Sunday, July 10, 2011

~ fiqh wanita ~




Hari-hari kita sebagai perempuan, pasti akan ada masalah bila berurusan dengan haid. Dah betul-betul bersihkah? Haid kah? Atau darah istihadhah? Banyak persoalan timbul, tapi kita kerap simpan sendiri, tidak pun merujuk orang yang lebih berilmu. Nak berbincang dengan ayah atau abang – confirm mereka tidak memahami.


Mari kita buka ruang perbincangan di sini, leraikan semua masalah dan jangan simpan lagi. Bila lagi nak tambah ilmu dan beramal dengan ilmu yang betul..kan?

HAID


Dalam mazhab Shafie haid yang paling sekejap dikira adalah satu hari satu malam dan haid yang paling lama dikira 15 hari 15 malam, dan paling sekejap adalah 1 hari 1 malam.

Cara Memastikan Kering Haid


Kaedah ini diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu-kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”


- (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).

Qadha’ Solat


Sekiranya sewaktu mula-mula datang haid, haid datang pada waktu solat sedangkan anda belum menunaikan solat fardhu pada waktu itu, wajib qadha’ solat sekiranya masuk waktu solat sudah lama dan jika dikira sempat untuk menunaikan solat walaupun sebanyak satu rakaat. Sekiranya waktu solat baru sahaja masuk dan datangnya haid hanya beberapa minit atau saat dan jika dikira tidak sempat untuk solat satu rakaat maka tidak perlu qadha’ solat.


Apabila sudah kering haid, hendaklah bersegera mandi wajib setelah betul-betul yakin suci dari hadas.Kemudian hendaklah ganti solat satu waktu yang terkebelakang.Contohnya, kering haid pada waktu asar,solat asar seperti biasa dan qadha’ solat zohor.


Jika rasa ada waktu solat yang tertinggal disebabkan anda rasa ada kemungkinan haid anda berhenti awal dari waktu anda melihatnya kering dan tiada gantilah solat supaya anda berasa lebih yakin.Oleh itu, hendaklah sebaiknya cek haid anda pada setiap waktu solat.

Istihadah dan Kiraannya


Sekiranya waktu uzur syar’ie sudah melebihi 15 hari 15 malam atau kiraannya (15 hari x 5 waktu solat = 75 waktu solat) hendaklah mandi wajib dan mula menunaikan solat untuk waktu solat yang ke-76. Hal ini kerana haid itu sudah menjadi darah penyakit yang dinamakan istihadah.


Sekiranya waktu haid anda sememangnya tidak teratur dan anda bijak mengenalpasti dan membezakan warna darah haid dan darah istihadah,bolehlah menggunakan cara tersebut. Darah istihadah warnanya seperti darah luka di tangan manakala darah haid warnanya lebih pekat dari darah biasa. Sekiranya tidak pandai membezakan warnanya maka digalakkan menggunakan kaedah kiraan.


Cara Kiraan Haid Tidak Teratur


Waktu suci dan waktu haid bagi seorang perempuan adalah 15 hari 15 malam atau 75 waktu solat. Sekiranya haid datang melebihi 75 waktu solat,hendaklah mandi wajib dan menunaikan solat pada waktu solat ke-76 sama seperti di atas. Kemudian,jika istihadah pula yang berterusan dan melebihi 75 waktu solat atau 15 hari 15 malam, pada waktu solat ke-76 akan dikira haid semula.


Sekiranya anda datang haid hanya selama 7 hari dan haid berhenti, kemudian selang 2 hari kemudiannya anda didatangi darah haid semula, darah tersebut masih dikira darah haid kerana masih dalam tempoh 15 hari datang haid. Jika waktu datang haid yang kedua ini melebihi 75 waktu solat,waktu ke-76 dikira waktu suci.


Jika didatangi haid,contohnya selama 7 hari,kemudian selang 8 hari kemudiannya didatangi darah, darah tersebut dikira darah istihadah kerana tempoh waktu haid sudah habis. Kemudian kiraan darah istihadah bermula bukan pada waktu datangnya darah istihadah itu tetapi pada habisnya tempoh 75 waktu solat untuk tempoh haid. Sekiranya darah istihadah berterusan dan melebihi 75 waktu solat tempoh suci dari haid,waktu solat ke-76 dikira tempoh datang haid semula.

Rujukan:

  1. Ihya’ Ulumuddin, karangan Imam Ghazali
  2. Kitab Fiqh Syafii

~ khusyuk dalam solat ~




Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 1 dan 2 yang bermaksud:
“Sesungguhnya sudah berjaya orang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solat.”


Persoalannya, bagaimanakah untuk kita mencapai tahap solat yang seharusnya dikerjakan oleh seorang yang beriman? Adakah mencukupi sekiranya seseorang itu mengerjakan solat bagai ayam makan padi, belum sempat dahi kepala menyentuh tempat sujud, sudah kembali bangkit dengan tergopoh gapah? Adakah orang begini dikira sebagai khusyuk? Sudah tentu tidak.

Ada ulama yang menjawab persoalan ini dengan mengatakan khusyuk ialah apabila seseorang itu bersolat dalam keadaan tetap, tenang tanpa bergerak, bergoyang atau menoleh ke kiri dan ke kanan. Diceritakan suatu ketika Saidina Umar bin al-Khattab terpandang seorang lelaki yang sedang memegang dan bermain-main janggutnya ketika solat, lalu Saidina Umar berkata: “Seandainya khusyuk hati lelaki ini nescaya khusyuklah segala anggota.”

Ada juga ulama mengatakan bahawa orang yang khusyuk adalah orang yang memberi sepenuh perhatian, pemikiran, ingatan dan lintasan hati kepada solat yang dikerjakan dengan meneliti makna ayat-ayat yang dibaca dan menghayati keseluruhan solat itu sendiri tanpa memasukkan dalam ingatan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat yang mengganggunya untuk khusyuk.

Justeru, apabila seseorang hendak mendirikan solat, namun pada masa yang sama makanan sudah dihidangkan, maka Rasulullah memerintahkan untuk kita makan dulu sekiranya waktu solat masih panjang.

Selain itu kita dilarang untuk menahan kentut atau buang air kecil atau buang air besar sekiranya hendak mendirikan solat.

Imam Ghazali RHM meletakkan beberapa pendekatan untuk kita khusyuk iaitu:

  • Pertama - hendaklah mengetahui dan memahami benar-benar solat yang dikerjakan.

  • Kedua - Ketika solat hendaklah berhampiran hadapan dinding.

  • Ketiga - Hendaklah sentiasa memandang ke tempat sujud.

  • Keempat - Tempat sujud janganlah ada sebarang gambar atau lukisan.

    Jika anda mengerjakan solat dengan khusyuk dan penuh ketenangan, Allah akan menyegerakan pahala dan ganjaran anda. Tetapi jika anda tidak boleh khusyuk, anda tidak boleh meninggalkannya kerana solat itu wajib dan amal yang fardu.

    Jika anda mengerjakannya terus menerus tanpa meninggalkannya, anda akan mendapat pahala. Anda juga hendaklah faham bahawa Allah SWT tidak menuntut tanggungjawab terhadap persoalan-persoalan yang kita tidak mampu melaksanakannya. Mungkin kita perlu muhasabah kembali kenapa susah untuk khusyuk. Adakah kita masih tidak meninggalkan maksiat? Begitu juga hendaklah memastikan segala hajat seperti buang air besar atau kecil ditunaikan dulu.

    Usahakan untuk memahami bacaan dalam solat. Di samping itu, hendaklah menyedari setiap pertuturan dan pergerakan dalam solat. Seterusnya, hendaklah merasakan diri sangat kerdil dan lemah di hadapan Allah SWT. Demikianlah, wallahua’lam.
  • Friday, July 8, 2011

    ~ azab Ilahi ~



    Azab Ilahi – Irsyadee



    Allahummad fa' 'annal baalaa'..
    fa aadimna 'alar rakhaa'..
    wa anta 'alaa
    kulli syai in qadiir..
    antal awwalu wal akhiir..

    Lapangkanlah hatimu dalam musibah
    Dan bersabarlah di jalan Allah
    Jangan hanya memeluk dunia fana
    Yang bersalut dengan dosa

    Ingat azab neraka
    Akan mengejarmu saat kau mati
    Jadi jujurlah harungi hidup ini
    Jauhi azab ilahi

    Chorus:
    Bersyukurlah selalu
    Dan jangan ragu
    Nescaya jauh azabmu

    ~ kembara kasih Ramadhan ~



    Bunga mawar mekar setaman ,

    Menjadi tarikan rakan sebaya ,

    Doa senjata insan beriman ,

    Pintalah padanya yang Maha Kaya .


    Berhati-hati ketika berjalan ,

    Berhenti sebentar membeli buah ,

    Berpuasa sunat jadikan amalan ,

    Berbuka bersama eratkan ukhuwah .


    Anak Arab bermain titi ,

    Letih bermain di bulan puasa ,

    Lailatul Qadar malam dinanti ,

    Munajat cinta pada yang Esa .


    Raya nanti tinggal bertiga ,

    Maaf di atas segala telingkah ,

    Menahan segala lapar dahaga ,

    Memohon dariNya limpahan barakah .


    Sungguh indah sinaran rembulan ,

    Setenang waktu setelah berbuka ,

    Tadarus al-Quran jadikan amalan ,

    Sebagai bekalan di hari muka .

    Thursday, July 7, 2011

    ~ sedekah tanda pemurah ~




    MEMBIASAKAN sifat bersedekah adalah kunci utama memperluaskan rezeki dari Allah. Semakin banyak wang, harta, ilmu atau khidmat disedekahkan, bertambah bilangan kunci diberikan Allah SWT untuk membuka segala pintu rezeki, sama ada disedari atau datang secara tiba-tiba.

    Rezeki Allah SWT bukan saja melalui pemerolehan harta kekayaan, pendapatan melimpah ruah, atau ganjaran berbentuk material saja. Sebaliknya setiap kesusahan yang dipermudahkan, keluasan minda daripada belenggu, ketajaman akal membuahkan idea bernas, ilham bermanfaat juga rezeki yang luar biasa datangnya dari Tuhan.
    Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
    “Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.” (Hadis riwayat Muslim)

    Namun di sudut hati, bisikan halus syaitan sering menakutkan manusia dengan mendekatkan diri kepada amalan bersedekah boleh menghampiri kepada kefakiran atau kepapaan.

    Umat Islam tidak perlu khuatir membimbangi kekurangan dan kehabisan wang kelak apabila bersedekah, kerana janji Allah SWT tetap melipatgandakan rezeki si pemberi adalah satu keyakinan yang pasti.

    Firman Allah SWT yang bermaksud:
    “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah Saba’, ayat 39)


    Ganjaran pahala di sisi Allah SWT kepada orang yang bersedekah juga amat besar dan setiap apa yang disedekahkan akan dilipat gandakan pahalanya.
    Allah SWT berfirman yang bermaksud:
    “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh pokok, pada tiap-tiap pokok seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)


    Selain itu, memohon taubat atas dosa silam serta sentiasa banyak beristighfar kepada Allah, boleh membesarkan gerbang rezeki seseorang.

    Lafaz istighfar wajar diutamakan dalam kehidupan umat Islam menjelang masa terluang, tidak terbatas kepada waktu ibadat solat fardu saja.

    Berdasarkan sunnah Rasulullah SAW yang sering beristighfar memohon ampun dari Allah SWT meskipun Baginda seorang nabi yang bersifat maksum. Apatah lagi kepada kita manusia biasa yang kerap terlanjur dengan dosa dan kesalahan.

    Ketakwaan kepada Allah SWT amat diperlukan sebagai asas yang membentuk pertahanan diri dan agama untuk menghindar terdorong melakukan kemungkaran dan apa saja perbuatan tidak diredai Allah .

    ~ ‘jigsaw puzzle’ kehidupan ~



    HIDUP ini merupakan ujian. Semua ketentuan sama ada kesenangan mahupun kesusahan telah disusun rapi oleh Allah SWT yang bersifat al-Qadir dan al-'Alim.

    Sebagai seorang manusia, kehidupan kita akan sentiasa diwarnai dengan ujian yang kadangkala datang dalam bentuk kesusahan mahupun kesenangan.

    Hidup yang hanya diwarnai dengan kesusahan, pasti akan mengecewakan, manakala kehidupan yang hanya diuliti dengan kesenangan pasti akan membosankan. Kehidupan akan ada turun naik dan pusingannya.

    Orang yang berada di bawah suatu ketika pasti akan berada di puncak kejayaan dan begitulah sebaliknya. Itu adalah sunnatullah, Dia yang menciptakan manusia dan amat mengetahui keperluan kita sebagai makhluk dan hamba-Nya.

    Firman Allah SWT yang bermaksud:

    Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155)

    Penciptaan manusia di muka bumi ini adalah sebagai hamba yang berperanan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT di dalam ruang lingkup ibadah yang luas.

    Dia meletakkan perintah dan larangan untuk dipatuhi oleh manusia dalam mereka menjalani kehidupan. Ia juga merupakan ujian untuk Dia melihat sejauh manakah manusia dapat mengawal diri dan nafsunya untuk melakukan ketaatan kepada-Nya di kala insan lain bergelumang dengan dosa dan kedurhakaan lantaran tewas dengan ajakan nafsu dan dunia yang mempersonakan.

    Sememangnya kehidupan ini adalah medan ujian untuk Allah SWT menilai siapakah manusia yang menggunakan hidupnya dengan beramal kebaikan, sebelum mereka dipanggil pulang kehadrat-Nya untuk diberi ganjaran yang sewajarnya di dalam kehidupan akhirat yang abadi.

    Firman Allah SWT yang bermaksud:

    Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk Dia menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2)

    Kebanyakan manusia keliru dengan bentuk ujian yang menimpa mereka. Bentuk ujian dalam kehidupan ini sebenarnya tidak hanya berupa kesusahan, kecelakaan, kesakitan, kehilangan harta dan jiwa, sebagaimana yang dianggap oleh kebanyakan manusia.

    Malah ujian juga datang dalam bentuk kesenangan dan kemewahan. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.

    Kebanyakan manusia akan banyak mengingati dan berdoa kepada Allah ketika ditimpa musibah, agar kesusahan itu segera hilang, tetapi tidak ramai manusia yang bersyukur dan berserah diri kepada-Nya di kala kesenangan dan kemewahan.

    Manusia yang ditimpa kesakitan akan menadah tangan kehadrat Allah, agar memberi kesembuhan kepada mereka kerana mengetahui hanya Allah SWT sahajalah yang boleh menyembuhkan.

    Manusia yang dikurniakan nikmat kesenangan dan kemewahan, ramai antara mereka yang terleka dan terlalai dan merasakan kesenangan dan kemewahan itu datang dari usaha dan ikhtiar mereka semata-mata.

    Kebanyakan mereka terus lalai dibuai keindahan dunia, sehingga ajal menjelma dan mereka mati dalam keadaan melupakan Allah dan Allah akan menjauhkan mereka dari rahmat-Nya.Na'uzubillahi min zalik.

    Firman Allah SWT yang bermaksud:

    Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (al-Anbiya': 35)

    Cabaran serta ujian dalam kehidupan merupakan satu mekanisma untuk mematangkan diri kita, meningkatkan cara kita berfikir, cara kita berhadapan dengan masalah, mendidik kita untuk sabar, mengajar kita untuk menjadi lebih baik dan yang lebih manis lagi.

    Cabaran serta ujian dalam kehidupan ini telah mendekatkan diri hamba-Nya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Inilah satu proses pembelajaran selama mana kita berada dalam universiti kehidupan.

    Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan resah dan gelisah. Bagaimanapun, manusia yang beriman akan menghadapi ujian dengan penuh kesabaran dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

    Allah SWT mengajar golongan Mukmin yang ditimpa musibah menyebut Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un yang bermaksud apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah.

    Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.

    Orang yang menerima ujian dengan penuh kesabaran dan reda dengan ketentuan-Nya dijanjikan dengan berita gembira yang berupa keampunan, keredaan dan mendapat rahmat Allah.

    Dalam satu riwayat, dikatakan Sa'id ibn Jubayr, seorang tabien mengatakan bahawa rahmat itu adalah pelindung daripada siksa azab neraka.

    Firman Allah SWT yang bermaksud:

    Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.

    Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar : (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

    Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya. (al-Baqarah: 155 - 157)

    Sehubungan dengan itu sifat sabar hendaklah dijadikan perhiasan diri ketika bencana melanda agar umat Islam tidak terjebak kepada amalan sia-sia seperti kekecewaan melampaui yang mengakibat bunuh diri dan lain-lain.

    Saling pesan memesan kepada sifat sabar ini juga satu amalan mulia yang menjadi syarat kepada orang-orang yang beruntung.

    Ia sebagaimana maksud Firman Allah SWT:

    Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-Asr: 1-3)

    Kesimpulannya, setiap manusia tidak akan terlepas melalui ujian yang ditetapkan di dalam kondisi yang berbeza di antara satu sama lain. Itu adalah lumrah alam dan takdir yang ditentukan bagi setiap insan.

    Justeru keistimewaan akal yang dikurniakan kepada manusia hendaklah digunakan sewarasnya agar ujian itu dapat dilalui dan diatasi dengan jayanya.

    Bersikap positiflah dalam menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba kerana kita tidak mampu merubah takdir yang tertulis, tetapi kita mampu merubah perspektif dalam diri kita ketika menghadapi qada Allah SWT.

    Terutamanya dengan bersabar, saling memaafkan kesilapan orang lain dan belajar melupakan demi untuk ketenangan jiwa dan kebahagiaan hakiki yang menjadi dambaan insan seluruhnya.

    Wednesday, July 6, 2011

    ~ bangkit dari kekalahan ~



    Menang atau kalah, adalah adat dalam perjuangan atau peperangan. Tidak ada apa yang perlu dikesal atau ditangiskan kerana peribahasa Melayu ada menyebut kalau menang jadi arang, kalah jadi abu.

    Lantaran itu apabila bercerita mengenai Perang Uhud maka kita tidak boleh lari daripada membicarakan hikmah besar di sebalik kekalahan umat Islam dalam perang tersebut.

    Sebelum itu, kita mungkin kesal, marah apabila kemenangan yang hampir-hampir dapat digenggam akhirnya terlepas.

    Ia akibat sikap gelojoh terhadap harta rampasan perang telah menyebabkan tercatat satu luka besar pada sejarah - kekalahan umat Islam.

    Adalah sangat memalukan kerana adanya sifat tamak di kalangan tentera tersebut dan tidak patuh pada arahan telah membolehkan musuh kembali menyusun kekuatan dan menyerang tentera Islam dari belakang.

    Namun seperti yang disebutkan, semua yang berlaku itu ada hikmah-hikmah besar yang tersembunyi.

    Apatah lagi jika kalah, tidak bermakna kita akan kalah buat selama-lamanya.

    Begitupun kekecewaan yang menyelubungi di kalangan umat Islam akibat kalah dalam perang tersebut dapat 'dipujuk' dengan turunnya ayat-ayat al-Quran yang tidak sahaja indah pada bahasa tetapi memberi keinsafan dan kesedaran apabila kita menghayatinya selain kita kembali kuat untuk tidak lagi berkeluh kesah akibat kekalahan yang lalu.

    Ini apabila kita memahami isi kandungan ayat Allah seperti berikut:


    l Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (ali-'Imran: 139)

    Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (ali-'Imran: 140)

    l Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (ali-'Imran: 147)

    Demikianlah bagaimana Allah mengembalikan semula semangat para pejuang Islam. Mereka tidak seharusnya patah semangat kerana walaupun kalah di dunia namun akan menggapai kemenangan di akhirat.

    Lalu, walaupun umat Islam di Madinah ketika itu dicerca dan dihina oleh para musuh ekoran kekalahan mereka di Perang Uhud, agak luar biasa apabila semua itu tidak menjadi kudis kepada mereka.

    Terutama di pihak Nabi Muhammad yang tidak sekali-kali tunduk kepada mana-mana pihak.

    Sebaliknya, baginda tetap menjalankan kerja-kerja dakwah di samping meningkatkan lagi soal keselamatan dan pertahanan daripada diambil kesempatan oleh pihak musuh.