Friday, May 20, 2011

~ tenaga bersama , kebajikan diutama ~


HARI demi hari, masa berlalu begitu pantas sekali. Sedar tidak sedar, kini kita sudah berada di penghujung Mei. Ertinya hampir lima bulan dalam tahun 2011 ini sudah kita lalui. Eloklah jika kita mula menyenaraikan usaha yang sudah berjaya dilaksanakan.

Sementara bagi yang masih belum dapat dilaksanakan, sebaiknya dibuat perancangan rapi dan strategi menghadapinya sebagai muhasabah diri yang sangat dituntut dalam Islam. Memikirkan atau menyenaraikan usaha itu mampu mencorak niat kita dan hala tuju kehidupan akan dilalui.
Niat adalah tapak membentuk hala tuju, cita-cita, hasrat, tekad dan azam dalam apa juga yang kita rencana serta laksanakan. Ia termasuklah matlamat, objektif, misi dan visi sebagai arah tuju dan dicapai dengan maksud keikhlasan kerana Allah.

Firman Allah bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain).” (Surah al-Syarh, ayat 5-7)

Kesanggupan berfikir dan kemampuan menggunakan kudrat untuk mencapai ketinggian antaranya sanggup berkorban menghidupkan nikmat alam-Nya dengan kebaikan serta menghindarkan kemudaratan.


Dalam kamus perundangan Islam, tumpuan memberi kebaikan ini dinamakan maslahah bererti sesuatu yang baik dan bermanfaat meliputi kebajikan manusia dalam urusan di dunia dan akhirat. Sesetengah fuqaha’, menjadikan aspek hujah penting dalam penentuan pelaksanaan hukum.


Kesungguhan niat dan usaha berterusan walaupun sedikit amat digalakkan supaya menjadi darah daging atau kebiasaan.

Daripada ‘Aishah, Rasulullah SAW pernah ditanya: “Apakah perbuatan yang disukai Allah? Baginda menjawab: Perbuatan yang berkekalan meskipun sedikit.”
Kebaikan boleh bermula dengan apa saja bentuk tindakan dan jumlah nilaiannya asal saja ia dicapai dengan cara halal termasuklah membuat keputusan yang betul atau memberi manfaat.

Setiap kebaikan walau sebesar zarah, tetap menjadi pemangkin ke arah pelaksanaan niat atau hala tuju menambah kebaikan dan mengurangkan kepayahan dalam bekerja di kalangan umat Islam.


Daripada Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiap-tiap perkara makruf itu menjadi sedekah. Antara perkara makruf itu hendaklah semasa bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan wajah manis dan di kala (ada yang meminta air) hendaklah engkau menuangkan ke dalam bekasnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)


Dalam konteks bekerja, menambah baik kebajikan dan mengurangkan kepayahan orang lain melalui Amalan 8S ketika berurusan dengan pelanggan adalah amalan murni berasaskan maslahah ke arah penyempurnaan perkhidmatan berkualiti.


Amalan yang dilancarkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), meliputi salam, sayang, segak, segera, sempurna, sensitif, senyum dan sopan. Amalan ini boleh diaplikasi dalam seluruh kehidupan dan di mana saja.


Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fi Fiqh al-Awlawiyyat menggariskan beberapa kaedah pertimbangan pelaksanaan iaitu memberi keutamaan kepada keperluan asasi melebihi perkara diperlukan, menjadi keinginan dan bersifat pelengkap kepada masyarakat.


Mengutamakan kemaslahatan diyakini akan mendatangkan hasil daripada yang kurang diyakini, mengutamakan kemaslahatan lebih besar manfaatnya daripada kemaslahatan kecil, mengutamakan kemaslahatan masyarakat daripada individu.


Mengutamakan kemaslahatan bersifat kekal dan jangka panjang daripada yang bersifat sementara dan jangka masa pendek. Kesemua pertimbangan ini memerlukan kepada perhatian dan kajian berasaskan kesesuaian semasa.


Justeru, menurut Abu Zuhrah dalam Tarikh al-Madhahib al-Fiqhiyyah, sesuatu tindakan itu boleh dibezakan kualitinya bergantung kepada sejauh mana kebajikan masyarakat terjamin.


Oleh itu, marilah bersama suburkan niat menambah kebaikan dan mengurangkan kepayahan dalam kehidupan sama ada kepada pekerja, pelanggan, majikan, pelajar, jiran tetangga, ibu bapa mahupun masyarakat.


Hakikat kejayaan sebenar bukan apa yang berjaya dicapai untuk diri sendiri semata-mata tetapi kejayaan menyumbang kebaikan untuk orang lain. Firman Allah bermaksud: “Tidak ada bagi tiap-tiap seseorang manusia melainkan menurut apa yang diusahakannya.” (Surah al-Najm, ayat 39) .

Thursday, May 19, 2011

~ rahmat tautan kasih ~


IBU bapa adalah insan paling mulia dalam kehidupan kerana itulah agama Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada mereka. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar dan tinggi nilainya.

Mereka yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.
Ingat apa yang kita miliki hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga adalah hasil pengorbanan ibu bapa. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat serta pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini.

Sehubungan itu, sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka jangan engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan jangan engkau menengking mereka, tetapi katakan kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkan dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakan: Wahai Tuhanku! Kasihani mereka berdua seperti mana mereka sudah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Israk, ayat 23-24)


Tidak dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya, tidak dapat dinilai emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak walau sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan dan melelapkan mata kerana teringatkan anak dan ada ketika air mata berlinangan merindui anak.


Bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka? Cukupkah sekadar mengirim duit sebagai pengganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat rindu kepulangan si anak? Ambil kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.

Oleh itu, wajarlah Allah memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan kepada Aku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung itu. Ada anak yang sanggup membuang dan menyisih ibu bapanya.


Mereka ini sanggup meninggalkan ibu bapa di rumah kebajikan atas alasan tidak sanggup melayan kerenah ibu bapa yang semakin tua. Berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga kini seramai 1,857 ibu bapa ditempatkan di rumah Seri Kenangan tanpa kasih-sayang anak. Mereka ini merintih keseorangan mengharap anak sentiasa mendampingi mereka.


Islam menganjurkan setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan itu tidak melanggar syariat Islam. Jika anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar.


Imam Bukhari meriwayatkan, Abdullah bin Amru bin al-‘As bertanya Rasulullah SAW mengenai dosa besar. Sabda Baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya! Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”


Umat Islam sekalian, menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup tetapi berpanjangan hingga di alam arwah. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah.


Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran adakah mereka benar-benar menyayangi ibu bapa. Apalah gunanya anak mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar.


Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka jika amal perbuatan kamu itu baik, mereka gembira mengetahuinya, dan jika sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata: “Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah petunjuk, seperti mana Engkau sudah memberi hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman).” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)


Jika ibu bapa tidak reda sikap keji anak, ini mengundang kemurkaan Allah. Selama mana kita tidak diredai ibu bapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah.

~ wuduk : penyucian jiwa ~


Safwan bin 'Assal r.a. berkata yang bermaksud: "Rasulullah SAW memerintahkan kami agar tidak mencabut kasut ketika musafir selama tiga hari tiga malam kecuali jika berjunub, buang air besar, air kecil atau tidur". (riwayat Ahmad, al-Nasaai dan al-Tirmizi. Al-Tirmizi mensahihkannya).

Ada beberapa hadis sahih yang menjelaskan bahawa tidur yang lena dan tetap punggungnya tidak perlu berwuduk semula.

Anas r.a berkata yang bermaksud: Suatu ketika, para sahabat Rasulullah SAW menunggu solat isyak sehingga tersengguk-sengguk kepala mereka kerana nabi SAW melewatkannya. Setelah baginda bersiap untuk menunaikan solat, mereka bersolat tanpa memperbaharui wuduk. (riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Ibn 'Abbas r.a berkata yang bermaksud: Aku telah bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteri nabi). Rasulullah SAW bangun untuk menunaikan solat malam. Lalu, aku bangun berdiri di sebelah kirinya. Kemudian, baginda menarik tanganku hingga aku berada di sebelah kanannya. Setiap kali kepalaku tersengguk kerana mengantuk, baginda akan menarik telingaku. Baginda melakukan solat itu sebanyak 11 rakaat. (riwayat Muslim).

Mengikut pandangan Imam al-Syafie r.a apabila seseorang tidak tidur dalam posisi duduk dan punggungnya tidak menempel dengan mantap pada posisi tempat duduknya.

Jika seseorang yang mempunyai wuduk tidur dengan posisi di atas sisi badannya (menyamping) atau dengan posisi terlentang, atau juga ada celah di antara punggungnya dengan tempat duduknya, maka wuduknya batal.

Wuduk tidak menjadi batal disebabkan mengantuk. Mengantuk adalah keadaan di mana seseorang merasa berat kepalanya, di mana dia masih dapat mendengar perkataan orang-orang yang ada di sekitarnya, walaupun tidak memahaminya.

Menurut pendapat paling sahih, termasuk pandangan dalam mazhab al-Syafie, apabila seseorang tidur tetapi tetap punggungnya di bumi tetap terletak di lantai, wuduknya tidak terbatal berdasarkan beberapa hadis di atas. Namun, yang afdalnya adalah berwuduk apabila tertidur berdasarkan maksud hadis secara umum.

Khutbah Jumaat

Mendengar khutbah Jumaat dan solat dua rakaat fardu Jumaat adalah ganti kepada solat zuhur. Kedua-duanya sama penting dan sama wajib dipenuhi.

Cuma sindrom sesetengah kita adalah bila solat Jumaat, mereka ingat solat Jumaat yang wajib dihadiri manakala khutbah Jumaat tidak dengar pun tidak mengapa yang penting solat Jumaat. Ini adalah tanggapan yang salah.

Kefarduan solat Jumaat adalah untuk memberi peluang orang Islam berkunjung ke masjid mendengar pesanan agama dan wasiat iman yang disampaikan oleh para khatib.

Falsafahnya supaya dalam kehidupan seminggu seorang lelaki muslim akan ada catatan yang dipijak kakinya ke masjid melalui kefarduan solat Jumaat.

Bayangkan kalau solat Jumaat tidak difardukan ke atas orang lelaki Muslim, alamatnya hati-hati yang kering pasti tidak akan berkunjung melainkan untuk solat hari raya.

Allah SWT memfardukan Jumaat semoga dengan kefarduan tersebut terdidik jiwa hamba-hamba-Nya ke arah kebaikan dan amal soleh. Untuk beroleh manfaat solat Jumaat maka solat Jumaat hendaklah ditunai dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan, bukan kerana terpaksa.

Perhatikan dengan mata hati maksud firman Allah SWT ini: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)... (al-Jumu'ah: 9).

Pergi untuk mengingati Allah SWT sama ada berzikir, membaca al-Quran sementara khatib naik mimbar. Bila khatib mula berkhutbah, berhenti zikir dan baca al-Quran, tumpukan perhatian pada khutbah.

Maksudnya ke masjid pada hari Jumaat bukan untuk tidur dalam masjid, sampai ada yang berdengkur malahan untuk mengingati Allah SWT. Ingat sesungguhnya Allah SWT telah memberi peringatan di dalam surah al-Jumu'ah.

Golongan Yahudi yang tidak beramal al-Taurat adalah umpama keldai yang membawa pikulan kitab-kitab yang tinggi nilainya tetapi si keldai tidak tahu apa yang dipukulnya. Ini adalah seburuk-buruk perumpamaan ke atas golongan yahudi.

Jika Yahudi ditempelak dek Allah SWT kerana mengabaikan isi al-Taurat, maka umat Muhammad juga akan menerima nasib yang sama kerana mengabaikan al-Quran.


~ kasih tidak bermusim ~



SAMBUTAN hari ibu dan bapa yang diadakan saban tahun bertujuan untuk memperingati dan mengenang jasa setiap ibu bapa. Mereka diraikan, diberi hadiah dan ucapan terima kasih atas jasa dan pengorbanan selama ini.

Tidaklah salah meraikan dan menggembirakan ibu bapa sebegitu. Tetapi harus diingat bahawa menghargai ibu bapa bukan semata-mata hanya pada hari-hari tertentu sahaja. Mereka perlu dilayan, dijaga baik dan dikenang setiap hari.

Allah telah memerintahkan manusia supaya sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mengucapkan kata-kata yang mulia kepada mereka (surah al-Israa', ayat 23). Seorang anak dilarang mengatakan 'Ah!' apatah lagi menyakiti hati dan menderhakai mereka.

Dalam surah Luqman, Luqman Al-hakim juga menasihati anaknya supaya sentiasa mentaati perintah ibu bapa selagi tidak menyalahi perintah dan syariat Allah. Berlemah lembut, tolong menolong dan berbudi bahasa adalah antara tanggungjawab seorang anak kepada setiap ibu bapanya.

Malangnya, adab-adab dan sikap inilah yang semakin terhakis dalam kehidupan anak-anak sekarang. Bukan sahaja remaja, malah yang dewasa juga tidak lagi menghormati ibu bapa yang semakin tua dan tidak berdaya. Jelas sekali ini bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam.

Ada anak-anak yang tidak menganggap ibu bapa sebagai tanggungjawab mereka apabila ibu bapa telah tua.

Kesibukan bekerja dan faktor kewangan antara faktor menyebabkan banyak ibu bapa dipinggirkan dan terbiar sepi di kampung atau rumah orang tua.

Sebagai remaja, perasaan belas kasihan dan mengasihi ibu bapa harus dipupuk dan disuburkan selalu. Pada peringkat remaja, adakalanya kehendak dan kemahuan tidak seiring dengan apa yang ibu ayah sudah aturkan untuk mereka. Jiwa remaja mudah memberontak, ingin mencari kebebasan serta tercari-cari lagi watak dan jati diri.

Justeru, remaja yang tidak terdidik dengan perasaan belas ihsan dan simpati terhadap orang lain mudah sahaja membuat tindakan yang kurang wajar sekiranya keinginan mereka tidak dipenuhi. Misalnya lari dari rumah, meninggikan suara serta bersikap bengis terhadap ibu bapa mereka. Segala keinginan mereka harus dipenuhi serta merta walaupun adakalanya mengetahui ia tidak baik atau ibu bapa tidak mampu menyediakannya.

Sekiranya anak-anak dibesarkan dengan watak-watak seperti di atas, bayangkan implikasinya kepada masyarakat dan keluarga apabila dewasa.

Sikap pentingkan diri sendiri, ego, panas baran, bengis dan degil diwarisi sehingga ke tua. Lebih malang lagi jika anak-anak mereka pula mewarisi sikap yang sama.

Mendidik anak-anak menjadi seorang yang berbudi bahasa dan memahami tanggungjawab ibu bapa tidaklah mudah. Tetapi ia bermula daripada kefahaman yang ibu bapa terapkan pada anak-anak mereka.

Ada ibu bapa beranggapan bahawa tanggungjawab mereka terhadap anak-anak sekadar mencari rezeki, mencukupkan pakaian dan makan minum anak-anak, tetapi mengabaikan tanggungjawab mendidik rohani anak-anak. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak menuntut tugasan yang lebih daripada sekadar mencari rezeki siang malam.

Justeru peranan ibu dan ayah amatlah penting dalam pembentukan watak dan pendirian anak. Ibu sering dirujuk sebagai faktor penting dalam pendidikan. Bapa juga tidak kurang penting membentuk anak dalam kepemimpinan. Bapa adalah lambang ketua dalam sebuah rumah tangga. Didikan ibu dan kepemimpinan bapa boleh memberi perlindungan kepada isteri dan contoh kepada anak.

Pada diri seorang ibu ada unsur penting dalam proses didik, asuhan, kasih sayang, kesabaran dan memiliki kasih sejati terhadap anak. Allah telah memberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi kepada wanita yang bergelar ibu untuk menanggung kesusahan dan kepayahan demi anaknya.

Seorang ibu sanggup melalui tempoh mengandung dengan susah payah sehinggalah melahirkan anak dalam kesakitan dan kepedihan. Ibu jugalah yang penat berjaga malam untuk menyusu dan menyalin lampin anak dan bersengkang mata sekiranya anak kurang sihat. Naluri seorang ibu sememangnya berkehendakkan anaknya sentiasa dalam keadaan sihat dan sempurna.

Ibu adalah pelengkap kepada watak bapa. Ia menjadi faktor penting dalam proses pembangunan zuriat, anak dan generasi. Ibu yang berilmu dan berketerampilan memahami proses pertumbuhan dan pembesaran anak baik dari sudut minda, psikologi, emosi dan tabiat, serta memiliki cara dan kaedah berkesan bagaimana anak harus diremajakan dan didewasakan.

Menjadi seorang ayah pula adalah peranan yang payah. Ia tidak bererti memonopoli segala hak dan tanggungjawab, tetapi dikongsi dan dilalui bersama-sama secara sukarela dan penuh faham tanggungjawab.

Watak ayah tidak sama dengan watak ibu. Tetapi Allah menjadikan mereka berpasang-pasangan untuk saling melengkapi. Seorang ayah perlu insaf bahawa pada ibu ada peranan penting untuk membentuk watak anak.

Dalam masa yang sama ayah harus berasakan bahawa ibu adalah amanah Allah yang besar. Ibu juga perlu dikasihi dan disayangi. Semangat kebapaan memberi perlindungan, tunjuk ajar, bimbingan dan rasa persefahaman dengan ibu. Ia bakal mewujudkan suasana rumah tangga harmoni dan damai dan memberi contoh yang baik kepada proses pendewasaan anak-anak.



~ lemas dalam emas ! ~



AKHIR-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam di negara ini untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya.

Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka lupa akan batas-batas syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada amalan riba yang diharamkan Islam.

Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah': 278-279)

Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam urus niaga sesuatu barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.

Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh 'Ubadah bin al-Samit : Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim)

Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan garam.

Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam urus niaga barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang lain.

Urus niaga pembelian emas kini melibatkan pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).

Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh. Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad pembelian sebelum berpisah.

Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)

~ kesederhanaan menjadi pilihan ~




KESEDERHANAAN atau wasatiyah adalah salah satu daripada ciri khusus dan keistimewaan agama Islam. Ia merujuk kepada satu keadaan yang tidak lebih dan tidak kurang, keadaan biasa dan sedang.
Bagaimanapun, dalam bahasa Arab, ada juga maksud yang lain daripada perkataan ‘at-tawaazun’ iaitu seimbang antara dua pihak, pihak yang melampau dalam sesuatu tindakan dan pihak mempermudahkan sesuatu perkara.

Justeru, yang dimaksudkan sederhana dalam tindak tanduk ialah apabila kita melakukan sesuatu dengan tidak melampaui batas dan tidak meninggalkannya terus. Islam menekankan persoalan kesederhanaan kerana ia satu bukti atau tanda kekuatan dan kecemerlangan umat Islam.

Umat Islam yang sederhana dalam tindak tanduk dan perbuatan serta gaya hidup bukan bermaksud hanya cukup dengan apa yang ada, tetapi jika diukur dari aspek kejayaan, mereka yang sederhana ialah golongan yang cemerlang.


Kesederhanaan mampu menarik minat manusia kepada agama, sekali gus menjadikan Islam satu-satunya agama yang mengatur disiplin umatnya dengan hukum dan peraturan, tetapi tidak menghalang setiap individu menjalani kehidupan.


Umat Islam yang positif kepada kesederhanaan juga adalah umat yang cintakan keamanan. Dengan erti kata lain, umat yang sederhana ialah umat bencikan kekacauan dan kerosakan. Melalui kesederhanaan juga, fitrah manusia dapat dipenuhi dan dibentuk dengan baik.

Ini berdasarkan teladan sahabat Rasulullah SAW yang berjumpa isteri Baginda bertanyakan amalannya. Salah seorang daripada mereka memberitahu, beliau asyik berpuasa dan tidak berbuka. Seorang lagi menyatakan beliau asyik mengerjakan solat sunat pada waktu malam tanpa tidur.

Bagaimanapun, apabila sampai cerita mereka itu kepada Rasulullah SAW, Baginda menegaskan bahawa Bagindalah orang yang paling bertakwa dalam kalangan mereka namun Baginda berkahwin dan mengerjakan solat sunat waktu malam.


Baginda tetap merehatkan badan dengan tidur, berpuasa pada waktu siang tetapi berbuka apabila sampai waktunya. Tegas Baginda Rasulullah SAW, kesederhanaan penting bagi mengimbangi tuntutan fardu ain dan fardu kifayah demi kebaikan di dunia dan akhirat.


Sebagai suami pula, seorang Muslim yang soleh bijak menggunakan akalnya dalam menunaikan kewajipan kepada ibu dan isterinya. Kesederhanaan dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada keduanya boleh mengimbangi komitmen dan toleransi, supaya tidak derhaka kepada ibu dan isteri tidak dizalimi.


Dalam pembayaran nafkah contohnya, walaupun tidak dituntut isteri, suami tetap wajib memberinya kerana itu adalah tanggungjawab suami. Sehingga jika suami tidak berkemampuan, tanggungjawab itu harus dilunas oleh bapa atau datuk suami.


Pada masa sama, tanggungjawab kepada ibu bapa tidak boleh diabaikan. Nafkah asas menjadi wajib jika ibu bapa tidak berkemampuan, tetapi jika sebaliknya, perhatian dan penjagaan menjadi kewajipan yang tidak boleh dikompromi.


Jelas sekali Islam menuntut umatnya bersederhana dalam pelbagai aspek.

Umpamanya dari sudut ibadah, kesederhanaan itu terserlah apabila umat Islam mengerjakan ibadah tetapi tidak lupa tanggungjawab kepada masyarakat.

Justeru, bolehlah dikatakan kesederhanaan Islam dalam urusan ibadah terletak antara amalan penganut yang hanya mementingkan kerohanian semata-mata dan penganut yang menolak aspek kerohanian secara total.


Dalam aspek kesihatan dan keterampilan pula, Islam menggalakkan umatnya bersederhana dari segi pemakanan, cara berpakaian, corak perbelanjaan dan sebagainya.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid. Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.” (Surah al-‘Araf, ayat 31)


Dalam urusan dakwah, umat Islam dikehendaki bersederhana. Ini bukan bermakna pendakwah menggadaikan prinsip Islam tetapi merujuk kepada pendekatan serta cara pendakwah mendekati golongan sasaran supaya mereka faham dan mengikuti ajaran Islam.


Pendekatan itu terangkum dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara hikmah, membawa pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka menggunakan pendekatan yang baik. Orang yang sederhana ialah orang berada antara dua pihak, iaitu pihak yang melampau dengan pihak mempermudah-mudahkan sesuatu urusan.” (Surah an-Nahl, ayat 125)


Itulah uniknya amalan bersederhana yang dibawa Baginda, ia boleh menyatukan semua bangsa, malah menjadikan individu Muslim cemerlang di dunia dan akhirat.


Wednesday, May 18, 2011

~ belajar untuk jujur , sedar sebelum terlanjur ~




KEJUJURAN adalah tanda bukti keimanan. Orang mukmin pasti jujur. Kalau tidak jujur, keimanannya sedang serang penyakit munafik.

Suatu ketika seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apakah mungkin seorang mukmin itu kedekut?"

Baginda menjawab: "Mungkin saja." Sahabat bertanya lagi: "Apakah mungkin seorang mukmin bersifat pengecut?" Rasulullah SAW menjawab: "Mungkin saja." Sahabat bertanya lagi: "Apakah mungkin seorang mukmin berdusta?" Rasulullah SAW menjawab: "Tidak."

Apa yang boleh dipelajari daripada hadis ini ialah seorang mukmin tidak mungkin melakukan pembohongan.

Kejujuran adalah pangkal semua perbuatan baik manusia. Tidak ada perbuatan dan ucapan baik kecuali kejujuran.

Oleh sebab itu, Allah menyuruh orang-orang mukmin agar selalu berkata benar dan jujur. Ini diperintah oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang jujur dan benar. (al-Ahzab: 70)

Rasulullah bersabda: "Kamu semua wajib bersikap jujur kerana kejujuran akan membawa kepada kebaikan dan kebaikan akan membawa kepada syurga".

Kejujuranlah yang menjadikan Ka'b bin Malik mendapat keampunan langsung dari langit sebagaimana Allah jelaskan dalam surah at-Taubah. Kejujuranlah yang menyelamatkan bahtera kebahagiaan keluarga dan kejujuran pulalah yang menyelamatkan seorang Muslim daripada seksa api neraka di kemudian hari.

Kejujuran adalah tiang agama, sendi akhlak, dan pokok kemanusiaan manusia. Tanpa kejujuran, agama tidak lengkap, akhlak tidak sempurna, dan seorang manusia tidak sempurna menjadi manusia.

Di sinilah pentingnya kejujuran bagi kehidupan. Rasulullah bersabda: "Tetap berpegang eratlah pada kejujuran. Walau kamu seakan-akan melihat kehancuran dalam berpegang teguh pada kejujuran, tapi yakinlah bahwa di dalam kejujuran itu terdapat keselamatan."

Ada tiga tingkatan kejujuran. Pertama, kejujuran dalam ucapan, iaitu kesesuaian ucapan dengan realiti. Kedua, kejujuran dalam perbuatan, iaitu kesesuaian antara ucapan dan perbuatan. Ketiga, kejujuran dalam niat, iaitu kejujuran tertinggi di mana ucapan dan perbuatan semuanya hanya untuk Allah.

Seorang mukmin tidak cukup hanya jujur dalam ucapan dan perbuatan, tapi harus jujur dalam niat sehingga semua ucapan, perbuatan, tindakan dan keputusan harus berlandaskan mencari keredaan Allah.

Jelaslah kejujuran memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang Islam yang ingin mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Seorang yang jujur tidak akan berdolak-dalik apatah lagi bermain kata-kata apabila berhadapan dengan sesuatu perkara.

Jika dia berada di pihak yang benar sudah pasti dia tidak akan takut untuk menzahirkan kejujuran atas keyakinan bahawa kebenaran pasti mengalahkan kebatilan.