Menang atau kalah, adalah adat dalam perjuangan atau peperangan. Tidak ada apa yang perlu dikesal atau ditangiskan kerana peribahasa Melayu ada menyebut kalau menang jadi arang, kalah jadi abu.
Lantaran itu apabila bercerita mengenai Perang Uhud maka kita tidak boleh lari daripada membicarakan hikmah besar di sebalik kekalahan umat Islam dalam perang tersebut.
Sebelum itu, kita mungkin kesal, marah apabila kemenangan yang hampir-hampir dapat digenggam akhirnya terlepas.
Ia akibat sikap gelojoh terhadap harta rampasan perang telah menyebabkan tercatat satu luka besar pada sejarah - kekalahan umat Islam.
Adalah sangat memalukan kerana adanya sifat tamak di kalangan tentera tersebut dan tidak patuh pada arahan telah membolehkan musuh kembali menyusun kekuatan dan menyerang tentera Islam dari belakang.
Namun seperti yang disebutkan, semua yang berlaku itu ada hikmah-hikmah besar yang tersembunyi.
Apatah lagi jika kalah, tidak bermakna kita akan kalah buat selama-lamanya.
Begitupun kekecewaan yang menyelubungi di kalangan umat Islam akibat kalah dalam perang tersebut dapat 'dipujuk' dengan turunnya ayat-ayat al-Quran yang tidak sahaja indah pada bahasa tetapi memberi keinsafan dan kesedaran apabila kita menghayatinya selain kita kembali kuat untuk tidak lagi berkeluh kesah akibat kekalahan yang lalu.
Ini apabila kita memahami isi kandungan ayat Allah seperti berikut:
l Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (ali-'Imran: 139)
Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (ali-'Imran: 140)
l Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (ali-'Imran: 147)
Demikianlah bagaimana Allah mengembalikan semula semangat para pejuang Islam. Mereka tidak seharusnya patah semangat kerana walaupun kalah di dunia namun akan menggapai kemenangan di akhirat.
Lalu, walaupun umat Islam di Madinah ketika itu dicerca dan dihina oleh para musuh ekoran kekalahan mereka di Perang Uhud, agak luar biasa apabila semua itu tidak menjadi kudis kepada mereka.
Terutama di pihak Nabi Muhammad yang tidak sekali-kali tunduk kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya, baginda tetap menjalankan kerja-kerja dakwah di samping meningkatkan lagi soal keselamatan dan pertahanan daripada diambil kesempatan oleh pihak musuh.
No comments:
Post a Comment