Tuesday, August 9, 2011

~ Ramadhan & paksi perubahan ~



BERPUASA tetapi tidak menunaikan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga tetapi tidak sanggup menunaikan solat. Ada yang berpuasa, tetapi meninggalkan solat atau hanya solat ketika Ramadan.

Kita bimbang nanti puasa dan sedekah tidak bermanfaat kepadanya kerana solat tiang agama. Ada juga kalangan kita menyuruh anak berpuasa tetapi membiarkan mereka tidak solat.
Tidak menjaga batas agama seperti pergaulan lelaki dan wanita serta menutup aurat. Lelaki masih berseluar pendek ketika membeli juadah berbuka puasa dan ada wanitanya pula tidak bertudung malah memakai baju tidur kelawar semasa mencari juadah.

Ada juga wanita tidak berpuasa kerana uzur syarie (haid dan nifas) pula tidak menghormati Ramadan kerana berani makan di khalayak tanpa segan silu.

Menghabiskan masa menonton televisyen, video cakera padat (VCD), sedangkan hari dan malam yang datang setahun sekali itu patut digunakan bagi memperbaiki amalan serta mengingati kesalahan lalu.

Sepatutnya pada bulan ini kita gandakan bacaan al-Quran, cuba menghafal beberapa surah pendek dan sentiasa pasangkan niat berkhidmat kepada insan lebih memerlukan.

Membazir ketika berbuka puasa disebabkan nafsu membeli tinggi. Semua hendak dibeli tetapi apabila tiba masa berbuka, makanan yang dibeli tidak dihabiskan. Membiarkan anak bermain mercun sehingga mengganggu jemaah yang menunaikan solat tarawih di masjid atau surau berdekatan. Sebaiknya galakkan anak solat tarawih dan tilawah al-Quran bersama.

Hanya puasa makan dan minum, tetapi tidak menjaga pancaindera seperti mata, lidah dan telinga ketika berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Siapa tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak mengharapkan puasanya dari makan dan minum.”

Tidak mahu bersahur mengurangkan berkat dan pahala puasa kerana tidak menurut wasiat Rasulullah yang bersabda maksudnya:
“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.”


Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.”


Semoga kita dapat memperbaiki puasa kali ini dan menjadikannya lebih baik dari tahun lalu.

Monday, August 8, 2011

~ pemurah di bulan barakah ~




SEMUA orang tahu sedekah itu besar pahalanya, malah sedekah boleh menjadi pendinding kita daripada api neraka. Walaupun bersedekah boleh dibuat pada bila-bila masa namun sepanjang bulan Ramadan, kecenderungan dan keghairahan bersedekah lebih tinggi.

Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). (Hadis nombor 972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Satu lagi hadis baginda bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda berlindung kepada Allah daripadanya, dan memalingkan mukanya tidak kali. Kemudian baginda bersabda,


Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik. (Hadis nombor 973 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV

Ini bermakna amalan bersedekah itu amat dituntut termasuk di kalangan mereka yang miskin. Penerima sedekah barangkali boleh memberi sebahagian daripada sedekah yang diterimanya kepada orang lain yang lebih memerlukan sedekah.

Dengan hanya sebelah buah kurma pun digalakkan bersedekah atau paling tidak pun bersedekah dalam bentuk menggunakan tutur kata yang baik, maknanya dalam konteks kita di Malaysia, tidak ada sebab untuk kita tidak bersedekah walaupun barangkali kita adalah merupakan orang sering diberi dan menerima sedekah.

Orang Malaysia tidak akan membeli hanya sebiji buah kurma untuk berbuka puasa, sebaliknya akan membeli sekotak dan akan dipilih daripada jenis yang baik, malah akan dipilih pula kurma yang diimport.

Tok fakir pun pilih kurma yang ada tangkai atau kurma segar untuk berbuka puasa. Namun, masih ramai umat Islam di negara kita yang memilih untuk menjadi penerima daripada memilih menjadi pemberi sedekah.

Ada yang sanggup sewa kereta berpemandu sehari suntuk untuk membawa satu keluarga meminta sedekah bermula pada minggu ketiga Ramadan dan jumlahnya akan bertambah bila 1 Syawal semakin dekat.

Daripada setiap tangan yang menghulur diharap paling kurang pun RM10. Kalau sekadar hulur RM5 atau RM1, apatah kalau 50 sen atau jumlahnya lebih kecil, pasti peminta sedekah akan tarik muka masam, malah siap dengan seranah lagi.

Kalau pemberi sedekah bertindak balas dengan kata-kata kesat juga, maka hilanglah pahala bersedekah. Anggap saja muka masam dan seranah penerima sedekah kita itu sebagai suatu bentuk ujian. Malah ia akan mendatangkan bonus pahala kepada kita kalau kita mampu bersabar.

Penerima sedekah yang mencerca pemberi sedekah atau tidak berpuas hati dengan jumlah sedekah yang diberikan akan menerima seksa yang pedih.

Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud:

Orang munafik, yakni mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka dengan seksaan yang pedih. (at-Taubah: 79)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah bersabda:

Hai, wanita muslimat! Janganlah kamu meremehkan pemberian tetanggamu, walaupun hanya berupa kuku kambing. (Hadis nombor 988 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Di samping itu, pemberi sedekah pula dilarang menghitung-hitung sedekah yang diberi dan bakal diberi. Larangan itu terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari Asmai binti Abu Bakar r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda:

Bersedekahlah kamu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu, dan jangan kikir kerana Allah akan kikir pula kepadamu. (Hadis nombor 987 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Sunday, August 7, 2011

~ miskin harta vs kaya jiwa ~



Wujudnya dua kelompok berbeza dalam kalangan orang-orang fakir dan miskin. Ada kelompok yang meminta-minta dan ada kelompok yang enggan meminta-minta.

Dalam hal ini, cuba kita renungi firman Allah dalam surah al-Ma'arij, ayat 24 dan 25:

Dan orang-orang yang di dalam hartanya ada hak yang tertentu (bagi orang-orang fakir dan miskin), yang meminta-minta dan juga yang enggan meminta-minta.

Sebenarnya, sifat suka menzahirkan atau menyembunyikan kemiskinan ini mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan tahap keimanan di dalam diri seseorang.

Orang yang teguh imannya, maka mereka mempunyai suatu senjata rahsia, iaitu 'kaya jiwa' atau 'kekayaan hati', yang menjadikan mereka cukup tinggi maruah dirinya.

Natijahnya, mereka amat malu menyatakan kemiskinan, bahkan seboleh-bolehnya mereka akan cuba menyembunyikan kemiskinannya daripada pengetahuan orang lain, walhal orang lain memang tahu bahawa mereka memang miskin.

Jujurnya, sikap ini mampu menerbitkan rasa hormat masyarakat kepada mereka dan sekali gus mengangkat martabat mereka pada kaca mata manusia.

Allah menukilkan dalam al-Quran dengan firman-Nya:

(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana (mereka) memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273)

Bahkan Nabi Muhammad SAW turut menegaskan seperti mana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah:

Yang dinamakan orang miskin (itu) bukanlah orang yang berkeliling-kelalang meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang (dengan) sesuap dua suap (makanan), atau sebutir dua butir kurma. Lalu bertanya para sahabat: "Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?" Jawab baginda: "Orang miskin itu sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutupi keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya, dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini. (riwayat Muslim)

Apa yang patut disedari oleh orang-orang miskin, bahawa kemiskinan yang menimpa mereka adalah suatu ujian. Seandainya mereka bersabar, maka mereka beroleh pahala yang besar.

Bahkan orang-orang miskin amat sedikit hisabnya di sisi Allah di mahkamah akhirat. Lalu, ia memudahkan mereka memasuki syurga Allah lebih awal berbanding orang-orang kaya yang panjang hisabnya.

Ibnu Abbas telah melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menukilkan suatu hadis:

(Kala baginda dibawa melihat neraka dan syurga pada peristiwa Israk wal Mikraj): Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita.(riwayat Muslim)

Oleh itu, orang-orang miskin hendaklah menyemai benih kekayaan hati, yakni menyuburkan jiwa dengan zikrullah dan ilmu, mengukuhkan tauhid dalam dada dengan jitu, tidak berprasangka dengan Allah atas kemiskinan mereka itu, bahkan cuba berusaha merubah kehidupannya selagi mampu.

Andai mereka berusaha, maka tidak mustahil Allah SWT akan mengurniakan kekayaan kepada mereka, sama ada kekayaan zahir atau fizikal, juga kekayaan hati yang lebih praktikal dan kekal. Hakikatnya, orang yang kaya hati itulah sebenar-benarnya kaya, kerana mereka memandang kekayaan dunia tidak lebih hanya sementara cuma. Apa yang utama bagi mereka adalah kaya hati dengan iman dan takwa. Bahkan orang yang kaya hatilah yang akan melestarikan harta kekayaannya atas nama sedekah, infak dan zakat.

Tepatlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Wallahua'lam.

~ pemuda & kepimpinan ~



Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (An-Nisaa' 4:34)

Sebenarnya kalimah qawwamun yang biasa diterjemahkan sebagai pemimpin, terlebih dulu perlu ditegaskan bahawa suami diberi tugas sebagai pemimpin kerana keistimewaan dimiliki suami sebagai lelaki yang tidak dimiliki isteri sebagai perempuan.

Kedua, kewajipan suami memberi nafkah kepada keluarga. Dalam kitab Huquq al-Mar’ah fi al-Islam oleh Murtadha Muthahhari, beliau mengutip pandangan ramai pakar dan ahli psikologi Barat mengenai perbezaan sifat lelaki dan perempuan.

Satu perbezaan ditonjolkan adalah lelaki mudah untuk kelihatan dalam satu penampilan pada setiap masa sementara perempuan ingin kelihatan dalam bentuk manusia baru setiap hari. Ia menulis ‘wanita ingin bangun daripada tidurnya setiap hari dengan wajah baru.’

Selanjutnya beliau menulis lagi ‘mudah bagi wanita mengubah gelar dan namanya seperti gelaran suaminya bila dia berkahwin, begitu juga tidak sukar baginya mengubah agama dan kewarganegaraannya demi lelaki yang dicintainya.”
Agaknya inilah sebabnya mood pakaian dan rambut wanita selalu berubah. Ini berbeza dengan lelaki. Memang ramai yang mengakui perempuan secara umum sangat mudah terasa dan sensitif, kalau enggan dikatakan emosional. Ini berbeza dengan lelaki.

Kita boleh bayangkan bagaimana jadinya hubungan kekeluargaan jika dipimpin orang yang memiliki sifat seperti itu. Bukankah kepemimpinan perlu konsisten, ketenangan dan tidak emosional? Mungkin ada yang mengatakan bahawa tidak semua perempuan bersikap demikian. Ada saja isteri lebih bijaksana, pandai dan kaya daripada suaminya.

Akan tetapi, ayat di atas berbicara mengenai keadaan yang bersifat umum. Dari sudut lain, kita harus menyedari bahawa kepemimpinan (qawwamah) selalu diperlukan dalam setiap unit. Nabi SAW berpesan:
“Tidak dibenarkan bagi tiga orang, walaupun di padang pasir, kecuali mereka mengangkat salah seorang di antara mereka sebagai pemimpin.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abdullah bin ‘Amr.


Dengan demikian, kepemimpinan dalam rumah tangga sangatlah diperlukan melebihi kepemimpinan dalam satu perusahaan atau syarikat yang hanya bergelut dengan angka. Dalam rumah tangga, perasaan, cinta, kasih, pembinaan dan pendidikan adalah hal yang mutlak. Di sinilah pentingnya kepemimpinan.

Kepada siapa tanggungjawab ini dibebankan? Al-Quran memilih suami atau ayah kerana faktor terbabit dalam ayat di atas. Perlu juga disedari kepemimpinan perlu kepada musyawarah dengan pasangan.

Nabi juga bermusyawarah dan menerima pandangan isteri Baginda kerana al-Quran berpesan kepada suami isteri dalam surah Ali Imran ayat 159, bermaksud:
“... Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu...” serta surah al-Baqarah ayat 187: “… Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagimu dan kamu (suami-suami) adalah pakaian bagi mereka...”


Dalam keluarga isteri juga diberi tanggungjawab memimpin urusan rumah, sekali gus memelihara harta suami dengan cara mengurus dan mengatur keseimbangan belanja dan pendapatan. Dengan demikian, kemampuan isteri dalam membiayai kehidupan rumah tangga tidaklah menjadikan atau mencabut hak kepemimpinan suami.

Dari sudut lain, jika seorang isteri yang tidak mampu dibiayai secara wajar kehidupan rumah tangganya oleh suami, dia diberi hak oleh agama untuk meminta diceraikan. Namun perlu diingat bukan hanya faktor material yang dipertimbangkan dalam pemberian hak kepemimpinan, tapi lebih penting adalah jaminan kelangsungan hidup keluarga. Demikianlah, wallahualam.

Wednesday, August 3, 2011

~ meraih ijazah taqwa ~




RAMADAN kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW:

Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka (riwayat Muslim).

Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah.

Firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah.

Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.

Justeru, sekolah atau madrasah Ramadan perlulah dihayati dan dipenuhi dengan pelbagai amanah kerja yang diminta oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah. Tanpa pendaftaran atau yuran, bulan tarbiyah dan pendidikan ini menjanjikan kelebihan dan kemenangan kepada hamba-Nya yang bertakwa. Benarlah janji Allah:

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. (al-Naba': 31).

Takwa secara ringkas maksudnya melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Maksud ini dilaksanakan melalui arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum.

Namun lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta riba, berjudi dan sebagainya.

Madrasah Ramadan juga mengajar kita supaya sentiasa melakukan kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, tarawih, tazkirah, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim dan sebagainya hendaklah menjadi agenda kita sehari-harian dalam bulan berkat ini.

Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan.

Walaupun pelbagai ganjaran yang boleh direbut dalam Ramadan, namun terdapat di kalangan umat Islam di negara kita yang telah mengkurus-keringkan pahala mereka.

Ini akibat daripada salah faham dan kesilapan tradisi dalam melakukan ibadah puasa Ramadan.

Perkara berkaitan salah faham dan kesilapan yang disebutkan dalam rencana ini hanyalah beberapa peringatan kepada kita untuk memastikan ibadat puasa kita diterima sepenuhnya oleh Allah. Kadang-kadang, kita lebih mementingkan perkara-perkara kecil, sedangkan perkara yang lebih besar tidak diberi perhatian.

Contohnya, wujud tradisi dalam masyarakat kita yang terikut-ikut budaya bergaduh atau bertengkar mengenai jumlah rakaat dalam solat Terawih.

Hakikatnya, solat tersebut adalah sunat bukannya wajib. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dan juga para Khulafa' al-Rasyidin yang dimulakan oleh Umar al-Khattab.

Sepatutnya, perkara ini tidak menjadi isu. Malah, jangan terkejut khalifah Umar Abdul Azi pernah menguatkuasakan solat Terawih sebanyak 36 rakaat dan tiga kali witir.

Apa yang penting adalah amalan tersebut disertai dengan niat yang ikhlas. Dua rakaat yang ikhlas lebih mulia daripada 100 rakaat yang ujub. Pertelingkahan dalam perkara-perkara kecil dan sunat hendaklah dielakkan demi menjaga silaturahim sesama Muslim.

Justeru, sepanjang madrasah Ramadan ini kita hendaklah mengawasi pancaindera dengan melakukan perkara-perkara berikut bagi memenuhi tuntutan sebenar ibadat puasa;

n Menjaga lidah daripada bercakap kosong, mengumpat, memburuk-burukkan orang lain dan sebaiknya hendaklah dibasahi dengan berzikir atau bertadarus al-Quran;

n Menjaga mata daripada melihat perkara yang diharam dan melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT;

n Menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu dan perbualan yang tidak berfaedah dan sebaiknya digunakan untuk mendengar bacaan al-Quran.

n Menjaga anggota-anggota tubuh lain seperti perut, kaki, tangan dan sebagainya. Perut semasa bersahur dan berbuka puasa hendaklah diisi dengan makan halal, baik dan mengikut sunnah. Kaki dan tangan hendaklah digunakan untuk berzikir, solat, dan melangkah ke surau atau masjid.

Dengan pengawasan dan amalan baik, insya-Allah Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita sebelum dijemput ke alam barzakh. Alangkah indahnya jika kita berjaya menghabiskan tempoh latihan di madrasah Ramadan ini dengan memperoleh ijazah takwa yang dijanjikan itu.

Beruntunglah kita di dunia dan berbahagialah kita di akhirat. Ingatlah perkhabaran Rasulullah:

Orang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya, iaitu kegembiraan apabila berbuka, dan apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. (riwayat al-Bukhari).


~ perkasa iman di bulan Ramadhan ~






SATU perkara tidak dapat disangkal bagi ahli takwa dan iman, fenomena cinta mereka terhadap Allah SWT, Rasul-Nya dan jihad pada jalan Allah. Fenomena kecintaan ini tidak mungkin dapat disamakan dengan kecintaan lain kerana ia adalah tuntutan iman dan Islam.

Begitu juga seorang Mukmin yang merasai kemanisan iman sudah pasti memiliki akidah bahawa zat Tuhan mencapai tahap kesempurnaan, keindahan dan kebesaran paling agung. Dengan keimanan mantap juga, beliau yakin kaedah berkaitan dengan Tuhan wajib diikuti lantaran kesempurnaan pemiliknya.
Apabila seorang Mukmin itu merasai kemanisan iman dalam hatinya, beliau pasti mencintai Nabi Muhammad SAW kerana Baginda sebaik-baik contoh dan akhlak.

Secara semula jadi, segala kelebihan yang Allah anugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW akan menarik perhatian manusia dan menjadi contoh mereka dalam aspek keagamaan, keduniaan dan kemasyarakatan.

Bahkan ada sahabat jatuh sakit jika tidak bertemu Rasulullah SAW dalam tempoh lama.

Diriwayatkan oleh Iman Al-Bughawi, daripada Thauban mawla Rasulullah SAW. Beliau amat mencintai Rasulullah SAW dan kurang sabar dalam hal ini. Pada suatu hari beliau bertemu dengan Rasulullah SAW dalam keadaan yang berlainan.

Maka Nabi Muhammad SAW bertanya kepada beliau: “Apa yang mengubah keadaanmu sebegini wahai Thauban?” Jawab beliau: “Wahai Rasulullah! Aku tidak mempunyai sebarang penyakit. Hanya hati amat merindui apabila tidak dapat melihat dirimu. Kemudian aku terkenangkan hari akhirat. Maka aku khuatir tidak lagi dapat melihat dirimu kerana engkau akan diangkat bersama para nabi. Jika aku dapat memasuki syurga sudah tentu kedudukanku lebih rendah. Sekiranya aku tidak dapat memasuki syurga, sudah tentu aku tidak akan melihatmu lagi.”
Maka turun ayat al-Quran yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi dan orang siddiq dan yang syahid serta soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat).” (Surah an-Nisaa’, ayat 69)


Satu persoalan yang perlu diperhatikan, adakah wujud penghalang yang boleh memutuskan fenomena cinta sederhana ini? Sebagai Muslim, selama mana beliau masih lagi istiqamah dengan keimanannya dan patuh setiap perintah syarak, hendaklah sentiasa menjalinkan hubungan dan tidak harus memutuskan persaudaraan.

Berdasarkan kenyataan ini, apabila berlaku perkelahian, permusuhan dan kebencian antara dua orang Muslim, tidak harus bagi mereka memutuskan persaudaraan lebih daripada tiga hari.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Tidak halal bagi seorang Muslim bahawa dia memutuskan persaudaraan lebih daripada tiga hari.” (Hadis riwayat sahih Bukhari dan Muslim)


Tempoh ini mencukupi bagi dua orang yang bertelagah berdamai. Jika permusuhan itu melebihi tiga hari, maka kedua-duanya berdosa jika permusuhan itu membabitkan kes individu dan sebab peribadi saja. Jika permusuhan itu berkait dengan perkara keagamaan, maka menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk memberi nasihat kepada saudara seagamanya yang sedang melakukan dosa.

Berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Agama itu adalah nasihat.
Kami (sahabat) bertanya, bagi siapa (nasihat itu)? Sabda Nabi Muhammad SAW: Bagi Allah, kitabNya, Rasul-Nya dan bagi pimpinan Muslimin dan keseluruhan umat Islam.” (Hadis riwayat Muslim)


Jika nasihat yang diberikan tidak mendatangkan manfaat sedangkan saudara seagama dalam kemaksiatan dan kefasikan, maka wajib ke atas Muslim itu meninggalkannya kerana Allah walaupun beliau salah seorang dari kaum keluarga atau taulan. Diriwayatkan dalam hadis sahih bahawa Nabi Muhammad SAW meninggalkan sebahagian isteri Baginda selama sebulan untuk mencegah dan mendidik mereka.

Berdasarkan itu, jelas bahawa memutuskan persaudaraan kerana Allah terbahagi kepada dua bahagian permusuhan sementara dalam tempoh tertentu bertujuan untuk mendidik dan permusuhan yang kekal abadi sehingga ke akhir hayat ke atas insan yang melanggar hukum Allah.

~ bolehkah wanita ke masjid ? ~




RAMADHAN berkunjung lagi dan seperti biasa kedatangannya menjadi berita gembira buat seluruh umat Islam di seluruh dunia. Ahli ibadat menjadikan bulan ini bagai pesta, menggandakan amalan dan kebajikan seperti dilakukan Rasulullah SAW serta para sahabat.
Tidak terkecuali, Muslimin di Jordan, walaupun jumlahnya tidak ramai, namun kemeriahannya tetap terasa, cuma bagi warga Malaysia di sini, sambutan tidak sama seperti di tanah air.

Di Jordan, laungan azan menggamit jemaah ke masjid , kelihatan mereka berpusu-pusu ke masjid, serta kelihatan beberapa lelaki berjubah labuh berjalan perlahan menuju ke masjid yang berkubah.

Pada Ramadhan juga tiada bazar menjual juadah untuk berbuka, justeru, semua makanan dimasak sendiri. Bagusnya, jarang benar ada makanan terbuang, selagi boleh disuap ke mulut, selagi itulah makanan akan disimpan untuk dijamu keesokan harinya.

Mujur juga, mungkin kerana sedar akan diri merantau, ia tidak menjadi masalah buat mahasiswa Melayu di sini.

Berbuka di kedai atau restoran juga adalah perkara yang luar biasa buat wanita di sini. Walau apapun hakikatnya, ia tidak sesekali membantutkan usaha menggandakan ibadat pada bulan penuh berkat ini.
Di Malaysia, hampir seluruh masjid serta surau penuh dengan jemaah lelaki dan wanita yang berebut-rebut bersolat memuji Allah SWT, bertasbih, memohon keampunan, rahmat, hidayah serta pertolongan-Nya.

Walaupun Islam tidak mewajibkan wanita solat berjemaah di masjid, Islam tidak pula melarang, melainkan ada halangan tertentu yang mengutamakan mereka bersolat di rumah. Wanita sudah melazimkan diri solat di masjid sejak zaman Rasulullah SAW.

Dikisahkan Ummul Mukminin Aisyah:
“Bahawasanya Rasulullah SAW melaksanakan solat Subuh dan solat bersama dengan Baginda wanita mukminah yang tertutup tubuh mereka dengan hijab, kemudian mereka pulang ke rumah dan tiada seorang pun mengenali mereka.” (Hadis riwayat Bukhari)


Rasulullah SAW juga pernah mempercepatkan solatnya apabila terdengar tangisan anak kecil kerana tidak mahu meresahkan ibu yang sedang solat.

Hakikat ini terakam dalam hadis bermaksud:
“Sesungguhnya aku memulai solat dan aku bermaksud memanjangkan solat, tetapi ketika mendengar tangisan anak kecil aku mempercepatkan solatku kerana tahu kuatnya perasaan ibunya apabila mendengar tangisan anaknya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Rasulullah SAW juga bersabda mafhumnya:
“Janganlah kamu melarang isterimu melaksanakan solat di masjid, tetapi solat di rumah mereka lebih baik bagi mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)


Justeru, ramai wanita yang berpusu-pusu ke masjid selepas mendengar seruan solat berjemaah, termasuk Fatimah binti Qais. Beliau adalah antara sahabiyah yang termasuk dalam golongan awal berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW.
Beliau menceritakan, beliau bergegas ke masjid sebaik mendengar seruan solat berjemaah dan berada bersama Rasulullah di saf pertama wanita.

Namun, perlu diingatkan, ada sebabnya wanita tidak dituntut solat berjemaah di masjid seperti lelaki. Tetapi jika wanita dapat memenuhi syarat membolehkan mereka ke masjid, maka mereka boleh lakukannya tanpa halangan syarak.

Pertama, wanita harus memastikan tanggungjawab yang lebih utama dilangsaikan terlebih dulu kerana Islam tidak ingin membebankan wanita dengan kewajipan solat di masjid sedangkan pada masa sama mereka mempunyai kewajipan besar terhadap anak dan rumah tangga.

Meskipun begitu, mereka tidak dilarang ke masjid, bahkan suami juga diingatkan supaya tidak menghalang isteri ke masjid melainkan jika mereka mengabaikan tanggungjawab yang lebih utama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila isteri salah seorang daripada kamu minta izin untuk melaksanakan solat di masjid, maka janganlah ia melarangnya.” (Hadis riwayat Muslim)


Kedua, wanita tidak perlu pergi ke masjid untuk solat berjemaah jika mereka tidak menunaikan kewajipan menutup aurat, memakai wangian dan berhias melampaui batasan syarak. Ada segelintir jemaah wanita hanya menutup aurat dengan betul sewaktu hendak menunaikan solat saja.

Ia sangat menjengkelkan kerana perbuatan itu seolah-olah mempermainkan tuntutan agama. Sewaktu mengambil wuduk pula, ada sebilangan yang mendedahkan aurat tanpa segan silu dipandang bukan mahram.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:
“Apabila ada salah seorang dari kaum (wanita) hendak mendatangi masjid, maka hendaklah ia tidak menyentuh wangian.” (Hadis riwayat Muslim)


Wanita di Malaysia harus bijak memanfaatkan laluan yang luas untuk mereka beribadat. Tiada sebab mereka mengabaikan perintah Allah SWT, malah Ramadan adalah masa paling sesuai berikutan mereka mempunyai ruang dan peluang lebih mudah untuk menggandakan hidayah.