Monday, September 12, 2011

~ si fakir yang sabar ~



RASULULLAH SAW bersabda bahawa orang fakir masuk syurga lebih dulu selama beberapa waktu daripada orang kaya. Boleh jadi, hal ini tidak berlaku umum kerana sebahagian orang kaya ada yang termasuk orang sentiasa bersyukur, memuji, mengabdi dan membenarkan Allah SWT. Mereka memiliki keutamaan yang besar serta konsisten dalam ketaatan dan pengabdian.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Takutlah kepada Allah dalam hal orang fakir kerana pada hari kiamat, Allah SWT berfirman: Di mana makhluk pilihan-Ku? Malaikat menjawab: Wahai Tuhanku, siapakah mereka? Allah SWT berfirman: Orang fakir yang sabar dan rela terhadap takdir-Ku. Mereka akan Aku masukkan ke dalam syurga. Rasulullah SAW melanjutkan sabdanya: Kemudian orang fakir itu masuk syurga lalu makan dan minum, sementara orang kaya masih sibuk dalam penghitungan amal mereka.”
Imam Tirmizi meriwayatkan hadis dari Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang fakir yang berjuang di jalan Allah akan masuk syurga sebelum orang kaya, dengan jarak 500 tahun.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Orang fakir akan masuk syurga lebih dulu. Dengan catatan mereka termasuk mengabdi kepada Allah, rela dan sabar terhadap kefakiran sehingga lisan mereka keluar kata pujian kepada Allah, bersyukur dan menghambakan diri kepada Allah. Mereka akan memperoleh kemuliaan pada hari kiamat, ketika mereka masuk syurga
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Orang fakir akan masuk syurga terlebih dulu daripada orang kaya, selama setengah hari akhirat, iaitu 500 tahun dunia.” (Hadis riwayat Tirmizi) Ia berkata hadis ini hasan sahih.


Hadis itu menunjukkan satu makna bahawa orang fakir akan masuk syurga lebih dulu. Dengan catatan mereka termasuk orang yang sabar, mengabdi kepada Allah, rela dan sabar terhadap kefakiran mereka selama hidup di dunia sehingga dari lisan mereka keluar kata-kata pujian kepada Allah bersyukur serta menghambakan diri kepada Allah.

Mereka inilah orang yang akan memperoleh kemuliaan pada hari kiamat, ketika mereka masuk syurga. Pada hari kiamat nanti Allah akan berfirman kepada orang yang sabar terhadap kefakirannya yang bermaksud:
“Makan dan minumlah dengan nikmat kerana amal yang telah kamu kerjakan pada hari yang telah lalu.” (Surah Al-Haqqah, ayat 24)


Ertinya, kesusahan yang telah engkau peroleh di dunia kerana fakir, benar-benar terasa perih buat kamu. Hal itu bukan cita-cita dan keinginan kamu tetapi semata-mata kehendak Allah.
Berapa banyak ayat Allah yang mendorong orang mukmin rajin menabung dengan tabungan amal kebajikan. Allah akan melipatgandakan tabungan itu selama di dunia dan mereka dapat memetik hasilnya berupa pahala yang besar di akhirat nanti.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesiapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya kamu dikembalikan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 245)


Banyak ayat al-Quran yang mengisyaratkan adanya kelebihan dan perbezaan darjat dalam segala sesuatu, bahkan antara para malaikat Al-Muqarrabun, Nabi dan Rasul. Demikian juga, antara manusia pada umumnya. Ini ketentuan Allah (sunnatullah) terhadap makhluk-Nya dan kesempurnaan hikmah dari Allah.

Hakikat kelebihan dan perbezaan darjat ini tidak terletak pada ketakutan seseorang kepada Allah. Hal ini terjadi semata-mata kerana ilmu dan keutamaan dari Allah. Sedangkan, kelebihan manusia adalah kerana amal, ilmu, ijtihad dan kesabarannya.

Antara nabi, ada yang dikenali sebutan Ulul Azmi, sedangkan sebahagian lain tidak memperoleh sebutan demikian. Sebahagian manusia ada yang menjadi pejuang (mujahid), mempunyai keutamaan tetapi sebahagian tidak memiliki semua itu.

Oleh itu, antara manusia ada memperoleh darjat dan kelebihan dari Allah yang berbeza dengan yang lainnya. Hal ini berdasarkan ketinggian darjat manusia dan amal perbuatannya selama di dunia.

Sunday, September 11, 2011

~ segenggam tabah ~



Album : Tiada Lagi Kasih
Munsyid : In-Team
http://liriknasyid.com


Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak airmata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi
Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian
Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti
Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar

Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu
Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya


Senilagu : Fadzli Far East
Senikata : ITO Lara (Gurindam Entertainment)
Hakcipta : Inteam Records Sdn. Bhd.
Penerbit : Fadzli Far East
Susunan Muzik : Firdaus Mahmud


Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya. (Al-Baqarah 2:83)

Saturday, September 10, 2011

~ di mana kita selepas Ramadhan ~



ISLAM amat menekankan betapa perlu beristiqamah atau mengekalkan amalan baik dalam kehidupan terutama selepas menjalani ibadah puasa. Inilah visi sebenar ibadah puasa yang akan membentuk jiwa yang bertakwa dan sentiasa beristiqamah dengan amalan kebajikan.

Sifat ini amat sukar untuk dipraktikkan kerana kita dibelenggu dengan gangguan syaitan yang sentiasa berusaha mengurangkan prestasi KPI umat manusia dalam perkara kebajikan.
Firman Allah SWT bermaksud:
Maka tetaplah (istiqamah) engkau wahai Muhammad di jalan yang benar seperti yang diperintahkan bersama orang yang bertaubat dan janganlah melampaui batas. ( Hud ayat 112).
Dalam surah Syura ayat 15 menyebut: Oleh kerana keraguan ahli kitab dengan kebenaran, maka serulah mereka dan beristiqamahlah seperti yang diperintahkan dan janganlah melayani keinginan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
Sesungguhnya mereka yang berkata Tuhan kami adalah Allah kemudian mereka beristiqamah tidak akan berasa gentar dan gundah gulana. (Al-Ahqaf 13).


Seorang sahabat Sufian bin Abdullah As-Saqafi bertemu Baginda SAW dan bertanya: Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku agar tiada lagi perlu aku bertanya orang lain lagi selepas ini. Jawab Baginda SAW: Katakanlah, aku beriman kepada Allah dan beristiqamah. (HR Muslim).

Ilmuwan Islam berkata: Istiqamah itu adalah lebih baik dari seribu keramat.
Tiga golongan manusia akan muncul setelah selesai Ramadan iaitu:
  • Mereka yang beribadat pada Ramadan seperti seorang wali Allah dengan solat, tilawah, sedekah dan segala kebajikan lain dan kembali seperti sediakala apabila selesainya Ramadan.
  • Mereka yang tiada berasa apa-apa sama ada Ramadan atau tidak. Baginya semua sama dan tiada apa-apa makna dalam kehidupannya.
  • Mereka yang menerima Ramadan dengan gembira dan melakukan ibadat padanya dengan penuh keikhlasan dan meneruskan ibadat sehingga selesainya Ramadan dan beristiqamah dengannya.


Bagi warga kota yang baru pulang dari kampung, kemeriahan hari raya akan disambut pula dengan menganjurkan rumah terbuka bagi menjemput sahabat handai rakan dan taulan serta saling menziarahi antara satu sama lain. Amalan ini sangatlah baik dan dipuji kerana Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Maka usahakanlah untuk mendamaikan mereka. (Al-Hujurat ayat 10).


Janganlah kita jadikan medan rumah terbuka sebagai tempat untuk berbangga dan bermegah-megah dengan kemewahan yang dikurniakan Allah SWT. Baginda Nabi SAW telah mengajar kita bagaimana mensyukuri nikmat itu dengan doa bermaksud: Ya Allah, jadikanlah aku hambamu yang sentiasa ingat dan bersyukur. Sikap bermewah-mewah ini kadang-kadang boleh membebankan setengah pihak dengan bebanan hutang dan akan membawa kepada pembaziran yang tidak digalakkan di dalam agama Islam. Firman Allah SWT:
Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya. (Al-Israk 27).


Apa yang lebih hebat ialah mengadakan pertemuan antara sahabat lama bagi mengeratkan lagi silaturahim. Medan ini juga dijadikan platform untuk mengetahui perkembangan sahabat lama yang jarang bertemu selepas masing-masing meninggalkan alam persekolahan.

Apa yang malang ialah kita mendapati masih ada dalam kalangan sahabat yang menganggap pertemuan ini adalah sama ketika alam persekolahan dulu. Ini dirasai oleh penulis sendiri ketika mengadakan pertemuan beberapa hari yang lalu. Seolah-olah tiada roh persaudaraan antara mereka. Gurau senda mereka masih tidak berubah. Pertuturan masih tidak dijaga sehingga terkadang mengguris perasaan sahabat sendiri.

Sepatutnya majlis seumpama ini akan lebih bermakna jika diadakan program kekeluargaan dan menggunakan ruang ini untuk mempersoalkan isu semasa atau dengan pengisian yang terbaik bagi mengukuhkan persaudaraan Islam dalam kalangan masyarakat. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: Muslim yang sebenar ialah mereka yang dapat mengawal lidah dan anggotanya daripada menyakiti orang lain. Baginda SAW juga berwasiat kepada Sufian dalam hadis yang sahih apabila ditanya maksudnya:
Wahai Sufian, inilah anggota yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat (sambil mengisyaratkan kepada lidah Baginda SAW).(HR Tirmizi ).


Marilah sama sama difikirkan di manakah kedudukan kita selepas Ramadan berlalu bagi mencapai matlamat sebenar kewajipan ibadah puasa iaitu menjadikan ketakwaan sebagai asas kehidupan kita.

Friday, September 9, 2011

~ jalan ku pulang ~



Jalan Ku Pulang - Unic

Tundukku malu didepanMu
kernaku insan berdosa
kuadukan sesalanku apakah kan Kau terima
kesunyian ini sedarkan diriku yang lena

Tinggalkan semalam yang nanah
lantas meratap hina kan ku pada sempurnaMu,
terpaut aku tak berpaling

Ku Bersyukur hanya padaMu tuhan kau tunjukkan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara buatku melepas dahaga

suburkan cahaya menerangi langkahku
semaikan segala hiasan indah cintaMu

ku Bersyukur hanya padaMu tuhan kau tunjukkan laluan ku pulang
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara buatku melepaskan dahaga

Ku mohon kau tenangkan gusar hatiku yang rawan
bimbang Kau singkirkan taubatku
kurayu Kau hulurkan keampunanMu padaku
kelakku zalimi diriku



Janjiku padaMu abdikan seluruh jiwa
sehingga masanya kau seru hujung nyawaku

Ku Bersyukur hanya padaMu tuhan kau tunjukkan laluan ku pulang
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara buatku melepaskan dahaga

Tak kutemu dimanakah hentinya rayuan taubatku padaMu


Friday, September 2, 2011

~ hikmah berpuasa 6 ~



RAMADAN melabuhkan tirainya dengan penuh kesyahduan dan pengharapan supaya dipertemukan lagi dengan Ramadan tahun depan. Keriangan terpancar di wajah mereka yang menyambut hari raya sebagai tanda kemenangan menghadapi ujian Ramadan lalu.

Orang yang beriman hendaklah yakin dengan apa yang diperoleh daripada Ramadan baru berlalu iaitu mendapat ganjaran terbaik di sisi-Nya seterusnya bersangka baik dengan Allah SWT terhadap amalan dilakukan.
Ibnu Masud menyebut, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Demi Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya tiada sesuatu pemberian yang terbaik dari Allah SWT selain dari bersangka baik dengan-Nya kerana ia akan memperoleh seperti apa yang disangkakan.”
Hadis sahih menyebut yang bermaksud:
“Jika seseorang memohon, hendaklah memohon yang terbaik dan terbanyak.” (Al-Hadis)


Allah SWT tidak pernah berasa segan untuk memakbulkan doa yang dimohon dan gembira apabila diminta dalam kuantiti yang banyak.

Walaupun Ramadan sudah berlalu, kita masih lagi mempunyai talian hayat untuk menambahkan amalan Syawal, iaitu berpuasa enam hari selagi Syawal masih ada. Ia adalah puasa sunat selama enam hari bermula dua Syawal hinggalah penghujungnya.

Puasa Syawal adalah lebih afdal (lebih baik) dilakukan secara berturut-turut daripada dilakukan secara berselang seli. Berpuasa secara berturut-turut adalah digalakkan kerana ia lebih hampir kepada fokus yang tinggi kepada pengabdian berterusan.
Fadilat atau kelebihan puasa sunat Syawal disebutkan dalam hadis Abi Ayyub dari Abu Hurairah bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli berpuasa enam hari Syawal seolah-olah ia mendapat ganjaran berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)


Ini disokong oleh As-Sya’bi dalam kitabnya Al-Manawi yang menunjukkan bahawa ganjaran puasa sunat Syawal sangat besar di sisi Allah SWT.

Ada riwayat menyebut, Allah SWT menciptakan langit dan bumi selama enam hari, iaitu pada Syawal. Sesiapa berpuasa pada bulan ini akan dianugerahkan kebajikan pahala seperti bilangan makhluk di dalamnya, diampunkan dosanya serta diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. (Durratul Waizin 71)

Sufyan Atthauri pernah berdoa supaya diberi kekuatan untuk melakukan puasa Ramadan dan enam hari Syawal kerana kelebihan yang ada pada kedua-duanya.

Daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli dengan puasa Syawal seolah-olah ia baru saja dilahirkan dalam keadaan suci bersih dari dosa kesalahan.” (Targhib Wattarhib Fi Fadail A’mal)


Nabi SAW juga pernah mengumpamakan orang yang berpuasa selepas Ramadan seperti orang yang lari dari satu peperangan dan kembali untuk bertarung semula. Menunjukkan bahawa ia sanggup kembali ke medan perjuangan bagi meraih pahala berlipat ganda.

Antara tujuan atau hikmah puasa sunat Syawal adalah untuk mengekang nafsu balas dendam terhadap Ramadan lalu yang terkadang umat Islam terleka kerana keghairahan menyambut hari raya.

Fadilat lain, ditambahkan rahmat dan kempunan ketika hampirnya masa roh seseorang akan berpisah dengan jasad (sakratul maut), dipermudahkan ketika berurusan dengan dua malaikat di alam barzakh dan ganjaran pahala setahun serta tiket pelancongan ke syurga di bawah pembiayaan Allah SWT. (Durratu Nasihin-Ibnu Ahmad As Syakir)

Persoalan berkaitan menyatukan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan ulama muasarah (kontemporari) di mana keputusan mendapati mengasingkan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada adalah lebih baik serta digalakkan kerana puasa qada mempunyai ruang masa yang banyak untuk dilaksanakan berbanding puasa Syawal.

Apa yang membimbangkan adalah sifat berlengah sesetengah kita untuk berpuasa Syawal sehingga luput waktu dan terlepas peluang keemasan ini. Semoga kemenangan Ramadan akan disambut lagi selepas kemenangan Syawal yang masih banyak berbaki, jangan tunggu lagi. Jom puasa 6 !! :)

~ ziarah mahabbah ~



AMALAN ziarah-menziarahi dan mengadakan rumah terbuka mempunyai banyak hikmah sangat bermakna bagi umat Islam, terutama malam merapatkan ikatan persaudaraan. Agama Islam menggalakkan umatnya sentiasa berusaha memperbaiki ikatan silaturahim.

Firman Allah bermaksud:
“Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujuraat, ayat 10)
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia menyakiti jirannya dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Amalan ziarah atau kunjung mengunjung memberi manfaat besar dan faedah berguna dalam konteks perpaduan ummah. Amalan ziarah juga mendekatkan yang jauh, merapatkan yang renggang serta mendamaikan mereka yang bersengketa.

Dengan amalan ziarah akan terbentuklah ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan. Ini disebabkan asal kejadian manusia daripada keturunan yang sama daripada Nabi Adam dan dengan sebab itulah Islam mengajak manusia saling kenal mengenali antara satu sama lain, hormat-menghormati, saling kerjasama serta faham memahami.

Islam menggariskan beberapa peraturan dan adab ketika berkunjung sebagai tetamu antaranya mesti berniat baik, jangan memilih tempat untuk berkunjung seperti rumah mereka yang memiliki harta, pangkat dan kedudukan dalam masyarakat.

Ketika berkunjung hendaklah memilih waktu yang sesuai. Jangan berkunjung pada waktu dingin pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu tuan rumah ingin beristirahat.
Sebagai tetamu, kita perlu memohon izin dan memberi salam serta digalakkan berjabat tangan dengan tuan rumah seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.”


Walau bagaimanapun, amalan berjabat tangan mestilah dilakukan mengikut lunas Islam. Ia tidak sama dengan budaya Barat yang bebas bersalaman tidak mengira lelaki atau wanita bukan mahram kerana ia dimurkai Allah SWT.

Sebagai tetamu juga, kita tidak sepatutnya bebas melakukan apa saja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah. Hendaklah menjaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, janganlah mengangkat suara dan pulanglah apabila diarahkan berbuat begitu.

Pihak tuan rumah, Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara dan dihayati antaranya menghormati serta memuliakan tetamu. Pada masa sama, hidangkan jamuan terbaik mengikut kadar kemampuan.

Janganlah ada maksud untuk berbangga-bangga kerana tujuan asal adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan Nabi dan Rasul terdahulu.

Namun, apa yang mengecewakan, ada kalangan umat Islam kurang memberi perhatian terhadap amalan ziarah menziarahi terutama menziarahi saudara terdekat, sahabat handai serta jiran tetangga.

Mereka lebih gemar terperap di rumah menonton televisyen.

Sikap ini perlu diubah kerana ia tidak menepati etika suasana sambutan hari raya kehendaki Islam. Marilah bersama mengambil kesempatan Syawal yang mulia untuk ziarah-menziarahi mudah-mudahan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan kita.

Didiklah anak adab berziarah, adab bertamu, adab makan dan minum supaya mereka menjadi insan bertamadun, berperibadi tinggi, memiliki akhlak mulia serta tingkah laku mereka tidak menjadi bahan ketawa orang lain.