Sunday, August 28, 2011

~ Ramadhan terakhirku di Jordan ~




DALAM tempoh beberapa hari lagi umat Islam seluruh dunia akan meraikan hari kemenangan iaitu Aidilfitri. Sudah pasti juga ketika ini ramai yang tidak sabar mahu pulang ke kampung bagi merayakan hari kemenangan ini.

Selepas sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan suatu 'madrasah' atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.

Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat terawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi.

Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Aidilfitri. Amat rugilah orang yang langsung tidak mengambil pengajaran daripada falsafah Ramadan itu sendiri.

Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari kemenangan itu. Pada kebiasaannya kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya.

Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan ini masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak. Namun, sudah tentulah hiba di jiwa tidak dapat dielakkan ketika menyambutnya.

Mengunjungi pusara ayahanda khususnya menjadi kemestian di hari lebaran ini. Walaupun yang pergi tidak akan kembali sebagai tanda ingatan sekalung doa dan bacaan ayat-ayat suci dititipkan kepada mereka. Saya sendiri akan berhari raya buat ke-8 kalinya tanpa ayah di sisi.

Dalam segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan membersih segala dosa kita.

Namun, tidak kurang juga kita yang kecundang dan gagal menjadi graduan madrasah Ramadan ini apabila mereka kembali kepada fitrah sebelum Ramadan iaitu sikap negatif terlalu obses dengan hawa nafsu dan meminggirkan ibadah kepada Yang Maha Esa.

Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah, makan makanan yang tidak tentu halal haramnya dan daripada sumber yang diragukan.

Malah fitnah memfitnah, mengadu domba dan menuduh orang lain tanpa bukti dan siasatan juga telah menjadi norma dalam kehidupan mereka. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah.

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama ummah. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga selepas berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat.

Agama Allah memerlukan kita meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini sesuai dengan peranan sebagai khalifah.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir daripada apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran.

Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.


Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya; (Al-Furqaan 25:58)

Saturday, August 20, 2011

~ sampaikan walau sepotong ayat ~



ALLAH memberi peringatan kepada umat manusia agar tidak melakukan dosa dan maksiat yang boleh menimbulkan kekacauan serta fitnah dalam masyarakat.

Umat Islam diseru supaya saling bekerjasama dan bantu membantu dalam usaha mencegah kemungkaran daripada terus berleluasa.

Tatkala Allah turunkan bala bencana akibat perbuatan berdosa itu, ia bukan sahaja menimpa orang yang melakukan dosa itu tetapi juga kepada masyarakat seluruhnya.

Ini bermakna kita bukan sahaja diwajibkan menjauhi diri dari perbuatan yang dilarang oleh Allah tetapi juga berkewajipan mencegah perbuatan itu daripada merebak dalam masyarakat.

Berjuang membanteras maksiat dan menentang kezaliman bukanlah suatu yang mudah untuk dilakukan. Ia memerlukan kesungguhan, kekuatan diri serta pengorbanan yang bukan sedikit.

Ingatlah bahawa orang yang tidak menghalang kezaliman dan kerosakan dengan membiarkannya terus berleluasa tanpa sebarang pencegahan mereka ini wajar dipersalahkan kerana Islam merupakan satu sistem hidup yang tidak membenarkan kezaliman, kerosakan, kemungkaran itu berkembang.

Lebih-lebih lagi jika didapati mereka hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri mengharapkan Allah menyelamatkan mereka dari bala bencana dengan alasan mereka adalah orang yang baik-baik.

Marilah kita bersama-sama menghindari dan mencegah perbuatan mungkar yang berdosa di sisi Allah kerana orang yang melakukan dosa, maksiat dan kezaliman adalah mereka yang mengundang bencana dan malapetaka.

Perbuatan mereka bukan sahaja Allah balas ke atas dirinya sahaja tetapi juga kepada kaum kerabat serta masyarakatnya. Ketika di dunia mereka ditimpa bencana sebagai balasan perbuatan ingkar mereka sedang di akhirat apatah lagi berat azab seksanya.

Kesimpulan

Setiap perbuatan dosa akan dihitung dan mendapat balasan daripada Allah sama ada balasan ketika hidup di dunia mahupun di akhirat nanti.

Bentuk balasan atau musibah yang mereka terima pula bukan sahaja menimpa individu yang melakukan dosa tersebut bahkan orang yang tidak melakukannya juga terpalit sama ditimpa bencana.

Bagi mengelak berlakunya perbuatan dosa yang mengundang bencana kepada masyarakat umumnya hasil daripada dosa yang dilakukan oleh orang tertentu, maka umat Islam telah dipertanggungjawabkan dengan turut sama berganding bahu mencegah dan membanteras perkara fasiq dan mungkar daripada berlaku.

Sesungguhnya umat yang menggalakkan kemungkaran berleluasa maka umat itu akan menanggung dosa.


Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan. (Al-Baqarah 2:48)

Friday, August 19, 2011

~ hikmah malam al-qadr ~



UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim).

Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.

Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya:

“Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad).”

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah.

Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja.

Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.

Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang.

Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.

Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya:

“Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah.

Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya:

“Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.

Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari.

Wednesday, August 17, 2011

~ sebiru hari ini ~



Album : Sepotong Episode
Munsyid : Edcoustic
http://liriknasyid.com


Sebiru hari ini, birunya bagai langit terang benderang
Sebiru hati kita, bersama di sini

Seindah hari ini, indahnya bak permadani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah


reff:
Bukankah hati kita telah lama menyatu
Dalam tali kisah persahabatan ilahi
Pegang erat tangan kita terakhir kalinya
Hapus air mata meski kita kan terpisah
Selamat jalan teman
Tetaplah berjuang
Semoga kita bertemu kembali
Kenang masa indah kita
Sebiru hari ini


Seindah hari ini, indahnya bak permadani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah

intro

reff 2x

Seindah hari ini, indahnya bak permadani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah



Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (At-Takaathur 102:5)

~ rahmah pada sebuah Ramadhan ~



ZAMAN remaja adalah tempoh yang penuh dengan cabaran. Umumnya para remaja di masa ini masih tercari-cari pegangan hidup dan hala tuju perjuangan.

Sesetengahnya hanya mengikut arus perubahan yang berlaku dan sesetengahnya masih terkial-kial mencari arah tuju dalam kehidupan ini.

Sesetengah remaja hanya merasa puas dengan kelulusan yang ada, mendapat pekerjaan dan bergaji lumayan. Sesetengahnya masih tercari-cari pegangan yang kukuh untuk dijadikan pedoman.

Ramadan yang datang selalu disebut sebagai madrasah rohani. Banyak hikmah di sebalik melalui bulan Ramadan yang boleh dimanfaatkan oleh remaja untuk membina diri. Binaan diri tidak sekadar dengan kekuatan ilmu, maklumat dan keterampilan sahaja.

Binaan diri harus memberi tumpuan kepada kekuatan dalaman iaitu hati dan emosi. Hati dan emosi menjadi faktor terpenting yang mempedoman hala tuju hidup, sikap yang diambil dan amalan yang dilakukan. Madrasah rohaniah memberi fokus kepada hubungan kita dengan Allah dan juga sesama manusia.

Bagi para remaja yang insaf dan ingin mencari kekuatan diri, bulan Ramadan menyediakan ramuan yang terbaik. Matlamat akhirnya menghayati Ramadan adalah untuk membimbing remaja menjadi manusia yang muttaqin. Puasa yang dilalui oleh remaja adalah latihan mendisiplin diri.

Diri mengalami suatu proses kekangan supaya ada rasa patuh yang tinggi kepada Allah. Makna lapar bagi remaja boleh menghubungkan remaja dengan orang-orang yang serba daif dan miskin.

Jiwa keinsanan ini perlu ada pada remaja kerana lahir nilai kemanusiaan yang tinggi dan rasa ingin menolong orang-orang yang susah.

Sering terjadi orang-orang yang senang dengan pendapatan dan kedudukan lupa akan tanggungjawab membantu orang lain. Puasa juga meletakkan remaja memiliki jiwa kehambaan yang tinggi.

Dengan berpuasa, kita dilatih menjaga mulut dan menjaga mata. Apa yang kita perkatakan dalam semangat berpuasa akan sentiasa bercakap benar dan tidak berdusta. Apa yang kita lihat dan tonton tidak akan mengurangi pahala berpuasa.

Daripada situ akan lahir kebersihan hati untuk melakukan sesuatu. Berbuka puasa juga memberi makna yang cukup tersendiri daripada remaja di mana daripada rasa yang lapar menjamah rezeki Allah ada kepuasan yang luar biasa di samping mengingat ramai yang tidak merasai rezeki seperti yang kita rasa. Ia melahirkan rasa syukur yang tinggi kepada-Nya.

Begitu juga solat yang kita lakukan, agar memberi latihan kepada remaja untuk berjiwa rukuk dan sujud. Kehambaan dalam konteks remaja membawa asas patuh, taat, akur dan tunduk.

Remaja yang selalunya berjiwa aktif dan mempunyai asas-asas penentangan dalam diri harus dilatih supaya taat kepada Allah, patuh kepada ibu bapa, akur pada titah perintah Allah serta tunduk kepada sesuatu yang makruf di samping mencegah diri dari kemungkaran.

Roh solat itu sama ada tarawih atau pun tahajud boleh mendidik remaja menjadi orang-orang yang muttaqin. Remaja yang muttaqin secara rohaniahnya terhubung dengan Allah.

Apa sahaja yang terniat di hati dan ingin diterjemahkan dalam amal, remaja akan mengambil pertimbangan Allah sebagai pedoman. Ini juga disebut oleh hadis Rasulullah SAW sebagai ihsan.

Ihsan bermaksud apabila kita lakukan sesuatu kebaikan walaupun kita tidak melihat Allah tetapi hati kita meyakini Allah melihat kita. Asas ihsan ini sangat penting bagi remaja untuk membezakan seseorang remaja beriman atau sebaliknya.

Remaja yang beriman sentiasa ikhlas melakukan sesuatu kerana Allah. Remaja yang seperti ini bakal membentuk watak yang telus dan tulus dalam melakukan apa sahaja dalam hidupnya.

Puncak yang ingin dicari oleh remaja dan manusia ialah kebenaran. Kebenaran merupakan kekuatan bagi remaja muttaqin. Oleh kerana zaman remaja zaman yang penuh pancaroba, madrasah rohaniah ini perlu dilalui dengan ikhlas dan sungguh-sungguh.

Jika tidak, dalam hidup remaja akan tiada asas-asas binaan hati dan rohani yang menjadi sumber kekuatan dalaman seseorang manusia.

Remaja dalam menempuh kehidupan hari-hari bakal berdepan dengan pelbagai macam cabaran. Antara cabaran yang paling besar ialah cabaran hawa nafsu.

Cabaran hawa nafsu ini hanya mampu dikawal dengan kekuatan takwa. Selalunya remaja tewas kerana gagal menyiapkan diri untuk berdepan dengan sesuatu yang sifatnya nafsu nafsi.

Puasa yang memberi asas kawalan diri dan hati boleh menjadi benteng yang terbaik bagi menghadapi cabaran nafsu nafsi. Oleh itu, para remaja harus melihat kedatangan Ramadan sebagai bulan rahmah.

Rahmah yang tersembunyi di sebalik kegiatan di bulan Ramadan ialah membimbing manusia supaya memiliki jiwa muttaqin


Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah 2:183)

Thursday, August 11, 2011

~ Ramadhan penyubur budaya tadabbur ~



BUDAYA tadarus al-Quran memang menjadi amalan masyarakat Islam. Sayangnya, ramai yang bertadarus semata-mata hendak khatam, tanpa berusaha memahami makna-maknanya.

Lebih malang lagi ada yang berlumba-lumba untuk khatam tanpa ada usaha penghayatan terhadap isi kandungannya.

Nampaknya budaya ini sudah menjadi suatu kebiasaan sejak kebelakangan ini, iaitu kejar mengejar untuk khatam tanpa ada usaha memahami ayat-ayat Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW). (al-Maidah: 83)

Lihatlah sifat dan ciri para sahabat apabila turun al-Quran kepada mereka, ada yang menangis, ada yang gementar, sungguh hebat cinta mereka terhadap al-Quran.

Apa yang dimaksudkan dengan tadabbur? Maksud tadabbur adalah: Adalah renungan yang cermat, dan percermatan ayat-ayat al-Quran untuk dapat memahami makna, hikmah, ataupun maksudnya.

Asma' binti Abu Bakar memberitahu kita bagaimana orang dahulu terhadap bacaan al-Quran yang bermaksud: Dahulu para sahabat apabila dibacakan kepada mereka al-Quran, maka air mata mereka meleleh dan kulit mereka bergetar, sebagaimana Allah telah menjelaskan sifat mereka. (Tafsir Al Qurthubi).

Daripada ayat-ayat di atas dapat disimpulkan tanda tadabbur al-Quran:

  • Menyatunya hati dan fikiran ketika membaca al-Quran, dibuktikan dengan berhenti kerana takjub dan mengagumi makna yang terkandung.

  • Menangis kerana takut kepada Allah.
  • Bertambahnya kekhusyukan.
  • Bertambahnya iman, di antaranya diketahui dengan pengulangan ayat secara spontan.
  • Merasa bahagia dan gembira.
  • Gementar kerana rasa takut yang kemudian diikuti oleh rasa harap dan ketenangan.
  • Baginda Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

    "Barang siapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, (maka) kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada Hari Pengadilan yang sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari sekiranya matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini". (riwayat Abu Daud & Ahmad).

    Daripada Umar r.a, dia berkata: Nabi kalian telah berkata:

    Sesungguhnya dengan al-Quran ini Allah mengangkat suatu kaum dan merendah yang lainnya. (riwayat Muslim)

    Di antara adab yang perlu dipelihara oleh setiap orang yang membaca al-Quran adalah:

    1- Ikhlas kerana Allah SWT. Ini kerana amalan membaca al-Quran adalah ibadat, maka setiap ibadat yang dilakukan kerana Allah mesti dilakukan dengan hati yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan-Nya.

    Firman Allah SWT yang bermaksud:

    Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar. (al-Bayyinah: 5)

    Baginda bersabda yang bermaksud:

    "Bacalah al-Quran dan berharaplah kamu akan keredaan Allah azza wa jalla…". (riwayat Ahmad dengan sanad yang baik)

    2- Membaca dengan hati yang hadir sambil memerhatikan ayat-ayat Allah SWT, serta memahami tuntutan-tuntutan Allah. Dengan demikian akan takutlah hati-hati yang hidup itu. Lantas setiap kali membaca ayat Allah dia merasakan bahawa ayat itu benar-benar ditujukan kepadanya.

    Ini ternyata dalam ungkapan Imam al-Qurtubiy yang bermaksud: "Sesiapa yang sampai kepadanya al-Quran seolah-olah Allah SWT telah berbicara dengannya".

    Berkata al-Hasan bin Ali yang bermaksud: "Generasi sebelum kamu melihat al-Quran sebagai surat-surat rasmi dari Allah SWT, lalu mereka bertadabbur pada malam hari dan mencarinya di siang hari". (Imam al-Nawawi, al-Tibyan)

    3- Membaca al-Quran dalam keadaan suci daripada kekotoran, sama ada kekotoran hukmiymahupun kekotoran maknawi.

    Tuntutan ini semata-mata bagi mengagungkan kalam Allah SWT.

    4- Hendaklah membaca al-Quran di tempat-tempat yang bersih, bukan ditempat yang tercemar kebersihannya.

    5- Hendaklah memulakan bacaan dengan membaca Istia'azah ('Auzubillah). Ini berdasarkan saranan al-Quran di dalam surah al-Nahl, ayat 98 yang bermaksud:

    Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena rejam.
    Mudah-mudahan dengan demikian dapat menjauhkan gangguan syaitan ketika seseorang membaca al-Quran.

    6- Di antara tuntutan yang lain ketika membaca al-Quran adalah memperelokkan alunan bacaan dengan, kalau boleh dengan bertarannum. Galakkan ini dapat dilihat melalui sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:

    Barang yang dibenarkan Allah kepada Nabi-Nya (Rasulullah SAW) bertarannum dengan al-Quran serta meninggikan suara dalam bacaan al-Quran. (riwayat Bukhari dan Muslim).

    Dalam riwayat yang lain Jubair bin Muta'am r.a berkata yang bermaksud: Aku telah mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Thur dalam solat maghrib, Aku sama sekali tidak pernah mendengar bacaan yang seindah itu dari sesiapa pun sebelum ini. (riwayat Bukhari dan Muslim)

    Namun demikian kita dilarang mengganggu orang solat atau orang tidur dengan bacaan yang kuat.

    7- Hendaklah membaca al-Quran dengan tartil, menurut saranan al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: …

    dan bacalah Al-Quran dengan tartil. (al-Muzammil: 4)

    Membaca dengan penuh ketenangan tanpa tergopoh-gapah. Kadang-kadang ada di antara kita yang hendak mengejar khatam sampai lupa untuk menjaga hukum tajwid dan fasahah.

    Apabila seseorang itu membaca al-Quran dengan terkejar-kejar pasti akan melakukan banyak kesalahan. Lebih rugi lagi apabila membaca al-Quran tidak sempat memahami maksud ayat-ayat Allah SWT.

    Kebanyakan orang yang bertadarus kadang-kadang tidak begitu serius dalam membetulkan bacaan apa yang menjadi matlamat mereka adalah khatam al-Quran.

    Apa ertinya saban tahun kita mengkhatam al-Quran tapi tidak ada yang berusaha memahaminya. Tidak faham bahasa al-Quran bukanlah alasan yang munasabah untuk tidak menghayati al-Quran.

    Janganlah sampai kita dilaknat al-Quran gara-gara membaca tanpa ada usaha ke arah memahaminya. Soalan yang paling mudah untuk kita faham bersama, berapa lama kita sudah membaca surah Yasin?

    Mungkin ada di antara kita yang membaca surah Yasin untuk 10 tahun atau lebih dari itu, dan mungkin juga kurang dari itu, tapi soalan ini saya tujukan kepada yang sudah lebih 10 tahun membaca Yasin.

    Adakah mereka faham apa yang dibaca, dek kerana dah lama membaca Yasin dah ada yang menghafalnya pun, sayangnya dia hanya membaca dan menghafal tetapi tidak memahaminya.

    Kita juga tidak mahu mendapat kerugian melalui al-Quran, kelak al-Quran akan berhujah ke atas orang yang membaca sahaja al-Quran tapi tidak beramal dengannya.

    Apa yang kita harap, biar al-Quran yang berhujah mempertahankan kita di hadapan Allah SWT.

    ~ al-Quran penawar jiwa ~



    DI SEBALIK Ramadan yang bertandang saban tahun dengan seribu janji pengampunan buat insan yang mengambil manfaat, ada lagi yang istimewa dan bersejarah iaitu kitab suci Al-Quran. Turunnya kalam Allah ini mengubah hidup manusia dari kufur kepada cahaya, dan menjadi pegangan umat Islam hingga hari ini.

    Allah berfirman yang bermaksud:
    “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah kitab al-Quran yang jelas nyata keterangannya, dengan al-Quran itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izin-Nya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 15-16).
    Al-Quran sarat dengan panduan dan pengajaran untuk setiap insan yang inginkan pedoman dalam hidup. Akidah dan syariah mengajar manusia cara melandasi dunia dengan sebaik-baiknya sebelum tiba di akhirat yang kekal abadi.

    Kisah mengenai azab dan nikmat juga tidak ketinggalan memberi peringatan buat kita yang ingin berfikir, bahawa dunia adalah fana dan tidak menguntungkan apa-apa melainkan nikmat yang sementara.

    Namun, dunia jugalah yang menjayakan kehidupan di akhirat kelak jika kita mampu melaluinya dengan perintah dan suruhan al-Quran. Sebab itulah membaca al-Quran menjadi rutin bibir yang melazimi sunnah Rasulullah SAW, supaya mendapat syafaat di akhirat kelak.

    Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Dari Abu Amamah Al-Bahali berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
    Bacalah oleh kamu al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu akan datang pada hari kiamat memberi syafaat (pertolongan) kepada pembacanya.”


    Sebab itulah Rasulullah bersungguh-sungguh mengerjakan amal ibadat pada 10 terakhir Ramadan, apa yang Baginda tidak kerjakan pada 10 hari terakhir bulan lain. Ini juga kerana lailatul qadar, iaitu malam turunnya al-Quran yang akan muncul antara hari-hari itu.
    Setiap mukmin perlu mengambil kesempatan Ramadan mengakrabkan diri dengan al-Quran. Tidak cukup dengan membaca, al-Quran perlu difahami dan dihayati supaya pengamalan dilakukan selaras pesanan Allah SWT kerana al-Quran jugalah yang akan memberi syafaat kepada kita di akhirat.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dari Abdullah bin Amru, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
    Bahawa puasa dan al-Quran itu meminta syafaat kepada Allah SWT untuk seseorang hambanya pada hari kiamat. Berkata puasa: Ya Allah, aku telah menahan daripada makan dan minum pada siang hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya. Dan berkata al-Quran: Ya Allah, aku telah menahannya daripada tidur (kerana membaca al-Quran) pada malam hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya, maka Allah memberi syafaat kepadanya dengan sebab permohonan keduanya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).


    Ramai kalangan kita yang tidak cuba mengambil kesempatan di sebalik keistimewaan ini kerana tidak tahu betapa besarnya pertolongan al-Quran kepada setiap manusia yang beriman.

    Inilah segelintir manusia yang malang di dunia dan akhirat, kerana mengejar keuntungan akhirat yang tidak mampu dilabur di mana-mana melainkan dalam Ramadan singkat ini.

    Sedangkan Allah SWT telah meyakinkan kita bahawa hanya al-Quran satu-satunya kitab yang mengutuskan nasihat dari-Nya, yang memberi panduan supaya kita tidak tersesat seperti sebelum datangnya nur di sebalik Ramadan.

    Firman Allah yang bermaksud:
    “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan juga menjadi hadiah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57).


    Al-Quran menjadi penawar kepada penyakit jiwa, ia mengubat sengketa sesama kita, mengamalkan al-Quran bukan dengan akidah atau syariahnya semata, tetapi menghayati semua perintah-Nya supaya seluruh umat Islam kembali bersilaturahim sehingga ke syurga.