Monday, April 25, 2011

~ kesyumulan Islam ~


ISLAM agama keamanan. Menurut Dr Mahmood Mustafa Ayoub dalam buku karangannya, Islam Faith And Practice, Islam adalah kalimah terbitan daripada perkataan 'salama' yang bermaksud 'mempersetujui dan memperakui sesuatu atau memiliki keamanan.'

Kata kerjanya ialah ‘aslama’ yang bermaksud menyerahkan segala urusan hidup kepada kehendak Allah. Muslim adalah mereka yang melakukan penyerahan itu.


Agama Islam mempunyai prinsip undang-undang bertujuan memberi keamanan kepada manusia. Ini dapat dilihat daripada pelaksanaan syariah dalam kehidupan manusia.
Al-Quran menjelaskan matlamat ini di dalam surah Anbia, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.”

Inilah tujuan sebenar perutusan Rasulullah SAW yang memperkenalkan sistem syariah Islam kepada manusia. Syariah mempunyai konsep keadilan dan keamanan.


Dr Mohammad Hashim Kamali dalam bukunya, Principles Of Islamic Jurisprudence menyatakan kalimah rahmah membawa pengertian jelas mengenai apa yang ingin disampaikan oleh al-Quran dan Sunnah iaitu menghilangkan kemudaratan yang wujud dalam kehidupan manusia, mengelakkan daripada terjadinya sebarang kerosakan dan membina keadilan seterusnya membina keamanan sejagat.


Dengan penjelasan ini, rahmat yang dibawa Nabi Muhammad SAW adalah pelaksanaan maslahah dalam kehidupan manusia yang perlu dijaga dan dipertahankan dari sebarang unsur yang boleh membawa kepada kemusnahannya.

Ulama Usulul Fiqh menjelaskan ada tiga pembahagian maslahah iaitu dhoruriyyat, hajiyyaat dan tahsiniyyat.

Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Al-Wajir Fi Usulul Fiqh menjelaskan dhoruriyyat ialah perkara sangat diperlukan manusia bagi menjamin kehidupan sempurna. Dhoruriyyat juga bagi memastikan kehidupan manusia tidak terjejas.


Lima perkara yang sangat diperlukan itu adalah
agama, jiwa, keturunan, akal, dan harta. Kelima-lima perkara ini perlu dititik beratkan dan dilindungi.

Manusia memerlukan agama yang benar untuk memastikan aktiviti harian mereka dipandu oleh prinsip dibawa agama itu kerana manusia tidak akan mampu mencapai kebahagiaan hidup tanpa panduan agama.


Lantaran kepentingan agama, Allah mengizinkan sahabat pada zaman Rasul SAW berperang bagi melindungi agama Islam dari dimusnahkan oleh musuh Allah.


Firman Allah yang bermaksud: “Telah diizinkan (berperang) bagi orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa menolong mereka.” (Surah Al-Hajj, ayat 39)


Islam menitikberatkan aspek menjaga jiwa dan Allah menegah sama sekali manusia daripada melakukan perbuatan membunuh bertujuan memberi jaminan kepada perlindungan jiwa mereka.


Begitu juga penjagaan keturunan daripada sebarang unsur yang boleh merosakkannya. Daripada keturunan, terbinanya kesinambungan zuriat manusia di dunia. Penekanan Islam ini dapat dilihat daripada pengharaman zina.


Islam tidak hanya melarang perbuatan boleh membawa kepada zina, bahkan turut menyediakan hukuman kepada mereka yang melakukan zina. Larangan mendekati zina dengan ketetapan hukuman membuktikan Islam mementingkan perlindungan keturunan.


Hukuman yang ditetapkan bukan bertujuan mendenda mereka yang melakukan perbuatan itu, tetapi di sebalik pelaksanaan hukuman tersembunyi hikmah untuk melindungi keturunan manusia.


Akal penting kerana dengan pertimbangan akal yang waras memastikan tindakan dilakukan tepat. Ketepatan dalam membuat keputusan penting bagi manusia kerana ia mempengaruhi aktiviti harian dan memberi kesan langsung kepada keharmonian hidup.


Perkara terakhir perlu dilindungi manusia ialah harta. Untuk mendapatkan harta, manusia memerlukan usaha, tenaga dan masa. Harta membantu manusia memenuhi keperluan untuk hidup seperti makan, minum, berkeluarga dan sebagainya.


Sesungguhnya, Islam tidak sama sekali datang untuk memberi beban kepada manusia. Islam selaku agama milik Pencipta manusia pastinya sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan yang ada pada manusia.


Allah sama sekali tidak membebankan makhluk dengan hukuman yang ditetapkannya. Semua bentuk larangan Allah mengandungi kemudaratan kepada manusia dan semua perkara yang dihalalkan Allah mengandungi hikmah kebaikan kepada manusia.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban serta belenggu (kesusahan) yang ada pada mereka” (Surah al-Araf, ayat 157)
.

Saturday, April 23, 2011

~ falsafah solat jumaat ~


Kebiasaanya di Malaysia imam-imam masjid akan menjadi khatib dan ada kalanya masjid mengimport para khatib dari kalangan agamawan dan orang yang berpengetahuan agama, mungkin juga pengajian Islam bukan pengkhususan khatib pada minggu itu.

Satu persoalan yang perlu kita ketahui ialah kenapa pada hari Jumaat imam masjid bila membaca khutbah dipanggil khatib? Atau sesiapa sahaja yang berkhutbah dipanggil khatib?

Khatib maksudnya, penyampai khutbah, dia sahaja yang akan menyampaikan pada hari tersebut dalam waktu tersebut. Orang yang layak digelar khatib ialah mereka yang jelas ucapannya di atas mimbar, tajuknya terfokus, memahami keperluan masyarakat setempat, tidak menyampaikan suatu yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Ramai yang boleh membaca khutbah tetapi tidak ramai yang layak digelar khatib. Kadang-kadang ada khatib tidak menjiwai apa yang dibacanya, sekadar melepaskan batuk di tangga, asal selesai solat Jumaat, mungkin inilah yang ada dalam benak sesetengah kita.

Ini kerana tidak semua mampu menggalas tugas menyampaikan khutbah di atas mimbar selama 20 minit sedang ratusan malah ribuan mata sedang memandangnya. Begitu juga ribuan telinga mendengar ke arahnya, duduk juga teratur dan disiplin, tiada sesiapa pun yang dibenarkan bercakap melainkan khatib. Malah kalau ada yang bercakap dengan sengaja dikira batal pahala Jumaatnya.

Ini berbeza dengan ceramah atau forum ehwal Islam, boleh mula bila-bila masa, semua orang boleh cakap walaupun yang dijemput bercakap hanya panel sahaja.

Jelasnya, hari Jumaat ada keberkatannya dan kemuliaannya, manakala solat Jumaat juga ada falsafahnya yang seharusnya difahami oleh para khatib dan para jemaah.

Khatib seharusnya menyelami tajuk yang bakal disampaikan, kepada jemaah, supaya apa yang disampaikan daripada lisannya sampai ke hati sanubari para jemaah.

Jangan jadikan mimbar Jumaat tempat melepaskan geram atas individu atas kumpulan. Jumaat bukan medan untuk mengulas perkara-perkara yang berkaitan dengan politik secara panjang lebar. Berpolitik itu tidak salah dalam agama dan masjid tetapi terlalu berpolitik sehingga lupa mendidik ribuan hati manusia yang datang ke masjid itu yang salah dan rugi.

Terlalu banyak cerita politik sehingga hilang nilai tarbiah ke atas jemaah. Ini menjadikan khatib syok sendiri dengan tajuk politiknya sedang dibawa, ramai lagi yang tidak tahu asas-asas agama.

Cuba kita perhatikan maksud firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (al-Jumuah: 9-10)

Ada beberapa suruhan dalam ayat ini, pertamanya, suruhan segera menyahut seruan azan untuk solat Jumaat, tinggalkan jual beli, selesai solat bertebaranlah mencari rezeki, berharap terhadap limpah kurnia Allah dan hendaklah ingat Allah sentiasa.

Maka di antara falsafah solat Jumaat adalah bagi mewujudkan masyarakat yang sentiasa ingat Allah SWT, menjadi khalifah dan mengurus tadbir bumi Allah SWT dengan amanah dan tanggungjawab. Apa yang penulis khuatir, sesetengah masjid yang asyik memainkan isu-isu politik dalam khutbah Jumaat akan melahirkan umat yang rosak hatinya dengan banyak mendengar keburukan orang dan kelemahan orang.

Alangkah baiknya jika para khatib dapat menasihati semua orang, pemimpin dan rakyat serta seluruh jemaah Jumaat yang hadir. Supaya selepas solat Jumaat terdidik hati mereka untuk melakukan kebaikan dan kebajikan dan benci kemungkaran.

Menyentuh nama individu secara khusus diharuskan sekiranya orang yang di maksudkan adalah orang sama zalimnya seperti Firaun, sama zalimnya seperti Namrud yang jelas mengaku diri mereka tuhan.

Kemungkaran mereka sangat besar, mengaku diri mereka tuhan dan berhak di sembah. Kalau ada orang dizaman ini yang sama hebat dengan Firaun dan Namrud nana mereka boleh disebut supaya umat Islam mengambil iktibar dan menjauhkan diri atau berusaha untuk membetulkannya dengan mengajaknya kepada Islam.

Sekiranya ada individu yang sama seperti mereka (Firaun dan Namrud) maka nama mereka harus disebut di dalam khutbah Jumaat. Keharusan ini adalah untuk mengenal individu yang sangat zalim dan tidak waras kerana mengaku dirinya adalah tuhan.

Bagaimanapun, individu yang kadang-kadang belum pasti buruk atau baiknya tetapi mimbar telah mencanang nama individu tertentu, sedangkan belum pasti baik buruknya seseorang. Dosa yang dilakukan oleh khatib Jumaat adalah dengan menabur fitnah ke atas individu tertentu dengan tuduhan-tuduhan yang yang belum pasti kesahihannya.

Mimbar Jumaat bukan untuk mengaibkan orang, apatah lagi menyebut nama individu tertentu dengan mencalitkan padanya dakwaan-dakwaan serta andaian-andaian yang kadang-kadang tidak berasas.

Apa yang berlaku hari ini di sesetengah masjid atau surau yang diizinkan solat Jumaat, khatibnya mengambil peluang untuk membelasah individu tertentu, kadang-kadang nampak macam melepaskan geram pada seseorang atau sesuatu kumpulan.

Ada khatib sampai terlajak panjangnya. Bila isu yang dibawa oleh khatib panas mulalah suara khatib mencanak tinggi, menjerit-menjerit minta perhatian para jemaah.

Memanglah jemaah nampak macam beri perhatian tapi hakikatnya menyampah dengan khatib yang membawa isu dan fakta yang tidak betul kemudian marah-marah dengan intonasi suara yang meninggi tidak tentu pasal.

Nabi SAW menegah para khatib dari berkhutbah panjang lebar, sabda baginda yang bermaksud: “ ... maka panjangkanlah solat dan hendaklah dipendekkan khutbah”. (riwayat Ahmad, Nail al-Awtar, jilid:3, 269)

Hadis ini jelas baginda tujukan kepada para khatib Jumaat, supaya tidak memanjangkan khutbah, malahan disunatkan memanjangkan solat.

~ solat atas kenderaan ~



Solat ibadat yang mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam berbeza dengan ibadat lain. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad."

Solat tiang agama, orang yang tetap mendirikan solat, maka sesungguhnya dia telah mendirikan agama pada dirinya, manakala orang yang meninggalkan solat, maka ia telah meruntuhkan agama pada dirinya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.”

Untuk melakukan solat atas kenderaan, caranya iaitu hendaklah menghadap kiblat pada permulaan solat sebagai mana hadis diriwayatkan oleh Ahmad daripada Anas, beliau berkata yang bermaksud: “Rasulullah ketika musafir dan ingin bersolat sunat di atas tunggangannya, Baginda menghadap ke arah kiblat dan bertakbir untuk solat, kemudian Baginda melepaskan (tali) tunggangannya dan bersolat ke arah mana tunggangannya menghala.”


Namun, solat di atas kenderaan hanya untuk solat sunat. Sekiranya dilakukan untuk solat fardu, hendaklah diulang solat terbabit apabila sampai destinasi yang dituju kerana berdiri adalah rukun solat. Sekiranya dilakukan dengan cara duduk, maka tidak sempurna rukun.


Kedua, solat dalam kenderaan yang bergerak seperti kereta api menjadikan kiblat tidak tetap. Justeru, hendaklah diulang semula solatnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, daripada Amir bin al-Rabi’ah, katanya yang bermaksud: “Saya melihat Rasulullah SAW bertasbih (melakukan solat) ketika Baginda berada di atas tunggangannya dan menghadap kepalanya ke mana-mana arah yang dituju (oleh tunggangannya) dan Rasulullah SAW tidak melakukannya untuk solat fardu.”


Sekiranya seseorang itu melakukan solat sunat ketika dalam kapal terbang dalam keadaan duduk di kerusi, pertama dia hanya perlu niat dan takbir seperti biasa. Sekiranya dapat menentukan arah kiblat, sunat kepadanya untuk menghadap kepadanya pada permulaan solat, iaitu pada ketika takbiratulihram. Lakukan rukun qauli (bacaan) seperti biasa, manakala rukun-rukun fi’li (perbuatan) dilakukan dengan gerakan yang sedikit, sekadar membezakan antara satu rukun dengan rukun yang lain. Wallahua’lam.


~ bersopan di jalan ~


ISLAM sebagai agama yang berperaturan menitikberatkan umatnya menjaga adab dan akhlak di mana saja berada lebih-lebih lagi ketika di jalan raya yang mendedahkan mereka kepada pelbagai kecelakaan.

Sikap terburu-buru ketika membawa kenderaan, tidak mematuhi peraturan jalan raya serta memandu melebihi had laju yang dibenarkan termasuk dalam perkara memudaratkan diri sendiri serta orang lain.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu di lembah kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 194)

Justeru, syariat Islam mengharamkan perlakuan atau tingkah laku yang menjurus kepada berlakunya kemalangan di jalan raya.


Selain akhlak dan adab, pengguna jalan raya perlu memastikan kenderaan diselia dengan baik dan sempurna sebagai langkah pencegahan.


Oleh itu, sikap sabar dan berhemah perlu dimiliki setiap kita terutama ketika memandu supaya sentiasa terpelihara serta dilindungi Allah daripada bahaya atau malapetaka.

Budaya merempit di jalan raya yang menjadi kegilaan remaja adalah perbuatan terkutuk yang jelas bertentangan syariat Islam.

Mempamerkan aksi berbahaya dengan niat menunjuk-nunjuk, angkuh dan sombong selain mempertaruhkan wang ringgit bukan akhlak Islam.


Gejala sosial yang kian mendapat tempat di hati anak-anak muda Islam wajar dihindari dan diperangi demi memastikan peradaban Islam terus terpelihara.


Islam menolak sama sekali budaya ekstrem atau sikap melampau yang boleh mengundang padah.


Sikap ini juga melalaikan kita daripada mengingati Allah serta mempertaruhkan nyawa sedang Allah menyuruh kita memelihara kehidupan dengan baik dan sempurna.

Menjaga keselamatan diri serta orang lain ketika memandu kenderaan adalah perbuatan dituntut Islam.

Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Imam Malik bersabda yang bermaksud: “Tiada (janganlah melakukan) perkara yang membawa kemudaratan kepada diri sendiri dan janganlah melakukan sesuatu yang memudaratkan orang lain.”


Ibu bapa dan pihak penguat kuasa perlu memainkan peranan lebih efektif demi memastikan gejala buruk ini tidak terus menjadi barah dalam masyarakat.


Selain penguatkuasaan, pendidikan agama diharap dapat menyedarkan kembali remaja betapa bahayanya perbuatan itu kepada mereka.


Ceramah dan tarbiah berkaitan adab dan moral ketika berada di jalan raya wajar diadakan sekerap mungkin demi memastikan generasi Muslim yang bakal menerajui negara suatu masa nanti adalah generasi berkualiti serta berperadaban tinggi.


Selain persiapan fizikal, kita juga hendaklah memperbanyakkan doa dan tawakal supaya Allah sentiasa memelihara kita daripada sebarang kesulitan sepanjang menempuh perjalanan.


Yakinlah bahawa qada dan qadar Allah penentu segala-galanya.


Antara doa terbaik yang diajar Rasulullah SAW untuk diamalkan sebelum menaiki kenderaan bagi memulakan perjalanan: “Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkaulah teman dalam perjalanan ini supaya kami selamat sampai ke destinasi. Kurniakanlah kami kebaikan dan ketakwaan dalam perjalanan ini. Permudahkanlah perjalanan kami dan berikanlah sepanjang perjalanan ini tubuh badan yang sihat. Sampaikanlah kami ke tempat yang kami tuju hingga sempurna hajat kami.”


Ketika berada di jalan raya, hindarilah daripada mengganggu ketenteraman orang lain seperti membunyikan hon sesuka hati, membelok ke kiri dan kanan tanpa isyarat, mencerca dan memaki hamun pemandu lain, membuang sampah melalui tingkap kenderaan serta sengaja mengundang kemarahan pengguna jalan raya yang lain hingga menimbulkan perbalahan.


Bagi pihak berkuasa, hendaklah sentiasa mengawal selia keadaan jalan raya supaya selesa dan selamat digunakan selain memastikan papan tanda diletakkan di tepi jalan bagi memudahkan pengguna jalan raya daripada sebarang kesulitan.


Islam adalah agama toleransi yang mendidik umatnya supaya berlapang dada serta mudah memberi kemaafan setiap kali terbabit dalam kemalangan jalan raya.


Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang sentiasa memaafkan kesalahan orang lain walau sebesar manapun kesalahan dilakukan.


Allah berfirman yang bermaksud: “Jika kamu bersikap kasar dan keras hati terhadap mereka tentulah mereka akan lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah kesalahan mereka.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)


Muslim yang baik sentiasa menjaga akhlaknya hatta ketika berada di jalan raya bukan hanya menunjukkan kebaikan ketika berada di khalayak ramai kerana mereka tahu, setiap perlakuan sentiasa diperhatikan .

Friday, April 22, 2011

~ keadilan dalam pengagihan harta ~


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, akan terputus segala amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya.”
Sedekah jariah adalah pemberian bermanfaat dan yang baik. Paling utama adalah memberi sesuatu yang menjadi kesayangan kita atau setaraf dengannya.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.” (Surah Ali-Imran, ayat 92)

Harta pusaka si mati, bahagian anak sudah dibincangkan secara terang oleh Allah dalam firmannya dan dibincangkan Rasulullah SAW dalam hadisnya.

Pembahagian harta pusaka bagi anak perempuan (jika seorang saja) bahagian adalah 1/2 dari harta pusaka. Jika si mati ada mempunyai dua orang atau lebih anak perempuan, maka hak mereka adalah 2/3 dan dibahagi sama rata antara mereka.

Apabila si mati mempunyai seorang anak lelaki atau lebih, maka ia akan ditaksibkan kepada dua bahagian untuk anak lelaki dan satu bahagian untuk anak perempuan.

Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, dengan sebab Allah sudah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (Surah An-Nisa’, ayat 34)


Ayat ini menerangkan mengapa wujudnya perbezaan antara anak perempuan dan lelaki dalam pembahagian harta pusaka Islam melalui sistem faraid.


Anak lelaki adalah ahli waris yang asabah iaitu ahli waris yang tidak disebutkan banyaknya bahagian mereka dalam al-Quran dan Sunnah dengan tegas. Contoh, anak lelaki ialah ‘asabah kerana berapa banyak bahagiannya tidak ditentukan al-Quran.


Pengertian ‘asabah di kalangan ulama faraidh ialah orang yang membolot atau menghabiskan seluruh baki harta warisan setelah ashabul furudh menerima dan mengambil bahagian masing-masing, memandangkan tiada nas yang menetapkan.


Jadi tiada bahagian yang tetap untuk anak lelaki. Kemungkinan mereka tidak akan mendapat apa-apa bahagian harta pusaka jika tiada baki harta setelah diambil oleh ashabul furudh.


Anak adalah amanah Allah dan mereka tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik dan memberikan mereka keperluan asas. Tuntutan Islam adalah berlaku adil terhadap anak seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Takut akan Allah dan berlaku adil terhadap anakmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Keadilan terhadap anak dipandang serius dalam Islam. Begitu juga dalam sistem pewarisan, Allah tentukan senarai penerima harta pusaka iaitu anak perempuan dan anak lelaki tersenarai sebagai waris yang berhak.


Jika si mati sepanjang hayatnya hanya mengahwini seorang isteri dan mempunyai anak, pembahagian harta pusaka bagi anak adalah lebih mudah.


Tetapi bagi suami yang berpoligami dan mempunyai anak dari perkahwinan lain, perlu mengambil inisiatif menyenaraikan semua nama anak sebagai waris berhak ke atas harta pusakanya. Terutama bagi kes anak yang ditinggalkan kerana perceraian terdahulu.


Jika diketahui ayah atau suami mempunyai perkahwinan melebihi satu, adalah diharapkan semua waris berhak terutama anak si mati disenaraikan sebagai penerima harta pusaka.


Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakinya di antara hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya). Dan apa saja yang kamu infakkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba', ayat 39)


Umum perlu sedar situasi isteri yang diceraikan dan anak ditinggalkan kerana perceraian adalah berbeza. Isteri yang diceraikan tidak berhak ke atas harta pusaka tetapi anak ditinggalkan kerana perceraian berhak ke atas harta pusaka ayah mereka yang sudah meninggal dunia.


Oleh itu, sebagai saudara Islam, kita perlu menjadi seorang yang jujur bila tiba keadaan ini dan tidak bertindak atas kepentingan diri.


Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, sesungguhnya antara isterimu dan anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hati kamu terhadap mereka dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Sesungguhnya hartamu dan anakmu hanya cubaan (bagimu) dan di sisi Allah pahala yang besar.” (Surah At-Taghabun, ayat 14-15)

~ qudwah hasanah ~


DAKWAH ialah usaha mengajak orang lain mendekati Allah, menyeru mereka ke arah kebenaran dan seterusnya mengikut apa digariskan ajaran Islam. Dakwah mengajak manusia melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Dr Sayyid Muhammad Nuh menjelaskan dalam bukunya Taujihat Nabawiyyah ‘Ala al-Thariq, makruf adalah suatu konsep mencakupi semua perkara atau amalan diterima dan diredai Allah seperti ibadah khusus seperti solat, berpuasa, berzakat dan ibadat umum seperti adil, amanah serta mengotakan janji.
Maka amar makruf itu bermaksud mengajak atau mendorong orang lain melaksanakan amalan mulia yang khusus serta umum demi kesejahteraan diri, masyarakat dan mendapatkan keredaan-Nya.

Al-Munkar pula mencakupi semua amalan tidak diredai dan dibenci Allah merangkumi segala perbuatan zahir dan batin seperti riak, hasad dengki, bermusuh-musuhan, meninggalkan ibadah khusus, mencuri, berzina, khianat dan berbohong.


Dalam dunia pekerjaan, seorang Muslim bertanggungjawab untuk berdakwah. Tidak kira apa kategori pekerjaan, sama ada bekerja di pejabat, tapak pembinaan hatta di ladang dan sawah sekalipun, tanggungjawab sebagai pendakwah terletak di bahu kita.


Selaras firman Allah yang bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Usaha berdakwah di tempat kerja jangan disalahertikan dengan pengertian sempit. Dakwah bukan bermaksud mengajak melupakan tanggungjawab bekerja dan melaksanakan amal ibadah semata-mata.

Bekerja itu satu amal ibadah apa lagi jika diniatkan kerana Allah dan dilaksanakan penuh amanah, fokus dan ikhlas. Usaha dakwah jangan ditafsirkan sebagai ‘hendak tunjuk alim’ atau ‘hendak tunjuk pandai’.


Jika begitu, semua orang akan takut untuk berdakwah kerana yang memberi dakwah tidak mahu dipandang sebagai penyibuk, manakala yang menerima dakwah pula berasa tidak selesa serta menganggap konteks dakwah sebagai sesuatu yang tidak bermanfaat.


Sesungguhnya Allah menjanjikan seseorang yang berdakwah ke jalan-Nya akan mendapat balasan setimpal dengan usahanya seperti firman yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)


Sebagai da’i, seseorang itu perlu terlebih dulu memperlengkapkan dirinya supaya usaha dakwahnya menjadi sempurna. Tidak nanti orang lain mengatakan ‘nak betulkan orang, diri sendiri pun tunggang-langgang.’


Akhlak dan keperibadian diri yang baik perlu dibentuk dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan terbaik. Kejayaan Rasulullah SAW dalam usaha dakwahnya berjaya menarik minat kaum keluarga, sahabat dan manusia pada zaman jahiliah kerana keperibadian Baginda yang teguh keimanannya, cukup berlemah-lembut, molek budi pekerti dan tutur bicaranya.


Da’i juga perlu memiliki kekuatan intelektual dan spiritual supaya dirinya sendiri arif akan apa yang hendak disebarkan dan orang yang menerima dakwah turut faham serta mudah mengikut dakwahnya.


Jika da’i tidak mampu memahami dan menguasai ilmu pengetahuan, ditakuti usaha dakwahnya akan menjadi sia-sia dan diperlekehkan orang yang cuba didekatinya. Lebih ditakuti, apa yang disebarkan tidak selaras perspektif Islam dan boleh memesongkan fahaman terhadap kesyumulan ajaran Islam.


Berdakwah di tempat kerja bukan sesuatu yang sukar. Pelbagai manhaj atau kaedah dakwah boleh diaplikasikan seperti penulisan, perbualan, mahupun perbuatan untuk menarik minat dan kesedaran orang lain supaya terus berpegang teguh kepada syariat Islam.


Contohnya, ringankan mulut menegur rakan yang suka ‘mencuri tulang’ untuk minum pagi dengan cara mengingatkan mereka pentingnya bersikap amanah kepada majikan bahkan kepada diri sendiri.


Atau memberi teguran terhadap amalan bergosip, mengumpat dan memfitnah orang lain yang memang menjadi ‘hobi’ ketika bekerja di kalangan sesetengah kita. Begitu juga apabila kita dapati ada rakan yang mengambil ringan kewajipan menunaikan solat.


Mereka perlu diingatkan, walau sesibuk mana sekalipun bekerja, ibadah solat perlu didirikan kerana ia tiang agama. Harus diingat, segala peringatan dan teguran perlu dibuat dengan tegas tetapi lembut, merendah suara dan berhikmah.


Dakwah melalui perbuatan juga sangat memberi kesan dalam usaha mengajak orang lain beramal ibadah dengan sempurna. Menjaga amal ibadah khusus, tidak lokek memberi senyuman, membaca al-Quran ketika ada kelapangan, ringan tulang membantu orang lain, sopan santun, menjaga kebersihan diri adalah contoh perbuatan yang boleh menggetarkan kesedaran orang lain untuk mengikut amalan baik yang ditunjukkan.


Sebagai ketua jabatan atau pengurus organisasi misalnya, seseorang boleh menyemarakkan usaha dakwah dengan pelbagai cara antaranya, menggalakkan pekerja bersama membaca al-Quran dan memahami tafsirnya.


Begitu juga sebelum memulakan sesuatu mesyuarat atau perbincangan kumpulan, tazkirah ringkas boleh disampaikan meliputi apa saja konteks ilmu yang berkaitan Islam mahupun isu semasa yang mendasari kehidupan seharian.


Jangan kita segan-segan alang dan berputus asa untuk terus menyampaikan apa yang baik kepada rakan di tempat kerja kerana ia memberikan manfaat yang tiada tolok bandingnya kepada semua pihak termasuk diri kita sendiri .

Monday, April 18, 2011

~ Allah itu dekat ~



Maaf ,

Ingin dihurai satu persatu

Namun lidah menjadi kelu ,

Saya hanya seorang hamba ,

Ibarat kembara jalanan ,

Penuh dengan kelemahan

Bersalut sejuta kesalahan

Ujian demi ujian terus ditempuh ,

Di pentas kehidupan ,

Semoga layar perjalanan diteruskan

Berbekalkan satu tekad ,

Namun ia pastinya tidak mudah

Masakan tidak ,

Tsunami setinggi gunung itu tidak mengenal mangsanya ,

Meranapkan jiwa .

Tapi ,

Engkau tetap ada ,

Dan selamanya ada ,

Ya Rabb

Yang Merindukan rintihan hambaNya .