Friday, May 6, 2011

~ cinta ahli bait ~



Menolak kesesatan yang terdapat dalam ajaran syiah tidak ada kena mengena dengan mencintai ahli keluarga Rasulullah SAW. Ahli keluarga baginda SAW adalah mereka yang ada pertalian darah dengan Rasulullah SAW serta isteri-isteri baginda yang suci.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai 'Ahlul Bait' dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji). (al-Ahzab: 33)

Ayat ini juga dijadikan hujah oleh para ulama untuk menjawab kepada golongan yang berpendapat isteri-isteri baginda Rasulullah SAW tidak termasuk di dalam ahli keluarga nabi SAW.

Ayat ini terang-terang turun dalam gugusan ayat-ayat yang menyentuh hal ehwal isteri-isteri Rasulullah SAW. Maka dengan ayat ini terbuktilah bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW adalah termasuk dalam ahli keluarga baginda biarpun mereka bukan dari darah daging baginda SAW.

Melalui ayat di atas juga Allah SWT memberitahu bahawa ahli keluarga Rasulullah SAW adalah tidak sama dengan ahli keluarga orang lain. Ini kerana keluarga Rasulullah SAW adalah cermin kepada masyarakat.

Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan hal ini. Antaranya hadis yang disampaikan oleh Thabaraniy dari Abu Said Al-Khudry r.a bahawa Abu Said mengatakan: ayat ini turun terkait Nabi SAW, Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain, semoga Allah meredai mereka semua. Dalam hadis sahih dinyatakan bahwa Nabi SAW memberikan suatu pakaian kepada mereka dan berdoa, "Ya Allah, mereka adalah keluargaku dan orang-orang khusus bagiku, hilangkanlah dosa dari mereka dan bersihkanlah mereka sebersih-bersihnya".

Dalam riwayat lain dinyatakan bahawasanya Nabi SAW mengenakan pakaian pada mereka dan meletakkan tangan beliau pada mereka serta berdoa: "Ya Allah, sesungguhnya mereka adalah keluarga Muhammad, maka jadikanlah selawat dan keberkahan-Mu kepada keluarga Muhammad, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji Maha Perkasa". (Ibn Jarir al-Tabariy, Tafsir al-Tabariy, jld:22, hlm:5)

Di antara ayat-ayat yang menunjukkan keutamaan mereka adalah firman Allah SWT:

Siapa yang membantahmu dalam hal ini setelah engkau memperoleh ilmu, katakanlah (Muhammad), "Marilah kita panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isterimu, kami sendiri dan kamu juga, kemudian marilah kita bermubahalah agar laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta. (ali-'Imran: 61)

Para ahli tafsir mengatakan: ketika ayat ini turun, Rasulullah SAW memanggil Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain r.a. Lalu beliau memangku Husain dan memegang tangan Hasan, sementara Fatimah berjalan di belakang beliau dan Ali di belakang keduanya, lalu beliau berdoa: "Ya Allah, mereka itu adalah keluargaku". (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:6, hlm: 434)

Dalam ayat ini terdapat dalil yang jelas bahawa anak-anak Fatimah r.ha dan keturunan mereka disebut anak-anak beliau SAW, dan nasab mereka dinisbahkan kepada beliau dengan penisbahan yang sahih dan berguna di dunia dan akhirat.

Menjadi kebiasaan orang arab dan yang demikian adalah makruf di kalangan mereka mengelar cucu dengan gelaran anak. Ada beberapa kali dalam baginda menyebut mereka berdua iaitu Hasan dan Husain sebagai anak.

Baginda sangat sayang kepada mereka berdua, cinta baginda terserlah setiap kali baginda bertemu dengan mereka berdua. Mencintai insan yang dicintai dan dikasihi oleh baginda adalah sangat dituntut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)". (asy-Syura: 23)

Suatu yang menarik di dalam tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir adalah mengenai ayat ini terutamanya mengenai perkataan "kasih mesra pertalian kerabat" adalah mengasihi ahli keluarga Rasulullah SAW, bermuamalah baik dengan penuh kasih dan cinta.

Perkataan al-Qurba bermaksud kerabat, perkataan kerabat hanya digunakan untuk ahli keluarga sahaja tidak selain itu.



Thursday, May 5, 2011

~ meraikan perbezaan fikrah ~


KITA sedang diuji dengan cabaran dan dugaan menangani kerenah pelbagai fahaman untuk memahami agama Islam yang syumul. Realitinya, kita sudah berada di kemuncak perselisihan di mana terdapat bermacam golongan dan fahaman dalam dunia Islam.
Apa yang jelas, penghayatan sunnah serta pemahaman oleh ilmuwan Islam amat diperlukan kerana ia adalah asas kepada kestabilan dan keamanan serantau, seterusnya dapat mengorak langkah menuju keredaan Allah.
Dengan mengekalkan kestabilan, masyarakat Islam dapat membangun dan membina tamadun mereka semula seperti yang pernah terbina satu ketika dulu. Keperluan bersama majoriti jemaah Islam menangani persoalan ini adalah paksi kukuh dalam membina ketamadunan.

Ini jelas sekali dengan saranan Allah melalui wahyu-Nya yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah-belah.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)


Sahabat Nabi SAW bernama Ibnu Masu’d berpendapat perkataan ‘tali Allah’ ialah majoriti kaum Muslimin.


Daripada Ibnu Umar, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Majoriti umat Islam tidak akan bersepakat untuk menjadi sesat buat selama-lamanya, maka hendaklah kamu bersama mereka kerana pertolongan Allah akan sentiasa bersama mereka yang berada bersama kumpulan Islam.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Tabrani)

Baginda Nabi SAW menegaskan dalam hadis lain yang bermaksud: “Sesiapa yang mati ketika meninggalkan ketaatan kepada pimpinan serta berpecah dari kumpulan majoriti umat Islam atau terbunuh disebabkan perpecahan itu, maka matinya adalah mati jahiliah dan mereka bukan daripada golonganku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Imam Besar Masjidil Haram, Syeikh Abd Rahman As-Sudais dalam khutbahnya berkata, kita sering melihat pertembungan beberapa fahaman yang membawa kecelaruan kepada masyarakat awam sehingga menimbulkan kebencian dan permusuhan antara satu sama lain.


Katanya, kesan buruk itu akhirnya mempengaruhi kestabilan dan keamanan negara serta umat Islam sendiri kerana sifat manusia cenderung untuk mengetahui sesuatu pendapat itu dengan dua kemungkinan sama ada betul atau salah.


“Imam Syafie ketika berada di makam Baginda SAW pernah menyebut, sesungguhnya pendapat seseorang berkemungkinan diterima atau ditolak kecuali pendapat orang yang berada di makam ini (SAW),” katanya.


Sementara itu, Imam Tahawi berkata: “Aku melihat bahawa perbezaan pendapat dalam jemaah adalah satu kebaikan dan perpecahan mereka adalah satu musibah.”

Syeikh Abd Rahman berkata, setiap kumpulan mempunyai matlamat dan visi masing-masing iaitu membawa perubahan positif demi kemaslahatan masyarakat umum selain mempunyai pemimpin yang mereka percayai dan berfikiran positif melayani pendapat berlainan.

Katanya, mereka yang mampu meraih kejayaan ialah orang yang mendapat petunjuk daripada Baginda SAW tanpa perasaan takbur dan sombong serta sentiasa peka kepada sebarang unsur dicetuskan musuh bertujuan memecah belahkan kesatuan umat Islam.


“Akhirnya kita akan mendapat faedah hasil daripada wujudnya kesatuan umat seperti mendapat perhatian dari Allah kerana berada dalam jemaah, mendapat keselesaan dan ketenangan ketika menunaikan ibadat serta meneruskan bantuan kepada mereka dalam kesusahan,” katanya.


Katanya, kumpulan yang mendapat petunjuk akan meraih keredaan Allah serta rahmat dan penghormatan yang tinggi masyarakat selain dapat mengekalkan kekuatan hasil kesatuan hati yang wujud dalam jemaah,” katanya.


Beliau berkata, kesatuan umat bukan saja dipandang dari jumlah ahlinya tetapi merangkumi kesatuan aqidah, manhaj, pemikiran, pengurusan tugas, tatasusila, akhlak, tanggungjawab, amanah, kasih sayang dan ikatan persaudaraan.


Katanya, terkadang slogan penyatuan akan mengejutkan mereka yang sedang lena dibuai mimpi indah namun, ia perlu direalisasikan bagi mengimbangi kehendak al-Quran dan sunnah Rasul SAW.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang berpecah-belah setelah datang keterangan yang jelas dari Allah. Ketahuilah bahawa mereka terancam dengan azab yang berat.” (Surah Ali-Imran, ayat 105)


Sabda Nabi SAW bermaksud yang bermaksud: “Tiga perkara yang akan memberi kebaikan kepada seseorang Muslim iaitu ikhlas beramal kerana Allah, memberi teguran yang baik kepada pemimpin, memberi komitmen tinggi kepada majoriti umat Islam.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Hakim)


Syaikhul Islam Ibnu Taymiyyah berpendapat berpegang dengan golongan jemaah umat Islam adalah salah satu dari asas agama. Imam Al A’llamah Ibnul Qayyim berkata: “Berpegang dengan kumpulan umat Islam akan membersihkan jiwa dari sebarang unsur penipuan dan penyakit berkaitan hati kerana mereka saling mengasihi dan hormat menghormati antara satu sama lain.”

Tuesday, May 3, 2011

~ Luqman al-Hakim ~



AHLI hikmah dari Habsyah (Ethiopia) ini bernama Luqman al-Hakim. Menurut al-Quran, Allah SWT menganugerahkan hikmah kepadanya sehingga beliau digelar Luqman al-Hakim (Luqman yang dianugerahi hikmah).

Nama penuhnya ialah Luqman bin Baura. Beliau berketurunan Azar, ayah Nabi Ibrahim a.s. Dalam Tafsir al-Kasysyaf (karya al-Zamakhsyari), Luqman digambarkan sebagai seorang lelaki yang berkulit sangat hitam dan berwajah buruk dengan bibir yang sangat tebal.

Namun, hati dan akhlaknya tidak seburuk wajahnya. Hatinya amat tulus dan akhlaknya sangat terpuji. Kata-kata hikmah sebagai nasihat selalu keluar dari bibirnya.

Menurut cerita tradisi Bani Israel, Luqman selalu mengeluarkan kata-kata hikmah (ucapan yang sesuai dengan kebenaran) sehingga akhirnya banyak diketahui masyarakat.

Seseorang pernah bertanya kepadanya, "Bukankah kamu bekas hamba si fulan?" Luqmanmenjawab, "Benar". Orang itu lalu bertanya lagi, "Tetapi apa yang membuat kamu terkenal seperti sekarang?"

Beliau menjawab, "Kekuasaan Allah SWT. Aku selalu berkata benar dan meninggalkan sesuatu yang tidak berfaedah serta selalu menunaikan amanah yang diberikan kepadaku".

Dalam tafsir al-Qurtubi, tertulis bahawa ada tiga orang yang berkulit hitam tetapi sangat terkenal dalam sejarah, iaitu Bilal bin Rabah, Mahja' (hamba Umar bin al-Khattab), dan Luqman al-Hakim.

Ada riwayat yang menyebut bahawa pada suatu hari seseorang terkejut melihat susuk tubuh Luqman yang hitam legam dan berbibir tebal.

Pada waktu itu, Luqman mengatakan: "Sekalipun bibirku ini tebal, tetapi apa yang keluar dari mulutku adalah kata-kata hikmah. Dan sekalipun kamu terkejut melihat kulitku yang hitam legam, namun hatiku putih bagaikan kaca bersih".

Isteri majikan Luqman pernah marah kepada suaminya. Suaminya lalu mencari juadah (makanan yang lazat) untuk isterinya, kemudian meminta Luqman untuk menyerahkan makanan itu kepada kesayangannya (maksudnya isterinya).

Setibanya di rumah, Luqman memberikan juadah itu kepada anjing majikannya, bukan kepada isterinya.

Setelah pulang majikannya bertanya kepada isterinya adakah beliau sudah menerima juadah yang dikirim melalui Luqman. Isterinya berkata, "Luqman tidak membawa sesuatu pun untukku". Suaminya marah lalu memanggil Luqman.

Luqman menjawab, "Hamba telah memberikan juadah itu kesayangan tuan seperti yang tuan pesan, iaitu anjing tuan".

Luqman menambah, "Anjing itulah yang seharusnya disayangi kerana sekalipun dihina dan disakiti, ia tidak meninggalkan tuan, manakala isteri tuan sebenarnya bukanlah kesayangan Tuan kerana beliau sering meminta cerai sekalipun tidak dihina, apalagi dipukul".

Kemuliaan seseorang di hadapan Allah SWT tidak terletak pada keturunannya, tetapi pada ketakwaan dan akhlaknya. Luqman adalah salah seorang yang bertakwa dan berakhlak mulia.

Ketakwaan dan kemuliaan akhlaknya dijadikan teladan dalam al-Quran. Ketakwaannya kepada Allah SWT ditunjukkannya melalui nasihat kepada anak lelakinya, An'am atau Asykam, misalnya tidak menyekutukan Allah SWT kerana perbuatan itu merupakan kezaliman yang amat besar (Q.31: 13).

Kemuliaan akhlaknya ditunjukkan melalui nasihat supaya tidak bersikap sombong dan angkuh kepada sesama manusia (Q.31: 18) dan perkataan lembut kerana seburuk-buruk suara adalah suara keldai (Q.31: 19).



~ Asadullah ~


Perang Uhud merupakan antara perang yang paling menarik pernah berlaku dalam dalam mana-mana sejarah perang dunia.

Walaupun berakhir dengan kekalahan pihak Islam dengan pelbagai strategi diatur sedemikian rupa yang pastinya menjanjikan kemenangan namun sepanjang berlaku perang ini penuh dengan pelbagai kisah kepahlawanan yang luar biasa dan sehingga kini tiada tolok bandingnya.

Tentunya yang kita maksudkan adalah kisah bapa saudara Rasulullah sendiri, iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai 'Singa Allah' atau Asadullah.

Seorang bapa saudara yang sangat menjaga anak saudaranya sebelum ini dan pahlawan yang sangat perkasa dalam Perang Badar.

Semasa Perang Uhud, sesuai dengan gelaran yang diberi, Hamzah bagaikan seekor singa yang sedang mengamuk dan mengganas.

Hamzah atau nama sebenarnya Hamzah Abu 'Amaarah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin 'Abdi Manaaf al Quraisy al Haasyimi. Berusia dua tahun lebih tua daripada Rasulullah dikatakan berjaya membunuh lebih 30 tentera kafir Mekah sepanjang Perang Uhud itu.

Beliau yang turut digelar Sayyidusy-Syuhadaa' (Penghulu para syuhada) tidak akan memberi peluang terhadap musuh kecuali terus berjuang habis-habisan mempertahankan Islam.

Sejak Hamzah mula memeluk Islam pada tahun kelapan selepas anak saudaranya itu dilantik Allah menjadi Rasul sehinggalah pada detik membawa kepada kematiannya di tangan musuh di Perang Uhud, seluruh hidupnya adalah untuk Islam.

Justeru sasaran membunuhnya memang tidak pernah padam di kalangan musuh. Malah ada yang membuat pelbagai tawaran yang sangat lumayan asal sahaja Hamzah dapat dibunuh.

Satu lawan satu

Bagi mereka dengan gugurnya seorang pahlawan Islam ini pasti akan pincanglah kekuatan Nabi Muhammad dan para pengikutnya.

Ini menyebabkan tugas membunuh Hamzah tidak boleh dilakukan secara berhadapan atau satu lawan satu. Jika cara itu dipilih maka tidak akan pernah pihak yang lawan tidak akan menang, jauh sekali dapat mencederakan Hamzah. Ini kerana Hamzah begitu hebat, perkasa, cekap dan tangkas.

Saat Hamzah sedang melawan dan mencari musuh untuk diperangi, saat itu jugalah sebenarnya Hamzah sedang diekori tanpa beliau sedari.

Musuh yang mengekori untuk mengambil peluang membunuh Hamzah secara curi itu ialah seorang bangsa kulit hitam bernama Wahsyi bin Harb.

~ adil menabur kasih , moga tidak tersisih ~


Apa yang bermain dalam fikiran seorang anak apabila dia dilayan seperti seorang yang tidak dikehendaki, tidak disayangi dan tidak dipedulikan?
Dalam urusan memberi kasih sayang kepada anak, ada beberapa panduan wajar diambil berat ibu bapa berdasarkan nasihat ilmuwan Islam dan pakar psikologi kanak-kanak.

Pertama, ibu bapa jangan menzahirkan dengan ketara rasa kasih kepada seseorang anak dan meninggalkan anak yang lain. Walau pun ada salah seorang anak lebih disayangi, tetapi perasaan kasih itu jangan keterlaluan dizahirkan.


Mengambil iktibar dari teguran Allah kepada suami berpoligami di mana Allah memberi nasihat supaya mereka jangan menunjukkan kasih sayang kepada seorang isteri melebihi isteri yang lain. Ia akan menyebabkan isteri ditinggalkan merasa tidak ketahuan, terbuang dan tidak disayangi.


Kedua, beri ganjaran dan teguran dengan adil antara semua anak-anak. Jika anak melakukan yang baik, bagi perangsang dan pujian atau hadiah. Jika membuat kesilapan, perlu ditegur dengan baik.


Apabila anak yang disayangi membuat silap tetapi dimarahi adalah anak lain, ia menunjukkan ibu bapa tidak bijak menangani urusan keadilan. Jika dibelikan hadiah kepada seorang anak, belikan untuk kesemuanya.


Walaupun murah, setiap anak sangat mengharapkan ingatan daripada ibu bapanya. Namun begitu, pengecualian mungkin diberi semasa hari lahir anak tertentu atau kejayaan dalam peperiksaan.


Ketiga, ibu bapa tidak wajar sama sekali menggunakan ayat menghiris hati kecil anak. Ia boleh menimbulkan kebencian anak terhadap ibu bapanya dan kepada dirinya sendiri. Perbezaan layanan daripada bapa atau ibu akan menimbulkan pelbagai soalan dalam diri anak.


Keempat, penggunaan kuasa diktator terhadap anak tidak membantu menjadikan anak seorang yang bijak, mampu berdikari dan pandai menyelesaikan masalah secara sendiri.


Anak mungkin patuh di depan tetapi bertindak sebaliknya di belakang ibu bapa.

Penggunaan ayat sindiran kepada anak yang tidak disayangi juga perlu dielakkan. Anak tidak dapat menangkap maksud di sebalik sindiran itu. Jelaskan kepada mereka apa yang perlu dilakukan dengan baik dan betulkan kesilapan tanpa membezakan antara adik-beradik.

Ibu dan ayah juga perlu selalu menyebut perkataan baik berbentuk positif dan mengingatkan anak peranannya dalam usaha membentuk kekuatan jiwa anak.


Rasulullah SAW menyebut anak seumpama kain putih yang diberi warna oleh ibu dan bapa. Ibu dan bapa yang mencorakkan, memberi nilai baik, mendidik mereka menjadi anak soleh dan solehah. Menghadapi anak dengan kasih sayang berbeza-beza akan menyukarkan usaha mendidik mereka.

~ menjadi manusia hebat ~



MARILAH kita sentiasa menghubungkan diri dengan Allah Yang Maha Pencipta sekalian alam dengan cara mengingati kebesaran-Nya, mengingati segala rahmat, nikmat kurniaan-Nya yang sentiasa dicurahkan kepada kita.

Dalam keadaan tidur pun, Allah mengirimkan rahmat-Nya ke dalam tubuh kita untuk menggerakkan jantung dan paru-paru. Oksigen kita hirup melalui udara adalah rahmat Allah yang diperlukan oleh badan supaya kita boleh hidup.
Bukan itu saja, banyak lagi rahmat yang dikurniakan Allah kepada kita. Wajarkah manusia lupa terhadap Allah? Tidak pernah mengingati dan menyebut nama Allah, tidak pernah bersyukur dan memuji Allah, bahkan tidak pernah beribadah menyembah Allah?
Allah menyeru manusia supaya selalu ingat dan jangan lupa terhadap-Nya dalam firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan sebanyak-banyaknya.” (Surah Al-Ahzab, ayat 41)

Setiap hari Jumaat, di akhir khutbah Khatib turut mengingatkan jemaah untuk berzikir mengingati Allah. Mengapa setiap Jumaat diulang-ulang menyebutnya? Ini bermaksud mengingati Allah adalah perkara yang sangat mulia.

Mengingati Allah akan memberikan pengaruh hebat dan besar kepada manusia dari segi rohani serta jasmani. Seorang pemimpin negara yang banyak mengingati Allah, sudah tentu akan memberi pengaruh dan kesan besar terhadap corak pemerintahan serta kepemimpinannya.

Manakala rakyat atau pekerja yang banyak mengingati Allah akan memberi kesan mendalam untuk melaksanakan tugas, tanggungjawab dan kewajipannya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).” (Surah Al-Baqarah, ayat 152)

Orang yang sentiasa mengingati Allah, Allah akan sentiasa mengingatinya, jiwanya menjadi tenang, hatinya tenteram, jauh dari perasaan gelisah. Hasilnya, lahirlah budaya pekerti dan tutur kata mulia. Semua orang merasa senang dan bahagia bersamanya, walaupun kehidupannya serba kekurangan.

Firman Allah yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah hanya dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)

Sebaliknya, mereka yang melupakan zikrullah dan hanya memikirkan keseronokan kehidupan dunia, hatinya semakin lama akan menjadi keras membatu. Hati yang lalai kepada Allah akan membentuk tingkah laku dan tutur kata yang kasar. Dosa dan kemungkaran menjadi amalan biasa padanya.

Kesannya, masyarakat sekeliling merasa tidak senang jika berdamping dengannya, termasuk anak dan isterinya. Orang seperti ini akan menjadi tidak tenang hatinya hingga rela menjadi pembunuh dan melakukan perbuatan keji.

Maka bumi yang luas ini seolah-olah sempit dalam pandangannya dan dunia terang benderang menjadi gelap gelita kepadanya. Contoh manusia yang demikian banyak sekali, sama ada di Timur mahupun di Barat.

Walaupun ilmu pengetahuan manusia semakin menjulang tinggi, namun kerosakan dan kekejaman semakin menjadi-jadi. Untuk memulihkan keadaan, hendaklah manusia kembali beriman dan banyak mengingati Allah. Dengan demikian, dunia sudah tentu menjadi aman dan tenteram.

Manusia yang keras hati dan lalai terhadap Allah, syaitan dengan senang dapat mempermainkan mereka hingga perbuatan keji dianggap baik. Sebaliknya, perbuatan baik dianggap keji dan ditentang.

Jika diberi nasihat, ia akan dibantah dan dipersendakan. Ingatlah, segala kerosakan dan kejahatan yang bermaharajalela di muka bumi ini, dilakukan oleh manusia cerdik pandai, tetapi kosong hatinya dari mengingati Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada kami dengan nada rendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran) dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An’am, ayat 43)

Rasulullah SAW juga banyak mengingatkan umatnya supaya sentiasa mengingati Allah. Sabda Baginda yang bermaksud: “Mahukah aku beritahukan kepadamu sebaik-baik amalan kamu dan paling bersih (banyak keberkatan) di sisi Tuhanmu, paling tinggi darjatnya, dan lebih baik bagi kamu menafkahkan emas dan perak, dari (berperang) menghadapi musuh, lalu kamu penggal leher mereka atau mereka memenggal leher kamu? Jawab sahabat: Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: Iaitu zikrullah.” (Hadis riwayat Tarmidzi, Ibnu Majah daripada Abu Darda)
Marilah kita bersama berzikir dengan membaca al-Quran, doa dan wirid daripada Rasulullah seperti diajar kepada sahabatnya, Muadz Bin Jabal iaitu: “Ya Allah tolonglah aku, supaya (dapat) sentiasa mengingatiMu dan mensyukuri serta memperbaiki ibadatku kepadaMu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Tidak kira di mana pun kita berada, sentiasa hadirkan Allah dalam diri kita. Sesungguhnya, kita adalah hamba-Nya yang hebat di dunia, berjaya di akhirat kelak.

Monday, May 2, 2011

~ itqan & ihsan ~



SUDAH semestinya pada era globalisasi kini, tidak dapat dinafikan pelbagai mehnah (cabaran) terpaksa ditempuh setiap individu yang dipanggil pekerja. Malah, pekerja organisasi kerajaan atau swasta sering menghadapi segala macam tribulasi di tempat kerja masing-masing.

Ada terpaksa meredah lautan, masuk keluar kampung dan desa, merentasi sungai serta bukit-bukau untuk sampai ke tempat kerja. Ada juga terpaksa menunggu berjam-jam dalam kenderaan kerana kesesakan lalu lintas di jalan raya.
Semua menjadi asam garam kehidupan pekerja. Situasi ini mungkin berbeza dengan zaman dulu dan mungkin sedikit serupa tetapi hampir tidak sama dari aspek latar belakang, suasana dan masalah. Apa pun semuanya tetap mempunyai masalah dan dugaan.
Permasalahan itu jika tidak diurus secara berkualiti dan berkesan, sudah pasti membawa kepada masalah yang lebih teruk. Contohnya, timbul tekanan menyebabkan mereka ketagih dan terjebak dengan dadah, pil ecstasy atau minuman keras.

Ada segelintir pekerja suka membuli atau gemar memarahi orang lain, menyalahi rakan sepejabat, mengalami perasaan kecewa dan lebih serius lagi kes bunuh diri.

Semua paparan masalah itu wujud jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan jika pekerja mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Ajaran Islam melalui kitab suci al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW memberi teladan terbaik kepada umat manusia untuk dicontohi dalam kehidupan bekerja. Antara tuntutan sebelum melakukan kerja mestilah dimulakan dengan niat yang betul dan ikhlas.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan itu bermula dengan niat.” Jika bekerja semata-mata untuk memperoleh ganjaran dunia, maka pampasan dunia yang sementara itulah dimilikinya.

Jika niat bekerja kerana Allah, sudah pasti segala tingkah laku akan berdasarkan budaya yang dalamnya mempunyai nilai ihsan seperti yang disarankan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


Nilai ihsan adalah suatu konsep yang besar untuk dihayati sempena sambutan Hari Pekerja semalam, demi membawa transformasi lebih berkualiti dalam aspek pekerjaan seharian dan akhirnya membawa manfaat kepada organisasi, seterusnya masyarakat dan negara.


Justeru, semua pekerja semestinya menjadikan budaya kerja cemerlang sebagai diari hidupnya supaya dapat menjalankan amanah dipertanggungjawabkan sebaik mungkin. Budaya kerja cemerlang mempunyai impak besar terhadap kualiti dan kecemerlangan dalam aspek kehidupan insan.


Malah, kesempurnaan kerja sudah menjadi prinsip asas dalam ajaran Islam sebagai satu ajaran yang progresif, sarwajagat, nilai dan prinsipnya dinamik serta relevan ke arah pembentukan komuniti berkualiti dan produktif.


Tambahan pula, Islam memandang kualiti atau kesempurnaan sebagai proses membawa transformasi positif ke arah prestasi terbaik dalam semua aspek tingkah laku manusia. Bukan saja tercapai matlamat atau objektif, akan tetapi memperoleh kejayaan hakiki di dunia dan akhirat.


Sehubungan itu, Rasulullah SAW sudah lama mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda yang diriwayatkan Saidatina Aisyah: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara Itqan atau bersungguh-sungguh (sempurna).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)


Jelas budaya itqan atau kesungguhan, ketelitian dan ketekunan dalam kerja, pasti membuahkan hasil produk atau perkhidmatan mempunyai impak besar kepada organisasi dan menyebabkan pelanggan berpuas hati dengannya.


Di samping budaya itqan melaksanakan tanggungjawab, pekerja seharusnya menjadikan nilai ihsan sebagai amalan seharian. Nilai ihsan dalam erti kata Islam adalah suatu komitmen kualiti sesuatu tindakan semata-mata kerana Allah.

Nilai ini dijelaskan Baginda Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril melalui hadis sahih yang masyhur berkaitan dengan iman, Islam dan ihsan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ihsan adalah kamu beribadat seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Dia (Allah) pasti melihat kamu.” (Riwayat Imam Muslim dan Bukhari)


Sebagai pekerja, marilah memperbaharui niat bagi menjayakan perancangan atau transformasi yang digubal pihak pengurusan atau kerajaan ke arah mencapai gagasan dan wawasan negara.


Seterusnya, berusaha mencapai tujuan bekerja untuk keberkatan hidup di dunia serta mendapat ganjaran di sisi Allah. Keredaan Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia termasuk kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW.