyol sampai pertengahan abad ke-4 Hijrah.

Kemudian ternyata bahawa cara pemberian tanda seperti itu menimbulkan kesulitan kepada para pembaca al-Quran kerana terlalu banyak titik yang mana titik-titik itu lama kelamaan hampir menjadi serupa warnanya.

Maka Al-Khalil mengambil inisiatif membuat tanda-tanda yang baru iaitu huruf wau kecil dibuat untuk tanda dhammah, huruf alif kecil untuk tanda fathah, huruf ya kecil untuk tanda kasrah, kepala huruf sin untuk tanda syaddah, kepala huruf ho untuk sukun dan kepala huruf 'ain untuk hamzah.

Berteraskan itulah maka tanda-tanda bacaan al-Quran dipermudah, dipotong dan ditambah sehingga menjadi bentuk seperti sekarang dan dapat dibaca dengan baik dan tepat oleh setiap umat Islam yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab.

Sunday, November 27, 2011

~ hijrah sebelum terlambat ~



Tahun baru Hijrah yang begitu bermakna ini hendaklah dipergunakan untuk menjalani kehidupan dengan lebih bermakna selain memanjatkan rasa syukur kerana masih diberi ruang dan peluang.

Sesungguhnya peristiwa Hijrah memberi signifikan yang sangat besar kepada umat Islam. Melaluinya, ia telah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada bebas, daripada kekufuran kepada terangnya iman dan insan yang lemah bertukar menjadi kuat.

Ramai manusia yang sebelum ini hanyut kemudiannya mendapat petunjuk dan hidayah menukar agama asal dan memeluk Islam. Ini adalah juga Hijrah.

Begitu juga apabila ia melibatkan tokoh masyarakat, selebriti seperti pelakon dan penyanyi malah pemain bola sepak terkenal.

Malah ada sesetengahnya sengaja disenyapkan berita pengislaman mereka kerana mungkin takut ia boleh membayangi segala keburukan yang selama ini disebarkan oleh Barat.

Berikut disenaraikan beberapa orang terkenal dalam bidang mereka yang akhirnya berhijrah, memeluk Islam bukan kerana ikutan jauh sekali kerana paksaan, tetapi setelah mendapat rujukan dan penjelasan yang jelas tentang kebenaran agama suci ini.


Penyanyi rap

Hakikatnya ramai di antara mereka terutama penyanyi rap dari Amerika Syarikat (AS), terdiri dari penganut Islam. Ada di antara mereka sebenarnya penganut sejak lahir dan ramai juga yang memeluk Islam setelah diberi hidayah.

Namun kebanyakan mereka mula memeluk Islam untuk menyatakan sokongan terhadap pertubuhan Nation of Islam yang banyak berjuang untuk golongan kulit hitam tetapi malangnya agak menyeleweng dari ajaran sebenar.

Namun kini kebanyakan mereka sudah beralih menjadi penganut Islam ahli sunni walaupun mengakui masih belum mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

Di antara mereka adalah Lupe Fiasco atau nama Islamnya Wasalu Muhammad Jaco, Q-Tip atau Kamaal Ibn John Fareed selain Mos Def, Busta Rhymes, anggota kumpulan Wu Tang Clan, Ghosta Killah, Ice Cube, Rhymefes, Beanie Sigel dan Freeway yang nama Islam mereka tidak dinyatakan.

Juga dinyatakan adalah seorang rapper kulit putih yang menganut Islam sejak tahun 1990-an lagi iaitu Everlast. Kesemua mereka ini masih mengekalkan karier menyanyi dan berlakon tetapi pada masa yang sama sudah berubah jauh lebih baik berbanding kehidupan lampau, semuanya berikutan menganut Islam.

Malah mereka turut memasukkan lirik-lirik lagu yang memuji kebesaran tuhan di dalam album mereka selain mengkritik keras tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.

Namun terdapat mereka yang terus meninggalkan bidang hiburan seperti yang berlaku kepada Loon, Napolean dan juga Yusuf Islam.


~ Salam maal hijrah buat semua . Lakukanlah sebuah anjakan paradigma yang memberi manfaat buat umat sejagat . Usah dilayan mereka yang beraura 'negatif' . Apa yang lebih penting adalah siapa kita di mata Allah. :)


Tuesday, November 22, 2011

~ status anak luar nikah ? ~



TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat menyatakan bagi 2008 hingga 2010, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 152,182 anak tak sah taraf dilahirkan dan 257,5411 bagi 2000 hingga 2008.
Statistik itu mengikut kes dilaporkan ke JPN dan kita percaya statistik sebenarnya lebih lagi memandangkan banyak kes kelahiran anak tak sah taraf yang tidak didaftarkan, sudah pastinya angka ini amat membimbangkan.
Anak tak sah taraf berkait secara langsung dengan persoalan zina yang makin berleluasa di kalangan umat Islam kebelakangan ini. Justeru, untuk membendung permasalahan ini berterusan maka jalan yang boleh melorongkan ke arah perlakuan zina harus ditutup serapat-rapatnya.

Kita wajib mencari jalan bagi menutup ruang untuk perlakuan zina seperti membataskan pergaulan lelaki dan wanita, menutup tempat maksiat seperti pusat hiburan atau rumah urut.

Mengikut peruntukan undang-undang contohnya, seksyen 2(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 mentakrifkan ‘anak tak sah taraf’ anak yang dilahirkan daripada hubungan luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah.

Mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak, anak tak sah taraf tiada hubungan dengan suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung. Nasab anak ini hanyalah kepada ibu dan keturunannya.
Ini bermakna anak ini tiada bapa dan tidak layak menerima apa-apa daripada lelaki bergelar bapa. Nafkah saraan anak tak sah taraf di bawah tanggungan ibunya dan bukan menjadi tanggungan lelaki yang bersama ibunya.

Dari sudut perwalian pula, anak itu tidak mempunyai wali dan perlu kepada wali hakim jika hendak bernikah. Anak luar nikah tidak dinasabkan kepada mana-mana lelaki, sebaliknya dinasabkan kepada ibunya/keturunannya.

Dari sudut perwarisan pula, jika ibu kandungnya meninggal dunia, anak itu berhak mendapatkan bahagian dari pusaka ibunya.

Anak tak sah taraf berbeza dengan anak yang lahir daripada persetubuhan syubhah (wati syubhat) atau persetubuhan meragukan.

Perkahwinan syubhah bermaksud akad perkahwinan yang dianggap sah oleh pasangan kerana semua syarat perkahwinan dipenuhi tetapi pada hakikatnya akad itu tidak sah kerana sebab tertentu.

Contohnya bagi suami dan isteri, mereka beranggapan perkahwinan mereka sah kerana memenuhi rukun pernikahan iaitu dengan adanya wali, saksi, ijab kabul, pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

Tetapi hakikatnya, akad itu tidak sah kerana wali tidak memenuhi syarat perwalian. Oleh demikian, jika ketika dalam proses perkahwinan tiada mana-mana pihak mengetahui status wali yang mewalikan pernikahan, maka anak itu adalah anak sah taraf.

Anak itu tetap dinasabkan iaitu dibin atau binti kepada lelaki berkenaan. Maka lelaki berkenaan ialah ayah kepada anak yang bakal dilahirkan dan berkewajipan menyediakan nafkah sewajarnya seperti mana layak diterima anak.

Mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, seksyen 114 menyatakan, “Jika seseorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”

Setiap anak yang lahir melalui persetubuhan syubhah tetap dianggap sebagai anak sah taraf dan anak kandung kepada bapanya jika dilahirkan antara tempoh enam bulan hingga empat tahun qamariah dikira bermula persetubuhan itu berlaku. Begitu juga hak anak berkenaan terhadap harta peninggalan bapanya.

Jika ada pihak ketika proses perkahwinan mengetahui status sebenar wali yang mewalikan pernikahan tidak menepati syarat, maka anak dari perkahwinan itu tidak boleh dibinkan atau dibintikan dengan bapa anak berkenaan.

Masyarakat diseru tidak meminggirkan atau menghina anak tidak sah taraf kerana mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan. Status anak tak sah taraf ini bukanlah atas kehendak anak yang tidak berdosa sebaliknya akibat kesalahan kedua-dua ibu bapanya.

Masyarakat juga harus membezakan antara anak tak sah taraf dengan anak lahir dari pernikahan yang meragukan dengan hak dan status dua keadaan anak ini berbeza mengikut peruntukan undang-undang serta hukum syarak.

~ jom solat jemaah ! ~




FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila engkau berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat beserta denganmu) sujud maka hendaklah mereka berpindah dari belakangmu (untuk menghadap musuh). (an-Nisa': 102)

SOLAT berjemaah sangat dituntut dalam Islam sehinggakan ia diperintahkan walaupun berada di medan pertempuran untuk berperang. Ini sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat di atas yang turunkan kepada Rasulullah semasa baginda ingin menghadapi peperangan dengan orang kafir.

Mungkin ramai yang masih meragui mengapa perlunya melaksanakan solat berjemaah sedangkan ia boleh dilakukan secara bersendiri di rumah atau di lokasi kita berada tanpa bersusah payah ke masjid ataupun surau.

Namun salah faham terhadap kemestian solat jemaah di surau dan masjid ini juga sebenarnya telah merumitkan untuk melaksanakan tuntutan tersebut sedangkan ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun hanya dua orang.

Mengerjakan solat secara berjemaah seminggu sekali pada solat Jumaat atau solat sunat raya dianggap telah mencukupi oleh sesetengah umat Islam asakan tidak meninggalkan kewajipan dalam rukun Islam kelima itu sendiri di rumah.

Solat berjemaah sering diambil mudah dan semakin kurang mendapat sambutan. Antara sebabnya, kurangnya kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kelebihan dan manfaat yang bakal diperoleh daripada menunaikan tuntutan Allah tersebut.

Kelebihan solat berjemaah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Solat berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang berseorangan dengan kelebihan 27 darjat. (riwayat al-Bukhari)

Sabda Rasulullah dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah melipat kali gandakan ganjaran kepada hambanya yang menunaikan solat berjemaah berbanding solat secara bersendirian walaupun ia tiada perbezaan dari segi perbuatan fizikal dan bacaan ketika solat.

Malah kelebihan serta manfaat solat berjemaah terbukti dari segi saintifik dan diakui oleh pakar sains fizik di sebuah universiti di Amerika Syarikat, Prof. John Herbert selepas membuat kajian mengenai tujuan dan kelebihan solat berjemaah.

Hasil kajian John Herbert mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga.

"Tubuh manusia terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif. Setiap aktiviti harian kita tidak kira bekerja, beribadat atau berehat banyak menggunakan tenaga yang menyebabkan berlakunya pertukaran cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan cas tersebut di dalam tubuh.

"Ini menyebabkan tubuh berasa letih dan tidak bermaya. Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita iaitu dengan cara menunaikan solat berjemaah yang merangsang proses pertukaran cas elektrik dalam tubuh kita tersebut," katanya.

Tubuh manusia mengeluarkan cas yang berlebihan dan cas itu akan ditarik oleh cas yang berlawanan dalam tubuh badan jemaah di sebelah kanan dan kiri.

Begitu juga proses yang sama berlaku kepada setiap jemaah. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh badan kita.

Mengikut hasil kajian tersebut, proses pertukaran cas ini sangat diperlukan dalam kehidupan harian sebagaimana keperluan tidur pada setiap hari dengan sama.

Menurutnya, bilangan rakaat yang berlainan dalam setiap waktu solat adalah bertepatan dengan keperluan pertukaran cas elektrik positif dan negatif tersebut.

Solat subuh hanya dua rakaat kerana ia hanya memerlukan sedikit pertukaran cas dalam tubuh. Berlainan pula dengan solat Zuhur dan Asar yang memerlukan pertukaran cas yang banyak untuk menyeimbangkan cas dan mengembalikan tenaga dan kecergasan tubuh.

"Selepas waktu Asar pula, pada kebiasaannya kita hanya beriadah atau melakukan aktiviti ringan yang tidak terlalu banyak menggunakan tenaga di samping perbezaan masa yang diperuntukan tidak terlalu ketara.

"Oleh itu, solat berjemaah waktu Maghrib hanya sebanyak tiga rakaat mencukupi untuk menyeimbangkan cas dalam tubuh," katanya.

Walaubagaimanapun, mungkin sesetengah daripada kita keliru mengenai bilangan solat Isyak yang banyak sedangkan ia tidak jauh berbeza dengan waktu solat Maghrib.

Menurut kajian itu, pertukaran cas yang banyak perlu bagi menyediakan cas elektrik dalam tubuh yang benar-benar seimbang dan pengumpulan tenaga yang secukupnya untuk bangun pada sepertiga malam bagi menunaikan solat sunat seperti yang dituntut dalam Islam.

"Hasil kajian saintifik tersebut menunjukkan kepada kita betapa indah dan sempurnanya amalan agama Islam sehingga setiap kewajipan yang diperintahkan kepada kita mempunyai kelebihan dan manfaat tersendiri," katanya.

Hasil kajian John Herbert itu membuka pintu hatinya dan mendapat hidayah Allah untuk memeluk agama Islam kerana tiada amalan agama lain yang selengkap dan sempurna sebagaimana ajaran Islam. :)

~ sabar dalam mendidik ~




MEMANG sudah fitrah anak yang masih kecil terutama yang nakal dan hiperaktif ada kala amat menggusarkan ibu bapa. Maka timbul rasa kurang senang sehingga bertindak secara keterlaluan dalam menghukum. Islam melalui panduan yang diperturunkan Rasulullah SAW banyak memberi gambaran jelas bagaimana kita boleh bertindak secara tepat dalam permasalahan menghukum anak.
Diceritakan oleh Muawiyah bin Salih, ada lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, ahli keluargaku tidak taat kepadaku. Apakah yang patut aku gunakan untuk menghukum mereka? Lalu kata Baginda: Maafkanlah saja. Kemudian Rasulullah SAW menyebut hal yang sama pada kali kedua bahkan juga pada kali ketiganya. Seterusnya Baginda mengatakan: Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka. - Hadis riwayat at-Tabrani
Seboleh-bolehnya gunakan pendekatan memaafkan kesalahan dilakukan ahli keluarga khususnya anak.

Namun, Rasulullah SAW tidak melarang menggunakan kaedah hukuman.

Bagaimanapun hukuman seharusnya sepadan dengan bentuk atau tahap kesalahan serta dilarang memukul bahagian muka.

Sebenarnya panduan Rasulullah SAW itu tersirat dua makna iaitu dari perspektif psikologi dan fisiologi.

Ditinjau dari aspek psikologi, pendekatan memberikan kemaafan adalah kaedah berlemah lembut dalam memberi teguran.

Dengan cara demikian, perasaan anak yang masih kecil tidak akan terguris.

Ini penting supaya jiwa anak tidak terkongkong yang kemungkinan akan menyebabkan terbantutnya perkembangan minda positif.

Zaman sekarang ini, banyak sudah terjadi anak yang bertindak lari dari rumah.

Seharusnya ibu bapa mengambil berat isu ini.

Salah satu penyebabnya, tindakan membabi buta dalam menghukum dan seterusnya jiwa anak berasa tertekan.

Selain itu, dari sudut ilmu psikologi juga pernah dinyatakan bahawa anak yang kerap dihukum akan menjadikan hatinya keras dan berkelakuan kasar semasa bergaul dengan rakan sebaya.

Untuk membimbing anak beristiqamah pada jalan benar dan menepati kehendak agama, tidak hanya terletak pada kaedah merotan dan memukul saja.

Sebaliknya ibu bapa seharusnya mampu mempelbagai teknik khususnya teknik dorongan dalaman.

Mendidik anak perlu menggunakan kepelbagaian teknik yang berterusan contohnya dengan memberikan pemahaman jelas, tepat, pengajaran dan peringatan supaya akidah anak bertapak kukuh dalam jiwa mereka.

Kaedah secara kekerasan akan hanya mengundang rasa dendam kesumat dalam hati anak dan jika perasaan itu dibiarkan bersarang di jiwa mereka, akan menjadi sebati dengan diri.

Keadaan itu sangat berisiko tinggi untuk menjerumuskan anak ke kancah yang negatif. Rafi’ bin Amru al-Ghifari pernah menceritakan: “Saya seorang kanak-kanak yang sering membaling pokok tamar kepunyaan orang Ansar.

Saya kemudian ditangkap lalu dibawa menemui Rasulullah SAW.

Baginda SAW bertanya kepadaku: Kenapa kamu selalu membaling pokok tamar kepunyaan orang lain? Lalu saya jawab: Untuk memakan buahnya.

Baginda SAW memberi nasihat kepadaku: Jangan baling pokok tamar kepunyaan orang lain.

Kamu boleh makan setiap buah yang jatuh di bawahnya.

Seterusnya Baginda Rasulullah SAW mengusap kepada saya sambil berkata:

Ya Allah, Ya Tuhanku. Kenyangkanlah perutnya (dengan tamar yang gugur itu).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Lihatlah betapa halus dan lembutnya teknik pendidikan Rasulullah SAW.

Kanak-kanak yang bersalah ditegur dengan pola psikologi sangat menyentuh jiwanya kerana disamping memberi nasihat Baginda juga menggunakan teknik sentuhan.

Sebenarnya, teknik sentuhan terhadap badan anak akan memautkan keakraban utuh seterusnya berkeupayaan menjana penyerapan fahaman terhadap apa yang diajar.

Bagaimanapun, Islam tidak pernah menghalang teknik menghukum tetapi dengan bersyarat hendaklah dilakukan pada masa bersesuaian.

Ingatlah, kaedah pukulan tidak sesuai untuk semua anak, semua situasi atau semua kesalahan.

Kaedah menghukum dengan rotan misalnya digunakan selepas kaedah penjelasan pemahaman dan nasihat dilakukan terlebih dulu.

Pesan Nabi SAW: “Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah jika berumur 10 tahun (jika tidak menunaikan solat juga) dan pisahkanlah tempat tidur anak (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Thursday, October 20, 2011

~ aplikasi hibah di Malaysia ~



Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya. Ia
merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir
sama. Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian itu, di mana sedekah ialah suatu
pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan ia biasanya dari yang kaya
kepada yang miskin. Manakala hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang
dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu perkara. Dengan ini dapat dirumuskan
bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah
dan hadiah.


Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh
seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa
hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian
milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa
hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang,
dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.

Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hibah adalah seperti berikut:

(i) Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
(ii) Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
(iii) Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
(iv) Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
(v) Ia dibuaT secara sukarela tanpa paksaan.
(vi) Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang
tertentu.

1.2 Hukum dan Pensyariatan Hibah

Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam
terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada alQuran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah ialah
sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu
dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap
lagi baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ ayat 4).

“... dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orangorang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang memintaminta dan (memerdekakan) hamba sahaya” (Surah al-Baqarah ayat 177).

1.3 Rukun Hibah dan Syaratnya

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah memenuhi rukun dan syarat
seperti berikut:

(i) Pemberi hibah (al-Wahib)
Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan
rushd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik
harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta
kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya
tidak melanggar hukum syarak.

(ii) Penerima hibah (al-Mawhub lahu)
Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan
memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan
mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada
walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta
yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan
terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.
(iii) Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub)
Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
Ia hendaklah barang atau harta yang halal.
Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak.
Barang atau harta itu milik pemberi hibah.
Ia boleh diserah milikkan.
Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang
belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau
hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.
Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan
seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. Mengikut
mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hibah terhadap harta yang berkongsi yang tidak
boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Dalam Islam, barang yang masih bercagar
(seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan dari penggadai atau
peminjam.

(iv) Sighah iaitu ijab dan kabul
Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan
penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.
Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.
Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu. Hibah yang disyaratkan dengan
tempoh tertentu seperti yang berlaku dalam al-‘umra dan al-ruqba adalah sah
hukumnya tetapi syarat tersebut adalah terbatal.
Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan
barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan
hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz qabul
(penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha” dan sebagainya.
Dalam undang-undang Islam, sesuatu hibah itu sudah sah dengan adanya ijab dan qabul
dengan perkataan atau apa-apa cara yang membawa erti memberi milik harta tanpa balasan
(‘iwad). Mengikut mazhab Maliki dan Syafie, penerimaan (qabul) itu hendaklah diambilkira
dalam menentukan sah atau tidaknya sesuatu hibah. Sebaliknya, golongan Hanafi
menganggap bahawa ijab sahaja sudah memadai untuk menentukan sahnya sesuatu hibah
itu.

1.4 Penerimaan Barang (al-Qabd) dalam Hibah
Istilah al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan
boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta tersebut. Mengikut mazhab Hanbali
dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai
dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah
satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka
hibah itu tidak terbatal. Sebaliknya, mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang
merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu
dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal.
Dalam mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna
dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd.
Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat.
Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan
berada dalam pemilikannya.

Bagi mempastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi satu akad yang mengikat, al-qabd
tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara sarih.
Harta yang dihibah tidak bercampur dengan harta lain.
Penerima hibah berkeahlian iaitu baligh dan berakal. Bagi kanak-kanak dan orang gila
(atau tidak berkeahlian) maka walinya atau pemegang amanah boleh menerima harta
hibah bagi pihaknya.
Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta
tak alih atau harta alih. Bagi harta tak alih, al-qabd boleh berlaku dengan cara
mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut
seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Manakala bagi harta alih pula, al-qabd boleh
berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebut
dengan harta-harta lain.

1.5 Hukum Penarikan Balik atau Pembatalan Hibah
Apabila sempurna sesuatu akad hibah dengan memenuhi rukun dan syaratnya serta berlaku
penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd), maka harta itu menjadi milik penerima
hibah sekalipun tanpa balasan (‘iwad).

Namun demikian, adakah hibah berkenaan boleh
ditarik balik selepas itu menjadi perselisihan di kalangan fuqaha’ seperti berikut:

(i) Menurut pendapat mazhab Hanafi, pemberi hibah boleh tetapi makruh menarik
balik hibah yang telah diberikan dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut
walaupun telah berlaku penyerahan (qabd), kecuali jika hibah itu dibuat dengan
balasan (‘iwad).

(ii) Menurut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki
penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi
apabila disertakan dengan peyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah
berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk
juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta
itu tidak ada kaitan dengan orang lain.

(iii) Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh
(haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga
ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan
kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik
muntahnya...” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Secara umumnya, para fuqaha’ bersetuju mengenai keharusan pembatalan hibah sekiranya
ia dilakukan secara redha meredhai antara pemberi dan penerima hibah atau melalui
keputusan hakim.
Sungguhpun Islam membenarkan penarikan balik hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk
juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya, tetapi ia terikat dengan
syarat bahawa harta tersebut masih lagi di dalam pemilikan anaknya (cucunya). Sekiranya
harta itu terkeluar dari kekuasaan dan pemilikan anaknya (cucunya) seperti telah dijual,
diwakaf atau dihibah kepada orang lain dan harta itu telah diterima oleh penerima hibah
(orang lain), maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik lagi.

1.6 Kadar Harta yang Boleh Dihibah
Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini
kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka
terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang
ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebihlebih lagi jika diberikan kepada anak-anak.

Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa sunat menyamakan
pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada
mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Bagi Abu Yusuf,
melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu
bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa
berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka menyamakan pemberian tersebut.
Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan
perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi hibah semua
harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain.

Menurut pendapat Hanafi, Syafie, Maliki dan Abu Yusuf, cara pemberian harta yang adil
kepada anak-anak semasa hayat ialah dengan cara menyamakan pemberian tersebut tanpa
membezakan di antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebaliknya, golongan Hanbali dan
Muhammad bin Hassan al-Shaybani berpendapat bahawa keadilan yang dikehendaki dalam
pemberian adalah mengikut kadar mereka dalam pembahagian harta pusaka, iaitu bahagian
anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan.

1.7 Hibah pada Masa Marad al-Mawt
Perkataan marad al-mawt bermaksud sakit yang boleh menyebabkan kematian.

Syarat-syarat berikut diperlukan bagi menentukan marad al-mawt, iaitu:
Penyakit itu yang menyebabkan kematian si mati.
Penyakit itu menyebabkan kecemasan kematian dalam fikiran si mati.
Terdapat tanda-tanda luar yang menuntukkan bahawa penyakit itu berat.
Dalam Perkara 1595 Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah, istilah marad al-mawt bermaksud
sakit yang kebanyakannya membawa kepada kematian, di mana sakit itu boleh melemahkan
orang sakit daripada melihat maslahat (kepentingan) di luar rumahnya jika dia seorang
lelaki, dan melemahkannya daripada melihat maslahat (kepentingan) di dalam rumahnya
jika dia seorang perempuan. Pesakit itu mati dalam keadaan sedemikian sebelum berlalu
masa satu tahun sama ada dia terlantar atas tilam (katil) atau sebaliknya. Sekiranya keadaan
sakit tersebut berterusan dan telah berlalu masa satu tahun, maka hukumnya sama seperti
orang sihat, ertinya segala urusannya (tasarruf) sama seperti urusan orang sihat selagi sakit
itu tidak terlalu berat dan tidak berubah keadaannya. Tetapi sekiranya penyakit itu
bertambah berat (serius) dan keadaannya telah berubah dan dia mati dalam keadaan 7
sedemikian, maka keadaan (daripada waktu berlaku perubahan sehingga kematiannya) sakit
itu dianggap sebagai marad al-mawt.
Daripada definisi di atas, perkataan marad al-mawt mempunyai ciri-ciri berikut:
Sesuatu penyakit itu yang meyebabkan kematian.
Kematian yang diakibatkan oleh sesuatu penyakit itu berlaku dalam masa satu tahun
atau selepas masa satu tahun (dalam keadaan penyakit itu bertambah berat).
Sesuatu penyakit itu boleh melupakan dan melalaikan seseorang pesakit itu daripada
kepentingan yang bersifat keduniaan.
Hibah pada masa marad al-mawt ialah pemberian yang dibuat oleh seseorang yang sakit
tenat yang boleh membawa kepada kematian. Dalam undang-undang Islam pemberian itu
melibatkan dua jenis undang-undang iaitu undang-undang hibah dan wasiat. Sekiranya
pemberi hibah menemui ajal berikutan dengan lafaz pemberian itu, maka pemberian itu
samalah seperti pemberian melalui wasiat dan tertakluk kepada hukum wasiat iaitu:
Pemberian itu tidak melebihi 1/3 daripada harta si mati.
Pemberian itu tidak diberikan kepada waris kecuali waris-waris lain telah bersetuju.
Walau bagaimanapun, jika pemberi hibah itu hidup maka pemberian itu termasuk di dalam
hukum hibah dan tertakluk kepada hukum pemberian semasa hidup iaitu penyerahan hak
pemunyaan oleh pemberi hibah kepada penerima hibah.
Dalam Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah juga telah menerangkan babarapa perkara yang
berkaitan dengan hibah yang dibuat ketika marad al-mawt, antaranya:
Apabila seseorang yang tidak mempunyai waris menghibahkan semua hartanya
kepada seseorang pada masa marad al-mawt, kemudian pemberian itu diterima
maka hibah itu hukumnya adalah sah (Perkara 877).
Apabila seseorang suami menghibahkan semua hartanya kepada isterinya atau
sebaliknya pada masa marad al-mawt dan hibah itu telah diterima, sedangkan
mereka tidak mempunyai waris lain, maka hibah itu juga hukumnya sah dan
baitulmal tidak boleh campurtangan dalam harta peninggalannya (Perkara 878).
Apabila seseorang telah menghibahkan sesuatu harta kepada salah seorang daripada
waris pada masa marad al-mawt dan selepas kematiannya waris-waris lain tidak
bersetuju, maka hibah itu hukumnya tidak sah (Perkara 879). 8
1.8 Hibah dalam Bentuk al-‘Umra dan al-Ruqba (Hibah Bersyarat)
Al-‘Umra bermaksud pemberian semasa tempoh hidup penerima hibah atau pemberi hibah
dengan syarat harta tersebut dikembalikan setelah kematian penerima hibah. Al-‘Umra juga
bermaksud suatu pemberian yang bersifat sementara yang merujuk kepada hayat salah
seorang sama ada pemberi hibah atau penerima hibah. Sekiranya penerima hibah meninggal
dunia maka harta yang dihibahkan itu dikembalikan kepada pemberi hibah. Sebaliknya, jika
pemberi hibah meninggal dunia maka harta hibah akan dikembalikan kepada waris pemberi
hibah. Contoh lafaz hibah al-‘umra adalah seperti pemberi hibah berkata: “tanah ini aku
berikan (hibahkan) kepada kamu semasa kamu hidup dan jika kamu mati maka harta itu
kembali kepada aku jika aku masih hidup dan kepada waris aku jika aku telah mati”.
Manakala al-ruqba pula ialah pemberian dengan syarat kematian salah satu pihak sama ada
pemberi hibah atau penerima hibah sebagai syarat pemilikan kepada salah satu pihak yang
hidup. Al-Ruqba juga bermaksud suatu pemberian bersyarat yang ditentukan oleh pemberi
hibah, di mana harta hibah akan menjadi milik penerima hibah sekiranya pemberi hibah
meninggal dunia. Tetapi jika penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah maka
harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah. Contoh lafaz hibah al-ruqba adalah seperti
pemberi hibah berkata: “tanah ini aku berikan kepada kamu sebagai ruqba dan jika kamu
mati dulu maka harta itu kembali kepada aku dan jika aku mati dulu maka harta itu untuk
kamu”.
Para fuqaha’ sepakat tidak mengharuskan hibah yang disyaratkan pemilikannya akan
terlaksana pada suatu tempoh masa yang akan datang. Majoriti ulamak berpendapat hibah
yang bersifat sementara seperti hibah ‘umra dan ruqba adalah sah tetapi syaratnya terbatal.
Mereka berhujah bahawa jika syarat itu terpakai maka ia bertentangan dengan kehendak
akad hibah itu sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Peliharalah harta kamu dan janganlah kamu (menghibahkannya) secara ‘umra kerana
sesungguhnya sesiapa yang (menghibah) sesuatu secara ‘umra, maka ia menjadi milik
orang yang dihibahkan”.
Sebahagian daripada fuqaha’ mazhab Hanbali, Imam Malik, Imam al-Zuhri, Abu Thur dan
lain-lain serta qawl al-qadim Imam Syafie berpendapat bahawa hibah ‘umra adalah harus
dan syaratnya sah jika tidak dinyatakan oleh pemberi hibah bahawa harta yang dihibahkan
akan menjadi milik waris penerima hibah selepas kematian penerima hibah. Ini bermakna
harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah selepas kematian penerima hibah.
Sementara pendapat lain pula mengambil pendekatan bahawa hibah yang bersifat
sementara pada hakikatnya bukanlah hibah tetapi ia adalah ‘ariyah (peminjaman). 9
Imam Abu Hanifah dan Imam Malik mengharuskan hibah ‘umra tetapi tidak mengharuskan
hibah ruqba. Pandangan mereka adalah berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang
telah mengharuskan hibah ‘umra dan membatalkan hibah ruqba. Namun hadis ini dikritik
oleh Imam Ahmad kerana ia tidak diketahui kesahihannya. Mereka juga berpendapat
bahawa hibah ruqba adalah hibah ta’liq ke atas sesuatu yang tidak jelas dari segi tempoh ia
akan terlaksana.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa antara isu penting yang
membawa perbezaan pandangan di kalangan fuqaha’ mengenai hibah ‘umra dan hibah
ruqba ialah tertumpu kepada unsur hibah yang bersifat sementara dan hibah sesuatu yang
dita’liqkan dengan hayat seseorang. Kedua-dua isu ini telah menimbulkan reaksi yang
berbeza di kalangan fuqaha’. Mazhab yang mengatakan hibah ‘umra dan hibah ruqba tidak
diharuskan adalah berpandukan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Janganlah kamu memberi (hibah) sama ada secara ‘umra atau ruqba”.
Mazhab yang mengharuskan hibah ‘umra dan hibah ruqba pula berhujah dengan hadis yang
bermaksud:
“(Hibah) ‘umra dan ruqba adalah diharuskan bagi mereka”.

2. APLIKASI HIBAH DI MALAYSIA

Di Malaysia, tiada peruntukan khusus mengenai undang-undang hibah yang dikanunkan.
Ini bermakna Dewan Perundangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah
Persekutuan) tidak pernah meluluskan statut khusus mengenai hibah orang Islam untuk
dilaksanakan di Mahkamah-mahkamah Syariah. Setakat yang ada hanyalah peruntukan
yang menjelaskan tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenainya termasuk dalam
Butiran 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan
bahawa:
“Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum
Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam,
termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan mewarisi harta berwasiat dan tidak
berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan
anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah
bukan khairat; Wakaf dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat
agama, pelantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang
mengenai pemberian agama dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat
yang dijalankan, kesemuanya dalam Negeri; adat istiadat Melayu; Zakat, Fitrah dan
Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat
sembahyang awam untuk orang Islam, mengadakan dan menghukum kesalahankesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun
Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;
keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syariah, yang akan
mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan 10
hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak
mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh
undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara
orang-orang yang menganut agama Islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak
dan iktikad dan adat istiadat Melayu”.

Peruntukan di atas menunjukkan bahawa hibah adalah sebahagian daripada perkara negeri
yang diletakkan di bawah pentadbiran agama Islam di setiap negeri dan secara langsung ia
terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Sehubungan itu, Seksyen 46(2)(b)(v)
dan (vi), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993
(Akta 505) memperuntukkan:

Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan
prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan
dengan-

(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;

(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang
memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;
Penggunaan perkataan “alang” sama ada semasa marad-al-maut atau semasa hidup dan
“penyelesaian yang dibuat tanpa balasan” adalah merujuk kepada hibah atau pemberian.
Penggunaan perkataan yang sama dapat dilihat di negeri-negeri lain seperti Selangor,
Melaka, Pulau Pinang, Johor, Perak, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Sementara
itu, Negeri Sembilan menggunakan perkataan “hibah”, Pahang dan Perlis menggunakan
perkataan “pemberian” dan Kelantan menggunakan perkataan “alang hayat”
Daripada peruntukan di atas, didapati pelaksanaan hibah bukan sahaja diperuntukkan di
dalam undang-undang di Malaysia semasa hidup pemberi hibah, malah hibah semasa
marad al-mawt juga ada diperuntukkan. Kes-kes hibah di Mahkamah-mahkamah Syariah
di Malaysia, selalunya melibatkan pengesahan hibah, pertikaian takat atau kadar hibah dan
penarikan balik hibah.
Dalam kes Harun bin Muda dan Lain-lain lwn. Mandak binti Mamat dan Lain-lain [1999]
XIII(I) JH 63, melibatkan kes pertikaian takat hibah yang dikemukakan oleh plaintif ke atas
sebidang tanah. Tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh plaintif adalah antara lain, untuk
mengesahkan bahawa tanah tersebut sebagai pemberian hibah si mati (Muda bin Tahir)
kepada mereka. Di samping itu, tuntutan juga dibuat supaya mahkamah mensabitkan
bahawa tanah itu menjadi milik sah plaintif-plaintif berdasarkan takat yang telah
disebutkan. Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah memutuskan bahawa tuntutan
plaintif-plaintif mengenai takat keluasan masing-masing yang dinyatakan di atas tanah
tersebut adalah benar dan berpuashati di atas kebenaran tuntutan itu lalu memberikan
keputusan bahawa telah sabit hibah si mati kepada plaintif-plaintif. 11
Dalam kes di atas juga, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu berpendapat bahawa
berlakunya hibah walaupun qabul berlaku secara perbutan iaitu selepas berlakunya ijab
harta itu telah dimajukan atau diusahakan atau dimanfaatkan oleh defendan. Sebaliknya,
dalam kes Salmiah binti Che Mat lwn Zakaria bin Hashim [2001] XIV JH 79 Mahkamah
Rendah Syariah Bukit Mertajam Pulau Pinang berpendapat bahawa hibah tidak sah
walaupun qabul kepada ijab sudah berlaku secara perbuatan. Dalam penghakiman kes ini,
Mahkamah telah mengemukakan beberapa soalan. Isu pertama yang dibangkitkan ialah
apakah dalam kes ini telah terlaksana dengan sempurna rukun-rukun hibah. Mahkamah
mendapati bahawa rukun pemberi hibah, penerima hibah dan barang yang dihibahkan telah
mencukupi syarat-syarat yang telah dikehendaki oleh hukum syarak. Namun demikian, bagi
rukun sighah pula Mahkamah mendapati bahawa ia belum terlaksana dan belum sempurna,
yang berlaku hanyalah ijab daripada Che Mat sahaja dan tidak ada qabul daripada defendan
sama ada secara lisan atau tulisan. Dengan demikian, Mahkamah berpendapat hibah Che
Mat kepada defendan tidak sah oleh sebab rukun sighah belum terlaksana dan belum
sempurna.
Dalam kes ini, jelas bahawa Mahkamah tidak mengiktiraf penggunaan dan pembangunan
yang telah diusahakan ke atas tanah tersebut oleh defendan dengan mendirikan sebuah
rumah sebagai qabul. Namun demikian, antara alasan lain Mahkamah tidak mengesahkan
hibah tersebut ialah kerana penggunaan dan pembangunan yang diusahakan ke atas tanah
tersebut dilakukan sebelum keizinan diberi oleh pemberi hibah. Ini kerana menurut
pendapat mazhab Syafie dan Hanbali, syarat pengambilan barang/harta yang dihibahkan
adalah dengan keizinan pemberi hibah.
Sementara dalam kes Eshah binti Abdullah dan Lima Yang Lain lwn Che Aminah binti
Abdul Razak dan Dua Yang Lain [2004] XVIII(I) JH 47, isu yang timbul ialah adakah qabul
disyaratkan secara terang dan jelas selepas pemberian atau cukup dengan qarinah-qarinah
lain yang membuktikan adanya penerimaan. Dalam kes ini, pemeberi hibah telah meninggal
dunia dan tidak ada penarikan balik hibah. Hibah tersebut juga telah disaksikan oleh saksisaksi, namun bangunan yang dipertikaikan sebagai harta hibah masih menggunakan nama si
mati. Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu telah menerima rayuan yang dibuat oleh
perayu-perayu berdasarkan kepada qarinah penerimaan daripada penerima, di mana ketigatiga penerima hibah mengaku bahawa mereka telah menerima hasil sewaan bangunan
tersebut sejak si mati masih hidup. Apa yang menarik dalam kes ini ialah pandangan
Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu iaitu:
Diandaikan jika pemberian tersebut telah bertukar kepada nama penerima-penerima,
kemungkinan kes ini tidak lagi perlu dibawa kepada mahkamah, kerana segala-galanya
telah jelas dan tercatat dalam dokumen”.
Berdasarkan kepada keterangan kes-kes di atas dan banyak lagi kes-kes yang lain, sesuatu
hibah boleh dicabar di Mahkamah Syariah, tidak kira sama ada is dibuat secara lisan atau
bertulis dalam bentuk dokumen oleh individu atau peguam. Bagaimanapun, ia hanya boleh
dicabar atau dipertikaikan dari sudut sahnya mengikut hukum syarak atau ada waris yang
tidak bersetuju dengan kandungan hibah itu selepas kematian pemberi hibah.
Kini setelah muncul pelbagai agensi yang terlibat dalam soal penulisan hibah maka dengan
itu timbul pelbagai cara yang dilakukan oleh agensi-agensi berkenaan dalam
memperkembangkan ruang lingkup hibah seperti trust hibah. Trust hibah ialah kacukan
antara hibah dan amanah. Ia adalah pemberian harta oleh seseorang atas dasar kasih sayang
yang berlaku ijab dan qabul pada masa hayat pemberi hibah. Harta hibah tersebut akan
dipegang oleh pemegang amanah dan diserahmilikkan kepada penerima selepas kematian
pemberi hibah atau menurut persetujuan pihak-pihak berkenaan. Begitu juga dengan hibah
yang dibuat oleh pemberi hibah untuk memastikan dia masih menguasai hartanya tersebut
kerana dia khuatir mungkin penerima akan mengabaikannya apabila semua harta telah
dihibahkan. Maka dalam hal ini pemberi hibah telah membuat satu perjanjian asing di luar
akad yang memberi hak kepada pemberi mengurus dan menggunakan harta tersebut
sehinggalah dia meninggal dunia.
Apa yang dinyatakan di atas adalah lebih hampir dengan apa yang dikatakan hibah ‘umra
dan hibah ruqba. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah
Persekutuan kali ke-56 pada 5 Oktober 2000 memutuskan bahawa perletakan syarat adalah
dibenarkan di antara pemberi dan penerima hibah setelah berlaku ijab dan qabul. Begitu
juga dengan keputusan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti dalam
mesyuarat ke-44 pada 15 Januari 2003 menerima pakai prinsip hibah ruqba sebagai asas
syariah dalam pelaksanaan borang akuan hibah untuk transaksi yang melibatkan akaun
bersama tabung unit amanah terutamanya akaun yang dipegang oleh orang Islam.

Dari perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa suatu undang-undang yang khusus
berkaitan dengan pemberian hibah dan pentadbirannya amatlah diperlukan. Dengan adanya
undang-undang yang khusus dapat mengurangkan kekeliruan dan dapat menegakkan
kewibawaan Mahkamah Syariah dan mengukuhkan kredibilitinya dalam masyarakat apabila
memutuskan soal yang berkaitan dengan hibah.

Di samping itu, pada masa yang sama, ia
boleh menjadi panduan kepada masyarakat yang ingin membuat hibah secara peribadi agar
hibah yang dibuat itu menjadi lebih sempurna, atau dengan kata lain, masyarakat dapat
menguruskan hartanya dengan cara yang lebih teratur dan kemas.