Wednesday, May 18, 2011

~ di sebalik tembok itu ~



أخي انت حر وراء السدود *** أخي انت حر بتلك القيود
Saudaraku, engkau yg bebas di balik tembok penjara
Saudara, engkau yang bebas dari ikatan itu
إذا كنت بالله مستعصما *** فماذا يضيرك كيد العبيد
Jika hanya kepada Allah engkau berpegang teguh
Maka apakah yang akan memudaratkan engkau dari tipu helah manusia?

أخي هل تراك سئمت الكفاح*** وألقيت عن كاهليك السلاح
Saudaraku, adakah kau rasa jemu untuk berjuang
Dan engkau campakkan dari bahu engkau senjata

فمن للضحايا يواسي الجراح *** ويرفع راياتنا من جديد
Maka siapakah bagi mangsa-mangsa itu yang bersimpati dengan luka-lukanya
Dan yang akan mengangkat panji-panji semula

أخي إنني اليوم صلب المراس *** أدق صخور الجبال الرواسي
Saudaraku, bahawa aku hari ini bagaikan tukul besi yang keras
Akanku hancurkan gunung-gunung yang terpacak (teguh)

غدا سأشيح بفأس الخلاص *** رؤوس الأفاعي إلى أن تبيد
Esok akan ku penggal dengan kapak yang yang menghancurkan
Kepala-kepala ular hinggga hancur

أخي إن ذرفت علي الدموع *** وبللت قبري بها في خشوع
Saudaraku, jika air mata kau cucuri keatas ku
Dan ke atas kuburan ku kau tumpah dengan kusyuk

فأوقد لهم من رفاتي الشموع*** وسيروا بها نحو مجد تليد
Maka nyalakanlah bagi mereka itu dari hancuran-hancuran lilin
Dan berjalanlah kamu dengannya ke arah keagungan yang menanti

أخي إن نمت نلقى أحبابنا *** فروضات ربي أعدت لنا
Saudaraku, jika kami mati akan kami temui kekasih kami
Kebun-kebun Tuhanku disediakan untuk kami,

وأطيارها رفرفت حولنا *** فطوبى لنا في ديار الخلود
Dan burung-burung mengepakkan sayap disekeliling kami,
Maka bahagialah bagi kami di dunia yang kekal (akhirat)

أخي إنني ما سئمتُ الكفاح ... ولا أنا ألقيتُ عني السلاح
Saudaraku, sesungguhnya aku tidakkan jemu berjuang,
Dan tidak akanku letakkan senjata,
فإنْ انا متُّ فإني شهيد ..... وأنت ستمضي بنصر مجيد
Maka sekiranya aku mati, sesungguhnya aku syahid..
Dan kau akan meneruskan bagi kemenangan yang agung,

Tatkala kita sibuk melaksanakan urusan dakwah dan urusan peribadi, saya suka untuk kongsikan sebuah syair. Syair ini ditulis oleh seorang murabbi tatkala beliau ditahan sebelum syahid di tali gantung. Beliau adalah As-Syahid Sayyid Qutb. Moga syair ini mampu mengembalikan hammasah kita dan meninggikan himmah seterusnya menguatkan iradah kita bersama. Saya sertakan lirik dalam bahasa arab dan terjemahannya dalam bahasa melayu agar mudah bagi kita memahami. WAllahu a'lam . :)

Tuesday, May 17, 2011

~ berjiwa rijal ~


BAPA saudara Rasulullah, Saidina Hamzah Abdul Mutalib benar-benar seorang pahlawan Islam sejati walaupun akhirnya tumpas dan syahid di tangan musuh di Perang Uhud.

Sebelum syahid, belaiu berjaya membunuh lebih 30 tentera kafir dalam perang itu. Bayangkan berapa ramai lagi yang bakal tewas di tangannya andai beliau tidak syahid di tangan hamba kulit hitam Warsyi bin Harb.

Kehebatan Assadullah atau Singa Allah itu benar-benar tiada tandingannya dan sangat dikagumi!

Tetapi sayangnya sejauh mana generasi terutama yang muda Islam hari ini mengenali Saidina Hamzah berbanding nama 'pahlawan' yang kebanyakannya tidak pernah wujud pun di muka bumi ini.

Malah direka dengan tokok tambah segala macam kekuatan dan kehebatan sedangkan kesemua 'pahlawan' itu wujud atas nama animasi kartun dan lakonan untuk melariskan jualan tiket-tiket wayang.

Kehebatan Saidina Hamzah wajar 'dijual' supaya lebih ramai lagi 'Singa-Singa Allah' sepertinya dapat kita lahirkan.

Ia antara lain membuktikan bahawa jumlah musuh yang ramai bukan penyebab umat Islam mengaku kalah dalam perjuangan. Sebaliknya, perlu kuat persis Saidina Hamzah yang relatifnya adalah manusia biasa, tetapi atas nama jihad dan mengharapkan syurga Allah, maka satu demi satu musuh ditumpaskan.

Perang Uhud memang benar-benar mengumpulkan ramai pahlawan Islam yang terbilang. Tetapi yang terbilang selain dari Saidina Hamzah ialah Abu Dujanah seperti yang diceritakan sebelum ini.

Kecuali Abu Dujanah yang menampakkan ciri pahlawan yang menggerunkan musuh dengan melilitkan serban merah di kepalanya, pahlawan-pahlawan Islam yang lain mungkin kelihatan begitu 'sederhana'.

Lebih bersifat tawaduk dan rendah diri malah mungkin mempunyai susuk badan yang kecil tetapi kekuatan yang dipamerkan adalah sangat luar biasa.

Salah satu kisah menarik, apabila seorang pahlawan musuh bernama Thalhah dengan sombong dan bongkak mencabar mana-mana pahlawan Islam berlawan dengannya pada peringkat awal sebelum Perang Uhud meletus.

"Siapa yang mahu bertanding berlawan dengan aku," teriak Thalhah.

Apabila tiada pahlawan Islam yang mahu menyahut cabarannya, Thalhah pun terus menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati pasukan tentera Islam.

"Wahai pengikut-pengikut Muhammad, kamu menyangka Tuhan akan menghantar kami ke neraka dengan pedang kamu dan menghantar kamu ke syurga dengan pedang kami!

"Siapakah antara kamu yang akan mempercepatkan kami ke neraka dengan pedangnya? Atau pun kami akan mempercepatkan kamu ke syurga dengan pedang kami?

"Sungguh, kamu berdusta. Demi Latta dan Uzza, sekiranya kamu semua betul-betul percaya begitu, keluarkanlah seorang daripada kamu kepada kami sekarang," teriaknya.

Disebabkan kata-kata yang angkuh itu, sahabat besar Rasulullah, Saidina Ali bin Abi Talib pun keluar menyahut cabaran si Thalhah. Tanpa membuang masa, menantu Rasulullah itu menyerang Thalhah dengan sekali libasan pedangnya sahaja berjaya mencederakan kaki pahlawan Quraisy itu sehingga menyebabkan dia cedera parah dan terjatuh tanpa sempat melawan.

Ali kemudiannya meninggalkan Thalhah begitu sahaja yang tidak mati walaupun kakinya putus akibat libasan pedangnya.

Rasulullah bertanya mengapa Saidina Ali tidak terus membunuh sahaja musuh yang begitu sombong mencabar tentera Islam itu.

"Thalhah kini begitu malu dengan kata-katanya dan saya kasihan dan tidak sampai hati membunuhnya," jawab Ali dengan penuh makna.

Dikatakan, sebelum pasukan musuh bertempur secara besar-besaran dengan tentera Islam, hampir 12 pahlawan Quraisy berjaya dibunuh oleh para pahlawan Islam dalam adegan atau pertarungan satu lawan satu.

~ Al-Umuru Bi Maqasidiha ~


KAEDAH Fiqh yang pertama ialah Al-Umuru Bi Maqasidiha yang bermaksud (setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat). Sebenarnya, kaedah ini dikemukakan oleh para ulama dengan merujuk kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda 'bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa niat mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Niat menjadi asas utama penerimaan sesuatu amalan itu sama ada diterima atau ditolak oleh Allah. Sekiranya sesuatu amalan itu dilakukan secara betul dari segi kaifiat namun salah dari segi niatnya, maka ia tidak diterima oleh Allah.

Sekiranya sesuatu amalan itu betul dari segi niatnya, tetapi salah dari segi kaifiatnya, ia juga menjadi sia-sia di sisi Allah.

Justeru, kita perlu memastikan amalan yang kita lakukan menjadi amalan yang terbaik dan diterima oleh Allah (ahsanu 'amala) dengan cara menjaga dua aspek iaitu memastikan niat ikhlas kerana Allah (akhlasuhu) dan memastikan amalan yang dilakukan benar mengikut Nabi (aswabuhu).

Ibnu Taimiyyah berkata: "Sesungguhnya niat dan keyakinan sentiasa diperhitungkan dalam setiap perbuatan dan tradisi. Sebagaimana kedua-duanya sentiasa diperhitungkan dalam setiap amal ibadah.

"Niatlah yang menjadikan suatu perkara halal atau haram, sah atau rosak/ batal, atau sah dari satu sisi dan batal dari sisi lain. Sebagaimana niat dalam amalan ibadah menjadikannya wajib, atau sunah atau haram atau sah atau rosak/batal." (rujuk Al-Fatawa Al-Kubra 6/54)

Niat juga membezakan antara halal dan haram serta dosa dan pahala.

Seseorang yang mengambil harta yang dijumpai (luqatah) mendapat dosa sekiranya dia mempunyai niat untuk memilikinya. Sebaliknya, jika dia mengambil barang tersebut dengan niat untuk mencari dan menyerahkan kembali kepada pemiliknya, maka dia mendapat pahala. Niat juga akan menentukan jenis-jenis amalan yang dilakukan dan hukum yang tertakluk padanya.

Sebagai contoh, perbezaan utama antara solat Dhuha dan solat Subuh ialah niat kerana kedua-duanya dilihat sama dari sudut bilangan rakaatnya dan segala rukun fi'li dan qauli yang lain.

Bahkan, sesiapa yang mempunyai niat untuk melakukan kebaikan dan kebajikan tetapi gagal melakukannya kerana terdapat kesulitan (masyaqqah), dia akan tetap diberikan pahala oleh Allah.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abu Zar al-Ghifari: "Sesiapa yang masuk tidur sedangkan dia berniat untuk bangun solat sunat pada tengah malam, namun disebabkan terlalu mengantuk atau tidak terjaga, dan dia terjaga apabila sudah masuk waktu subuh, maka dia akan mendapat pahala dan ditulis apa yang diniatkan itu." (riwayat al-Nasaie)

Monday, May 16, 2011

~ membudayakan penyelidikan ~


SUDAHKAH universiti dalam dunia Islam membudayakan penyelidikan? Secara objektifnya, soalan ini sukar dijawab kerana tidak ada sandaran fakta yang tepat untuk mengatakan ya atau tidak. Yang pasti, tiada universiti dalam dunia Islam disenaraikan 100 universiti terbaik dunia.
Dalam konteks ini, penyelidikan dan output penyelidikan dikira sebagai kriteria penyenaraian. Malah, universiti terbaik di dunia Arab mengikut Senarai Ranking Universiti Terkemuka dalam Dunia Arab, iaitu Universiti King Saud, hanya mendapat tempat ke-164 di peringkat dunia.

Secara perbandingan, senarai yang dikeluarkan ‘Times Higher Education’ pula sering dipertikaikan banyak pihak kerana hanya universiti di United Kingdom dan Amerika saja yang mendapat tempat teratas.

Tetapi, pada masa sama kita harus jujur. Jika persoalan utama adalah mengenai penyelidikan yang khusus memberi penekanan kepada aplikasi Islam dalam kehidupan alaf ini, jawapannya sangat jelas iaitu universiti di dunia Islam masih belum lagi membudayakan penyelidikan.


Jurang yang luas antara pengetahuan dan pembangunan aplikasi serta kemajuan syariat yang berlaku di negara Islam mendorong supaya penyelidikan disemarakkan. Malah, keadaan semasa mendesak universiti dan institusi penyelidikan menyambung rantaian ilmu sedia ada dan membina kapasiti diperlukan bagi memenuhi maksud itu.


Lima rukun penting boleh dijadikan landasan untuk menyemarakkan budaya penyelidikan di universiti dunia Islam iaitu menjalankan penyelidikan diterajui permintaan. Kajian berasaskan permintaan merujuk kegiatan penyelidikan yang membolehkan penjanaan ilmu untuk mewujudkan pembangunan.

Dalam era liberalisasi ilmu, sepatutnya universiti dan institusi penyelidikan dunia Islam melangkaui bidang pengajaran dan pembelajaran. Penyelidikan diterajui permintaan membolehkan penyelidik mencapai tahap intelektual untuk memberi sumbangan secara langsung kepada masyarakat.

Rukun kedua menyentuh aspek pembinaan keupayaan dan kemampuan penyelidik. Bagi universiti dan institusi penyelidikan, proses membudayakan penyelidikan memerlukan ilmuwan yang kompeten dan persekitaran menyokong.


Walaupun sudah wujud kemajuan dalam penyelidikan dua dekad terakhir ini, keupayaan penyelidikan di universiti dunia Islam tetap menjadi cabaran besar terutama bagi negara Islam yang miskin.


Pendekatan untuk membangun kapasiti penyelidikan terbaik dilihat dan difahami dalam rangka pembangunan kapasiti yang lebih luas. Peningkatan kapasiti penyelidikan boleh dilihat sebagai proses memperkasakan individu, institusi, organisasi dan negara.


Rukun ketiga menekankan pewujudan persekitaran yang positif dan menyokong. Antara sebab kenapa pembudayaan penyelidikan jarang berlaku di universiti dunia Islam adalah aliran mobiliti penyelidik produktif dari negara Islam berhijrah ke negara barat atau negara Islam yang kaya kerana peluang penyelidikan lebih baik.


Ini termasuklah penyediaan geran penyelidikan yang besar selain daripada faktor gaji. Kesannya, jurang ilmu pengetahuan antara negara Islam yang miskin dan kaya menjadi lebih meluas dan semakin sukar melainkan usaha bersepadu dilakukan.


Rukun keempat adalah kepentingan tanggungjawab sosial. Pendekatan alternatif kepada penjanaan ilmu pengetahuan ini menekankan tanggungjawab sosial adalah lebih utama daripada tanggungjawab akademik.


Penyelidikan yang mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran dari pelbagai disiplin ilmu serta sumber lain perlu diberi penekanan. Antara faktor penting adalah ilmuwan Islam bekerjasama dan berinteraksi dengan semangat ukhuwah yang jitu.


Salah satu ciri mendasari penyelidikan adalah agenda dan keutamaan. Penyertaan pihak berkepentingan akan mencerminkan keperluan masyarakat untuk penjanaan ilmu. Walau bagaimanapun, perkara ini belum tentu akan menjamin berlakunya penyelidikan sistematik.


Rukun kelima adalah pembiayaan penyelidikan melalui geran program ijazah kedoktoran, pasca kedoktoran atau program ‘mentoring’ adalah pendekatan berkesan yang sudah lama ditawarkan di kebanyakan universiti terkemuka di dunia Barat.


Di dunia Barat, pendekatan umum untuk peningkatan kapasiti menubuh kumpulan penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dilakukan dengan rancak sekali. Namun, negara Islam melalui universiti mereka masih belum mengembangkan rangkaian akademik yang baik dan berkesan.


Salah satu alasan diberikan, ia memerlukan dana antarabangsa yang besar terutama untuk jangka masa panjang.


Walau bagaimanapun, dengan era teknologi maklumat, seperti strategi ‘e-learning’ yang boleh digunakan untuk berkongsi pengetahuan, mekanisma ini boleh diterokai dengan lebih serius lagi.


Apa pun, memang wujud jurang pengetahuan yang besar terutama kekurangan prasarana yang canggih untuk menyokong penyelidikan di universiti negara Islam berbanding di Barat. Oleh itu, sokongan kuat dari universiti Islam terkemuka diperlukan untuk membina kapasiti itu.

~ guru berjasa perkasa bangsa ~


TANGGUNGJAWAB guru menyebar ilmu serta pembentuk akhlak dan moral pelajar diiktiraf oleh Allah SWT sebagai golongan mulia dalam masyarakat yang menyumbang terhadap pembangunan generasi akan datang.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Menjadi seorang pendidik yang setiap saat dan ketika berkhidmat menyalurkan ilmu pengetahuan supaya generasi yang ada hari ini memiliki kecelikan akal, berkebolehan, berdaya kreatif serta mempunyai sahsiah peribadi yang ulung bukan suatu tugas mudah. Ia memerlukan komitmen yang tinggi dan hakikat ini menjadi cabaran kepada guru merealisasikan hasrat membina negara bangsa yang bukan saja maju tetapi juga teguh akal budi menjulang peradaban bangsa.

Malah, guru yang cemerlang dan berkualiti akan sentiasa menekankan persoalan adab dan perilaku anak muridnya kerana matlamat akhirnya adalah ingin melahirkan insan berketrampilan dan bertakwa kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW adalah contoh muaddib atau guru terbaik untuk dijadikan ikutan dan teladan kerana pada diri Baginda terhimpun akhlak baik dan kemuliaan dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sempena Hari Guru hari ini, wajarlah golongan guru menyahut cabaran mengangkat martabat pendidikan dengan cara menunaikan amanah penuh ikhlas mentarbiah anak bangsa supaya lahir insan kamil yang luhur akal budi serta berpengetahuan tinggi memakmurkan negara.

Bagi pelajar dan masyarakat pula, hargailah pengorbanan guru serta elakkan suasana yang boleh mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara guru, murid dan masyarakat. Sikap menghormati guru dapat mengeratkan hubungan guru, murid, ibu bapa dan masyarakat.
Banyak juga laporan tidak elok yang didengar mengenai tindakan guru terhadap murid serta perilaku negatif guru terhadap murid. Semua itu mesti ada puncanya, sama ada daripada pelajar sendiri atau kelemahan guru menerapkan nilai mulia dalam diri mereka. Justeru, apabila guru sudah berusaha sedaya mungkin menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas, pelajar pula perlu ikhlas menuntut ilmu kerana dengan cara itu akan memudahkan proses pembelajaran. Ada kalanya, guru sudah melakukan yang terbaik namun, hasilnya masih tidak kelihatan. Oleh itu untuk melihat kejayaan, gabungan kerja keras guru dan murid, disokong pula oleh ibu bapa adalah sangat diharapkan. Jangan terlalu mudah menuding jari kerana adalah lebih baik kita bersama mencari di mana kelemahan untuk diperbaiki. Cabaran hidup hari ini bukan berkisar di sekolah saja tetapi membabitkan semua aspek kehidupan.

Guru teruskan perjuangan menabur ilmu dan anak murid berusaha menimba pengetahuan di bawah bimbingan guru sementara ibu bapa hendaklah memantau perkembangan pendidikan. Apabila semua berfungsi dengan baik, cabaran mendepani sistem pendidikan akan dapat diatasi.



ustaz farizan - guru bahasa arab tinggi





teacher Aisyah Salehan - guru Fizik




Ustaz Aimi Hamzah - guru PSI




teacher Azleen Yanti - guru BI




Cikgu Romie Sophian - guru Kajian Tempatan



Dr Ali Fawwaz - Asalib bahas , tilawah 2 , & sirah



Dr Jamal - Tilawah 3




Dr Abdul Raud - Aqidah 1 & 2



Dr Ali Zuqaili - Fiqh Ibadat 1 , Fiqh Ibadat 2 , Fiqh Ahwal Syakhsiah 2 Talaq




Dr Hammad Azam - Fiqh Muamalat , Muamalat Maliah




Dr Masyhur - Ulum Hadis




Dr Hawa - Thaqafah Islamiyyah , Ulum Quran



Dr Syuesh Mahamid - Madkhal fil Fiqh Islami




Dr Yusuf - Dirasat Nahuwiyah 1




Dr Ghuraibah - Maqasid Syariah



p/s : Jutaan terima kasih buat semua guru dan warga pendidik sekalian.... Semoga segala pengorbanan dari kalian semua mendapat barakah dariNya... ameen.... :)

Sunday, May 8, 2011

~ solat di awal waktu ~


Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman yang tertentu waktunya.”

Jika tertidur sehingga keluar waktu solat Subuh, maka hendaklah segera bersiap-siap untuk mengqada solat Subuh. Jika tertinggal solat Zuhur umpamanya, dan dia sedar pada waktu Asar, maka hendaklah ia segera qadhanya pada waktu Asar.

Mengqada solat adalah wajib, manakala menyegerakannya adalah sunat seperti satu hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tidur salah seorang kamu sehingga meninggalkan solat atau terlupa daripadanya, maka hendaklah ia segera solat apabila ia teringat kerana Allah SWT berfirman: “Dirikanlah kamu akan solat untuk mengingati-Ku.”
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah, beliau berkata: “Mereka menyebut kepada Nabi SAW tentang tidur mereka sehingga terlepas waktu solat. Maka Baginda bersabda: Tidaklah sebab tidur dikira kecuaian. Kecuaian itu hanya dikira sekiranya dalam keadaan jaga. Maka apabila salah seorang kamu lupa sembahyang, atau tidur lena sehingga meninggalkan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang apabila dia ingat.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya Saidina Umar datang pada Hari Khandaq, sesudah terbenamnya matahari, yang mana dia mencaci orang kafir Quraisy seraya beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku hampir tidak solat Asar, sehingga hampir matahari masuk (terbenam).

Maka Nabi SAW menjawab: Demi Allah aku pun belum sembahyang. Maka Baginda berwuduk dan kami pun berwuduk. Maka Baginda sembahyang Asar sesudah matahari masuk (terbenam), kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib sesudahnya. Demikianlah, Wallahua’lam.

~ musafir hamba ~


Apabila seseorang mula hendak musafir, disunatkan untuk ia bertakbir sebanyak tiga kali dan membaca doa berikut: “Subhanallazi sakhkhara lana haza wa ma kunna muqriniin wa inna ila rabbina lamunqalibun. Allahumma inna nas’aluka fi safarina hazal birra wattaqwa waminal ‘amali ma tardho. Allahumma hawwin ‘alaina safarana haza watwi ‘anna bu’dah. Allahumma antas sohibu fis safari wal khalifatu fil ahli. Allhuamma inni a’uzu bika min wa’thais safari wa kaabatil manzhori wa suuil munqalabi fil mali wal ahli. (Maksudnya: Maha suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami.

Wahai Allah sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan, ketakwaan dan amal yang Engkau reda dalam musafir kami ini. Wahai Tuhan permudahkanlah segala urusan kami dalam musafir kami ini dan singkatkan kejauhan jarak musafir ini kepada kami. Wahai Allah, Engkaulah adalah teman dalam musafir dan pengganti bagi keluarga yang kami tinggalkan. Wahai Allah sesungguhnya saya berlindung diri kepada-Mu dari kesukaran dalam musafir, pemandangan yang menyedihkan dan buruknya kembali baik bagi harta mahupun keluarga kami).


Ketika selesai urusan dan hendak pulang, maka ucapkanla: “Aa’ibuuna taa’ibuna ‘abiduna lirabbina hamidun. (Maksudnya: Kami kembali dari perjalanan, bertaubat dari dosa kami, beribadat dan memuji Tuhan kami).

Apabila urusan sudah selesai, sunat untuk dia segera pulang sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musafir itu adalah sebahagian daripada azab yang mana seseorang itu hendaklah mengurangi makan, minum dan tidurnya. Oleh kerana itu, apabila salah seorang kamu sudah selesai urusannya dalam musafir, maka hendaklah ia segera kembali kepada keluarganya.

Apabila seseorang itu berhenti pada satu-satu tempat, maka hendaklah dia berdoa sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, nescaya dia tidak akan diganggu sehingga ia meninggalkan tempat berkenaan. Doanya iaitu: “A’uzu bi kalimaatillahit-taam-mati min syarrima khalaq (Maksudnya: Saya berlindung diri dengan kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan yang Ia ciptakan).


Orang musafir diberi keringanan dalam melaksanakan solat fardu iaitu solat yang empat rakaat dapat diqasarkan (dipendekkan) menjadi dua serta dibolehkan untuk menghimpun (menjamak) solat Zuhur dengan solat Asar dan Solat Maghrib dengan solat Isyak.


Perkara itu disebabkan mereka dalam keadaan azab iaitu hilangnya ketenangan dan kerehatan.


Apabila seseorang dalam musafir dan menjelang waktu malam, maka hendaklah ia berdoa seperti diajar Nabi SAW iaitu: “Ya Ardhu rabbi wa rabbikillah, a’uzu billahi min syarriki wa syarri mafiki wa syarri ma khuliqa fiki wa syarri ma yadibbu ‘alaiki, wa ‘auzubiki min syarri asadin wa aswada waminal hayyati wal ‘aqrabi wa min sakinilbaladi wamin waalidin wama walada (yang bermaksud: “Wahai bumi, Tuhanmu adalah Allah, saya berlindung diri kepada Allah daripada kejahatanmu wahai bumi, kejahatan yang berada di perutmu, kejahatan makhluk yang berada di perutmu dan kejahatan binatang yang melata di atasmu. Saya berlindung diri denganmu dari kejahatan binatang buas, manusia, ular, kala jengking, segala macam binatang, serta dari Iblis dan syaitan).


Apabila seseorang baru datang dari musafir, disunatkan ia terus ke masjid dan solat sunat dua rakaat seperti yang disebut dalam sebuah hadis daripada Ka’ab bin Malik ra – Bahawasanya apabila Baginda datang daripada musafir, Baginda SAW terus ke masjid dan solat dua rakaat di dalamnya.


Kalangan perempuan tidak dibenarkan musafir kecuali bersama mahramnya seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis iaitu: “Tidaklah halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk musafir yang memakan masa sehari semalam kecuali bersama mahramnya.”


Disunatkan juga untuk memulakan perjalanan pada hari Khamis dan dilarang untuk musafir sekiranya bersendirian. Demikianlah antara adabnya, Wallahua’lam.